Chereads / Catatan Malim Gunung / Chapter 17 - Jumaat Kalian Diangkat

Chapter 17 - Jumaat Kalian Diangkat

Tanggal 14 Januari 2022. Di pagi Jumaat yang mulia.

Sedang aku berehat seketika selepas melakukan kerja meratakan tanah dalam blok-blok tapak khemah di Kem Kenaboi, aku membelek buat kali terakhir isi kandungan WhatsApp di telefon yang bakal padam pada bila-bila masa sahaja ni.

"Assalamualaikum di maklumkan Abg Husni kita telah pergi meninggalkan kita di hari Jumaat yang mulia ini. Al-Fatihah. Marilah kita berdoa agar semuanya dipermudahkan buat beliau."

Mesej tersebut dihantar oleh saudara Bo ke dalam group PMGNS pada jam 9.15 pagi.

Aku terdiam seketika.

"Prop! Husni dah meninggal?", tanya aku pada Prop yang lebih rapat dengan beliau.

"Ha! Aku lupa nak bagitau korang. Aku dapat mesej pagi tadi. Lupa nak sampaikan. Aku terkejut.", sampuk Abang Nuar.

"Husni? Husni mana?"

Prop balas seperti tidak mengetahui apa-apa.

"Husni! Husni kita lah."

"Kan baru jumpa dua hari lepas dia tengah berkayuh kat Pantai.", tegas aku.

Terus Prop capai telefon menghubungi seorang sahabat lagi. Prop berjalan agak jauh untuk mendapatkan capaian rangkaian yang lebih jelas. Mendapatkan kepastian. Beberapa ketika kemudian beliau kembali kepada kami.

"Betul lah. Apak kata dia rebah masa berlari."

Masing-masing kebingungan. Pelbagai persoalan timbul dalam kepala. Mencari jawapan 'kenapa' terhadap apa yang terjadi kepada seorang sahabat kami ini.

Husni merupakan seorang sahabat kami. Beliau merupakan seorang pendaki yang sangat aktif di Negeri Sembilan. Beliau juga merupakan Timbalan Presiden Persatuan Malim Gunung Negeri Sembilan yang baru sahaja kami tubuhkan pada awal tahun 2021 yang lepas. Perkenalan aku dengan Husni sangat singkat. Namun jalinan persahabatan tersebut terasa sangat erat, sangat rapat. Beliau mempunyai peribadi yang sangat baik, merendah diri dan mudah berkawan.

"Jangan difikir jauh sangat. Semua adalah asbab kematian. Kalau Allah swt nak ambik, walaupun tengah sihat dalam tidur pun boleh meninggal."

Tegas Abang Nuar yang memutuskan persoalan-persoalan yang kami bincangkan daripada tadi.

"Sebagai seorang sahabat, apa yang terbaik yang dapat kita lakukan adalah sedekahkan zikir dan fatihah pada Husni. Dia diangkat pada pagi Jumaat, dalam keadaan yang baik. Kita patut cemburu."

"Sekarang tanya pada kawan-kawan lain ada hutang arwah yang masih belum langsai? Kalau ada mintak tolong halalkan. Kalau tak boleh, kita tolong bayar sikit-sikit sampai habis. Itu baru namanya bersahabat.", tegas Abang Nuar lagi.

Secara automatik, kata-kata tersebut melekat dalam kepala otak aku ini. Pesanan akan tanggungjawab seorang sahabat yang akan aku ingat sampai bila-bila.

Selepas selesai solat Jumaat kami membuat keputusan untuk tidak bekerja pada hari tersebut. Tiada mood. Hari bersedih. Kami memancing sahaja sepanjang petang tersebut. Lewat jam 5.30 petang aku terus pulang ke Seremban.

Sejurus sampai di rumah aku dikejutkan dengan satu khabar berita lagi dari Facebook. Seorang sahabat yang aku kenal iaitu, Joe Zul (nama Facebook) telah meninggal dunia juga. Arwah merupakan kenalan aku yang dahulunya aktif dengan aktiviti pendakian dengan CORE Adventure.

Beliau juga kerap berkongsi maklumat yang beliau peroleh berkaitan dengan alam semulajadi di sepanjang kerja yang dilakukan. Secara jujurnya, dalam diam aku sangat cemburu dengan coretan pengalaman beliau. Namun, itulah nikmat dunia yang dikurniakan kepadanya oleh Allah swt yang perlu kita akur dan banggakan. Perjalanan yang telah ditetapkan untuk setiap umat manusia.

Setakat pengetahuan aku, keadaan kesihatan Joe terjejas selepas melakukan pendakian terakhir beliau ke Gunung Hitam di Selangor. Beliau rebah tidak sedarkan diri dan terlantar di hospital agak lama sebelum dibawa pulang ke kampungnya di Sik, Kedah untuk menjalani rawatan alternatif.

Beliau juga diangkat Allah swt pada hari Jumaat yang mulia. Hari yang sama dengan Husni. Sayu melihat pada gambar keadaan terkini Joe yang dikongsikan oleh rakan pendaki lain di media sosial. Aku hanya mampu berdoa, sedekahkan al-fatihah dan bersyukur kerana penderitaan yang Joe alami telah berakhir.

Setakat ini sahaja yang mampu aku tulis supaya kewujudan mereka berdua dalam hidup aku ini kekal dan menjadi bukti bahawa aku pernah mengenali mereka, sahabat-sahabat yang hebat.

Semoga kalian tenang disana. Syurga tempat mu wahai sahabat.

Al-fatihah.