Chereads / Catatan Malim Gunung / Chapter 9 - Sondol

Chapter 9 - Sondol

Apa pekerjaannya sondol menyondol ni? Kalau dalam kehidupan dunia ni yang menyondol itu binatang apakah yang pertama terlintas dalam fikiran?

"Bila lagi nak pergi sondol?"

Apa ke gila manusia nak pi menyondol. Dah buang tebiat lah tu. Sungguh. Memang buang tebiat. Jalan yang elok dah tersedia dan terpampang depan mata tak mau pulak dia lalu. Nak jugak meredah melunggah semak belukar. Lebih adventure katanya.

Ramai yang teruja nak ikut sama. Sebab rare katanya. Orang jarang pergi atau langsung tak pernah dengar orang pergi. Ramai juga yang sakit hati tak dapat ikut menyondol. Pelik tapi benar. Nak tahu apa itu sondol menyondol dalam dunia pendakian gunung di Malaysia? Mari nak cerita sedikit sebanyak sekadar apa yang aku tahu.

Denai pendakian gunung di Semenanjung ni tak banyak yang diketahui dan dikunjungi orang awam. Yang di sampaikan daripada mulut ke mulut, dikongsi di media sosial itu sahajalah yang disebut-sebut berulang kali. Denai gunung yang bermula dari belakang rumah sendiri pun masih ada yang tak tau kewujudannya. Nampak sangat orang kita ni tak ramai yang suka menjelajah ala-ala Indiana Jones. Orang kita juga kurang ambil tahu perihal yang mereka tidak minat atau tidak mendatangkan hasil pada mereka.

"Trek dah takda ni. Nak pergi mana lepas ni? Sondol je lah."

Sondol dalam pendakian ertinya sudah menyamai dengan kata redah; atau meredah. Kalau dah jiwa menjelajah, tiada denai pun diredahnya. Asalkan jalan yang dipilih selamat dan tak lari daripada destinasi yang hendak ditujui.

Kalau takut didampingi peneman yang tak diundang, jangan menyondol bersendirian. Ajak lah kawan-kawan sekali. Paling utama, orang yang dipercayai dan disenangi. Itulah kunci kepada kejayaan, kepuasan dan kemenangan. Meskipun misi tidak kesampaian, hati tetap tenang bila berada disamping sahabat-sahabat yang senangi.

Pernah suatu ketika kumpulan kami berpecah kepada dua semasa perjalanan turun daripada puncak Gunung Berembun Tenggara. Kumpulan yang tersasar tiada kelengkapan peta, tiada capaian radio mahupun talian telefon. Hanya berbekalkan mercun bola, wisel dan laungan suara sahaja . Diatas kepercayaan terhadap pengalaman dan pengetahuan yang mereka miliki, akhirnya ketemu juga di destinasi yang dirancangkan.

"Lambat sampai. Tengok burung ke?", sindir gurau kami.

Biasanya penamat kepada situasi yang mencemaskan seperti ini akan disusuli dengan gelak ketawa dan gurauan. Itulah yang dinamakan sebagai kepercayaan. 'Tengok burung' itu perkara biasa dan ianya boleh berlaku pada siapa-siapa sahaja.

Nak sertai rombongan sondol kena pandai jaga diri sendiri. Kena sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Perlu tenang, bersedia dan mampu membuat keputusan yang bijak ketika menghadapi dugaan dan cabaran agar tidak menyusahkan orang lain.

"G7 dan habis banyak kali."

"G12 tak cukup modal nak habiskan."

"Gunung Kinabalu dan pergi."

Apabila seseorang itu sudah mencapai satu tahap kecekapan dalam mendaki, mereka akan mencari satu kelainan daripada kebiasaan. Perasaan bosan dengan kebiasaan mendorong seseorang untuk mula berfikir tentang persoalan.

Bagaimana keadaan puncak di sebelah?

Daripada mana susur laluan masuk untuk mendaki gunung tersebut?

Apa yang berada di atas puncak tersebut?

Orang terakhir yang masuk ke laluan tersebut?

Ada air terjun yang cantik ke di sebelah atas?

Berapa banyak berup dibina di Malaysia?

Mana lagi gunung belum dibuka?

Apabila terdapat kemahuan, disitu pasti ada jalan. Maklumat penting akan dikumpulkan terlebih dahulu sebelum melakukan penjelajahan baru. Kaji selidik laluan masuk, bersembang dengan orang setempat, bertanya pada pendaki-pendaki yang lebih berpengalaman, akses terdekat, sumber air, anggaran tempoh perjalanan dan juga proses kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan. Proses ini agak memakan masa dan memerlukan kesabaran.

Tidak perlu terburu-buru untuk mencapai sesuatu tahap dalam mendaki gunung. Jangan terlampau mengejar populariti, terpengaruh dengan budaya menunjuk di laman sosial. Jika ditakdirkan anda mencapai ketegaran tersebut, ingatlah akan pesan aku ini. Jangan sondol seperti babi. Menunduk tak melihat membuta tuli. Silap haribulan nahas menanti.

"Lepas sondol nak buat apa pulak?"