Chereads / Catatan Malim Gunung / Chapter 14 - Bantu Cemas

Chapter 14 - Bantu Cemas

Insiden pertama berlaku pada bulan Febuari 2009 dimana adik lelaki aku kena patuk Ular Kapak ketika mendaki pada waktu malam di Gunung Datuk, N. Sembilan. Disini merupakan kali pertama aku lakukan teknik 'spiral tourniquet' yang dipelajari ketika kursus Wilderness Medical First Responder di Outward Bound Lumut.

Setelah melakukan balutan, aku perlu memastikan mangsa sentiasa dalam keadaan tenang dan berjalan keluar dengan kadar segera untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital.

Insiden kedua pada bulan April 2012 dimana seorang pendaki perempuan daripada Uitm Kampus JB pengsan disebabkan kepalanya terhempap dahan pokok (minor head concussion) dalam perjalanan menuju ke Kem Lubuk Hantu di Gunung Liang. Disini merupakan kali pertama aku buat assessment untuk head injury atau concussion.

Rakan malim yang bersama aku ketika ini adalah Boiy Nadz. Kami bergilir-gilir pikul mangsa bawa keluar bagi mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tanjung Malim. Ajaibnya setelah mendapatkan rawatan di hospital, mangsa menyambung kembali pendakian dan berjaya menjejakkan kaki sehingga ke puncak.

Aku dapatkan nasihat doktor juga untuk pemantauan lanjut. Manalah tahu kalau ada pendarahan dalaman yang tidak dapat dikesan. Jenuh pulak nak pikul keluar buat kali kedua.

Insiden ketiga pada bulan Febuari 2013 dimana seorang pendaki cedera di bahagian bawah betis akibat terjatuh dan bergesel dengan buluh pecah ketika menuju ke Kem Agas di Gunung Yong Yap. Rakan malim yang bersama aku ketika itu adalah Arwah Nabil. Masih terngiang dalam ingatan aku akan teriakan beliau memanggil bantuan.

Disini merupakan kali pertama aku buat 'compress dressing' untuk 'Deep Cut/Wound' yang melibatkan potongan kulit sehingga 2 lapisan otot. Keadaan luka dah terbuka macam kena sembelih. Dua keping sanitary pad aku lapik sebelum balut luka tersebut.

Proses evakusi pertama adalah dengan memikul mangsa menggunakan improvised stretcher. Namun disebabkan keadaan denai yang tidak rata, sempit dan banyak lintasan sungai melambatkan lagi perjalanan keluar. Mangsa ditenangkan bagi mengelakkan 'shock' dan aku berjaya meyakinkan beliau untuk berjalan sendiri dengan bantuan tongkat dan dipapah secara bergilir-gilir. Berat mangsa pada waktu itu lebih daripada 80kg.

Insiden keempat pada bulan Januari 2018 dimana seorang pendaki maut akibat laluan runtuh dan jatuh ke gaung ketika mendaki Gunung Nuang. Aku menyertai pasukan sukarelawan gunung untuk membantu membawa keluar jenazah.

Aku melibatkan diri pun setelah melihat situasi mengeluarkan jenazah memakan masa yang sangat lama. Mungkin disebabkan tidak cukup kaki tangan yang membantu. Saat itu juga aku rasa sangat bertuah sebab dapat membantu koordinasi dua pihak iaitu BOMBA dan JPAM dalam menyalurkan maklumat pergerakan ke CP Rescue yang berada di kaki gunung.

Tidak kurang juga perasaan kagum dan juga hormat aku kepada sahabat-sahabat gunung yang sangat humble. Selesai sahaja jenazah dibawa ke pintu Pangsun, semua hilang seperti angin. Itulah tugas kami, fardu Kifayah.

Insiden kelima pada bulan Ogos 2019 dimana seorang pendaki meninggal dunia ketika mendaki Gunung Yong Belar akibat daripada serangan jantung. Disini merupakan kali pertama aku melakukan CPR terhadap tubuh manusia. Sebelum ni berlatih cium patung sahaja.

Proses evakuasi yang sangat mencabar dan pengalaman yang dapat aku pelajari adalah keperitan mengusung jenazah menggunakan 'improvised stretcher' di laluan sempit dan bercerun. Dengan berbekalkan kekuatan seramai 5 orang, jarak yang mampu kami tempuhi pada waktu tersebut adalah sejauh 150 meter sahaja.

Rakan malim yang turut sama membantu ialah Jinggo dan Mat Kassim. Meskipun mangsa adalah daripada kumpulan yang lain, namun sudah menjadi tugas kami untuk membantu sesiapa pun yang berada dalam keadaan kecemasan di gunung.

Insiden keenam pula berlaku pada bulan Febuari 2019 dimana salah seorang malim yang bertugas di lapangan terbelah tapak tangan sepanjang 7cm. Kejadian berlaku ketika melakukan kerja-kerja pemasangan kamera di Batu Caves. Beliau tergelincir ketika mendaki tebing di kawasan struktur batuan yang tajam.

Masa tu kelengkapan bandage dan gauze pun sangat terhad. Dengan bantuan Alif, luka tersebut dibasuh dengan bekalan air minuman yang dibawa. Teknik 'direct compression' digunakan dan tapak tangan dibalut dengan cermat menggunakan bandage.

Disebabkan keadaan denai yang mencabar dan waktu yang kian lewat, mangsa mengambil keputusan untuk tidur semalaman di kawasan permatang. Keesokan harinya kami berjaya keluar dengan selamat. Padan muka, siapa suruh tak pakai sarung tangan ketika mendaki bukit batu kapur.

Semoga diberi kekuatan untuk menempuhi cabaran sebagai Malim Gunung pada masa akan datang. Ujian datang dalam pelbagai cara, ujian datang untuk mematangkan, ujian datang untuk menguji pengetahuan. Aku masih hijau, dan banyak yang perlu dipelajari lagi.