Chereads / Mahou Shoujo Primula (Malay) / Chapter 14 - Bab 4.1 – Memang benar, komedi cinta sekolah tinggiku tidaklah seindah yang disangka-sangka...

Chapter 14 - Bab 4.1 – Memang benar, komedi cinta sekolah tinggiku tidaklah seindah yang disangka-sangka...

Bahagian I

"Kanade-neesan.... Saya sayang akan awak..." Budak lelaki comel itu memeluk manja diri saya. Budak lelaki itu merupakan kenalan saya dari zaman kecil yang berumur setahun muda daripada saya. Dia memang comel dan aktif... Saya membalas pelukan itu, namun mengeluh.

"Yacchan, kamu tidak pernah berkata sedemikian ketika kamu seusia ini. Kamu ini hanyalah mainan mimpi sahaja. Tetapi...." Saya memeluk lebih erat lagi si kanak-kanak itu. Dia membalas pelukan dan wajah saya dan dia, bertentangan hampir. Mata si cilik comel itu bagai bersinar-sinar, terlalu manja dan membuatkan saya terlalu bahagia kini.

"Nee-san...." Suara manjanya membuatkan saya rasa ceria sangat. Tanpa membuang masa, saya mengucup dahinya. Saya juga memeluknya lebih erat lagi lalu berpusing-pusing dan....

"Aduh..." Rasa kesakitan menjelma, kerana saya kini di lantai terjatuh dari katil. Saya bangun lalu melihat jam loceng yang mula berdering. Oh, ya. Nama saya Tsukakushi Kanade. Mimpi yang memalukan tadi itu ialah mimpi saya dan Yami, yang ketika itu berusia 8 tahun. Kami pernah belajar di sekolah rendah yang sama. Ketika saya tahun dua, saya bertemu dengan Yami, atau nama panggilnya Yacchan ketika pulang dari sekolah membantu saya lalu bermulalah perkenalan kami berdua.

Yacchan ketika itu sangat periang. Dia punya ibu yang cantik. Aku agak jelik melihat kemanjaannya bersama ibunya, Kurosaki Hikari. Si anak ibu, gelaran yang sering disindir kepada Yacchan oleh kawan-kawannya. Sekalipun begitu, dia tidak marah sebaliknya tersenyum riang dan bersahaja. Berdasarkan khabar angin yang saya dengar, ayah Yacchan genius dan terkenal, namun tidak pernah sekali pun saya berjumpa dengan si ayah itu. Bapak borek, anak rintik, Yami juga merupakan murid genius yang terlalu jarang, bak kata orang, hanya satu dalam ribuan orang. Malah, dengar cerita, Yami pernah beberapa kali ditawarkan untuk belajar di luar negara tetapi menolaknya kerana enggan berpisah daripada bonda tersayang.

Yami tidaklah aktif seperti budak-budak lain. Jarang-jangan untuk melihat dia menunjukkan bakat atletnya sebagaimana kini dia di sekolah tinggi sekarang. Jangan terkejut, Yami mula bermain bola sepak pada akhir tahun sekolah rendahnya dan terus menjadi bintang dan ayam tambatan pasukannya walaupun selama ini tidak langsung pernah menendang bola sepak semasa zaman kecilnya. Tambah menariknya cerita, pasukan sekolah rendah kami telah berjaya menjuarai peringkat kebangsaan setelah penglibatan Yami bermain buat kali pertama dalam hidupnya, walaupun selama ini sekolah kami tidak pernah layak langsung dalam peringkat daerah, apatah lagi peringkat kebangsaan. Malang sekali, saya sudah meneruskan pengajian ke sekolah menengah semasa keajaiban itu terjadi, maka tidak dapatlah saya melihat dengan mata sendiri.

Saya yang pada mulanya beranggapan Yami hanya seorang lelaki yang lemah dan pengecut, tetapi sebenarnya realitinya tidak. Dia banyak kali membantu saya dalam kesusahan. Paling saya teringat, apabila dia pertama kali bersua dengan saya, dia telah membantu saya mencari cincin saya, yang diberikan oleh bapa saya. Cincin itu, biarpun hanya 100 yen, tetapi mempunyai nilai sentimental tersendiri.

"Awak cari apa?" Suara Yacchan, 9 tahun ketika itu, dan saya ketika itu berusia 10 tahun.

"Sob.. sob... (menangis) Saya mencari cincin saya yang hilang. Cincin itu pemberian ayah saya.

"Hmmm...." Yacchan tidak berkata apa-apa, lalu menuju ke arah sarang burung gagak berhampiran.

"Awak pasti awak sudah mencari sekeliling kawasan ini?" Kata Yami, ibarat detektif, menuding jari ke arah saya.

"Sob... sob... (mengelap air mata) Ya...." Jawab saya, masih teresak-esak.

"Hmmmm... Misterikah?" Dia berfikir sejenak. Kemudian, Yami pun menutup matanya, lalu berkata.

"Jawapannya hanya ada satu!" Dia memanjat pokok berhampiran lalu meninjau sarang-sarang gagak. Walaupun dia dipatuk gagak-gagak yang ada di situ, tetapi dia tidak mengalah. Selepas beberapa ketika, dia pun turun daripada pokok itu. Saya yang kebimbangan, mendekatinya. Dia tidak berkata apa-apa, lalu menunjukkan sesuatu digenggamnya.

"Cincin saya..." Saya mengambil cincin itu daripada telapak tangannya, kesukaan lalu memeluk hero saya itu. Saat itu, kami berkawan baik. Dia membahasakan saya sebagai Kanade-neesan, menghormati saya setahun lebih tua. Saya sangat sayang akan Yami, yang begitu baik dan bersemangat.

Tetapi, masa-masa yang indah ini, tidak akan berkekalan....

Saya menunggu Yami, diluar pintu pagar sekolah menengah, untuk menyambut Yami yang bergelar pelajar sekolah menengah. Kami berjanji untuk belajar bersama-sama di sini. Kami selalu berjumpa di taman selepas sesi persekolahan walaupun saya telah tamat pengajian di sekolah rendah. Sebab itulah, saya tahu bahawa Yami telah menjadi pemain bola sepak muda yang dihormati dan meraih anugerah pemain paling bernilai sekolah rendah dalam kejohanan kebangsaan.

Saat bertukar saat, minit bertukar minit dan jam bertukar jam. Kelibat Yami tidak kelihatan. Mustahil... Saya pun minta izin guru untuk pergi ke rumahnya. Saya tahu rumah Yami, dan selalu bermain bersama. Setibanya saya di rumah itu, kelihatan kelompok kumpulan manusia memenuhi rumah Yami, bagai ada upacara kematian di situ. Tidak..... Benar jangkaan saya. Yang sedang berlaku di hadapan saya, upacara kematian ibu kesayangan Yami, Hikari-obasan...

"Yacchan..." Saya menghampiri Yami. Yang berdiri di situ bukan lagi budak lelaki yang bernama Yami. Matanya seolah-olah hilang sinarnya. Mukanya hilang ekspresi. Kaku.

"Maaf, saya tidak dapat menghadiri sesi pembukaan hari ini..." Yami, intonasi yang mendatar, tiada perasaan, membuka bibirnya yang pucat itu. Saya, spontan menangis lalu memeluknya.

"Saya simpati dengan kematian ibu awak. Maafkan saya..." Pelukan saya tidak terbalas. Yami membiarkan pelukan itu tanpa respon. Saya melepaskan pelukan itu lalu memandang tepat ke arah Yami.

"Saya tidak memerlukan simpati..." Katanya, lalu berpaling meninggalkan saya, yang kehilangan kata-kata seterusnya.

Yami meneruskan persekolahannya dan hidup keseorangan. Kadangkala, saya akan datang ke rumahnya membawa makanan untuknya. Dia makan apa-apa yang saya bawa tanpa rungutan atau pujian. Saya mula belajar memasak dan mengemaskan rumah. Tetapi, setelah masuk tahun tiga sekolah menengah, saya kesibukan dengan peperiksaan bagi kemasukan sekolah tinggi. Masa kualiti saya dan Yami terputus di situ. Lagi, Yami tidak pernah membukakan hatinya kepada sesiapa. Dia menumpukan hidupnya pada bola sepak dan pelajarannya. Saya mula putus asa. Setelah saya masuk tahun satu sekolah tinggi, saya dan Yami, menjadi orang asing.

Saya tahu, Yami tidak akan mengabaikan masa-masa kami dahulu. Namun, setelah membiarkan dia seorang diri, rasa bersalah timbul dalam diri saya. Buktinya, apabila kami bertemu kembali semasa Yami memasuki Sekolah Tinggi Harima ini. Ketika itu, saya ialah salah seorang ahli jawatankuasa persatuan pelajar yang bertugas mengambil pendaftaran nama pelajar baharu.

"Kurosaki Yami... Tulis nama dan alamat kamu di sini..." Saya memberikan borang pendaftaran kepada Yami, yang tiba gilirannya setelah beratur panjang.

"Terima kasih, Nee-san..." Katanya, nampak lebih "bernyawa" berbanding dahulu. Namun, raut wajahnya itu masih belum menampakkan ceria mahupun seulas senyuman sedikit pun. Dia mengisi nama, lalu memberi semula borang itu.

"Ya-yacchan..." Saya hanya mampu melihat dia berlalu pergi, tanpa sebarang kata atau bicara. Adakah dia marah apabila saya mengabaikannya?

Selepas pertemuan kami sekian lama setelah hampir dua tahun menjauhkan diri, saya telah mengikuti perkembangan Yami. Dia kini berkawan rapat dengan Sanosuke. Sanosuke juga ialah pemain bola sepak di sekolah menengah lama saya dan Yami. Sebenarnya, semasa Yami berada pada tahun satu di sekolah menengah, Yami tidak lagi melibatkan diri dalam sukan bola sepak kerana masalahnya, akan tetapi, Sanosukelah yang beriya-iya memujuk Yami untuk kembali aktif tanpa jemu-jemu. Dia menolak pada awalnya. Setelah mendengar rayuan saya yang mahukan Yami melibatkan diri dalam bola sepak kembali, Yami pun bersetuju.

Entah mengapa, kini saya menyesal dengan permintaan saya. Kerana rayuan itu, Yami mula menyibukkan diri, melupakan duka laranya. Kerana itulah juga, saya mula menjauhkan diri atas alasan sibuk belajar. Dan kerana inilah jua, kami... menjadi orang asing.

............................................

Setelah menikmati sarapan pagi, saya pun keluar rumah awal. Memang biasanya, saya akan keluar awal kerana saya kini ialah ketua pelajar dan sibuk dengan menguruskan badan persatuan pelajar. Namun, hari ini, saya tiada tugasan kerana badan pelajar ditutup menjelang peperiksaan penggal pertama. Jadi, saya pun mengambil keputusan melalui jalan yang sudah lama saya tidak lalui. Jalan jauh sikit, melalui hadapan rumah Yami. Mengapa kalian tanya? Sebab ada khabar angin yang mengatakan bahawa Yami kini ialah kaki perempuan dan membawa perempuan ke rumah. Saya cemburu... Bukan! Sebagai ketua pelajar, saya mesti memeriksanya. Saya percaya bahawa Yami bukan orang sebegitu!

Malang sekali, telahaan saya salah!