Teknik 1 - Menetapkan Sasaran.
"Sejam lagi baru kita rehat!", kata malim.
Sasaran adalah penting dalam mengekalkan kesihatan mental disepanjang perjalanan. Meletakkan sasaran tertentu atau harapan banyak membantu seseorang untuk meneruskan satu perjalanan yang panjang. Sasaran boleh terjadi dalam pelbagai bentuk dan cara. Antara contoh yang pernah aku lakukan adalah seperti menetapkan masa atau tempoh berjalan sebelum berhenti rehat. Antara tempoh yang biasa dijadikan sasaran adalah daripada 5 minit, 30 minit, 1 jam sehingga 2 jam masa berjalan.
"Selepas melepasi pokok besar tu sampailah puncak gunung", berkata dalam hati.
Jika aku sedang menghadapi situasi mendaki yang tiada penghujung pula, aku akan meletakkan sasaran objek di hadapan sebelum berhenti rehat. Ada juga sesetengah pendaki meletakkan harapan sebagai pemangkin semangat. Tidak dinafikan, dengan meletakkan sasaran sedikit sebanyak dapat memujuk hati ketika berhadapan dengan trek yang memacak.
Teknik 2 - Kosongkan Fikiran
Pernah suatu ketika, dikala berhadapan dengan denai mendaki yang membosankan. Ketika fikiran aku mula koyak dengan ritma langkah perlahan yang terlampau panjang. Ketika berat beban mula terasa dibahu, langkah barai longlai gemalai. Aku berhenti seketika dan menarik nafas panjang disusuli dengan hembusan perlahan.
Antara tempat menguji kesabaran yang masih aku ingat adalah ketika mendaki ke puncak Gunung Semeru daripada Kem Arcopodo. Bayangkan anda berpijak pada tanah pasir berbatu yang peroi. Setiap satu langkah maju perlu dibayar dengan setengah langkah mundur. Anda perlu berhadapan dengan situasi ini sehingga tiba ke puncak tertinggi.
Saat ini aku cuba untuk kosongkan fikiran. Fokus aku hanya pada denai gunung. Aku cuba elakkan permainan teka-teki 'bila nak sampai'. Desakan jiwa yang sering kali menjadi musuh utama diri sendiri dalam mengekalkan momentum perjalanan akhirnya berada dalam kawalan. Sejurus itu barulah aku dapat mengembalikan momentum perjalanan sehingga ke garisan penamat.
Pembelajaran yang dapat aku kongsikan disini, jika anda berjaya mengawal desakan jiwa maka semakin mudahlah untuk anda mengharungi dugaan yang melanda. Percayalah, untuk mempraktikkan teknik kosongkan fikiran ini tidak semudah yang kita sangka.
Teknik 3 - Jalan Berpasangan
Berdua lebih baik daripada berseorangan. Banyak perkara baik boleh berlaku jika anda mendaki dengan berteman berbanding berseorangan. Sepanjang tempoh aku mendaki gunung, antara kebaikan yang aku suka apabila berjalan berpasangan ini adalah teman untuk berborak. Jenis aku kalau dah jumpa dengan teman berborak yang sesuai dan boleh berbual mengenai pelbagai perkara sambil berjalan adakah satu bonus.
"Eh? Dah sampai!"
Biasanya bila rancak berborak, masa yang berlalu dirasakan seperti sekejap. Umpama masuk ke dalam mesin masa. Kadang kala sehingga terlupa dengan rakan-rakan lain yang jauh tertinggal di belakang.
"Jalan jer jangan berhenti depan tu sikit lagi nak sampai."
Selain itu, pasangan anda juga berupaya untuk menjadi seorang pusher agar anda tidak kerap berhenti atau berlengah melayan desakan jiwa yang memberontak. Jangan terkejut juga jika pasangan atau teman anda mungkin berupaya untuk menjadi pakar motivasi pada waktu-waktu mental anda berada pada tahap kecemasan.