Chereads / Mahou Shoujo Primula (Malay) / Chapter 28 - Bab 7.3 – Nasib/ Pertempuran

Chapter 28 - Bab 7.3 – Nasib/ Pertempuran

Bahagian III

Menjadi seorang lelaki sejati ialah melindungi seorang wanita. Itulah prinsip yang selalu aku pegang dalam hidupku. Setelah kehilangan ibuku, itulah motto yang menjadi pendorong aku dalam meneruskan kehidupan aku. Saat-saat kematian bondaku, kata-katanya masih terus terngiang-ngiang di telinga aku hingga hari ini;

"Perempuan tidak suka pada lelaki yang selalu menangis tau. Kelak, Yami mesti berani dan kuat untuk melindungi perempuan sepanjang masa..."

Sebaliknya aku, Kurosaki Yami, masih tidak mampu melakukan apa-apa selain hanya tergamam menyaksikan pertempuran antara mahou shoujo dengan entiti S yang menyerang kami, Tiamat. Perajurit penyelamat dunia, mahou shoujo yang berjantina perempuan, terus terdesak berjuang bermati-mati di depan mataku sekalipun pertarungan itu nyata berat sebelah. Raksasa entiti S bersusuk seperti manusia itu terlalu kuat sehingga serangan yang dilakukan oleh sepasang mahou shoujo, Aya dan Mai tidak langsung mencederakannya walau sedikit pun. Pembantu pasangan itu, Aria berada di belakang mereka menggunakan kuasa sokongannya iaitu 'supporter' turut terdesak apabila semua strateginya tidak berjaya dan gagal menembusi kelemahan musuh. Wajah sengsara Aria yang berhampiran dengan aku itu menggores perasaan aku sebagai seorang lelaki yang sepatutnya melindungi mereka!

Aku mula membencikan diriku ini sepenuh hati. Kerana aku, organisasi Ros Perak yang dipimpin oleh Aya hanya tinggal tiga orang sahaja kerana pembelotan dua ahlinya. Menurut Aria, mereka tidak mahu lagi bersama organisasi yang hidup segan mati tak mahu itu kerana ditawarkan oleh kumpulan yang lebih baik. Lebih-lebih lagi, mereka enggan diketuai oleh Aya yang terpaksa bergantung kepada kuasa lelaki, iaitu aku, untuk meneruskan kehidupan dan perjuangannya. Kedua-dua striker terakhir Ros Perak itu akhirnya telah memilih untuk berpaling tadah – semuanya berpunca daripada aku. Apabila aku bertanya Aria, mengapa dia masih kekal bersama Aya – jawabnya, dia mahu lihat kesudahan aku dan Aya, yang dikaitkan oleh Aria seperti kisah Romeo dan Juliet.

Aya tidak pernah menunjukkan rasa kecewa kerana dibeloti pengikutnya. Apatah lagi menyalahkan aku sebagai punca keretakan kumpulan itu. Malah, Aya hanya tenang menghadapi masalah tersebut dengan tenang dan mengatakan aku merupakan suatu bentuk kebahagiaan yang datang buatnya. Aku tidak dapat menerima kenyataan itu, kerana aku hanya mampu melihat kesengsaraan Aya dan gadis-gadis yang lain memperjuangkan keselamatan dunia. Aku hanyalah lelaki yang digambarkan sebagai "kesedihan", kerana tidak mampu melakukan apa-apa untuk memberikan kebahagiaan yang diimpikan oleh Aya itu.

Sebenarnya, aku tahu bahawa kemampuan sebenar Aya melalui kisah Aria. Gadis itu mampu menghadapi sebarang musuh tanpa masalah. Aya juga ialah perintis mahou shoujo yang bergelar Primula, 'yang pertama'. Dia ialah wirawati yang menewaskan maharaja kegelapan walaupun dengan bayaran kemenangan itu adalah begitu mahal untuk aku telan. Banyak nyawa terkorban dalam pertempuran kemuncak antara puak cahaya dengan puak kegelapan. Kalian pasti hairan mengapakah Aya kini menghadapi kepayahan menghadapi musuhnya bergelar Tiamat, bukan? Aya tidak lemah seperti kalian sangkakan. Masalah Aya sekarang cuma ada satu, dia enggan menggunakan kuasa penuhnya. Aria menyatakan bahawa dia bimbang bahawa nyawa aku akan terancam jika terus menggunakan kuasanya itu. Aku sudah jelas bahawa bayaran untuk kekuatan itu adalah mahal.

Memikirkan hal itu, aku terus jadi marah dengan dilema Aya. Mengapakah aku pula yang perlu dirisaukannya sedangkan dia perlu menewaskan musuh yang mampu menggugat dunia itu? Aku percaya bahawa nyawa Aya lebih bermakna daripada diriku, insan lemah yang tidak punya kekuatan untuk menentang kebatilan. Aku hanya ibarat seekor lintah yang menyedut jasa Aya, insan penyelamat bumi daripada termusnah akan kejahatan. Malangnya, mereka tidak pernah dihargai kerana bakti tidak terhingga mereka itu. Yang menjadi pujaan ramai, hanyalah kecantikan dan kejelitaan mereka sahaja. Pernah kita sedar bahawa betapa deras air mata mereka yang mengalir, menangisi pemergian rakan-rakan seperjuangan? Atau memahami cemburu mereka terhadap insan-insan normal yang lain menikmati hidup-hidup bahagia bersama keluarga? Aku juga telah kehilangan ibu tersayang dan diabaikan oleh bapa tidak berguna itu, tetapi apalah sangat kemelut itu berbanding kehidupan mereka? Mereka hanyalah mempunyai tangan yang membuai buaian, tetapi tangan itulah yang menggegar dunia!

"Argh...." Mai yang terkena serangan Tiamat, jatuh terhempas ke tanah. Suara kuat Mai mengembalikan aku pada realiti.

"Mai!" Yami menjerit ke arah Mai, yang cedera teruk akan serangan itu. Aku segera berlari deras ke arahnya, cuba memastikan situasi gadis itu. Tidak lama selepas itu, aku terdengar bunyi orang jatuh berhampiran denganku – aku pasti insan itu ialah Aria.

"Maafkan saya, Aya..." Aria juga yang kehilangan kuasa magikanya, tidak lagi berkudrat untuk tegak berdiri lagi. Nyawanya juga sudah terancam. Begitu juga dengan Mai yang berada pada pangkuku ini. Sungguhpun Aya bimbang keadaan mereka, dia tidak dapat mendekati dua gadis tersebut kerana dihalang oleh Tiamat, raksasa itu. Aku mengangkat Mai, memikulnya pada bahuku lalu menuju ke arah Aria yang sudah lemah itu.

"Aria!" Sambil mendukung Mai, aku berlari ke arah gadis bertubuh kecil itu dengan perasaan terdesak. Biarpun Aria suka menyakat aku, tetapi aku tidak pernah membencinya. Tidak sedikitpun aku rasa jemu apabila Aria datang berkunjung dan menggangguku di bilik tidurku setiap hari. Begitu juga dengan Mai, yang sering bersikap dingin denganku, tidak sekalipun aku membencinya. Biarpun Mai sering berwajah serius sepanjang masa, ada ketika aku perasan gadis itu tersenyum ria dalam diam-diam. Saat dia menikmati pencuci mulut, saat dia menikmati makan malam bersama, itulah waktu-waktu kegembiraan yang terpancar dalam wajah Mai.

Hidup bersama mereka, membuat aku sentiasa berasa bahagia. Sungguhpun aku tidak menunjukkannya pada wajahku, tetapi hatiku tetap berbunga-bunga dengan kebahagiaan. Entah berapa lama agaknya impianku untuk bahagia sebegini lenyap selepas kehilangan ibuku? Adakah kebahagiaan ini akan berakhir seperti dahulu meninggalkan aku dengan kekosongan sepi? Aya, Mai dan Aria tidak layak menerima takdir sedemikian...

"Ya-yami-sama...." Mai yang berada dalam dakapan aku itu, mencelikkan matanya setelah pengsan terkena serangan Tiamat. Mai menyeka air yang mengalir di wajahku dengan jemari halusnya. Hujan? Tidak, itu ialah air mata kesedihanku. Aku sangka air mataku sudah lama kering. Aku sudah bersumpah untuk tidak menangis lagi selepas kematian ibuku.

"Yami menangis ya..." Aria yang mahu meluahkan kata sarkastiknya itu, tiada daya berbuat demikian lagi sebaliknya merenung kosong terhadapku dengan raut kelesuannya. Wajah sengsara mereka mencengkam jiwa aku, lalu aku berpaling kepada satu-satunya insan yang mampu menyelesaikan kepincangan tersebut. Aku menutupkan mataku seketika, sebelum mengambil keputusan drastik untuk menyelamatkan Aya, Mai dan Aria. Maafkan aku, tetapi aku sudah terpaksa. Jika inilah nilai aku di sini, maka aku akan gunakan sepenuhnya!

"Aria... Mai.... jika tindakan aku nanti menyebabkan kamu marah, maka maafkan aku..." Aku berkata dengan serius kepada Mai dan Aria. Mereka membulatkan mata, tidak mengerti maksud yang cuba aku sampaikan.

"Aya, gunakan kuasaku! Sampai bila kamu mahu menangisi pemergian rakan-rakanmu!" Jeritku membuatkan Aya menghentikan serangannya terhadap Tiamat. Riak wajahnya berubah.

"Oh? Masih menyembunyikan kuasa? Kelakar... Jangan pandang rendah kepadaku, Primula!" Marah Tiamat. Sungguhpun Tiamat ialah raksasa, dia amat mementingkan semangat kepahlawanan. Dia mahu bertarung seperti pahlawan sejati. Sebab itulah, dia tidak menyerang aku walaupun aku ialah bebanan tiga mahou shoujo ini. Malah dia membiarkan Aria menjadi perancang di belakang untuk menikmati peperangan yang diidamkannya.

"Tapi... tapi... Awak akan mati!" Jerit Aya. Aku sudah menjangkakan kata-kata itu.

"Diam! Hidup mati aku tidak penting lagi! Kamu kena tewaskan raksasa itu!" Aku membalas jeritan itu dengan penuh kemarahan. Aya masih degil.

"Mai, maafkan aku!" Aku berpaling ke arah Mai, yang masih berada dalam dakapanku.

"Eh..." Dalam keadaan lemah, Mai tidak mampu memberikan reaksi kecuali rasa terkejutnya. Bibirku telah menyentuh bibir mungil milik Mai menyebabkan gadis itu terkesima. Biarpun dalam keadaan begitu, Mai memejamkan mata, merelakan ciuman itu bersatu. Kemudiannya, cahaya bersinar daripada tubuh Mai. Mai terapung di udara, memancarkan aura kuasanya. Setelah beberapa ketika, dia kembali menapak semula, berdiri tegak dan bertenaga berhampiran aku. Mai bagai tidak percaya bahawa kesakitannya tadi hilang sekelip mata kerana kuasa nyawaku itu. Aku memandang pula ke arah Aria, yang berada di sebelahku. Aku mendekati Aria, yang agaknya masih tergamam melihat aku berkucupan dengan Mai.

"Aria... Maafkan aku..." Aku mendakap mesra tubuh kecil Aria, lalu menghampirkan wajahnya kepadaku. Aria mengumpulkan kudratnya, cuba untuk menghalang tindakan aku itu.

"Ta-tapi Yami... Awak... umm..." Aku tidak membiarkan Aria menamatkan bicara simpati, sebaliknya terus menciuminya. Agaknya, ini bukan kali pertama buat aku dalam berkucupan, menyebabkan aku tiada lagi keraguan untuk melakukannya ke atas Aria. Aku sudah bertekad memberikan kuasa nyawaku untuk Aria meneruskan kehidupan dan perjuangannya. Setelah kuasa teras Aria penuh, gadis itu bangun daripada dakapanku, seperti Mai, bertenaga menghadapi musuh. Kontradiksinya, keadaan aku berbeza dengan mereka berdua kerana aku sudah tidak terdaya berdiri lagi. Aku merasakan suatu keletihan yang amat sangat menyerang tubuhku. Agaknya, inilah kesan daripada perkongsian nyawa yang telah aku lakukan kepada mereka berdua. Aku... aku tidak menyesal sekalipun jika nyawa aku berakhir di sini.

"Ya-yami..." Melihatkan aku hampir rebah, Aria menyokongku dengan memegang belakangku. Mai juga yang telah pulih sepenuhnya, segera menghampiriku dengan perasaan gusar. Cuma Aya sahaja, yang memerhatikan situasi itu dari jauh, tidak bergerak kerana berhadapan dengan Tiamat.

"Hahaha... Menarik, memang menarik! Kamu semua mempunyai kuasa, ironinya datang daripada orang yang kamu lindungi. Untuk membunuh aku, kamu terpaksa mengorbankan nyawa insan itu. Hahahaha..." Tiamat ketawa, dengan sinis mengeji Aya, Mai dan Aria.

"Heh, Tiamat... Kami sebagai manusia memang lemah, tiada upaya dan sebagainya. Tetapi, itu hanyalah kerana kami sebagai individu. Tetapi, dua hati itu jika menjadi satu, kami jauh lebih kuat daripada kamu!" Suara Yami bergema, mematahkan hujah Tiamat.

"Kau sudah hampir mati, apakah kau masih punya kudrat menentang aku?" Soal Tiamat, memandang rendah kepada Yami.

"Aku ada Aya, Mai dan Aria bersamaku. Mereka membawa hatiku bersama mereka, dalam menentang kau..." Yami tidak mengalah, sebaliknya membalas kata-kata si Tiamat dengan penuh bangga.

"""Yami...""" Tiga suara itu bergema serentak.

"Aya, aku hanya gembira jika tiada yang berduka. Aria, kamu ialah tiang utama dalam kumpulan ini. Mai, terima kasih kerana terus setia bersama Aya. Perjuangan kamu masih belum tamat...." Aku melafazkan kata-kata itu walau kepenatan terus ingin merampas kesedaranku.

"Tetapi, Yami... Bagaimana perasaan kami apabila kamu tiada kelak?" Aya membangkitkan persoalan yang menyentuh emosi hatiku. Tetapi, jawapanku cukup mudah...

"Ada aku kesah?"

"""Eh?!""" Jawapan itu membingungkan mereka bertiga.

"Hahaha.... Manusia, kamu sungguh menarik! Untuk memenuhi impian kamu, aku akan lebih serius menghadapi mereka. Bersedia, 80 peratus!" Tiamat yang mendengar kataku itu mula meningkatkan kuasanya. Aura gelap itu pasti menakutkan semua makhluk bumi, termasuk aku yang sudah kehilangan kekuatan ini. Aria dan Mai sudah bersiap sedia menghadapi musuh mereka itu, tetapi masih tidak bergerak kerana aku.

"Aya dan Mai, pergilah kamu ke medan perjuanganmu. Aku sentiasa menyokongmu dari belakang!" Aria dan Mai yang berasa bimbang akan situasiku, akhirnya membuat keputusan untuk membantu Aya.

"Terima kasih Yami-sama...." Mai mengucup pipi kananku, dan tersenyum hambar menahan sedih. Mai yang mempunyai ekspresi sedih ini, kelihatan comel pada pandanganku. Mungkin inilah kali pertama aku melihat perubahan riak wajah gadis yang sentiasa dingin terhadapku.

"Terima kasih juga, Yami..." Aria, agaknya meniru Mai itu, juga mencium pipiku, sebelah kiri, dengan wajah kemerahan. Seperti Mai, Aria juga kelihatan comel beriak sedemikian. Kali pertama aku melihat gadis yang suka mengusik aku ini, menunjukkan perasaannya di hadapanku. Gadis yang selalu bertopengan watak gadis matang ini, beremosi seperti gadis-gadis sebayanya.

"Pergilah membantu Aya...." Kataku, tersenyum setelah menerima ciuman mereka berdua. Aya dan Mai tidak menjawab, sebaliknya menganggukkan kepalanya.

Kemudiannya, mereka membaringkanku di kawasan rumput, sebelum bersiap sedia menghadapi Tiamat. Aria dan Mai menuturkan kalimah magikalnya lalu memulakan serangan ke atas musuhnya. Aku juga sempat melihat situasi Aya yang juga mula menggunakan kuasa sebenarnya, tetapi kesedaranku semakin lama semakin menghilang. Aku ingin benar menyaksikan pertarungan kemuncak mereka, tetapi mataku terlalu berat untuk dibuka lagi. Ah, aku terlalu letih untuk terjaga...

"Ibu, aku rasa bahawa aku telah menunaikan salah satu hajatmu, menyelamatkan orang yang penting dalam hidupku...." Itulah monolog terakhir aku, sebelum aku kehilangan kesedaranku. Lama-kelamaan aku diselubungi suasana kelam, semakin gelap dan kesedaranku terputus dari dunia luar. Aku cuba mengucapkan sesuatu, tetapi tidak terdaya.

Entah berapa ketika jagaku direntap suatu kepenatan, ada sesuatu kelibat yang menghampiri aku yang terkapai-kapai di alam mimpiku. Di dunia gelap itu, aku telah didatangi oleh sekelibat manusia. Seseorang yang cukup aku kenali dalam hidupku. Kurosaki Hikari, ibuku, muncul dalam dunia bukan realiti ini, seolah-olah membawa suatu alamat kepadaku. Ibuku itu hanya senyap seribu bahasa, tetapi kehadirannya memberikan semangat kepada aku. Aku memeluknya dengan spontan, mahu melepaskan rindu kepada insan yang tidak lagi wujud di dunia ini lagi. Dia membalas balik pelukanku tetapi masih membisu tanpa sepatah kata sekalipun. Aku melepaskan pelukan itu, dia menghadap ibuku itu. Wajah lembutnya mengukirkan senyuman indah untukku. Ibuku kemudiannya mengarahkan jarinya itu ke suatu cahaya yang muncul dari jauh, bagaikan menyuruhku menuju ke sana. Aku cuba menyoal ibuku tetapi aku gagal meluahkan sebarang kata. Pada cahaya itu aku terdengar sayup-sayup suara milik gadis yang sudah sayu dan menyedihkan. Siapa?

"Yami...."

Aku sumpah aku kenal suara itu.

"Yami, awak kena kembali bersama saya..."

Aku, aku tidak ingat bila aku bertemu dengan empunya suara itu.

"Saya memerlukan awak..."

Aku berpaling ke arah ibuku, cuba mencari jawapan daripada orang tuaku itu. Ibuku tidak menjawab, tetapi menolakku ke arah cahaya itu.

"Yami...."

Adakah aku patut menuju ke arah datangnya suara itu? Senyuman ibuku itu bagai menyatakan persetujuannya untuk aku memulakan langkah ke arah destinasi baharu itu.

"Yami....." "Yami-sama...." "Yami...."

Pergilah Yami, mereka memerlukan kau.

Mulut ibu tidak bergerak, tetapi aku masih terdengar akan kata-kata itu. Aku memandang ke ibuku lalu mengangguk kecil. Baiklah ibu, aku akan mengikuti katamu buat kali terakhir. Tunggu aku, Aya, Mai dan Aria.

Ya, nama-nama gadis yang menunggu aku itu, sudah aku ingat semula!