Chereads / Catatan Malim Gunung / Chapter 8 - Pakai Sampai Masam

Chapter 8 - Pakai Sampai Masam

"Berapa banyak baju nak bawa ni?"

Perkara ni pun perlu diajar ke? Perlu! Kalau tidak sudah pasti bilangan pakaian dan jenis pakaian tidak wujud dalam senarai peralatan peribadi yang diberikan oleh penganjur trip mendaki gunung kepada barisan peserta mereka. Semoga semua penganjur memastikan peserta mereka berada dalam keadaan bersedia sebelum aktiviti dimulakan.

Sudah menjadi kebiasaan dalam hidup aku memakai pakaian yang sama ketika mendaki gunung sehinggalah baju atau seluar tersebut koyak. Bila dah tahap rabak baru ada akal nak beli yang baru. Inilah pakaian yang ramai pendaki sebut sebagai 'Uniform Trekking'.

Biasanya aku akan mengasingkan kepada 3 jenis pakaian yang perlu di bawa ketika mendaki gunung secara bermalam. Pertama, pakaian mendaki iaitu set pakaian yang digunakan ketika berjalan. Kedua, pakaian tidur yang ditukar sejurus tiba di tapak perkhemahan. Ketiga, pakaian tambahan yang biasanya digunakan setelah selesai pendakian dan ditukar untuk perjalanan pulang. Pakaian tambahan juga hendaklah sesuai digunakan sebagai pengganti kepada pakaian mendaki.

"Tukar uniform", panjang laungannya.

Rindu untuk aku dengari laungan panjang di hening pagi pada setiap hari ketika mendaki gunung yang lama tempohnya. Tukar uniform bermaksud bersedia untuk meneruskan perjalanan dengan menukar pakaian tidur kepada pakaian mendaki masing-masing.

Seorang pendaki itu perlu cepat membiasakan diri dengan rutin harian pengembaraan mereka. Jika ditakdirkan laluan tersebut mempunyai banyak lintasan sungai, mereka perlu bersedia dengan situasi basah pada setiap masa. Jika ditakdirkan hujan setiap hari, mereka perlu kebal untuk memakai pakaian basah pada setiap pagi.

"Apa bau masam ni? Macam tungkik pun ada"

Kalau sistem deria orang lain dah mula mengesan bau-bauan pelik seperti pertanyaan diatas, jangan terus panik. Anggap soalan tersebut datangnya daripada pakaian orang itu sendiri. Berkemungkinan dia sedang mengambil langkah awal untuk mengelak daripada dikesan oleh orang lain terlebih dahulu.

Ada teknik nak memastikan pakaian anda kurang berbau untuk dipakai pada esok harinya. Jangan lepaskan peluang untuk berendam atau membasahkan diri anda bila jumpa sungai ketika dalam perjalanan. Bersyukur jika tapak perkhemahan ada sumber air yang banyak. Jangan lupa juga untuk membilas baju agar peluh dan kotoran yang melekat dapat dibersihkan meskipun sedikit.

"Tak mati kalau tak tukar pakaian. Tapi boleh mati kalau pikul banyak pakaian."

Lebih-lebih lagi kalau berdepan dengan hujan setiap hari sehingga basah lencun tak dapat nak dielakkan. Nak keringkan tiada matahari, nak bakar tak menyala api, nak buang kena kecam. Nak jadi pendaki sejati kan?

"Bau kau, aku dan dia semua sama. Masam!"