Chereads / Mahou Shoujo Primula (Malay) / Chapter 24 - Bab 6.3 – Cita-cita Amamiya Aya

Chapter 24 - Bab 6.3 – Cita-cita Amamiya Aya

Bahagian III

Lelaki itu hanya kaku itu ruang lingkungnya sendiri. Tidak berteman dan tidak pula bersendiri. Dia berada di tengah-tengah kehidupan manusia, tetapi dia terasing di dunia sendiri. Yang datang kepadanya tidak disambut, yang pergi meninggalkannya tidak dikenangi, hanyalah menjadi sebahagian senario dalam perjalanan hidupnya. Dia melihat sekitarnya seperti menonton tayangan di kaca televisyen. Siapakah yang akan gembira menemui seseorang yang hanya memperlihatkan bakat lakonannya untuk menghiburkan orang lain? Siapakah pula yang akan menangisi si pelakon yang meninggalkan layar perak pada akhir peleraian filem mereka? Lelaki itu ialah individual dalam kelompok humaniti yang memerlukan pasangan dan teman.

Mengapakah lelaki itu berlaku demikian? Dia tidak membenci atau dibenci. Dia punya kelebihan dan bakat yang dicemburui semua, tetapi tiada riak bangga dalam diri insan itu. Lelaki itu tidak menolak untuk bersosial, tetapi sentiasa menjurang dirinya dengan dunia bermasyarakat itu. Siang dan malamnya, jaga dan tidurnya, apakah memberikan makna tersendiri, sedang dia tidak menghargainya? Maka suatu ketika, datang seorang gadis yang mahu menghulurkan cintanya kepada lelaki itu. Lelaki itu dengan selambanya, menjawab;

"Apakah engkau memahami erti cinta sedangkan engkau tidak memahami aku? Cinta engkau hanyalah luaran, maka apakah istilah itu cukup buat engkau menerima aku?"

Maka kata gadis itu; "Cinta itu memerlukan masa untuk bersemi andai kamu memberikan peluang untuk saya menyemaikannya."

"Tetapi, adalah mustahil untuk aku menerimanya cinta itu kerana aku takut menerima kepalsuan dan kejelikan perasaan yang tersembunyi antaranya. Akulah yang sebenarnya penipuan itu," ujar lelaki itu lagi.

Gadis itu berlalu kecewa, meninggalkan daerah sepi lelaki itu. Mengapakah lelaki itu mengatakan dirinya pendusta? Kerana dia senyum, menopengkan kesedihan, dia menegur, kerana menyelimutkan keseorangan dan dia berkawan, sebagai retorik sosial semata-mata. Yang bersahabat dengan lelaki itu, tidak pernah membaca hati dan perasaannya. Yang sekelas dengan lelaki itu, menganggap kehadiran lelaki itu seperti insan lain, biasa dan tiada curiga atau perjudis. Tetapi definisi kehidupan lelaki itu berbeza, sangat berlainan dengan insan yang berbunga hidupnya. Sekalipun sepi kehidupan lelaki itu, dia tidak tahu ada yang memandangnya. Ada yang melihatnya dari jauh, simpati akan diri lelaki itu. Sesekali lelaki itu berpaling, mencari jelingan mata kepadanya, tetapi empunyanya itu berselindung dalam rumpun manusia yang bergelar pelajar. Sebab mata itu tahu, lelaki itu tidak mempercayai dirinya sendiri.

...................................................

Tepukan gemuruh diberikan oleh penonton-penonton yang hadir dalam pentas mini kelas 2-A terhadap lakonan mime Yami disuarakan oleh Ueda Kasumi. Mai yang tidak melepaskan peluang untuk menonton lakonan Yami itu, agak kagum dengan lakonan berkesan Yami itu. Aya yang sibuk di kafe binatangnya, tidak ketinggalan untuk menonton lakonan Yami pada tayangan pertama persembahan mini kelas 2-A itu. Lebih menarik lagi, tayangan yang sepatutnya hanya tiga kali ditambah menjadi lima kali atas permintaan. Tulisan skrip ketua kelas merangkap pengarah persembahan, Sakagami Kyou, mendapat pujian ramai dan telah menarik banyak pelajar serta pengunjung luar yang datang untuk menontonnya.

"Tidak sangka awak pandai berlakon, Yami-sama," Mai bersuara apabila kelibat Yami muncul dari belakang pentas mini selepas pementasan pertama berakhir.

"Hmph, tiada yang mustahil untuk lelaki sempurna seperti aku..." Yami spontan berkata, tetapi sinis. Pujian Mai itu dianggapnya sarkastik.

"Tapi, awak benar-benar menjiwa watak lelaki itu. Tidak, persembahan itu seolah-olah ditulis mengenai diri awak!" Kata Aya, yang turut berada di situ bersama Mai, bersetuju dengan kenyataan aperantisnya itu.

"Itu hanyalah perasaan kamu sahaja..." Yami menafikan situasi itu.

"Begitulah caranya awak bersandiwara untuk mempermainkan hati perempuan nanti, Yarem-sama..." Ujar Mai, yang agak marah apabila pujiannya menjadi bahan sindiran.

"Jangan bimbang, aku takkan sesekali akan mempermainkan perasaan kamu, hanya Mai seorang sahaja yang tidak akan aku dekati," sinis lagi Yami, membalas sarkastik Mai.

"Bawa bertenang Mai, Yami-san tidak berniat buruk apabila berkata sedemikian," Aya bertindak sebagai orang tengah, menenangkan perasaan dua insan yang bagaikan anjing dengan kucing ini.

"....." Eri tidak memberikan komen, kerana dia turut menjadi salah seorang pelakon pementasan mini itu. Watak gadis yang ditolak oleh Yami dalam cerita itu, ialah dirinya. Oleh sebab Yami menghayati watak dengan baik, Eri berasakan bahawa Yami benar-benar menolak cintanya. Lantaran itu, moodnya terganggu walaupun perkara itu hanyalah sekadar lakonan.

"Kenapa dengan kamu ni, Eri?" Soal Yami, yang agak curiga melihat wajah sayu Eri selepas pementasan itu.

"Tiada apa-apa..." Eri memalingkan wajahnya, berlalu pergi dari lokasi Yami. Dia enggan menunjukkan raut sedihnya kepada abang tiri kesayangannya itu. Yami hanya memerhatikan Eri berlalu pergi kemudiannya merasakan seseorang sedang memandangnya.

"Em?" Yami berpaling ke arah Sakagami Kyou, yang kelihatan tersenyum bersahaja dari jauh. Setelah pandangan Yami beralih kepadanya, Kyou pun menghampiri Yami namun tidak menghentikan langkahnya. Dia hanya melewatinya dengan berkata;

"Teruskan lakonan awak untuk pementasan yang lain." Yami tidak memberikan respons, sebaliknya hanya membiarkan gadis itu berlalu. Aya dan Mai seperti Yami, agak hairan dengan ujaran Kyou itu, namun meneruskan semula perbualan kosong mereka.

Sementara itu, Kanade yang sedang berhempas pulas mengawal situasi badan persatuan pelajar di bilik khasnya, agak terkilan kerana tidak dapat menonton persembahan lakonan Yami itu. Walau bagaimanapun, dia tetap berkesempatan untuk menonton pada tayangan ke-5 persembahan kelas 2-A, yang merupakan tayangan terakhir dan slot tambahan kerana mendapat permintaan luar biasa pada hari pertama. Kanade telah diberikan kerusi khas VIP atas tiket presiden pelajar untuk menonton tayangan itu kelak. Kanade begitu sibuk mengendalikan kawalan keselamatan dan kelancaran majlis supaya tidak timbul apa-apa masalah. Walau bagaimanapun, setiap lima minit, Kanade akan mengeluh kerana tidak dapat bersama Yami, membuatkan timbalan presiden, juga kawan baiknya menggeleng-gelengkan kepalanya.

Selepas menonton tayangan lakonan Yami, Aya kembali meneruskan tugas sebagai pelayan dan penyelia di bilik kelab gimnastik yang mengadakan kafe haiwan. Sungguhpun haiwan menjadi kesukaan kaum hawa, tetapi lebih banyak pelajar lelaki yang berkunjung ke kafenya itu. Tidak dihairankan, para pelayan memakai kostum 'maid' bertemakan haiwan dan menarik kaum-kaum otaku ke sana. Para pelayan memakai cekak yang dihiasi 'telinga haiwan' seperti kucing dan anjing serta memakai ekor di belakang menjadikan premis Aya itu menjadi tumpuan ramai. Lebih-lebih lagi, kecantikan Aya yang terkenal menambahkan tarikan untuk kaum lelaki untuk bertandang ke sana. Di samping itu, penampilan Mai, seorang 'maid' sebenar, yang membantu Aya walaupun dia bukan pelajar sekolah ini juga menjadi bual para pelajar lelaki di sekolah tinggi tersebut. Ramai yang tertarik setelah mendengar kisah Mai, datang ke kafe tersebut. Walau bagaimanapun, cerita mengenai Mai telah bertukar kepada kisah pertambahan ahli harem Yami kerana khabar angin apabila melihatkan hubungan rapat antara Yami dengan Mai (berdasarkan pandangan orang lain) ketika persembahan di kelas 2-A. Sayangnya, Aria tidak menyertai mereka kerana dia sibuk menguruskan pertahanan jajahan Aya supaya tidak dicerobohi entiti Típota tou skótous. Alasan Mai datang ke sekolah ini kerana Aya meminta bantuan Mai untuk menghiasi kafe tersebut di samping mendapatkan haiwan-haiwan yang dipamerkan. Mai merupakan ahli penting dalam 'Ros Perak' untuk pengurusan komoditi dan keperluan asas mahou shoujo. Justeru, dia mempunyai banyak kontek dan hubungan dengan pembekal, memudahkan dia mendapatkan permintaan Aya tersebut. Tidak hairanlah, banyak baka haiwan unik seperti kucing Maine Coon, kucing yang sebesar anjing dewasa, menjadi tarikan utama di situ.

Dalam masa kerancakan kafe haiwan yang dikendalikan Aya itu, Saaya baru sahaja menewaskan pencabar pertamanya, Feng Chui, pelajar China tahun 3, juga salah seorang pelajar Sekolah Tinggi Harima. Gadis asing ini merupakan anak kepada pengusaha restoran makanan China yang agak popular di Harima. Lebih menarik lagi, restoran tersebut berdekatan dengan kedai ramen milik bapa Saaya membuatkan pertandingan ini lebih menarik. Pertandingan ini diadili oleh 3 orang juri jemputan iaitu semua terdiri daripada pengkritik makanan yang profesional. Setiap seorang akan memilih makanan kegemaran mereka daripada dua pihak bertanding, dan peserta akan diberikan poin berdasarkan pilihan tersebut. Kemenangan 3 – 0 membuktikan kegagahan dan kehebatan Saaya dalam dunia kulinari, sungguhpun hanya seorang amateur. Walaupun bergelar juara, tiada riak ceria pada wajah Saaya kerana dia tidak dapat menonton lakonan Yami, suatu perkara yang mengecewakan dalam seumur hidupnya. Namun, Saaya tidak menunjukkan perasaannya itu, sebaliknya bersedia dengan pencabar keduanya, juga seorang pelajar senior dan pelajar asing daripada Korea Selatan, Ji Shen, anak kepada pemilik francais restoran stimbot Korea terkenal, iaitu Busan Garden. Cabaran kedua dan tema pertandingan buat Saaya kali ini ialah masakan Korea, sebagai kelebihan buat pihak lawan. Saaya ingin segera menamatkan pertandingan ini kerana ingin menonton persembahan Yami. Dia tidak hilang fokus, sebalik penuh membara untuk meraih kemenangan sekali lagi. Saaya hanya akan bersaing sebanyak dua kali sahaja hari ini kerana ketiadaan Eri yang membantu kelas 2-A dalam persembahan lakonan mime. Setelah menang bergaya 3 – 0 sekali lagi, Saaya segera meninggalkan pestanya untuk menonton tayangan ketiga lakonan Yami tanpa memperdulikan reaksi lawannya yang kesedihan itu.

Nun di rumah Yami, jari-jemari Aria masih tidak betah untuk menari-nari pada papan kekunci komputer super miliknya. Sesekali, dia mengurutkan matanya yang penat, setelah menatap layar skrin gergasi di hadapannya tanpa henti selama 5 jam. Aria yang agak kepenatan itu, bangun daripada kerusi empuknya itu, membuat renggangan kerana kelenguhan duduk lama. Aria teringatkan ketuanya, Aya yang berada di sebolah bersama Yami. Aria sesekali berasa cemburu apabila ketuanya itu dapat merasai keseronokan 'orang muda' menyertai festival tersebut. Tetapi cemburunya tidak panjang, kerana ketuanya itu tidak pernah bersekolah. Sekurang-kurangnya, Aria pernah bersekolah, walaupun selalu lompat darjah dan tingkatan. Aria juga pernah menghadiri universiti, dan menamatkan pengajiannya dalam masa dua tahun sahaja. Profesor Rei telah mengambilnya sebagai aperantis, seterusnya diberikan kuasa yang berlainan daripada mahou shoujo.

Jika kuasa mahou shoujo ialah jiwa, maka kuasa Aria ialah minda. Aria mempunyai kuasa 'operator', kuasa untuk merencanakan strategi, pengintipan dan pengorganisasian dalam peperangan menentang puak gelap. Kontradiksinya, Aria tidak mempunyai kuasa tempur seperti Aya dan Mai. Justeru, tugas Aria sebagai pembantu atau 'supporter'. Keunikan kuasa Aria ialah dia dapat menaikkan kuasa tempur melalui 'buf' sama ada kelajuan, kekuatan dan pertahanan. Hakikatnya, Aria ialah prototaip pertama untuk ahli mahou shoujo dengan kuasa sokongan. Projek Profesor Rei tergendala, lebih tepat lagi dihentikan setelah dia kehilangan isterinya. Aria merupakan produk tunggal kajian itu sebelum diabaikan. Sedang Aria kehilangan arah, Ayalah yang menghulurkan tangan untuk membantunya menjadi ahli Ros Perak, setelah disisihkan dan dipandang rendah oleh mahou shoujo yang lain. Ironinya, kumpulan Ros Perak juga sudah mengalami keruntuhan, namun kekuatan kewangannya melalui polisi Aya menyebabkan kumpulan itu masih terus kekal walaupun hanya tinggal lima orang ahli.

Aria yang mengimbau kenangan lama itu, teringat masalah yang bakal menimpa kumpulan Ros Perak kelak. Jumlah ahlinya sudah berkurangan lagi. Aria tidak tahu siapakah yang membocorkan maklumat, tetapi Sena dan Elina telah mengetahui hubungan Aya dengan Yami. Hal ini telah mengejutkan mereka kerana moto dua orang gadis itu ialah menyelamatkan dunia, membenci lelaki. E-mel yang diterimanya merupakan makluman daripada mereka berdua. Aria tidak tahu bagaimana untuk menerangkan situasi itu kepada Aya. Inilah sebab sebenar mengapa Aria tidak bertandang ke sekolah Yami. Dia terpaksa membuat pantauan terus-menerus kerana ejen Ros Perak, Elina dan Sena telah meninggalkan pos tugasan mereka. Dengan menggunakan alat robotik yang dihasilkan Aria, dia dapat memantau situasi di kawasan Aya, namun dia tidak boleh meninggalkan pos kawalan iaitu biliknya pada jangka masa yang lama.

Aria mengeluh kecil, lalu membuka skrin khas untuk meninjau situasi di Sekolah Tinggi Harima. Jangan fikir bahawa Aria tidak mengetahui tentang situasi yang berlaku di sekolah tersebut. Dia telah merakamkan setiap minit lakonan Yami, untuk lima persembahannya pada hari itu, sebagai bahan untuk dia mengenakan lelaki yang selalu bermasam muka. Kelihatan senyuman jahat, terukir pada bibir mungil Aria! Kalaulah ada perkara yang menggembirakan Aria, perkara itu ialah saat dia mengusik lelaki bernama Yami.

"Achoomm...." Di Sekolah Tinggi Harima, Yami terbersin tiba-tiba, ketika berehat sebelum tayangan ketiga.