Chereads / Mahou Shoujo Primula (Malay) / Chapter 23 - Bab 6.2 – Cita-cita Amamiya Aya

Chapter 23 - Bab 6.2 – Cita-cita Amamiya Aya

Bahagian II

Aku hanya memandang sepi pada langit hitam yang terbentang sepi di dunia jauh daripada capaian manusia. Aku, Tiamat, hanya menghabiskan masa duduk di batu besar, yang menghiasi laman kubu Típota tou skótous, legasi tuan Vearth. Tuan besarku itu telah lama meninggalkan kami, anak-anak buahnya yang meneruskan misi menghapuskan kaum Valhalla. Sampai sekarang, aku masih keliru, mengapa tuan Vearth tidak pernah mengarahkan kami, entiti kegelapan yang gah, menguasai dunia baharu bernama bumi ini, sebaliknya hanya menumpukan permusuhan dengan pejuang cahaya, mahou shoujo. Selepas ketiadaan raja kami itu, Típota tou skótous hilang arah bagai layang-layang putus tali. Kepimpinan organisasi gelap kami masih terkapai-kapai dan bergantung harap kepada entiti SS, tuan Alduin, untuk mewarisi takhtah milik tuan Vearth. Malangnya, kestabilan kepimpinan yang kami kecapi tidak berkekalan lama. Kali ini, pengganti tuan Vearth, tuan Alduin pula telah menghilangkan diri secara tiba-tiba setelah memaklumkan kepada pembantunya bahawa dia mahu membalas dendam. Hal tersebut memburukkan lagi keadaan kumpulan kegelapan ini. Tuan Alduin merupakan satu-satunya entiti SS, pejuang terkuat selepas tuan Vearth. Sekali lagi, krisis kepimpinan tercetus membawa kepada era ketuanan berlapan yang terdiri daripada lapan raja iaitu makhluk-makhluk bertahap S. Aku merupakan salah seorang 'raja' dalam ketuanan berlapan itu.

Tuan Vearth ialah merupakan pewaris terakhir puak kegelapan yang terselamat dalam tragedi kemusnahan dunia Hades, tempat asal keturunan Típota tou skótous. Tuan Vearth cuba menghidupkan semula klannya dengan menggunakan 'dark matter', rahsia terbesar kekuatan Típota tou skótous yang tidak diketahui oleh musuh kami, mahou shoujo. Seperti kami, kaum cahaya, yang juga kehilangan dunia Valhalla, telah mencipta tentera mereka dengan kerjasama manusia untuk menghadapi kami. Apabila kami tiba di bumi manusia ini yang penuh kehidupan ini, peluang untuk membangkitkan kaum yang hilang itu muncul semula. Tidak seperti kaum cahaya, manusia telah menolak kami dan menganggap kami sebagai musuh yang harus dihapuskan. Lebih memburukkan keadaan, dunia manusia telah menyebelahi kaum cahaya lantaran berganding bahu untuk menghapuskan kami dengan mewujudkan mahou shoujo.

Tuan Vearth sebenarnya pernah mendekati manusia untuk berdamai dan menawarkan perjanjian untuk hidup bersama dan saling berkolaborasi, tetapi manusia tidak langsung mempertimbangkan cadangan kami itu, malah menolaknya bulat-bulat. Tuan Vearth tidak menunjukkan kemarahan akan penolakan itu atau menyerang manusia dengan aggresif. Sebaliknya, tuan Vearth telah membangkitkan tenteranya sendiri dan hanya menumpukan serangan ke atas pihak-pihak yang menyebelahi atau terlibat dalam rancangan kaum cahaya. Biarpun banyak hasil tentera tuan Vearth, tetapi untuk menghasil entiti S, merupakan sesuatu yang sangat sukar. Semua entiti S termasuk aku dicipta hasil daripada badan manusia. Dark matter boleh memanipulasikan sesuatu objek tidak kira hidup atau tidak hidup untuk menjadi makhluk entiti. Jika dark matter dapat memanipulasikan badan bernyawa, maka entiti dihasilkan sangat kuat, asalkan sesuai dengan jasad dikuasainya. Akan tetapi, untuk memiliki badan manusia ialah suatu perkara yang mustahil. Terutamanya zaman moden ini, badan manusia banyak mengandungi unsur kimia yang menyebabkan mereka tidak boleh menjadi medium untuk mewujudkan entiti seperti kami. Medium badan manusia yang ingin dimanipulasi juga mestilah sihat, bebas penyakit dan tidak mengamalkan makanan berkimia. Setelah memenuhi semua syarat, barulah entiti S dapat dihasilkan.

Aku dilahirkan daripada badan manusia milik seorang samurai. Untuk pengetahuan kalian, tuan Vearth juga memiliki kuasa untuk kembali ke masa lampau. Walau bagaimanapun, tuan Vearth hanya mampu menggunakannya beberapa kali sahaja. Justeru, bilangan entiti S tidak ramai, hanya 8 sahaja termasuk aku. Entiti SS, tuan Alduin pula juga menggunakan tubuh manusia, tetapi dengar khabarnya daripada tubuh raja legenda dalam sejarah. Entiti S memang istimewa, tetapi tidak semestinya kuat daripada entiti lain. Kuasa entiti S datang daripada tubuh manusia yang kami miliki, contoh aku memiliki kehebatan dalam seni pedang kerana tubuh samurai itu. Aku juga mewarisi ciri-ciri samurai, termasuklah kesetiaan tidak berbelah-bahagi dan memiliki semangat kepahlawanan. Selain semangat mereka, aku memiliki memori mereka juga.

Tubuhku ini milik samurai yang terkenal pada zaman sengoku. Dia merupakan anak kepada pengikut setia klan Amago. Dia bercita-cita menggantikan bapanya untuk meneruskan kesetiaan terhadap klan tersebut, malangnya klan Amago tumpas dalam peperangan menentang klan Mori yang gagah lalu kehilangan kuasa dan jajahan. Dia tidak berputus asa, dan ingin mewujudkan kembali klan yang disayanginya itu. Dia telah sedaya-upaya mengumpulkan saki-baki puak Amago untuk mengembalikan semula kegemilangan klan tersebut. Sungguhpun mempunyai kesetiaan sebegitu rupa, dalam dia meneruskan laluan perjuangannya itu, entah berapa kali dia telah ditipu dan dikhianati oleh pengikutnya sendiri. Dia tidak dapat mengingati bilangan pengkhianatan daripada sekutunya yang kononnya berjuang untuk membantunya, sebaliknya menjadikan dia batu loncatan untuk mendapatkan tanah jajahan. Setiap kali dia bertempur dengan puak Mori, mesti ada pengkhianatan yang berlaku, tidak kira sekutunya atau para pengikutnya yang menyertai musuhnya dalam kemuncak peperangan tersebut. Tidak hairan, tentera Mori sangat hebat dan bilangannya jauh lebih ramai daripada tenteranya.

Namun perbezaan tentera atau senjata bukanlah punca sebenar kekalahannya. Setiap kali dia hampir mencapai kemenangan untuk mengembalikan puaknya, pengkhianatan akan menggagalkan usahanya sehinggalah dia tumpas dalam siri peperangan menentang puak Mori. Musuhnya, puak Mori yang diketuai oleh Mori Motonari yang sangat licik kerana telah memanipulasi situasi puak Amago, sehinggakan runtuh puak tersebut. Sesungguhnya, ketua klan Mori itu bijak mempergunakan kelemahan yang paling ketara dalam klan Amago. Klan Amago memang mempunyai polisi untuk tidak mempercayai ahli puak sendiri, kontradiksi dengan prinsipnya sebagai samurai yang telah banyak berkorban untuk puak tersebut. Dia bertekad dalam hatinya untuk tidak mengkhianati sesiapa, tetapi rambut sama hitam, hati lain-lain. Siapakah yang dapat menyingkap hati dan perasaan seorang manusia?

Sekalipun berasa kecewa dan hampa, dia tidak pernah berputus asa serta terus tabah menghadapi dugaan. Dalam hatinya, dia cuma mengimpikan klannya kembali semula demi warisan generasi akan datang. Impian itu tidaklah sebesar mana, tetapi laluannya tetap sukar. Dia sekali lagi mengetuai serangan ke atas Mori semula, namun kali ini dia dikhianati oleh orang-orang kampung pula. Tiada sesiapa pun antara mereka yang ingin melihat kebangkitan semula puak Amago lalu berpihak kepada puak Mori. Mereka masih teringatkan kecelaan puak Amago yang menyebabkan seluruh penduduk terseksa. Penduduk tempatan pun mendedahkan taktiknya kepada puak Mori, lantaran memudahkan puak Mori menewaskannya dalam kemuncak serangan itu. Hakikat ini sedikit-sebanyak membuatnya sedar, apakah berbaloi perjuangannya selama ini? Lelaki itu masih tidak mahu mengalah, dan menguatkan jiwanya sebagai samurai, untuk mengembalikan era kegemilangan klan Amago – yang dia tahu bahawa perkara itu sesuatu yang mustahil!

Dia tidak memulakan perjuangan ini kerana dendam, tetapi kerana klannya itu. Dia enggan membiarkan klan kesayangannya itu dilupakan kerana ditelan masa. Namun, kata orang, segalanya hanya bermakna jika kita mempunyai kuasa! Wang, politik, jajahan dan segala materialistik menggadaikan maruah seseorang untuk mengkhianat dan membelot! Tidak hairanlah, satu per satu rakan-rakan seperjuangan meninggalkannya dalam meneruskan penentangan memulihkan semula klannya itu. Peluangnya muncul apabila ketua jajahan (daimyo) Inaba, Yamana Toyokuni telah disingkir apabila para pengikut klan Yamana memberontak. Dia telah berkomplot dengan Toyokuni untuk membantunya mendapatkan semula jajahannya dengan syarat ketua klan Yamana sanggup menolongnya membangunkan semula klan Amago. Selaku samurai dan perajurit yang hebat, dia berjaya menewaskan musuh di Inaba dan membantu Yamana Toyokuni menguasai semula jajahannya. Namun, sekali lagi dia dikhianati oleh sekutu yang telah dibantunya. Hal ini telah menyebabkan dia bertembung dengan klan Yamana yang berpihak dengan puak Mori. Dia berjaya menewaskan Yamana Toyokuni, tetapi tidak membunuhnya, kerana menganggap bahawa musuhnya hanyalah satu, puak Mori.

Peperangan demi peperangan dengan puak Mori tidak pernah sekali pun membuahkan kejayaannya untuknya. Perjuangannya berakhir dengan penyesalan yang sia-sia kerana kegagalannya. Seorang samurai tidak mempunyai lebih satu tuan, itulah prinsip yang dipegangnya selama ini. Justeru, dia memilih untuk mengembalikan klan tuannya, Amago, namun tidak berhasil. Dia sudah benar-benar letih meneruskan perjuangan tersebut. Akhirnya, dia memilih untuk membunuh diri secara terhormat (sepukku) bagi menebus kegagalannya. Semasa dia ingin melakukan upacara itu, ketika itu tuan Vearth datang menemui samurai tersebut. Samurai itu bersetuju untuk menyerahkan tubuhnya itu sebagai medium untuk melahirkan aku. Katanya, biarlah tubuh ini terus kekal sebagai lambang kesedihan puak Amago yang menjadi mangsa peperangan Sengoku. Kekecewaannya datang bukan daripada ketewasan dan kekalahannya dalam siri peperangan, sebaliknya pengkhianatan dan pembelotan angkara hinanya maruah seorang samurai. Kesedihan lelaki itu mengalir dalam jiwa aku, untuk mewarisi niatnya itu membangkitkan puak Típota tou skótous, yang mengalami nasib sama seperti puak Amago. Sebab itulah aku ingin menjajah bumi, dengan mengalahkan mahou shoujo yang terhebat, Primula!

Ironinya, tempat pertempuran mereka itu ialah tanah tumpahnya darah pemilik asal tubuh ini, Yamanaka Shikanosuke!