Download Chereads APP
Chereads App StoreGoogle Play
Chereads

AKU AKAN MENGUNCI SYURGA

Er Gen
--
chs / week
--
NOT RATINGS
777.7k
Views
Synopsis
Apa yang saya ingini, Syurga patut ada! Apa yang saya tidak mahu, sebaik-baiknya tidak wujud di Syurga! Inilah kisah dari Gunung Ke-lapan dan Gunung Ke-sembilan! Inilah dunia di mana yang kuat memburu yang lemah... Nama aku Meng Hao! Pengunci Syaitan Generasi ke- Sembilan, aku akan menguncikan Syurga!"
VIEW MORE

Chapter 1 - Cendekiawan Meng Hao

Negara Zhao merupakan sebuah negara yang kecil. Sama seperti negara-negara kecil yang berada dalam Benua Nanshan. Rakyat jelata Negara Zhao mengagumi Tang Terbilang yang berada di Tanah Timur dan juga Chang' An. Bukan sahaja raja, malah semua para cendekiawan Negara Zhao turut berkongsi kekaguman terhadap Tang Terbilang. Menara Tang yang terpacak tinggi seperti istana dalam Negara Zhao merupakan tempat kegemaran kumpulan cendekiawan. Seolah-olahnya mereka dapat meninjau Chang' An yang berada jauh di sana.

Bulan April itu tidak terlampau sejuk dan tidak juga terlampau panas. Bayu melambai lembut melepasi seruling Qing Di di Gurun Utara dan bertiup di atas bumi Tang Terbilang. Debu-debu diguling oleh lambaian angin dan berputar-putar ke arah Gunung Daqing yang terletak di sempadan Negara Zhao pada waktu senja. Putaran angin itu akhirnya jatuh atas badan seorang pemuda yang sedang bertapa di puncak Gunung Daqing.

Pemuda tersebut berbadan kurus. Dia memegang sebuah labu dan memakai jubah biru. Pemuda tersebut kelihatan dalam lingkungan usia enam belas ataupun tujuh belas tahun. Dia tidak tinggi dan warna kulitnya agak gelap. Walau bagaimanapun, dia mempunyai sepasang mata yang terang yang memancarkan kecerdikannya. Akan tetapi, pemuda tersebut sedang mengerutkan mukanya dan kelihatan kebingungan.

"Gagal lagi…" keluh Si Pemuda tersebut. Nama dia Meng Hao, seorang pelajar biasa yang berasal dari wilayah Yunjie di bawah kaki Gunung Daqing. Beberapa tahun yang lalu, ibu dan ayahnya hilang entah ke mana. Harta yang ditinggalkan oleh ibu dan ayahnya hanya sekadar cukup untuk membiayai yuran persekolahan yang mahal. Sekarang, Meng Hao sudah hampir muflis.

"Aku telah menduduki Peperiksaan Diraja tiga tahun berturut-turut. Sepanjang masa ini, aku sudah berasa mual membaca karya-karya yang ditulis oleh para pendeta yang berlainan. Adakah ini bermaksud aku tidak sesuai untuk semua ini?" Perasaan rendah diri menyelubungi Meng Hao. Matanya suram memandang ke arah labu dalam tangannya.

"Impian untuk bergelar menteri dan menjadi kaya kian lama kian jauh rasanya. Apatah lagi keinginan untuk menjejakkan kaki ke Tang Terbilang setelah aku menjadi kaya. Apalah gunanya aku bertungkus-lumus belajar semua ini." Meng Hao menyindir dirinya sendiri. Meng Hao duduk diam di atas puncak Gunung Daqing sambal merenung pada labu dalam tangannya. Dia berasa seperti hilang arah tuju. Meng Hao mula berasa takut. 'Bagaimana dengan masa depan aku? Ke mana aku nak pergi?

Mungkinkah wujudnya seseorang yang berpangkat tinggi dan mengagumi kecerdasan aku? Mungkinkah seseorang gadis daripada keluarga yang kaya raya mencintai aku? Ataupun aku tetap akan menduduki Peperiksaan Diraja pada tahun yang akan datang?

Semua pertanyaan ini tiada jawapannya. Dia hanya seorang pemuda yang masih terkapai-kapai untuk mencari erti kehidupan. Kebingungan yang kian menghantui Meng Hao bagaikan suatu mulut besar raksasa yang tidak kelihatan yang sedang menelan dia secara perlahan-lahan. Meng Hao benar-benar berasa ketakutan.

"Seorang cikgu yang mengajar dalam bandar ini hanya menerima gaji beberapa syiling perak sahaja. Kalau aku tahu lebih awal, tentu aku akan belajar bertukang dengan Pak Cik Wang di mana gaji yang diperoleh lebih lumayan. Sekurang-kurangnya aku tidak kebuluran sekarang." Meng Hao terdiam seketika.

"Baki makanan dan duit di rumah sudah tidak mencukupi, aku masih hutang tiga syiling perak dengan Bos Zhou. Apalah yang boleh aku buat?" Dia memandang ke arah langit yang begitu luas dan kebiruan. Langit yang begitu luas sehingga tidak nampak sempadannya, sama seperti Meng Hao tidak dapat melihat di mana terletaknya masa depan dia.

Seketika kemudian, Meng Hao menggelengkan kepalanya dan mengeluarkan sehelai kertas daripada jubahnya. Dia membaca kertas tersebut dengan teliti. Meng Hao memasukkan kertas itu ke dalam labunya. Meng Hao bangun daripada duduk dan mencampak labunya ke bawah gunung.

Di bawah gunung, terdapat sebatang sungai besar yang dikatakan tidak akan membeku walaupun pada musim sejuk dan sungai besar itu mengalir jauh sehingga ke Tang Terbilang.

Meng Hao berdiri di puncak gunung, matanya langsung tidak berkedip dan melihat labunya terapung-apung jauh ke hilir sungai besar itu. Tiba-tiba, kenangan mengenai ibunya, waktu-waktu gembira semasa dia masih seorang kanak-kanak bermain di mata Meng Hao. Seolah-olah labu tersebut mengendong segala impian,hajat dan harapan untuk masa depan dia. Mungkin satu hari nanti, ada seseorang yang akan mengambil labu tersebut, membukanya dan membaca nota di dalam labu itu.

"Biar apa pun yang aku buat selepas ini, sambung belajar ataupun berkerja, aku tetap akan meneruskan kehidupan." Beginilah sifat Meng Hao, seorang yang cerdik dan bersemangat kental. Jika tiada ciri-ciri seperti ini, dia tidak dapat terus hidup sampai sekarang setelah kehilangan ibu bapanya.

Meng Hao sekali lagi memandang ke langit. Pancaran kental semakin membara dalam matanya. Dia bersiap sedia untuk menuruni gunung.

Pada ketika itu, Meng Hao terdengar sesuatu bunyi yang lemah datang dari cenuram yang berdekatan. Bunyi tersebut seolah-olah dibawa oleh angin yang bertiup. Bunyi tersebut begitu ringan, hampir tidak kedengaran oleh Meng Hao.

"Tolong…. tolong…" 

Meng Hao terhenti seketika dan terperanjat sejurusnya dia mendengar dengan teliti. Meng Hao meneliti bunyi tersebut dan semakin lama, ianya semakin jelas kedengaran.

"Tolong…"

Meng Hao bergerak beberapa langkah ke hadapan sehingga dia menghampiri cenuram. Apabila Meng Hao mengintai ke bawah cenuram tersebut, dia ternampak seseorang. Badannya terpacak keluar daripada rekahan gunung. Muka orang itu pucat dan jelas kelihatan bahawa dia berasa takut dan terdesak. Orang itu meminta tolong.

"Kamu… kamu Meng Hao, betul tak? Tolong Cendekiawan Meng! Tolong saya!" Dia merupakan seorang remaja. Sebaik sahaja remaja tersebut ternampak Meng Hao, dia terkejut dan kelihatan begitu gembira selepas menjumpai sinar harapan dalam keadaan terdesak.

"Wang Youcai?" Mata Meng Hao terbeliak besar melihat remaja tersebut. Dia ialah anak kepada Pakcik Wang, tukang kayu dalam bandar. "Macam mana pula kamu boleh berada di sini?"

Meng Hao melihat pada rekahan tersebut. Ia berada di cenuram yang begitu curam, tidak mungkin dapat dituruni. Kecuaian yang kecil akan menyebabkan pendakinya jatuh ke dalam sungai.

Melihat pada kederasan air sungai yang mengalir itu, kemungkinan untuk menempuh maut adalah sembilan puluh peratus jika seseorang itu jatuh ke dalam sungai itu.

"Bukan saja saya, ada beberapa orang lagi yang datang dari bandar yang berhampiran," jerit Wang Youcai. "Kami semua terperangkap di sini. Abang Meng, boleh tak kita berhenti berbual dan tolonglah selamatkan kami dari sini." Mungkin Wang Youcai telah berpegang pada rekahan terlalu lama menyebabkan tangannya tiba-tiba terlepas. Mujurlah kawannya memegang bajunya dengan ketat. Jika tidak, pastinya Wang Youcai telah jatuh dari cenuram itu. Mukanya menjadi pucat kembali.

Meng Hao sedar akan situasi genting tersebut. Tetapi dia mendaki gunung secara persendirian hari ini dan tidak membawa apa-apa tali bersama dia. Macam mana dia mahu menyelamatkan mereka? Meng Hao mengimbas sekelilingnya dan perasan bahawa kawasan itu dilitupi dengan pokok rotan di mana rotan-rotannya panjang menjalar.

Dengan keadaan fizikal Meng Hao yang lemah, dia mengambil masa dua jam untuk mendapatkan rotan yang cukup panjang. Meng Hao menarik jaluran rotan tersebut ke cenuram sambil menarik nafas panjang. Meng Hao menyeru nama Wang Youcai sambil menurunkan jaluran rotan itu ke bawah cenuram tersebut.

"Kamu masih belum beritahu saya bagaimana kamu sebut boleh terperangkap di sini," kata Meng Hao sambil menurunkan jalur rotan.

"Kami terbang!" kata seorang remaja lain yang berdiri di sebelah Wang Youcai. Remaja ini kelihatan mempunyai keazaman yang kuat dan bercakap dengan suara yang lantang.

"Mengarutlah! Kamu boleh terbang?" sindir Meng Hao, dia menarik sedikit jalur rotan yang diturunkan. "Kalau kamu boleh terbang ke bawah sana, apa kata kamu terbang lah semula ke atas sini."

"Jangan dengar dia mengarut," kata Wang Youcai, dia risau bahawa Meng Hao akan menarik balik jalur rotan yang diturunkan. "Kami ditangkap oleh seorang wanita yang boleh terbang. Dia kata dia hendak bawa kami balik ke mazhab dia untuk menjadi pekerja."

"Mengarut lagi." jawab Meng Hao secara acuh tak acuh. "Hanya dewa yang dalam hikayat lagenda dapat berbuat demikian. Siapa yang akan percaya semua ini?" Dalam buku yang dia baca, ada kisah-kisah di mana seseorang itu menjadi kaya selepas bertemu dengan dewa, tetapi semua itu hanya penipuan.

Sebaik sahaja jalur rotan tersebut sampai ke rekahan, Wang cepat-cepat memegang jalur rotan itu. Tetapi, tiba-tiba Meng Hao terasa hembusan angin sejuk dari belakang dia. Suhu di sekitar dia tiba-tiba menjadi amat sejuk seolah-olah musim sejuk telah kembali. Meng Hao menggigil. Dia menoleh ke belakang dengan perlahan-lahan, dan kemudiannya menjerit dan bergerak ke arah lohong dan mula jatuh dari cenuram.

Meng Hao ternampak seorang wanita yang berpakaian jubah perak dan bermuka pucat. Wanita itu berdiri dan merenung tajam padanya. Usia wanita tersebut tidak dapat diteka. Wajahnya amat cantik, akan tetapi, kedinginan yang memancar daripada keseluruhan badan wanita tersebut menjadikan dia seolah-olah baru saja merangkak keluar dari sebuah kubur.

"Kadang-kadang, apabila kamu jumpa apa yang kamu inginkan selama ini, ianya adalah takdir."

Apabila suara wanita itu kedengaran, Meng Hao berasa seluruh tulang badannya bergesel antara satu sama lain. Wanita ini kelihatan seperti mempunyai sejenis kuasa luar biasa, dan apabila Meng Hao melihat pada mata wanita tersebut, Meng Hao berasa seluruh badannya menjadi sejuk. Meng Hao berasa seakan-akan wanita tersebut tahu tentang segala rahsianya dan tiada apa yang boleh disembunyikan daripada dia. 

Kata-kata wanita itu masih bergema. Dia menggetarkan lengan besar jubahnya dan muncul kepulan angin kehijauan yang membawa Meng Hao terbang ke bawah cenuram bersama wanita itu. Meng Hao nyaris pitam apabila semua ini berlaku.

Apablia mereka tiba di rekahan itu, wanita itu melambaikan tangan dan Meng Hao tercampak ke dalam rekahan itu. Wanita itu pula tidak bergerak, begitu juga dengan kepulan angin hijau itu. Wang Youcai dan rakan-rakannya bergegas ke belakang dalam ketakutan.

Wanita tersebut berdiri diam di situ, tidak berkata apa-apa. Dia memandang ke arah jalur-jalur rotan yang tergantung itu.

Meng Hao begitu cemas dan mula mengigil. Dia bangun dan mengimbas sekelilingnya. Rekahan tersebut tidak luas, ia menjadi sempit dengan beberapa orang yang berada di atasnya.

Meng Hao lihat pada Wang Youcai dan dua lagi remaja yang lain. Seorang remaja kelihatan cerdik dan seorang lagi kelihatan cerah dan gempal. Kedua-dua remaja ini turut menggigil. Mereka kelihatan seolah-olah akan menangis bila-bila masa saja lagi.

"Tadi saya masih kurang lagi seorang, dengan adanya kamu, maka cukuplah." kata wanita bermuka pucat itu sambil memandang ke arah Meng Hao.

"Siapa kamu?" Tanya Meng Hao, cuba untuk memendamkan rasa takutnya. Dia seorang yang terdidik dan mempunyai sifat yang kental. Biar pun dia berasa takut, dia mampu mengawal dirinya supaya tidak panik.

Wanita itu tidak berkata apa-apa. Dia melambaikan tangan kanannya dan kepulan angin hijau muncul semula. Angin hijau itu mengangkat semua pemuda di cenuram itu dan terbang tinggi ke langit. Wanita pucat dan semua remaja itu telah lenyap, yang tinggal hanya Gunung Daqing yang terpacak tinggi dan diselubungi oleh kegelapan waktu senja.

Muka Meng Hao begitu pucat. Dia melihat dirinya terbang merentas langit dalam kepungan angin hijau itu. Semasa mereka terbang merentas langit, angin-angin bertiup ke dalam mulutnya menjadikan Meng Hao berasa sukar untuk bernafas. Satu perkataan muncul dalam fikirannya.

"Dewa?" Meng Hao cuba menahan nafas sepuluh kali ganda lama berbanding dengan apa yang biasa dia dapat lakukan. Sehingga dia tidak tahan lagi dan pitam.

Apabila Meng Hao buka matanya, dia sedar bahawa mereka telah pun mendarat di atas satu pentas yang dibuat daripada batu hijau. Banjaran gunung mengepung tempat mereka berdiri dan kelihatan juga tompokan awan dan kabus bergentayangan di sekitar mereka. Sudah tentu mereka bukan berada di alam manusia. Puncak-puncak gunung di sini semuanya kelihatan begitu aneh.

Wang Youcai dan remaja yang lain turut sedarkan diri. Dengan menggigil ketakutan, mereka memandang ke arah wanita tersebut.

Dua orang lelaki berpakaian jubah hijau berdiri di depan wanita tersebut. Mereka kelihatannya berusia dalam lingkungan dua puluhan. Mata dua orang lelaki ini begitu dalam dan anak mata mereka berwarna kehijauan. Ia mengundang perasaan ngeri apabila mereka melihat pada mata mereka.

"Syabas! Senior Xu," salah seorang lelaki memberi sanjungan. "Kamu telah jumpa empat orang remaja yang berpotensi."

"Bawa mereka ke kawasan pekerja." kata wanita tersebut dengan muka yang dingin tanpa melihat ke arah Meng Hao dan lain-lain. Tiba-tiba, badan wanita itu bertukar kepada pelangi dan lenyap ke dalam gunung-gunang.

Pada masa ini, Meng Hao telah bertenang kembali. Dia merenung ke arah tempat wanita itu lenyap. Satu riak wajah yang tidak pernah ada buat enam belas tahun dia hidup ini kini muncul pada mukanya. Hati Meng Hao mula berkobar-kobar.

"Pekerja?" fikir Meng Hao. "Jika aku bekerja dengan Dewa, mestilah lumayan gaji aku." Dia sudah bersedia untuk mengambil langkah seterusnya memandangkan tiada apa-apa yang buruk akan berlaku ke atas mereka sekarang.

"Senior Xu telah mencapai peringkat ketujuh dalam Pemekatan Qi," kata petapa yang kedua. "Pendeta mazhab telah menganugerahkan Panji Angin kepada dia, maksudnya dia boleh terbang walaupun belum mengecapi peringkat Penubuhan Asas." Petapa itu melihat ke arah Meng Hao dan lain-lain dengan angkuh.

"Awak dan awak," kata petapa sambil menuding jari ke arah Wang Youcai dan remaja yang kelihatan cerdik itu. "Ikut saya ke kawasan pekerja Bahagian Selatan."

"Apakah tempat ini?" tanya Wang Youcai dengan suara dan badan yang menggigil semasa petapa itu menuding jari ke arah dia.

"Mazhab Reliance"