"Kau ada plastik sampah lebih?"
Antara persediaan penting yang perlu aku pastikan ketika mendaki gunung adalah perlindungan daripada basah hujan. Apa sebenarnya yang aku nak lindungi? Peralatan dan kelengkapan yang ada dalam beg supaya tidak terus basah akibat daripada hujan mahupun terjatuh ke dalam sungai.
Perjalanan kembara aku bermula daripada peringkat paling bawah. Seorang pendaki yang sengkek. Oleh kerana itu aku perlu menggunakan apa yang ada di sekeliling untuk survive. Bahasa orang putihnya, 'improvise'.
Maka dengan itu aku nak memperkenalkan sahabat baik aku tiap kali masuk hutan naik gunung, Plastik Sampah! Kalau kau bawa, kau memang legend. Lebih-lebih lagi kalau jenis yang tebal dan besar.
Siapa kata kawasan pergunungan kita tak sejuk? Suhu 10-30°c adalah normal terutamanya ketika anda berada di kawasan permatang dan puncak gunung. Tiada jaket Goretex atau Wind breaker? Tiada masalah! Jangan risau kerana plastik sampah boleh bertukar menjadi baju yang akan membantu melindungi tubuh anda daripada basah hujan sepenuhnya dan juga kedinginan angin ketika berada di kawasan yang tinggi. Lubangkan sahaja dibahagian pangkal untuk bahagian kepala dan lengan. Selesai satu masalah dunia.
Kenapa plastik sampah? Mudah didapati, murah, praktikal dan pelbagai fungsi.
Selain dijadikan sebagai baju hujan dan wind breaker, plastik sampah juga boleh dijadikan sebagai stuff-sack yang melindungi keseluruhan barang yang anda sumbatkan dalam haversack. Biasanya aku akan simpan sekeping di luar untuk dijadikan sebagai alas duduk, sejadah, bivvy bag, pintu khemah dan juga lapik flysheet yang bocor.
Sesudah selesai mendaki gunakanlah fungsi sebenar plastik sampah tersebut untuk kebaikan sejagat, diisikan dengan sampah untuk dibawa keluar dan dibuang ke dalam tong sampah dengan ucapan terima kasih.
Nikmat apa lagi yang engkau dustakan?
"Kau ada plastik sampah lebih?"
Jangan malu jangan segan untuk membawa atau meminta. Kerana plastik sampah mampu untuk mengurangkan sakit kepala anda!