Apa benda lah yang organizer trip ni merepek? Orang nak naik gunung dia boleh sembang panjang lebar pasal trek lah, keselamatan lah, dan macam-macam perkara lagi. Kaki dah gigil ni. Matahari pun dah naik. Nanti nak dirikan khemah, nak masak, nak mandi, nak rehat, nak pergi puncak, nak selfie, dan bermacam-macam lagi perkara bermain diminda.
Dulu masa aku newbies, aku pun sama je. Tapi bila sudah ada tanggungjawab lain yang lebih besar, baru aku tahu betapa pentingnya bersembang dengan peserta sebelum memulakan pendakian.
Sebagai seorang Malim Gunung, adalah menjadi satu kewajipan untuk mengumpulkan barisan peserta sebelum memulakan aktiviti mendaki. Bahasa Inggeris disebut sebagai 'briefing'. Manakala bahasa Melayu kita sebut sebagai taklimat. Isi kandungan yang nak disampaikan hendaklah ringkas, tepat dan lengkap.
Antara perkara yang biasanya aku akan buat bila berhadapan dengan segerombolan manusia adalah dengan memberi salam. Biasakan diri dengan memberi ucapan salam memulakan mukadimah. Samada nak gunakan Assalamualaikum atau Salam Sejahtera, ucapan salam perlu disesuaikan dengan latar belakang barisan peserta. Perkara nampak remeh sebab membawa maksud yang sama tapi memberikan impak permulaan yang besar.
Kemudian, kau mesti senyum. Ada kawan sering kali memperingati aku bahawa senyum itu sedekah. Tak perlu juga keluarkan duit untuk melemparkan senyuman kerana senyuman itu percuma. Dengan senyuman, tanggapan orang lain terhadap diri anda akan berubah. Senyum juga harus berpada-pada. Jangan sampai orang ingat kau gila sebab senyum bersendirian atau kau buaya kerana kau senyum pada kaum hawa sahaja.
"Anda sekarang berdiri pada ketinggian 60 meter dari aras laut. Selepas ini kita akan mendaki sehingga ke puncak Gunung Ganang yang tingginya 771 meter merujuk kepada maklumat JUPEM."
Beritahu peserta ketinggian semasa dan ketinggian puncak tertinggi agar mereka lebih mengetahui maklumat penting tersebut.
"Keadaan muka bumi pula adalah berbatu, terdapat beberapa kawasan yang sedikit curam untuk didaki dan denai yang bengkang bengkok seperti tiada kesudahan. Tiada pacat pada musim kering, sebaliknya pada musim hujan. Tiada sebarang lintasan sungai sepanjang laluan denai."
Cukup untuk mereka membayangkan cabaran keseluruhan yang mereka perlu tempuhi. Tidak perlu bercerita penuh pada sesi taklimat awal. Simpan sedikit maklumat untuk dijadikan sebagai bahan bualan ketika perjalanan daripada masa ke semasa.
"Saya bukan Superman. Kudrat saya hanyalah seorang manusia biasa. Tiada kemampuan untuk saya menjaga nyawa anda semua."
Terangkan tanggungjawab anda sebagai Jurupandu, kerjasama pihak penganjur dan juga peserta dalam menjayakan program. Sikap prihatin antara satu sama lain juga penting dalam memastikan keselamatan dan kesihatan setiap individu berada dalam lingkungan kawalan.
"Segala sisa bahan yang telah digunakan hendaklah kita bawa keluar bersama dan dibuang di tempat yang sepatutnya."
Tekankan prinsip 'Leave No Trace' dan semangat cintakan alam dengan mematuhi etika-etika serta peraturan ketika berada di kawasan hutan simpan agar ianya difahami oleh semua pihak yang terlibat dalam program tersebut.
"Ada apa-apa soalan yang berkaitan lagi sebelum kita memulakan acara pendakian?"
Sebelum menutup taklimat, beri peluang kepada orang lain untuk menyuarakan sebarang persoalan yang bermain di benak fikiran mereka. Pastikan jawapan yang anda berikan memberi satu kepuasan atau tinggalkan sebagai tanda tanya jika ianya boleh dirujuk daripada masa ke semasa.
Akhir kata, jadilah manusia baik yang penuh dengan kesabaran. Bagi aku, pendaki yang tak pandai nak bersabar adalah pendaki yang tiada kualiti. Pentingkan diri sendiri dan tiada semangat setiakawan.