"Abang Am, mintak tolong! Wani pengsan."
"Apa dah jadi? Tengah tunggu powil datang ni ada pulak yang pengsan."
Aku bergegas naik kembali ke Empangan Blue Valley, tempat mereka membersihkan diri untuk meninjau keadaan. Setibanya disana, aku melihat sekujur tubuh terbaring ditemani dua orang peserta lain.
"Bawa dia ke tempat tunggu powil!"
Aku dan Idham memulakan langkah pertama kami dengan memegang ibu jari kaki Wani. Lantas beliau menggelupur mengerang kesakitan. Rupa-rupanya Wani dah kena sampuk dek penunggu hutan. Maka segala doa dibaca dan petua-petua asas diamalkan. Namun cubaan mengubati Wani gagal dek ketirisan ilmu di dada.
Sementara menunggu kenderaan sampai, aku mengarahkan beberapa orang rakan perempuan untuk memegang Wani supaya beliau tidak melarikan diri.
"Pegang kuat-kuat. Kena yakin jangan takut-takut!", teriak aku.
Petua lain nak belenggu orang kena sampuk ni kena pegang dengan yakin. Jangan ada sedikit rasa takut. Kalau tidak, akan terbatal segala kekuatan kudrat yang ada. Meskipun memeluk sekujur tubuh yang kecil.
Setibanya kenderaan yang dipandu oleh Uncle Kanda, kumpulan kami bergegas keluar daripada kawasan tersebut. Seperti biasa semua haversack dan peserta berhimpit memenuhkan ruangan belakang Land Rover biru tersebut.
Tidak yakin dengan kemampuan rakan perempuan lain yang rata-ratanya masih muda. Aku mengambil tanggungjawab untuk menjaga Wani di kokpit hadapan kenderaan. Wani ditempatkan di kerusi tengah, dihimpit oleh aku dan Uncle Kanda. Kedua-dua belah tangan beliau aku pegang dengan erat.
"Jaga dia elok-elok jangan kasi kacau saya tengah drive", pesan Uncle Kanda.
"Uncle, kita terus pergi ke Masjid Kayangan.", kata aku.
Dalam perjalanan keluar tersebut, Wani tidak henti-henti meraung untuk dilepaskan dan merayu untuk berpatah balik ke kawasan Empangan Blue Valley. Sekali sekala aku dapat melihat matanya melirik tajam ke cermin pandang sisi sebelah aku.
"Sakitlah!"
"Lepaskan tangan aku."
"Nenek nak bagi makan ayam."
Desak Wani untuk dilepaskan.
"Pandang apa kat luar tu?"
"Mana Nenek Kebayan? Tak nampak pun?"
Kalau nak ingat kembali, perbualan dan pertelingkah kami sebiji macam cerita drama. Aku cuba sedaya upaya untuk memahami situasi tersebut dengan melontarkan pelbagai soalan kepada Wani dan menjanjikan perkara-perkara dusta untuk mententeramkan keadaan beliau.
"Ok. Abang janji lepas keluar beli ayam kita masuk balik jumpa Nenek."
Menjanjikan ayam goreng KFC dan hantar kembali ke dalam hutan? Memang mustahil lah untuk aku tunaikan. Namun ayat 'last resort' aku untuk tenangkan Wani akhirnya mendatangkan hasil. Tampak dia lebih tenang dan pengunci tangan sudah boleh dilepaskan.
"Bila la nak sampai ni?", hati aku berkata.
Perjalanan ke pekan Brinchang terasa jauh sangat. Bukan apa, aku risaukan Wani ni tarik handbrake atau gigit Uncle Kanda je. Banyak nyawa lagi kat belakang tu nak kena jaga. Terbabas ke gaung memang bukan pilihan terbaik pada waktu dan ketika ini.
Setibanya di hadapan Balai Bomba Brinchang. Aku memapah turun Wani daripada kenderaan dan berjalan menuju ke masjid. Maka adengan drama sinetron kembali bermula.
"Kau nak bawa aku kemana ni?", jerit Wani.
Wani mula menggelepar di tengah-tengah jalan raya pekan Brinchang yang sibuk itu. Payah juga nak paksa dan tarik beliau untuk masuk ke perkarangan masjid.
"Ada apa ni dik?"
Datang seorang hamba Allah daripada arah Balai Bomba bertanyakan keadaan.
"Ada yang merasuki perempuan ni. Boleh saya cuba bantu apa yang patut?"
Setelah perawat asing tersebut menepuk belakang badan, Wani terus rebah dan percakapan beliau kembali menjadi normal. Namun, ianya hanya untuk seketika waktu sahaja. Wani kembali menggelupur meminta untuk dilepaskan.
"Kenapa kau bawa aku kesini?"
"Aku nak balik!", jerit Wani.
"Tadi dah tarik keluar sekor. Masuk yang lain pulak kot?", kata perawat asing.
"Beri dia minum air bacaan ni."
Aku ambil air jampi ayat Kursi tersebut daripada perawat asing sebelum beliau meminta diri untuk beredar. Misi seterusnya adalah untuk memberikan air tersebut kepada Wani untuk diminum.
"Minum air dulu. Daripada tadi dok membebel tak haus ke?"
Botol air mineral 1.5L yang disuakan dicapai Wani dengan senyuman. Lalu dituangkan kesemua air tersebut ke tanah.
"Jangan nak tipu aku. Air apa kau bagi ni?", sindir Wani.
"Abang Am mana? Tu mesti tengah cari bomoh tu!!"
Semua orang jadi bengang. Macam mana dia tahu air tersebut dijampi dengan ayat Kursi? Kejadian yang sama turut berlaku apabila aku cuba untuk mencari nama penuh beliau berbintikan ibunya melalui telefon. Wani memekik dan menyindir perbuatan yang aku cuba lakukan diluar pandangan beliau itu.
"Tak boleh jadi ni. Bawak Wani masuk dalam masjid. Abang cari ikhtiar lain.", tegas aku.
"Assalamualaikum Pak Imam. Kawan saya ni ada masalah. Kami baru pulang dari mendaki gunung. Ada sesiapa disini boleh bantu?", tanya aku.
Pak Imam menyuruh aku untuk mencari seseorang yang tinggal berdekatan dengan kawasan masjid tersebut.
Sementara itu, Wani di bawa masuk ke dalam masjid dan tubuhnya dibaringkan di bahagian saf belakang. Tangan dan kaki Wani dipegang erat oleh rakan-rakan perempuan lain.
"Abang tipu. Kata nak hantar balik."
Bahagian ni aku memang nak tergelak. Jin pun boleh kena tipu dengan manusia.
Setelah perawat tiba, kami diarahkan untuk menukar posisi tubuh Wani secara duduk kaki melunjur. Maka bermulalah proses rundingan antara manusia dan jin. Aku perhatikan perawat tersebut mengeluarkan sebatang kayu kecil yang lurus seperti pensil dan diselitkan di celah ibu jari kaki Wani.
"Kenapa kau masuk dalam tubuh budak ni?"
"Siapa nama kau?"
"Dari mana asal kau?"
"Kau jin islam atau kafir?"
"Boleh mengucap?"
Pelbagai soalan diajukan pada Wani. Ada kalanya beliau memusingkan batang kayu tersebut, menjerit melolong Wani dibuatnya.
"Kau nak keluar ke taknak? Kejap lagi masuk azan Maghrib lagi teruk kau kena nanti!", tegas perawat kepada jin yang merasuki Wani.
Akhirnya setelah hampir 30 minit, jin tersebut bersetuju untuk meninggalkan tubuh Wani.
Setelah lafaz dua kalimah syahadah diucap, perawat tersebut menepuk belakang badan Wani. Syukur perkara ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik dan mudah.
"Benda ni bagitau korang ada buat benda-benda tak elok dalam hutan tu.", kata perawat tersebut.
Aku terkedu sekejap. Mengikut pemerhatian aku, budak-budak kelab SRC ni secara zahirnya peribadi mereka baik-baik belaka. Solat berjemaah tak pernah tinggal termasuk ketika berada di Kem Gurkha yang menjadi bualan mistik para pendaki. Segala etika pendakian gunung pun telah diterapkan dan menjadi amalan mereka.
"Nenek Kebayan yang dikatakan tu takda pun kat sini. Dia dalam hutan sana. Mana berani turun sini."
"Yang masuk banyak ni cucu-cicit je ni."
Mendengar penjelasan beliau, tak terbayang aku kalau yang merasuki Wani tu Nenek Kebayan. Mungkinkah akan berlaku pertarungan yang lebih sengit? Wallahualam.
"Berapa upahnya nak bagi ni Pak Imam?", tanya aku.
"Pergi cari duit syiling bernilai 'sekian-sekian' dan jarum peniti sebagai pengeras. Itu sahaja.", beritahu Pak Imam.
Jarum peniti boleh lagi mintak dengan kaum hawa. Tapi nak cari duit 5 sen memang kena meronda ke kedai runcit. Nasib baik lah pengerasnya tidak membebankan.
Sejurus selesai, kami menuju ke Balai Polis Brinchang. Bukan untuk melaporkan insiden tersebut. Tapi untuk menginap di asrama sewa mereka.
"Korang jaga Wani yer malam ni? Gilir-gilir sentry. Jangan semua tidur. Kalau hilang tak pasal panjang cerita.", pesan aku.
Pesan aku kepada rakan-rakan yang lain. Sentiasa berwaspada walau dimana jua anda berada. Setiap kejadian yang berlaku pasti mempunyai alasan dan pembelajaran. Jangan abaikan tanggungjawab anda terhadap diri sendiri dan orang lain.
Hutan rimba, gunung ganang, bukan aku yang punya.