Chereads / Catatan Malim Gunung / Chapter 5 - Peluk Tubuh

Chapter 5 - Peluk Tubuh

Seringkali aku melihat Adik Idan berjalan dengan berpeluk tubuh. Sambil berjalan tubuhnya pula dicondongkan ke depan. Berat pula mulut ini nak bertanya kenapa. Aku sekadar memerhati sahaja gaya dan gelagatnya sahaja sepanjang pendakian tersebut. Berat mata memandang, berat lagi bahu aku nak memikul beban ni.

Haversack Deuter Eclipse 55+10 yang aku sandang selama ini memang membebankan. Rekaan beg ini terutamanya pada bahagian hipbelt tidak sepadan dengan bentuk tubuh badan aku yang kurus. Bahagian bawah tubuh aku akan terasa lemah jika hipbelt aku ketatkan. Aku hanya mengharapkan kekuatan bahu untuk menampung keseluruhan berat yang dipikul. Manakala kedua belah tangan aku menarik Shoulder Strap ke bawah sebagai bantuan meringankan beban bahu. Jadi, aku tiada masa untuk mencuba-cuba berjalan sambil peluk tubuh seperti yang Adik Idan sering lakukan.

Tahun berganti tahun. Beg berganti beg. Akhirnya aku faham kenapa berpeluk tubuh ketika mendaki. Rupa-rupanya, ianya adalah salah satu teknik dalam membawa beban ketika mendaki gunung.

Apabila tangan dilepaskan ke bawah, keseluruhan berat yang berada pada lengan akan jatuh dan beban tersebut akan dibawa oleh kedua belah bahu sepenuhnya.

Jika kita berpeluk tubuh, keseluruhan berat lengan akan berada pada bahagian tengah badan yang menjadikan bahagian tersebut sebagai pusat graviti. Dengan ini, bahu anda hanya akan menampung 10-20% sahaja beban dari lengan. Manakala 50-80% beban lagi adalah daripada berat beban yang dipikul di dalam haversack.

Situasi ini juga boleh disebut sebagai 'On-going Recovery Position' atau posisi pemulihan berterusan apabila bahu anda mula terasa berat dan letih sewaktu berjalan. Praktis ini juga sesuai dilakukan ketika anda mendaki denai yang curam.