Chereads / Catatan Malim Gunung / Chapter 10 - Konservasi

Chapter 10 - Konservasi

Aku perhatikan hampir semua guru-guru yang mengajar ilmu alam itu menghisap rokok. Bezanya mereka semua membawa bekas kecil di dalam kocek masing-masing. Menarik. Sifat ingin tahu aku membuak-buak untuk melihat fungsi bekas kecil tersebut.

"Ohh.. bekas untuk simpan puntung rokok!"

Kagum! Tiada satu pun antara mereka yang menjentik puntung rokok merata-rata. Disini aku dapat lihat satu usaha kecil yang murni. Meskipun amalan merokok merupakan satu tabiat yang tidak sihat, mereka tetap berusaha agar tidak menjadi penyumbang kepada pencemaran alam ketika menjalani aktiviti rekreasi.

Itulah saat dimana hati aku terusik untuk meneruskan perjuangan dalam usaha mengurangkan pencemaran dan mengekalkan kelestarian alam. Guru seperti inilah yang aku cari. Guru yang boleh menjadi contoh kepada muridnya.

"Aku naik gunung untuk nikmati keindahan alam semulajadi ciptaan Tuhan"

Alangkah malunya aku bila terkenang kembali perlakuan sendiri sebelum ini ketika mendaki dan berkhemah dalam hutan. Mulut manis berkata bak seorang sufi tapi perlakuan adalah sebaliknya. Cakap tak serupa bikin. Ludah ke langit jatuh ke muka sendiri.

Makan coklat plastik selit celah pokok, ada juga yang disumbat dalam lumut. Sisa makanan dibiar tak ditanam. Botol kosong disangkut pada tunggul pokok konon jadi penanda jalan. Paling epik, tin besi dicampak ke dalam unggun dengan harapan melebur dan kembali kepada tanah.

Bagi membalas kembali perbuatan jahil yang lampau, aku bersama Harikrishna Batunipah mengilhamkan kempen konservasi rentis gunung. Kami namakan sebagai ADaM Project. Singkatan kepada Adopt a Mountain. Semak mata memandang sampah yang ditinggalkan pengunjung di sepanjang trek.

Projek pertama kami bermula di Gunung Yong Belar. Platform yang kami gunakan adalah laman sesawang GunungOnline. Bagi merelisasikan projek ini, kami memerlukan barisan peserta yang padu dan mampu untuk menjalankan misi membawa keluar longgokan sampah di Kem Tudung Periuk dan Kem Kasut. Seruan kempen berjaya disahut oleh sahabat-sahabat gunung.

Masih terbayang lagi memori ketika kami berkumpul di Empangan Blue Valley dalam keadaan cuaca hujan lebat. Hamparan bumbung dibuka dan mukadimah dimulakan. Masing-masing fokus mendengar arahan. Ada yang duduk bersila, bersimpuh dan ada juga yang mencangkung dengan tangan menongkat dagu. Tidak lupa kepada saudara Mamak yang berjiwa kental. Tetap berkhidmat walaupun keadaan kesihatannya yang tak mengizinkan pada waktu tersebut.

Projek pertama yang memakan masa selama 3 hari 2 malam ini akhirnya dilaksanakan dengan jayanya. Susulan dengan itu, beberapa projek konservasi di tempat yang lain turut berjaya mendapat perhatian dan sokongan sahabat-sahabat gunung yang lain.

Walau bagaimanapun, usaha ini terbatas untuk beberapa tahun sahaja. Tujuan utama kami adalah untuk membuka mata pihak-pihak yang terlibat agar turut sama menguruskan projek-projek konservasi dengan lebih meluas. Namun sambutan terhadap perlaksanaan projek konservasi agak kurang. Mungkin disebabkan tahap kesedaran terhadap mengekalkan dan pemulihan alam semulajadi masih di tahap rendah.

Selain itu juga, pihak berkuasa yang terlibat juga tidak memberi penekanan yang berat terhadap kawalan kebersihan ketika menjalani aktiviti di dalam kawasan hutan terutamanya Hutan Simpan Kekal.

Sedikit hampa tapi berbangga kerana aku berjaya mendidik diri sendiri menjadi seorang pendaki yang mempunyai kesedaran terhadap isu pemeliharaan dan pemuliharaan alam semulajadi. Terima kasih kepada para sahabat yang prihatin.