Padu, Ultra dan Siput.
"Padu siot!"
Ayat ni biasa kedengaran keluar daripada mulut pendaki yang berselisih dengan individu lain yang berjalan dengan langkah yang panjang, laju atau tergesa-gesa. Perkataan 'padu' ini biasanya diutarakan kepada seseorang (atau kumpulan) yang dikenali berdasarkan pengalaman mereka atau sekadar melalui penilaian luaran. Meskipun cara pendakian setiap individu itu berlainan berasaskan kemampuan fizikal, tujuan dan keadaan. Tanggapan seperti ini secara tidak langsung telah mewujudkan satu jurang dan kelompok di antara pendaki itu sendiri.
"Dia budak ultra boleh la."
Perkataan 'ultra' dikalangan pendaki ini mula wujud semenjak aktiviti larian jarak jauh menjadi popular. Bagi diri aku juga, bila terserempak dengan pendaki-pendaki di denai yang hanya pakai vest ultralight seperti seorang pelari secara tidak langsung akan membayangkan juga bahawa mereka adalah pelari ultra. Jangan fikir bahawa prasangka aku ini merupakan sesuatu yang negatif. Prasangka ini wujud pada waktu dan ketika praktis pendakian conventional di denai telah berkongsi dengan praktis oleh pelari-pelari yang sedang melakukan latihan larian di denai.
"Kita siput je mana padu."
Semua orang tahu. Jika nak dibandingkan antara arnab dan kura-kura, pasti siput adalah binatang yang paling perlahan. Maka, istilah siput dalam dunia mendaki gunung lebih popular digunakan berbanding kura-kura. Tetapi, jangan pula kita sangka individu siput ini tidak 'padu'. Berfikirlah dengan lebih positif, mungkin ayat diatas hanya digunakan untuk berseloroh dikalangan pendaki. Percayalah bahawa orang kita adalah orang yang bersopan dan kaya dengan tatasusila.
Positif Menenangkan Fikiran!
Orang yang sentiasa memikirkan perkara yang baik-baik disekelilingnya akan lebih tenang dalam menempuh cabaran dan dugaan pendakian.
Bila direnung kembali, alasan kita masuk ke hutan dan mendaki adalah untuk mendapatkan ketenangan dan kedamaian sambil melakukan aktiviti yang sihat. Pandangan mata menjadi lebih segar dikelilingi kehijauan hutan. Bernafas di udara yang bersih dan memperoleh ketenangan tatkala mendengar deruan air sungai yang mengasyikkan.
Oleh yang demikian, jangan biarkan ketenangan yang kita cari ini dicemari dengan penilaian negatif kita terhadap orang lain disekeliling yang berkongsi kawasan riadah awam ini. Percaya bahawa setiap orang mempunyai cara yang berbeza untuk menikmati aktiviti ini dengan cara mereka yang tersendiri.
Fokus pada matlamat yang ingin dicapai. Sentiasa mengamalkan perkara-perkara yang baik untuk diri dan alam itu sendiri. Bersedia dengan sebarang kemungkinan dan bertindak mengikut keperluan. Pengalaman dan pengetahuan setiap orang adalah berbeza dan hakikat itulah yang sebenarnya mewarnai dunia pendakian bermasyarakat.