Chereads / Mahou Shoujo Primula (Malay) / Chapter 20 - Bab 5.3 – Benar-benarlah serius untuk mencintaiku!

Chapter 20 - Bab 5.3 – Benar-benarlah serius untuk mencintaiku!

Bahagian III

Saya, Aria Sinclair baru sahaja bangkit daripada tidur setelah dikejutkan oleh Master Aya. Saya agak liat untuk bangun pagi apatah lagi sering tidur lewat untuk menyeliakan teknologi mahou shoujo yang diamanahkan kepada saya. Sejak Profesor Rei meninggalkan Organisasi Mahou Shoujo, penyelenggaraan dan pengawalan teknologi ini terletak di bawah pengurusan sendiri oleh kumpulan-kumpulan mahou shoujo yang diketuai oleh mereka bergelar master. Sudah tentu, master yang 'bernombor' mendapat kelebihan kerana kumpulan mereka ditaja oleh badan-badan pertahanan sama ada kerajaan mahupun sektor swasta. Bagi master yang tidak berkedudukan, mereka terpaksa meraih kewangan sendiri dan ada yang membuka bisnes mereka sendiri atau bekerja di bawah orang lain untuk menampung perbelanjaan mereka. Ibu pejabat utama Organisasi Mahou Shoujo di setiap negara kini tidak lagi dapat mengendalikan atau mengawal kumpulan master, sebaliknya menjadi pemerhati dan pembekal teknologi untuk kegunaan mahou shoujo tetapi itu pun hanya pada saat kecemasan. Mahou shoujo seperti Mai merupakan generasi terakhir kerana projek perekruitan mahou shoujo telah dihentikan selama-lamanya. Beberapa agensi pertahanan baharu, seperti Neo-Saint, projek terbaharu Profesor Rei telah mendapat banyak sokongan terutamanya badan kemanusiaan kerana teknologi 'kuasa' mereka tidak memerlukan nyawa untuk mendapatkan kekuatan menentang entiti kegelapan.

Kumpulan Así̱mi Af̱xí̱thi̱ke atau Ros Perak yang dahulunya merupakan kumpulan terbesar dalam sejarah mahou shoujo, kini hanya tinggal lima orang sahaja. Aya-sama bertindak sebagai ketua manakala segala penyelenggaraan teknologi dan perancangan tempur terletak di bawah pengawasan saya. Sena dan Elina merupakan dua mahou shoujo bertaraf striker yang masih setia dalam Ros Perak. Ahli paling muda dan merupakan aperantis Aya-sama, Mai, masih terlalu awal untuk diberikan peluang bertindak sendiri bagi bertempur dengan entiti tetapi dia tetap mampu menghadapi musuh itu jika terdesak.

Kewangan Ros Perak jauh lebih baik berbanding kumpulan master yang bukan 'bernombor'. Walaupun ketiadaan penaja atau penderma, Ros Perak masih kukuh ekonominya kerana dana-dana yang dimiliki oleh kumpulan mereka pada suatu ketika dahulu telah dilaburkan ke dalam simpanan tetap dan amanah saham, menyebabkan wang kumpulan semakin bertambah dari semasa ke semasa. Kebanyakan bekas ahli kumpulan Ros Perak menganggap bahawa kewangan kumpulan ini sudah tidak kuat menyebabkan mereka memilih untuk keluar daripada kumpulan tersebut. Polisi Aya yang tidak mahu berbelanja lebih untuk penjimatan membuatkan teori mereka terhadap kedudukan ekonomi Ros Perak kelihatan bernas. Setelah kehilangan ahli, Ros Perak semakin kukuh kewangannya kerana hanya perlu menampung lima orang ahli sahaja. Lebih-lebih lagi, saya, merupakan satu-satunya mahou shoujo yang mempunyai kuasa 'operator', dapat menyelenggara teknologi mahou shoujo tanpa memerlukan mesin khas, sekaligus menjimatkan wang.

Menggunakan unsur logam nanoteknologi (yang dijual oleh ibu pejabat mahou shoujo), saya dapat membetulkan semua kerosakan pada pakaian perisai magika mahou shoujo semasa mereka bertempur dengan entiti asing. Selain itu, bahan nanoteknologi boleh dibentukkan menjadi objek, sebagai contohnya, rumah Yami yang telah saya ubah suai ini hanya dalam masa satu hari. Di samping mengendalikan bahan tersebut, saya juga bertanggungjawab untuk merahsiakan aktiviti mahou shoujo daripada khalayak umum. Jika raksasa datang menyerang, mahou shoujo akan menggunakan medan relatif, menyebabkan kawasan yang diliputi medan ini akan mengasingkan dunia realiti dengan dunia tiruan yang dicipta. Dalam dunia tiruan itu, semua makhluk bernyawa tidak akan wujud menyebabkan tiada seorang manusia pun akan menerima kesan daripada pertempuran itu. Sebaliknya, kemusnahan pada harta benda, bangunan dan objek-objek statik, akan terkesan pada dunia realiti. Misalnya, jika entiti memusnahkan rumah pada dunia tiruan, dunia realiti pun turut terkesan, namun pihak media akan mengaitkan fenomena kerosakan tiba-tiba itu sebagai kemalangan atau fenomena semulajadi. Bukti terbaik, ketika insiden Aya dan Yami diserang entiti kegelapan, tiada satu berita pun mengaitkan mereka dengan peristiwa letupan tiba-tiba di kawasan perumahan dan keruntuhan kerangka bangunan di tapak pembinaan kerana semasa serangan itu berlaku, mereka berada dalam dunia tiruan. Justeru kelibat watak-watak tersebut bagai tidak wujud di dunia realiti ketika itu. Tugas terakhir saya ialah memanipulasi memori. Andai kata ada seseorang mengetahui rahsia mahou shoujo, saya akan menggunakan mekanisme istimewa untuk memadamkan ingatan orang tersebut. Bukan itu sahaja, saya boleh menukar persepsi individu melalui kuasa saya, seperti kawasan kejiranan Yami, yang telah dimanipulasi minda mereka, menerima pengubahsuaian luar biasa rumah Yami sebagai perkara normal. Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa tiada seorang jiran pun mempersoalkan keadaan rumah Yami, jawapannya, melalui teknologi mahou shoujo.

Sebut mengenai Yami ini, ada beberapa perkara yang menyebabkan saya curiga. Bapa Yami, Profesor Rei sangat terkenal di dunia, tetapi Yami tidak pernah mengambil tahu akan hal orang tuanya itu. Yami hanya tahu bahawa bapanya penyelidik dan saintis yang disegani ramai. Malang sekali, bapanya itu bukan sekadar saintis biasa. Rahsia bapanya sebagai pengasas mahou shoujo tidak dapat saya ceritakan kepada Yami. Jika Yami tahu, nyawanya pasti akan terancam. Mungkin karma mempertemukan Yami dengan Aya. Saya tahu, Aya begitu mencintai lelaki itu. Masalahnya, Yami seorang yang tsundere! Lebih teruk lagi, setakat ini hanya 'tsun-tsun' (penolakan) sahaja ditonjolkan lelaki ini. Belum ada lagi tanda-tanda 'dere-dere' (penerimaan). Selain identiti bapanya, saya hairan mengapa Yami boleh menembusi medan relatif sehinggakan dia terlibat dalam pertempuran mahou shoujo. Saya mengagumi sikap Yami yang sanggup mengorbankan nyawa menyelamatkan Aya-sama. Lelaki itu juga seorang yang suka bersederhana. Sebab itulah, pada mulanya, saya memanggil Yami dengan panggilan Yami-sama (tanda hormat), tetapi lelaki itu kurang senang dengan panggilan 'sama' justeru menyuruh saya memanggil namanya terus. Saya agak terharu apabila mendengar cerita Aya-sama ketika saat-saat Yami menyelamatkannya. Yami tidak teragak-agak memberikan 'hayat' nyawanya, untuk memenuhkan teras magika Aya-sama dengan perkongsian nyawa.

Aya-sama dan juga adik tiri Yami, Eri-san sering menyembunyikan perasaan mereka yang menyayangi Yami, tetapi dalam diam, mata mereka tidak pernah sunyi memerhatikan Yami secara rahsia. Mereka selalu mencari kesempatan untuk curi-curi masuk ke bilik Yami untuk bersama lelaki itu, namun tiada kesempatan. Perasaan malu yang menebal membuat mereka keberatan untuk menziarahi Yami di biliknya, apatah lagi mengetuk pintu bilik tersebut.

Untuk pengetahuan kalian, setiap bilik dilengkapi bilik mandi dan tandas, menyebabkan situasi 'lucky sukebe' (pemiang bertuah) tidak akan berlaku di rumah ini. Mai sangat bersetuju dengan perancangan saya ini, sebaliknya Aya-sama tidak memberikan apa-apa reaksi dan hanya berdiam diri. Walaupun serumah, Yami hanya bersama kami, gadis-gadis yang menetap di rumahnya itu, pada waktu makan pagi dan malam sahaja. Sebaliknya, Yami lebih gemar terperap dalam biliknya berbanding beristirahat di ruang tamu bersama gadis-gadis cantik seperti kami. Sebut fasal gadis cantik, saya agak marah apabila Yami menyatakan bahawa saya hanyalah gadis loli yang comel. Saya tahu bahawa tubuh saya seperti budak sekolah rendah, walaupun usia saya sebaya Aya-sama dan Yami.

Saya sering menghabiskan masa saya di bilik Yami pada waktu malam. Kali pertama saya masuk ke bilik Yami adalah untuk menceritakan kisah sebenar mahou shoujo kepada lelaki itu. Setelah itu, saya menjadikan bilik Yami sebagai tempat persinggahan setiap kali selepas makan malam. Lelaki itu pada mulanya merungut-rungut kerana saya mengganggunya, tetapi, lelaki itu tidak pernah menghalau saya dan akhirnya menerima kehadiran saya di ruang peribadinya itu. Tidaklah bermaksud saya mahu bermalam di bilik itu pula. Tepat pukul sebelas malam, saya akan beredar dari bilik itu ke bilik saya pula, untuk melaksanakan tugas saya. Setiap kali saya keluar dari bilik itu, Aya-sama dan Eri-san pasti ada di kaki lima, cuba memastikan tiada apa-apa yang berlaku antara saya dan Yami. Apabila disuruh untuk 'melawat' ke bilik Yami, Aya-sama dan Eri-san pasti menggelengkan kepala, mencari alasan dan sebab mereka tidak mampu menjejakkan kaki ke bilik lelaki itu. Saya hanya mengeleng-gelengkan kepada dan membiarkan dua musuh cinta itu bertelagah sesama sendiri.

Oh ya, Yami seorang yang berdedikasi sebagai pelajar. Dia rajin mengulang kaji dan belajar di biliknya selepas pulang dari sekolah. Dia akan mandi dahulu, kemudiannya menjamu selera bersama penghuni-penghuni rumah sebelum menghabiskan masanya menelaah buku dan membuat latihan. Yami juga suka membaca buku-buku novel, tetapi kebanyakannya berunsurkan triler dan pengembaraan. Saya akan menghabiskan masa membaca buku-buku koleksinya ketika singgah di bilik Yami. Saya akan berbaring di katilnya membaca buku-buku manakala Yami pula menghabiskan masa membuat latihan dan ulang kaji di meja belajarnya tidak jauh dari katil tersebut. Namun pada hari ini, Yami tidak melakukan apa-apa di meja belajarnya, sebaliknya bersandar pada kerusi empuknya, kerusi pejabat yang selalunya di pejabat pengarah atau bos. Yami kelihatan kebosanan, tetapi tiada mood untuk belajar.

"Tidak belajar hari ini?" Soal saya. Mood Yami nampak kurang baik, tetapi saya sudah tahu alasannya.

"Boleh tak kamu pulang sahaja ke bilik kamu? Kamu boleh pinjam buku itu, jika kamu mahu membacanya. Saya agak penat hari ini..." Ujar Yami, melindungi sesuatu.

"Awak tewas kepada Aya-sama dalam peperiksaan, bukan?" Sengaja saya buka isu yang ingin dielakkan oleh Yami itu.

"Adakah kamu ini 'stalker'?" Yami yang marah itu, menyatakan sindirannya kepada saya.

"Dengan teknologi mahou shoujo, bukan awak sahaja, malah seluruh daerah Harima ini boleh saya intip. Semuanya terletak di bawah jari saya sahaja..." Saya berseloroh, tetapi memang benar saya mengintipnya.

"Tsk (mendengus)...." Yami tidak terus menjawab, sebaliknya hanya mengalihkan pandangan daripada saya.

"Antara Mai, Saaya, Aya-sama dan Eri-san, manakah gadis yang menjadi pilihan awak di rumah ini?" Soal saya, tiba-tiba. Yami yang terkejut mendengar soalan itu, diam seketika, kemudiannya barulah dia bersuara.

"Hm? Mengapakah kamu tidak melibatkan nama kamu dalam senarai pilihan itu?" Pertanyaan saya dijawab dengan persoalan. Saya terkesima dengan soalan itu.

"Bukankah awak selalu mengatakan bahawa saya hanyalah gadis loli yang tidak menepati citarasa awak dalam memilih gadis!" Marah saya, entah kenapa saya mengungkitkan hal tersebut.

"Hahaha..." Yami yang jarang-jarang tersenyum itu, ketawa kecil.

"....." Saya tidak dapat memberikan reaksi, sebaliknya terdiam.

"Maaf, aku minta maaf. Maafkan aku kerana ketawa. Aku minta maaf juga kerana membuatkan kamu tersinggung dengan kata-kataku itu. Aku tak sangka kamu masih mendendami aku kerana memandang rendah kepada kamu. Aria, kamu juga seorang gadis yang cantik setanding Aya, Eri, Mai dan Saaya. Cuma kamu memiliki badan yang kecil, tidak seperti usia kamu. Ingat bahawa masing-masing ada kelebihan dan juga kekurangan. Kadangkala, riak wajah dan susuk badan bukan ukuran untuk kecantikan. Tetapi, perasaan cinta ini bukan suatu yang mudah diperkatakan...."

"Jadi, siapakah pilihan awak?"

"Aria. Aku... aku tidak boleh bercinta dengan mereka..." Yami meluahkan kata-kata itu dengan wajah yang tenang, tidak langsung beremosi. Saya tidak menyangka bahawa Yami boleh berbicara seperti itu, tanpa sebarang ragu-ragu atau segan.

"Yami, awak homo?" Soalan itu terkeluar daripada mulut saya, apabila menganggap Yami tidak terpikat kepada gadis-gadis cantik di sekelilingnya.

"Oi,oi,oi... Mengapa pula aku dituduh sebagai gay?!" Marah Yami.

"Jangan risau, saya tidak memandang prejudis pada lelaki seperti awak..."

"Bukan itu yang aku risaukan! Haa...." Yami mengeluh, setelah melemparkan 'tsukomi' kepada saya.

"Jadi, kamu mandul?"

"Oi, itu dah melampau!"

"Jadi?" Saya menunggu jawapan Yami, alasan dia menolak cinta gadis-gadis di sekelilinginya.

"Hidup aku akan berakhir, tidak lama lagi. Aku tidak mahu mati dan menyebabkan insan tersayang sedih akan kematianku..." Yami menjelaskan sebabnya, dengan nada serius.

"Hah? Kalau awak tak bercinta pun, Eri-san dan Aya-sama tetap bersedih jika awak mati..."

"Kenapa pula?" Soal Yami. Lelaki ini!

"Sebab mereka menc..." Saya tidak meneruskan kata-kata, kerana saya tidak berhak mendedahkan perasaan dua gadis ini.

"Hmm?" Yami yang menunggu respons saya, agak keliru apabila saya tidak menyambung ayat tadi.

"Tidak mengapalah. Maaf mengganggu awak, saya minta diri dulu, selamat malam..." Yami nampak terkejut dengan keputusan saya pulang ke bilik, berpaling ke arah jam, yang menunjukkan waktu hampir pukul 10.

"Selamat malam..." Yami membalas ucapan saya tanpa meninggalkan kerusinya dan membiarkan saya hilang daripada pandangannya.

Tiba sahaja di bilik saya, saya terlihat kelipan cahaya pada peti mesej suara, khas daripada dua striker Ros Perak yang bertugas di luar. Mungkin ada sesuatu pesanan yang kurang penting cuba disampaikan oleh kedua-dua ahli itu. Setelah duduk di bangku khas dan mula mengaktifkan kawalan manual, barulah saya membuka mesej itu. Mesej itu berbentuk video, lantaran saya memainkannya di skrin besar berhadapan saya.

"...." Saya hanya membisu seribu bahasa setelah menamatkan tontonan saya. Mesej bervideo itu bukanlah membawa khabaran gembira!