Nota Dr. Elric
Pertempuran dahsyat di daerah Harima melibatkan Primula, mahou shoujo generasi pertama dengan entiti S, Tiamat iu menggemparkan seluruh dunia. Keamanan sementara yang telah dikecapi oleh dunia selepas kemenangan ke atas maharaja kegelapan, Maou Vearth dirasakan telah berakhir. Setiap badan keselamatan dunia, baik tajaan negara atau persendirian, telah mengadakan mesyuarat tergempar untuk menangani kemelut tersebut. Saya, Elric yang bertugas sebagai pembantu peribadi Dr. Kurosaki, juga merangkap timbalan pengerusi pusat keselamatan Neo-Saint juga merasai kesan daripada pertempuran itu kerana telah ditugaskan melaksanakan pelbagai perancangan dan strategi untuk menangani kepincangan dunia tersebut. Saya agak terkejut melihatkan situasi tenang Dr. Kurosaki walaupun anaknya juga terlibat dalam pertarungan tersebut. Walaupun sesekali tangannya menyudukan garam ke dalam kopinya, sebelum memarahi pembantu yang lain menghidang kopi masin, Dr. Kurosaki tetap tenang menatap skrin yang menayangkan insiden tersebut.
Setelah berakhirnya pertarungan sengit tersebut, Dr. Kurosaki terus sahaja bertolak ke Jepun, tetapi bukan untuk menemui anak tunggalnya, sebaliknya ke pangkalan Mahou Shoujo yang telah ditinggalkan oleh beliau. Saya tidak pasti apa tujuan beliau, namun saya dapat jangkakan pertemuan itu sesuatu yang berkaitan dengan anaknya, mungkin.
---------------------------------
Pertemuan 7 raja kegelapan
"Tiamat telah tewas di tangan mahou shoujo...." Suara wanita bergema, dipunyai oleh salah seorang daripada raja kegelapan, Cuelebre, memaklumkan kematian seorang ahli dalam kumpulan mereka. Namun, nada itu tidak sedikit pun menggambarkan kesedihan, kontradiksinya penuh sarkastik dan sinis. Cuelebre bersahaja, bermain-main rambut panjangnya, menantikan respon raja-raja lain di sekelilingnya.
"Dia seorang sahaja tidak dapat menerima kematian Tuan Alduin..." Seorang ahli lagi bersuara, memecahkan kesepian setelah mendengar kata-kata Cuelebre. Tujuh raja kegelapan yang tinggal sebenarnya sudah tahu akan kematian Alduin, yang merupakan pembunuh sebenar ibu Yami, Hikari. Persoalannya, mereka tidak mengetahui bagaimana kematian itu berlaku, apatah lagi sejurus Alduin memasuki daerah Harima, dia tidak lagi dapat dikesan. Oleh yang demikian, Tiamat menolak berita kematian Alduin lalu menghantar satu demi satu raksasa untuk mengenal pasti situasi dan musuh yang berada di lokasi tersebut.
Tujuh raja kegelapan yang lain tidak menghalang tindakan Tiamat, malah membiarkan Tiamat mengepalai tentera Típota tou skótous untuk melancaran siri serangan ke atas daerah itu. Tiamat mempunyai keobsesan ke atas tempat itu, mungkin pengaruh empunya jasad sebenar yang kini milik Tiamat itu. Seperti Tiamat, Cuelebre juga lahir daripada jasad manusia yang dipilih Maou Vearth. Sifat kewanitaan dan keanak-anakan Cuelebre juga merupakan pengaruh daripada sikap manusia yang diwarisnya setelah memiliki tubuhnya. Cuelebre merupakan satu-satunya entiti S berjantina perempuan berbanding tujuh yang lain.
"Jadi, siapakah yang akan mengetuai tentera Típota tou skótous selepas Tiamat?" Cuelebre, yang bertindak seperti pengerusi majlis, mengajukan soalan itu kepada ahli-ahli kumpulan tertinggi di situ.
"Aku.." Salah seorang raja, yang hanya membatukan diri sejak bermula mesyuarat itu, bersuara.
"Vere Celen...." Mata Cuelebre memandang tepat ke arahnya. Kemudian, dia tersenyum.
------------------------------------------------------------
Berita mengenai pascapertempuran
Pihak media telah melaporkan tiupan angin kencang memusnahkan kawasan berhampiran Sekolah Tinggi Harima namun tiada mangsa atau kehilangan jiwa dinyatakan. Pihak berkuasa telah mengawal keadaan dan menjalankan proses pembersihan untuk keceriaan dan keselamatan tempat awam. Pelajar-pelajar sekolah tersebut telah ditemu bual memberitahu bahawa kejadian itu berlaku ketika mereka sedang mengemas dan melupuskan sisa-sisa festival yang disertai mereka sebagai acara tahunan alma mater mereka. Salah seorang saksi menjelaskan bahawa angin kencang bertiup tiba-tiba daripada kawasan berhampiran, lalu guru-guru yang bertugas itu mengarahkan semua pelajar berlindung di bangunan sekolah. Kejadian itu berlaku kira-kira selama setengah jam sebelum reda kembali. Setelah itu, mereka dibenarkan pulang, dan terpaksa menangguhkan operasi pembersihan kerana bimbang hal sama berulang kembali.
Walau bagaimanapun, kisah tersebut telah disanggah oleh beberapa pengguna media sosial kerana menganggap bahawa berlakunya suatu pertempuran hebat antara pahlawan sakti, mahou shoujo dengan raksasa yang jahat. Perkongsian dalam media sosial itu tersebar luas, sama ada dalam bentuk jenaka atau disertakan bukti dan eviden kejadian. Tidak ramai yang mengambil kisah atau percaya akan kebenaran bukti itu, tetapi setelah beberapa jam eviden itu dipaparkan, laluan ke atas bahan tersebut telah disekat dan dihapuskan. Orang yang bertanggungjawab menyebarkan maklumat itu juga telah menafikan perbuatan mereka, malah tidak ingat atau tahu bilakah bahan yang diperkatakan itu disebarkan melalui akaun media sosialnya. Akhirnya, perkara itu dianggap sebagai serangan penggodam dan dilupakan oleh semua orang, kecuali peminat fanatik mahou shoujo....
Ada yang menyalahkan kemunculan Ult***an, tetapi itu juga gurauan yang disebarkan oleh para pengguna yang menggemari 'Meme' dan 'troll'.....
------------------------------------------------------------------
Peleraian kisah Yami dan haremnya teman-temannya
Setelah berakhirnya insiden Tiamat, Yami, Aya, Eri dan Saaya meneruskan sesi persekolahan mereka seperti biasa. Sungguhpun hanya tinggal beberapa hari sebelum cuti musim panas, mereka tetap meneruskan tanggungjawab mereka sebagai pelajar sekolah. Hari-hari sebelum cuti sebegini, kebanyakan kelas mereka merupakan sesi ulang kaji sendiri kerana guru-guru sibuk dengan kelas khas bagi pelajar yang gagal atau tidak mencapai skor minimum yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Yami, Aya, Saaya dan Eri merupakan antara pelajar sepuluh teratas tidak terlibat dalam kelas tersebut, malah mereka dibenarkan untuk tidak hadir jika mereka mahu. Namun, mereka bertiga mempunyai latihan kelab dan persatuan disertai menyebabkan kehadiran mereka diperlukan. Kelab bola sepak Yami akan mengadakan perlawanan persahabatan sebelum cuti musim panas, menentang pasukan junior kebangsaan Jepun. Dengar khabar, jurulatih mereka mahu menilai kehebatan Yami, justeru merencanakan jadual perlawanan ini. Yami mungkin tidak akan bermain dalam perlawanan tersebut kerana dia tidak berminat untuk bermain dengan pasukan kebangsaan dan memberi peluang kepada junior-juniornya mencuba nasib dalam pertemuan itu.
Selepas enggan dipancing oleh jurulatih kebangsaan, Yami tidak dapat memberikan fokus dan tumpuan kerana tubuhnya masih tidak berada dalam keadaan terbaik. Gadis-gadis penghuni rumahnya agak membimbang keadaannya, tetapi Yami tidak memperdulikan simpati mereka. Suasana dingin menyelubungi rumah Yami. Yami hanya membatu sejak semalam dan langsung tidak berkomunikasi dengan gadis-gadis yang menumpang rumahnya, membuatkan mereka bertambah risau dengan situasi lelaki itu. Aria yang sering mengganggu Yami di biliknya, juga gagal berinteraksi dengan lelaki itu kerana terhalang daripada memasuki ruang privasi Yami tersebut. Mai pula yang selalunya memulakan pertengkaran dengan Yami jika mereka bertembung, tidak berani meluahkan sebarang kata-kata, namu sesekali menunjukkan reaksi risau terhadap pemilik rumah tersebut. Justeru, penjalanan Yami, Aya, Saaya dan Eri itu diam seribu bahasa kerana masing-masing tidak punya keberanian untuk memulakan bicara. Sanosuke yang biasanya mengusik Yami apabila terserempak kawan baiknya bersama gadis-gadis itu turut merasakan kedinginan yang melanda antara mereka. Dia mahu mengatakan kepada Yami iaitu "pergaduhan antara kekasihkah?" namun menghentikan niatnya apabila melihatkan mood Yami yang sedang berangin itu.
Yami, Aya, Eri dan Saaya yang tiba di kelas mereka, mengambil tempat duduk masing-masing seperti biasa. Dalam beberapa ketika selepas bunyi loceng sekolah bergema, pintu kelas telah dibuka, dan kelihatan guru kelas mereka, Tsukino memasuki kelas tersebut dengan wajah teruja. Ada dua perkara sahaja menyebabkan Tsukino berkeadaan begitu, iaitu ketika membawa keputusan peperiksaan para pelajar ATAU ada pelajar baharu bakal memasuki kelas mereka. Kemungkinan kedua itu agak tipis kerana Aya baru sahaja diperkenalkan tetapi untuk kemungkinan pertama agaklah mustahil, kerana masing-masing sudah mengetahui keputusan mereka. Lantaran itu, para pelajar 2-A tertanya-tanya apakah berita yang bakal dibawa oleh guru kelas mereka itu.
"Uhum... (batuk sengaja) Kita ada rakan sekelas yang baharu...." Pengumuman daripada Tsukino-sensei itu menggemparkan seluruh kelas 2-A. Seperti biasa, Yami tidak memberikan tumpuan kerana kehilangan mood setelah insiden kelmarin. Begitu juga dengan Aya, Saaya dan Eri, yang risau dengan perubahan mood Yami, sesekali mengintai riak wajah lelaki itu dari tempat masing-masing.
"Adakah dia perempuan?!" Sanosuke, seperti biasa juga, dengan soalannya penuh niat jahatnya itu.
"Ya, cantik pula tu!" Jawab Tsukino, dengan bersemangat. Guru kelas mereka itu memang 'sporting'.
"Yahoo.....!" Jerit semua pelajar lelaki, bergembira kecuali Yami. Dasar lelaki.
"Eaa?" Reaksi tidak puas hati datang daripada pelajar-pelajar perempuan kecuali Aya, Eri dan Saaya. Mereka sibuk memikirkan situasi Yami, tidak mengendahkan reaksi negatif itu.
"Miss De Laet, silakan masuk..." Suara Tsukino seraya menjadi sopan, menjemput pelajar baharu itu untuk masuk ke kelas 2-A tersebut.
"Terima kasih, Miss Tsukino...." Gadis berambut keemasan itu masuk dengan langkah elegans, lagaknya tidak ubah seperti seorang puteri. Gayanya bak orang kaya seperti Eri, tidak, gadis itu lebih memukau seluruh kelas seolah-olah merekasedang menghadap golongan kerabat diraja pada zaman feudal. Masing-masing terdiam, bagai tergamam dengan kehadiran gadis jelita ini.
"Mustahil, Juliette? Kenapa?" Aya terkejut dengan kehadiran gadis itu, menyuarakan kecelaruannya itu. Gadis itu, yang terdengar suara kecil Aya, tersenyum angkuh.
"Sila kenalkan diri kamu..." Bicara Tsukino, agak sopan berbanding biasa, kerana si guru itu bimbang untuk melukai perasaan pelajar baharunya itu.
"Saya Juliette De Laet, seorang waris bangsawan di Belgium. Saya datang ke sini untuk belajar bersama tunang saya di sini. Saya perlu menyediakan diri saya untuk menjadi isterinya..." Terang gadis itu, dengan nada menggoda.
"Eaaa........"
"Mustahil....." Suara-suara sedih kaum lelaki kedengaran apabila Juliette mengumumkan tujuannya datang ke sekolah ini.
"Siapakah lelaki bertuah itu!" Berbanding kaum adam, para gadis di kelas 2-A itu memberikan reaksi teruja, apatah lagi situasi Juliette itu bagai kisah-kisah drama dalam televisyen yang menjadi kegilaan wanita moden.
"Maafkan saya kepada lelaki-lelaki budiman semua... Tetapi hati saya ini telah diikat oleh seorang lelaki yang tidak saya kenal dan cinta kerana status saya. Biarpun pedih, saya akan tabah untuk menanggung penderitaan ini." Juliette menyambung, melontarkan kata-kata seperti gadis tragik dalam Romeo dan Juliet. Wajah Aya semakin pucat, manakala Eri dan Saaya pula mula memberikan reaksi berlainan melihatkan perubahan emosi Aya. Yami pula, dia memandang luar tingkap, memerhatikan alam sekeliling tanpa minat. Ketiga-tiga gadis itu kemudiannya menyedari hakikat sebenar apabila mata Juliette yang mencari seseorang di kelas itu, tertatap ke arah Yami yang acuh tidak acuh akan situasi kelas. Juliette telah menemui sasarannya itu, lalu berkata;
"Lelaki itu ialah... Yami-sama...." Juliette menamatkan bicaranya dengan penuh dramatik.
"HAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAAH!!" Semua pelajar lelaki kecuali Yami menjerit kemarahan.
"YAMI..... APAKAH WARNA DARAH KAU....?" Sanosuke memegang bahu Yami dalam kegeraman....
"KALAULAH KUMPULAN 3 F TU BENAR-BENAR WUJUD, PASTI HARI-HARI KUROSAKI BAKAL BERAKHIR.....!" Kata seorang pelajar lelaki, sambil diiyakan oleh rakan-rakan sekeliling.
"Apakah yang kamu semua merepek ni?" Yami terkejut apabila suara kemarahan para pelajar lelaki berfokus kepadanya. Dia tidak faham akan situasi yang melanda kelas 2-A kerana tidak mendengar kata-kata Juliette sebentar tadi.
"Yami...."
"Kenapa?" Yami mengalih pandangannya, mendengarkan suara Aya.
"Dia ialah Grand Meister, ketua Master Mahou Shoujo yang terkini..."
"Hah?"
Bersambung....