Chereads / Catatan Malim Gunung / Chapter 7 - Parang

Chapter 7 - Parang

Masih aku ingat kali pertama aku menggunakan parang bagi tujuan melakukan kerja merangkap pelengkap keselamatan diri ketika melakukan aktiviti di hutan. Waktu itu, aku masih seorang budak Pengakap. Cara pegang, hayun, membelah, memotong, mencantas semuanya tidak tertulis di dalam buku Panduan Pengakap yang aku miliki.

Lapan belas tahun memegang parang untuk bekerja bukanlah satu tempoh yang lama berbanding pekebun mahupun petani tua yang lain. Masa yang diluangkan itu aku gunakan sebaiknya untuk mengenali sebuah ciptaan yang bernama 'parang'.

Disaat tangan aku melecet memegang hulu plastik, aku belajar menggunakan hulu kayu yang lebih serasi dengan kulit. Disaat tertebas tubuh sendiri, aku belajar untuk lebih berhati-hati dengan ruang kerja yang selamat. Disaat mata parangku sumbing dikerjakan orang, aku belajar untuk memilih insan yang dipercayai untuk dipinjamkan.

Parang adalah senjata dan juga alat di badan yang perlu ada bagi seorang malim untuk memudahkan kerja menebas semak dan pembersihan trek yang terhalang oleh pokok atau dahan yang melintang di denai hutan. Apa guna parang terselit dipinggang jika tidak digunakan pada saat khidmatnya diperlukan.

Pemilihan senjata atau sesuatu alatan tajam hendaklah bersesuaian dengan penggunaan. Maka lahirlah pelbagai jenis parang yang berlainan saiz ketebalan, bentuk mata, panjang serta pelbagai kekuatan besi. Jika untuk membuat kerja-kerja mencantas, aku lebih selesa untuk membawa sebilah parang 'kebun' yang mempunyai ketebalan bilah 4-5mm. Kalau untuk kegunaan lasak, sudah memadai memakai parang tempa sepuhan minyak yang diperbuat daripada besi SUP9A seperti parang buatan Bidor.

Panjang bilah juga memainkan peranan penting dalam memberikan prestasi yang terbaik ketika bekerja dan mengurangkan risiko kecederaan pada anggota badan sendiri terutamanya tangan. Panjang bilah parang yang sesuai adalah sekitar 10-12 inci. Aku lebih selesa untuk mengukur parang berdasarkan ukuran lengan sendiri.

Tahap ketajaman parang bergantung kepada 2 perkara iaitu grit batu asah yang digunakan dan juga darjah ketirusan mata parang. Bahasa mudah faham, kalau nak mencapai tahap ketajaman memotong kertas boleh lah mengasah parang tersebut sehingga mata menjadi tirus (bentuk V). Kalau nak buat kerja lasak pula, asah bentuk A pun sudah memadai. Mata parang tak cepat sumbing. Lebih-lebih lagi bila dipinjamkan kepada orang yang kurang kemahirannya.

Setakat pengetahuan aku, terdapat 2 jenis hulu parang. Pertama, hulu jenis tanam (tak kisah daripada kayu atau plastik) dan yang ke dua dipanggil sebagai hulu kapit. Bilah parang hulu tanam ni mempunyai bahagian yang dipanggil sebagai puting. Bahagian ini dicucuk pada hulu kayu atau plastik. Manakala hulu kapit pula memerlukan bilah penuh (full-tang) dan bahagian pemegangnya dikapit dengan kayu di sebelah kiri dan kanan.

Aku lebih gemar menggunakan parang hulu tanam berbanding kapit kerana hulu tanam ni ada daya serapan hentakan. Cuma kelemahan hulu tanam ni ianya mudah patah dan tercabut. Namun ianya bergantung juga pada cara penggunaan dan pemasangan hulu itu sendiri.

Tidak semua parang berjenama yang mempunyai nilai harga ratusan-ribuan ringgit itu bagus. Nilai harga parang terletak pada kesenian tukang itu sendiri. Biasanya parang yang dijadikan koleksi nilainya memang tinggi. Ada yang puas memiliki sekadar untuk dijadikan hiasan di pinggang ataupun hanya dikeluarkan ketika upacara penyembelihan dan melapah daging sahaja.

Bagi aku, parang dalam pendakian gunung merupakan satu keperluan bukan kewajipan. Aku pernah melihat Poncho menggunakan pisau Mora sahaja ketika menebas di dalam hutan. Meskipun bilah pendek mempunyai kemampuan yang terhad. Namun hasilnya tetap berjaya dan bergaya. Tapi awas, jangan diamalkan tanpa ilmu penuh didada.

Pesan aku pada pendaki. Parang merupakan pelengkap diri. Pastikan sekurang-kurangnya seorang dalam kumpulan anda memiliki sebilah parang sebagai persediaan berhadapan dengan rintangan dan halangan di sepanjang perjalanan di dalam hutan.