Chereads / Mahou Shoujo Primula (Malay) / Chapter 26 - Bab 7.1 – Nasib/ Pertempuran

Chapter 26 - Bab 7.1 – Nasib/ Pertempuran

Bahagian I

"Maafkan saya jika mengganggu kalian," ujar Aria yang muncul secara tiba-tiba. Aya berpaling ke arah gadis bertubuh kecil itu, dengan riak cemas. Kedatangan Aria secara mengejut di sekolah ini pasti menunjukkan akan ada musibah besar yang bakal melanda di tempat ini. Aya pun bersuara, memulakan persoalannya;

"Aria, adakah..."

"Ya, seperti mana yang Aya-sama jangkakan. Kawasan ini bakal menjadi medan pertempuran. Terdapat reaksi radar yang menunjukkan 8 kelibat entiti sekurang-kurangnya bertahap A sedang menuju ke lokasi ini dengan kelajuan yang tinggi," terang Aria, masih cuba berlagak tenang dalam saat-saat genting ini.

"Sena dan Elina, bagaimanakah dengan keadaan mereka kini? Adakah mereka telah tumpas di tangan entiti tersebut? Kita mesti melancarkan serangan untuk membantu mereka sekarang!" Wajah Aya cemas, mengingatkan dua striker kumpulannya yang sedang gagal menghalang kemaraan entiti-entiti tersebut. Wajah kematian mereka mula terpampang dalam minda Aya.

"Usah bimbang tentang itu, Aya-sama. Elina dan Sena, dua orang striker kumpulan kita telah berpaling tadah menyertai kumpulan lain. Mereka sudah memaklumkan hal ini kepada saya beberapa hari yang lepas. Maafkan saya kerana cuba menyembunyikan perkara ini daripada pengetahuan awak. Punca pembelotan mereka ialah khabar berita mengenai hubungan Aya-sama dengan Yami sudah diketahui oleh mereka. Mereka telah mendapat maklumat itu daripada kumpulan baharu yang disertai oleh mereka itu. Mereka cuba mencari penjelasan daripada saya, maka saya tidak menafikan khabar itu kerana memang ada kebenarannya. Maafkan saya kerana terpaksa menerangkan hal sebenar...."

"Begitukah ceritanya? Ah, saya faham. Kita tak dapat berbuat apa-apa mengenai hal itu... Ya, memang benar khabar berita itu dan tidak dapat disangkalkan lagi. Kebenaran harus dijelaskan, oleh yang demikian, awak tidak bersalah, Aria. Terima kasih kerana tidak berselindung kepada mereka..." Aya tidak marah, sebaliknya menerima hakikat itu.

"Tetapi, mereka telah membeloti kumpulan kita?! Selama ini, awak bersusah payah membantu dan membimbing mereka!" Perasaan marah datang daripada Aria. Aya meletakkan tangan di atas bahu Aria dan menggelengkan kepalanya.

"Cuba kamu fikir, apakah mereka akan suka kalau saya sahaja yang bahagia kerana mempunyai Yami-san? Kalau saya jadi mereka, saya pasti akan cemburu dengan kebahagiaan ini..." Aria agak terkejut apabila mendengar kata-kata ketuanya itu. Yami yang berhampiran juga terkesima, dan sedikit segan. Namun, Yami faham, kewujudannya membawa kepincangan kepada Aya.

"Kamu jangan bergurau, hidup bersama aku tidak langsung membawa kebahagiaan! Kerana aku, kumpulan Ros Perak kamu dilanda kemelut ini!" Aya memandang tepat wajah marah Yami itu. Dia faham, Yami selalu memarahi dirinya sendiri, bukan Aya. Lelaki itu memang berbeza daripada lelaki yang lain. Dia punya jiwa seorang pahlawan...

"Mungkin awak tidak gembira mengenai kehadiran saya dalam hidup awak, sebaliknya, bagi saya, awaklah kebahagiaan yang saya cari selama ini," Aya menuturkan kata-kata itu dengan tenang membuatkan Yami hilang bicara. Mengapakah gadis itu berkata sedemikian tanpa langsung ada perasaan malu? Tidak, ini bukan situasi 'death flag' yang selalu terpampang dalam manga atau anime!

"Aya-sama, masa kita semakin suntuk. Mai melaporkan bahawa entiti itu sudah berada pada pandangannya!" Aria memecahkan suasana kekok tersebut, menyebabkan Aya berlari anak menghampiri Yami.

"Maafkan saya...." Satu kucupan bibir terhadap Yami dikenakan oleh Aya, seperti biasa, untuk mendapatkan 'kuasa' daripada Aya. Aya amat memerlukan Yami untuk menggunakan kuasanya. Walau bagaimanapun, biarlah beribu kucupan yang dilakukan oleh Aya terhadapnya, Yami tidak dapat membiasakan dirinya untuk menerima ciuman itu dengan tenang. Bibir mungil Aya sungguh lembut, dan istimewa, menyebabkan malam Yami tidak tenang kerananya. Kehangatan kecil daripada sepasang bibir milik Aya itu, membuatkan seluruh jiwanya meruntun, mencari kebahagiaan daripada gadis itu. Yami selalu bertanya pada dirinya, apakah dia layak untuk menikmatkan secebis kebahagiaan tersebut?

"Terima kasih..." Aya meleraikan ciuman itu, entah berapa ketika saatnya, tetapi dirasakan terlalu lama, perjalanan waktu ketika proses itu berlaku. Wajah Aya spontan menjadi merah, diikuti wajah Yami, yang keseganan menikmati saat manis bersama gadis itu. Persoalannya, berapakah masa yang dipunyainya untuk melalui detik itu lagi?

"Berjuanglah..." Yami melontarkan kata semangat, untuk gadis itu menyelamatkan dunia ini daripada terus diancam makhluk entiti tersebut.

"Ya! La la li pi la lu, Fo̱s ti̱s alí̱theias! Mahou shoujo Primula, sudah bersedia!" Cahaya terang-benderang memancar daripada gadis itu, dan dalam sekelip mata pakaiannya telah bertukar menjadi pakaian tempur mahou shoujo. Kemudiannya, Aya pun terbang meninggalkan Yami dan Aria.

"Oh ya, kita harus memberitahu orang lain mengenai kebahayaan ini!" Yami menghampiri Aria, lantaran meluahkan perasaan bimbangnya.

"Tidak perlu, pertempuran mereka akan berlaku di 'alter-dimension', bukan di dunia nyata ini," terang Aria.

"E-eh?"

"Kenapa awak terkejut? Bukankah pertarungan mahou shoujo dirahsiakan daripada pengetahuan umum? Setakat ini, tiada sebarang kemalangan jiwa melibatkan manusia biasa dalam pertempuran yang berlaku antara pihak mahou shoujo dengan musuh kami, Típota tou skótous." Aria menjelaskan kemusykilan Yami itu, namun riak wajah tidak puas hati lelaki itu masih tidak berubah.

"Tunggu dulu, mengapakah aku bertembung dengan Aya dan raksasa itu (entiti) jika mereka bertempur di dunia 'alter-dimension' yang kamu sebut itu?"

"Err.... Itu saya tak pasti. Kami masih mencari punca mengapa kejadian itu berlaku. Mungkin terdapat masalah teknikal atau ralat ketika itu, tetapi untuk perkara itu berlaku, amatlah mustahil..." Sebenarnya, situasi Yami itu telah menjadi tanda tanya pada organisasi mahou shoujo, justeru Aria telah ditugaskan untuk menyiasat perkara tersebut agar masalah yang sama tidak akan berulang kembali.

"Perkara mengenai awak tidak penting buat masa ini, saya kena membantu Aya-sama sekarang!" Aria berpaling daripada Yami, ingin menuju ke medan pertempuran menentang makhluk kegelapan itu.

"Tunggu!" Tangan Yami berada di bahu Aria, menahan gadis itu daripada berlalu pergi. "Bawa aku sekali!" Aria agak terkesima mendengar permintaan lelaki itu, tetapi dia tidak keberatan membenarkannya.

"Baiklah." Seraya Aria mencapai tangan Yami lalu memimpinnya menuju ke destinasinya, pintu 'alter-dimension' yang digunakan Aria untuk ke destinasi yang ingin ditujunya. Sebagaimana gajet Dor**mon, pintu suka hati, Aria boleh menuju ke mana-mana yang diingininya tanpa sebarang masalah. Namun, HANYA Aria sahaja yang boleh menggunakan pintu tersebut kerana kuasa mahou shoujo yang dimilikinya. Aria tidak mempunyai kekuatan untuk bertempur, sebaliknya mempunyai kuasa untuk menyokong mahou shoujo melalui sistem operator dimilikinya. Justeru, Aria tidak berada di barisan pertama dalam pertempuran, sebaliknya menjadi indikator untuk meramalkan musuh dan kedudukan mereka. Aria membenarkan Yami mengikutnya kerana mereka akan berada di kawasan yang selamat dan jauh daripada kesan pertempuran.

Setibanya di lokasi dituju, Yami dapat melihat dua mahou sedang bertempur, menghadapi 5 makhluk entiti yang ganas. 3 daripada 8 kelibat entiti tersebut telah ditewaskan oleh dua gadis tersebut. Apabila Yami menajamkan pandangannya, barulah dia perasan insan kedua yang bersama Aya dalam pertempuran itu ialah Mai. Rambut kebiruan Mai telah bertukar menjadi warna zamrud dan dilengkapi perisai magika seperti Aya. Sebaliknya, baju maidnya masih kekal sebagai pakaian asas, tidak seperti Aya yang bertukar seluruh pakaiannya kepada perisai magika. Mai menggunakan pistol bintangnya untuk menumpaskan musuh. Lagak gaya 'gunman', Mai menggunakan 'teknik sekilas tembakan' membuatkan serangannya sukar untuk dibaca. Dia menembak musuhnya, tetapi seolah-olah dia tidak pernah mengacukan pistolnya kerana gerakan pantas tangannya yang menggerakkan pistolnya daripada sarung senjata tersebut. Setelah menewaskan musuh yang dihadapinya, Mai pun berundur dan menghampiri Aria. Aya pula menghadapi 4 kelibat entiti yang masih aktif, tanpa sebarang masalah.

"Aria-sama, berapakah lagi kuasa teras magika yang saya ada sekarang?" Tanya Mai, masih tidak menyedari kehadiran Yami.

"Maafkan saya, Mai. Awak hanya ada 15 peratus kuasa dalam teras magika untuk awak meneruskan pertarungan. Awak perlu berehat Mai, supaya dapat mengembalikan kuasa awak. Jangan bimbang, Aya-sama dapat menewaskan raksasa-raksasa itu dengan mudah. Teras magika Aya-sama baru sahaja dipenuhi dengan kuasa nyawa..." Jawab Aria, tenang. Dia memantau situasi dan keadaan 2 perajurit sakti tersebut.

"Ceh, kuasa 'Yarem'..." Mai mendengus, menjangkakan kuasa Aya yang datang daripada lelaki yang berada di belakangnya, tanpa disedarinya. Yami mendengar umpatan Mai itu berasa marah akan sindiran Mai. Gadis itu memang tidak menyedari Yami, lalu dia menghampiri Mai dan menempuk bahu gadis itu.

"Eh? Yare... Yami-sama. Awak buat apa di sini?" Mai menukar nada sopan, menegur Yami yang agak masam itu.

"Heh, sudah terlambat untuk kamu menukar nada kamu! Kamu ingat aku tidak dengar?"

"Er... Itu hanyalah khayalan awak sahaja, Yami... Yarem-sama..."

"Gaaa.... Kamu memang sengaja mahu mencari kemarahan aku!" Yami naik angin, marah akan sindiran Mai tersebut.

"Maaf, aku tersilap kata..." Mai bersuara lembut lagak meminta maaf.

"Kamu memang sengaja! Nanti dulu, kamu ingat kamu watak siput yang selalu sesat dalam cerita hantu itu ke?!" Yami masih dalam mood marahnya, membalas kata-kata Mai dengan 'tsukomi'nya.

"Teehee pero..." Mai menjelirkan lidah sambil mengetuk perlahan kepalanya.

"Jangan 'teehee pero' dengan aku!"

"Haa, Mai sebenarnya cemburu dengan awak, Yami. Dia juga mahu menerima kucupan awak, Yami. Tidak adillah awak hanya berbuat demikian kepada Aya sahaja..." Kata Aria, cuba memecahkan situasi tegang antara Mai dengan Yami yang bagaikan anjing dengan kucing.

"Begitukah alasan sebenar kamu sehinggakan kamu begitu dingin denganku, Mai?" Wajah Yami menjadi serius. Mai agak terkejut melihat riak wajah Yami, lalu berkata;

"Bu-bukan begitu. Saya tidak mahu bercium dengan awak langsung!"

"Mai, aku faham. Kamu juga memerlukan kuasa 'nyawa' daripadaku untuk hidup dan berjuang menentang raksasa itu. Tetapi, seperti Aya, kamu bimbang aku akan mati bukan? Mai, aku tidak kisah untuk mati. Itu ialah pilihanku, setelah aku berkongsi nyawa dengan Aya. Begitu juga dengan kamu, Aria...." Ujar Yami, meluahkan perasaannya tanpa ada sedikit rasa segan. Dia benar-benar ikhlas.

"Eh, mengapa pula mahu dikaitkan dengan saya?!" Aria yang sebenarnya bergurau, agak terkejut dan menggelabah apabila mendengar luahan tersebut.

"Tidak adillah untuk aku menyelamatkan nyawa Aya seorang, bukan?" Yami mengambil serius kata-kata Aria, membuatkan situasi bertambah rumit untuk dua gadis ini.

"Boom!" Letupan daripada pertempuran antara Aya dengan entiti-entiti Típota tou skótous memecahkan situasi kekok tersebut. Aya seperti diramalkan, mudah menewaskan makhluk yang datang secara tiba-tiba itu tanpa sebarang masalah.

"Aya-sama!" Mai yang melihat protegenya menamatkan pertarungan itu, melambai-lambai ke arahnya. Aya yang masih berada di awangan itu, membalas lambaian Mai dengan senyuman, tetapi tidak lama apabila riak wajahnya bertukar melihat Yami berada di situ. Sepantas kilat, Aya menghampiri Yami dengan wajah cemas.

"Apa yang kamu lakukan di sini, Yami-san!" Wajah ayu Aya itu diselubungi rasa bimbangnya. Dia begitu bimbang insan tersayangnya ini dilukai akibat pertarungan ini.

"Aku mahu melihat dengan mata aku sendiri tentang perjuangan kalian menentang musuh. Aku tidak punya masa yang banyak di dunia ini, maka tidak kisahlah andai kata aku terkorban kerana permintaan aku ini. Adakah salah keinginan kecil aku ini untuk ditunaikan..?" Yami tidak terkesan nada serius Aya itu, sebaliknya meluahkan perasaannya.

"Ti-tidak... Saya tidak keberatan untuk menunaikan permintaan awak. Asalkan awak tidak membahayakan diri awak dengan menghampiri medan pertempuran kami..." Aya mengeluh, kemudiannya mengatakan perkara itu kepadanya. Riak wajah Yami berubah, sekilas mata memandang, sebelum kembali muram seperti biasa apabila mendengar kata-kata Aya itu.

"Aku tahu untuk melindungi diriku sendiri! Kamu tidak perlu bimbang akan keselamatan aku!" Yami membentak, marah kerana Aya melayannya seperti kanak-kanak naif.

"Tapi Yami-san, awak tidak mempunyai kuasa seperti kami. Awak hanyalah insan biasa yang tidak punya perlindungan diri seperti kami. Cukuplah awak membahayakan diri awak memberikan kuasa nyawa kepada saya. Saya enggan melihat diri awak terdedah dengan kebahayaan! Awak kena berjanji kepada saya!" Aya memaut bahu Yami, menyatakan perasaan gusarnya akan keselamatan lelaki itu. Yami tergamam dengan keseriusan gadis itu.

"Baiklah, aku berjanji..." Yami berpaling daripada Aya, meluahkan kata-kata itu. Aya menjadi serba-salah, kerana dia tahu bahawa lelaki itu pasti makan hati dengan bicaranya itu. Bukannya niat hatinya untuk menggelarkan Yami, seorang insan yang lemah dan perlu dilindungi, tetapi Yami tidak punya kuasa seperti Aya, Mai dan juga Aria. Aya tidak ingin lagi melihat kematian di hadapannya. Sepanjang hidupnya sebagai mahou shoujo, entah berapa ramai nyawa rakan seperjuangannya yang melayang menentang makhluk kegelapan. Aya enggan melihat lelaki yang disayanginya itu menerima nasib yang sama. Aya mendekati Yami yang kesedihan itu untuk memohon kemaafan kerana kata-katanya yang mungkin melukakan hati Yami.

"Yami-san, maafkan..." Belum sempat Aya mengucapkan ayat tersebut, bicaranya dipotong oleh Aria dengan suara yang penuh kebimbangan.

"Aya-sama, kita ada tetamu..." Aria berkata sambil mengatur langkah persediaan menghadapi musuhnya.

"Tetamu?" Soal Aya, berpaling ke arah Aria. Wajah pucat Aria itu menunjukkan 'tetamu' yang bakal ini bukanlah calang-calang.

"Ya. Yang paling memburukkan keadaan sekarang ialah tetamu kita ini ialah makhluk bertaraf S, Tiamat!" Aria semakin cemas apabila radarnya menunjukkan kelibat raksasa itu semakin menghampiri mereka. Mampukah Aya menghadapi cabaran terbaharu ini? Tiamat merupakan salah satu musuh terkuat mereka daripada 8 raja kegelapan, kini memunculkan dirinya menghadapi Aya, Mai dan Aria. Mereka tidak mempunyai bantuan daripada sesiapa, apatah lagi mempunyai kekuatan perang untuk menghadapi musuhnya itu. Mai masih lagi mentah dalam dunia mahou shoujo, manakala Aria pula hanyalah mampu memberikan sokongan dan bantuan dari belakang kerana tidak memilik kuasa tempur. Sebenarnya, Yami ialah kunci sebenar dalam pertarungan ini. Kuasa Aya datang daripadanya, tetapi bayarannya terlalu mahal, iaitu nyawa lelaki itu.

Persoalannya, adakah Aya sanggup menggunakan kuasa itu?