Chereads / Mahou Shoujo Primula (Malay) / Chapter 18 - Bab 5.1 – Benar-benarlah serius untuk mencintaiku!

Chapter 18 - Bab 5.1 – Benar-benarlah serius untuk mencintaiku!

Bahagian I

"Tinit tinit....." Aya membukakan matanya sebaik sahaja mendengar bunyi loceng yang ditetapkannya pada telefon pintarnya. Biarpun masa masih terlalu awal bersiap untuk ke sekolah, Aya sudah bangun dan membuat persediaan kerana dia ada misi utama iaitu menyediakan sarapan untuk Yami. Aya bersolek ringan dan memperkemas diri sebelum menuju ke dapur rumah yang ditumpangnya itu. Semasa berdandan, dia membuka laci meja soleknya untuk mengambil sikat, tetatp tangannya terhenti apabila terlihat rantai tag lama yang dimilikinya semasa dia masih kecil dan belum lagi bergelar mahou shoujo. Zaman kanak-kanaknya telah banyak dihabiskan di pusat penyelidikan rahsia sebelum kewujudan organisasi mahou shoujo.

Dia telah melalui pelbagai bentuk eksperimentasi dan banyak kali mengharungi saat-saat hidup dan mata walaupun masih muda. Dia berjaya mengatasi laluan sukar itu dan kemudiannya diberikan rantai tag bernombor itu, ironinya seperti trofi kejayaannya. Dia masih ingat sekumpulan saintis yang mengelilinginya, bersorak kegembiraan setelah dia sedar daripada melalui uji kaji terakhir sebelum mendapat teras majikan. Dalam keceriaan itu, hanya seorang sahaja berwajah serius, malah kelihatan agak kecewa dengan kejayaan itu. Dia jugalah yang memberikan Aya rantai tersebut tanpa sebarang kata. Tulisan kecil kod yang diempunya oleh Aya dahulu, '0001A' masih jelas kelihatan. Walaupun sudah bercalar dan mempunyai kesan goresan yang kelihatan jelas pada rantai tag itu akibat siri pertarungan dan pertempuran antara Aya dengan entiti-entiti kegelapan itu, Aya tidak mahu membuangnya kerana rantai itu merupakan mementonya mengenai zaman silamnya.

Seraya, dia teringat kata-kata Yami semasa pertemuan pertama mereka. Dia begitu kecewa dan marah apabila diberitahu tentang kuasa mahou shoujo. Pertama kali dia bertemu dengan insan seperti Yami, yang memandangnya dengan wajah sedih seperti lelaki yang memberikan rantai itu. Dia sendiri samar-samar dalam mengingati wajah saintis itu, sebaliknya merasakan ada similariti antara dua insan itu. Kesan uji kaji itu nyata mengaburi ingatan Aya. Sungguhpun mengalami situasi menyedihkan ini, Aya tidak menyesal memilih kehidupannya itu. Kerana bergelar mahou shoujo, dia diberikan kesempatan bertemu dengan Yami. Lelaki ini bukanlah kacak sangat, tetapi dia sangat berkarisma. Disebalik mukanya yang serius itu, dia seorang yang baik hati. Senang cerita, Yami boleh dikatakan beperwatakan "tsundere" versi lelaki. Mujurlah Yami tidak memiliki 'twintail' dan berambut keemasan seperti Aria, kalau tidak, lengkaplah ciri-ciri tersebut.

"Puu..." Aya tersenyum seorang diri, membayangkan Yami menjadi watak "tsundere" sebenar – "hmph.. jangan salah faham, aku selamatkan kamu bukan kerana diri kamu..."

"....." Aya menutup mulutnya, menahan tawa mengimaginasikan Yami meluahkan kata-kata tersebut. Setelah beberapa ketika, Aya pun bingkas bangun lalu menuju ke dapur. Dapur milik Yami lengkap dengan alat dan perkakasan terkini, semuanya atas jasa Aria. Dia mencapai apron yang disangkutkan berhampiran lalu memakainya,. Setelah membasuh tangan, dia memulakan aktiviti memasaknya. Suasana pagi itu agak hening, kerana kebanyakan penghuninya sedang lena melayani mimpi-mimpi mereka. Dalam beberapa ketika dia asyik memasak di dapur, dia terdengar bunyi tapak kaki, menuruni tangga.

"Yami-san, selamat pagi..." Ujar Aya, melihat Yami yang berpakaian sukan, melangkah dengan tenang menghampiri dapur.

"Pagi..." Yami tidak membalas panjang, membuka pintu peti ais untuk minum. Dia mencapai segelas cawan, lalu menuangkan minuman susu sejuk dari peti itu.

"Awalnya awak bangun Yami-san?" Soal Aya, menyapa Yami walaupun tangannya masih ralit memasak.

"Ya, saya mahu berjoging hari ini, seperti biasa kerana menjadi rutin saya..." balas Yami, lembut. Aura Yami nampak lebih tenang daripada pertemuan mereka kali pertama. Yami tidak lagi menunjukkan wajah kurang senang apabila berdepan dengan Aya. Biarpun masih ada dinding pemisah antara mereka, tetapi Yami sudah dapat menerima kehadiran Aya dalam hidupnya. Perubahan itu membawa suatu kecurigaan dalam hati Aya.

"Hmm? Kenapa kamu pandang saya begitu? Ada sesuaru di wajah saya?" Yami membuka mulutnya, apabila melihat Aya merenungnya bagai ada sesuatu yang ganjil pada wajahnya. Yami meraba-raba wajahnya, bimbang ada kesan susu atau sesuatu yang melekat. Aya menggelengkan kepalanya.

"Maaf... Tiada apa-apa yang ganjil. Selamat berjoging..." Aya mengalihkan pandangannya segera lalu kembali melaksanakan kerjanya itu.

"Ya.... Baiklah...." Yami yang agak kehairanan dengan kelakuan Aya itu, memilih untuk membiarkan sahaja Aya.

Yami bersiap-siap awal pagi untuk berjoging bagi menjaga staminanya sebagai pemain bola sepak. Apatah lagi, musim peperiksaan yang bakal bermula membuat dia tiada peluang untuk menjalani latihan di padang. Dia agak jengkel apabila melihat wajah-wajah riang rakan-rakan sepasukannya seolah-olah berpesta dan bergembira kerana mereka akan bercuti daripada menjalani latihan sparta Yami. Yami pasti akan mengingati kelakuan mereka, lantaran merencanakan dendam buat mereka. Sanosuke yang dapat membaca niat jahat Yami itu, mula berpeluh dan cuba menenteramkan keadaan. Setelah minum segelas susu, Yami pun meninggalkan dapur yang dikuasai Aya sekarang untuk joging awal paginya. Semasa di depan pintu, dia terdengar bunyi tapak kaki rakan sepermainan ketika kecilnya, Saaya menuruni tangga.

"Yaa-kun, selamat pagi..." Ujar Saaya.

"Pagi Sacchan..." Balas Yami.

"Selamat berjoging, Yaa-kun..." Lambai Saaya yang menuju ke dapur.

"Ya..." Yami mengangkat tangannya tanpa memerhatikan rakan zaman kecilnya itu lalu membuka daun pintu untuk memulakan langkah jogingnya itu. Yami sempat mendengar perdebatan kecil di dapur, tetapi suara dua gadis itu terpadam setelah dia menutup pintu lalu memulakan jogingnya.

Dalam masa jogingnya, Yami termenung panjang. Setelah mendengar kisah Aya daripada Aria pada waktu malam yang lalu, Yami tidak dapat melupakan kisah derita gadis itu. Cerita Aria panjang lebar itu menerangkan kisah-kisah Aya daripada permulaan hidupnya bergelar mahou shoujo hingga saat pertemuan dia dengan Aya. Aya seorang anak yatim-piatu, antara insan terpilih menyertai program mahou shoujo. Sebuah organisasi yang meminjam kuasa luar untuk mempertahankan dunia. Pengasas program itu dirahsiakan, tetapi dikendalikan oleh seorang profesor wanita yang terkenal di dunia. Tidak seperti Aria dan Mai, Aya adalah antara prototaip pertama yang dikendalikan oleh sistem rahsia, Yggdrasil. Aria mengetahui sistem itu walaupun dia bukan mahou shoujo generasi pertama disebabkan kebolehannya menggodam komputer sulit organisasi itu.

Dalam ratusan spesimen prototaip, hanya Aya sahaja yang berjaya memanifestasikan kuasa itu, menyebabkan dia terpilih untuk menjadi mahou shoujo pertama dengan gelaran 'Primula' dan menjadi ketua mahou shoujo pertama dengan gelaran Grand Meister. Ketika Yami masih di alam tadika, Aya telah melengkapkan latihan ketenteraan untuk menghadapi musuh dunia. Setelah ketua kegelapan Vearth ditewaskan, organisasi Mahou Shoujo tidak dibubarkan, sebaliknya berfungsi sebagai agensi pertahanan persendirian dan bukan lagi di bawah kekuasaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Ros Perak, salah satu serpihan organisasi yang diketuai Aya juga tidak berkecuali daripada hal ini.

Yami meneruskan larian jogingnya mengelilingi kawasan perumahannya selama tiga kali sebelum menuju kembali ke rumahnya kembali. Bapa Saaya, sempat menegurnya, barangkali bimbang akan situasi anaknya di rumah Yami. Sampai sahaja di rumah, dia sudah terbau sarapan yang hampir siap dimasak, tetapi dia ke biliknya dahulu untuk mandi. Di laluan ke biliknya, dia terserempak dengan Aria yang masih mamai, kerana mengantuk, dan Mai, yang sedang mengemas rumah. Dia terdengar suara Eri di dapur, mungkin sedang membantu Aya dan Saaya yang memasak. Setelah mandi, dia menuju ke ruang makan, dan bersarapan bersama lima orang gadis yang menjadi tetamu di rumahnya. Yami tidak bercakap banyak, hanya menjamah apa-apa yang dihidang oleh Aya dan Saaya. Setelah menikmati juadah pagi, Aya, Eri dan Saaya bersiap-siap untuk ke sekolah, manakala Yami berehat di ruang tamu menunggu mereka. Mai mengemas dan membasuh pinggan mangkuk sementara Aria kembali ke biliknya menjalankan tugas sebagai pemantau keselamatan di bandar Harima.

Setelah ketiga-tiga gadis tadi sudah bersiap, Yami pun mengiringi mereka ke sekolah. Aya menyerahkan bento kepada Yami, kerana gilirannya menyediakan bekal makanan untuk lelaki itu pada hari ini. Aya, Eri dan Saaya telah mengadakan perbincangan dan undian bagi menentukan giliran siapa yang akan menyediakan bento untuk Yami. Sejak hari itu, tiada lagi pertengkaran mengenai hal tersebut. Sampai di sekolah, Yami disapa oleh ketua pelajar, Kanade yang bertugas memeriksa para pelajar agar tidak melanggar peraturan sekolah. Biasanya, jarang-jarang Yami melihat seniornya itu, Kanade di pintu pagar untuk tugasan itu kerana selalunya, kerja tersebut diserahkan kepada unit disiplin pelajar. Baru-baru ini, setiap kali Yami bersua dengan Kanade, pada mulanya wajah Kanade akan ceria dan seri-seri, tetapi mood Kanade berubah menjadi tidak elok setelah melihat Aya, Saaya dan Eri di samping Yami. Kanade agak cemburu melihat kemeriahan dan kemesraan yang terbentuk antara mereka. Walaupun realitinya, Eri dan Aya selalu bertelagah dan bersaing untuk berada di sisi Yami manakala Saaya hanya membiarkan mereka berdua bercakaran. Saaya sahaja yang melayan rungutan Kanade dengan senyuman kerana dia dan Kanade saling mengenali dan memahami antara satu sama lain.

Yami kini selalu diacukan jelingan cemburu oleh pelajar-pelajar lelaki, kerana sering kali didampingi oleh tiga orang gadis yang menjadi rebutan ramai. Yami faham jika cemburu itu merujuk hubungannya dengan Eri dan Aya, tetapi agak terkejut apabila Saaya dikaitkan dalam hal ini. Dia sendiri tidak tahu dan menjangkakan bahawa Saaya, gadis yang dianggapnya normal dan biasa-biasa sahaja, turut tersenarai antara sepuluh gadis rebutan pelajar lelaki. Sungguhpun menghadapi tekanan, Yami tidak langsung memperdulikan sebarang umpatan dan kejian terhadapnya. Yami tidak terus ke kelas, sebaliknya menuju ke bilik kelabnya untuk mengambil buku laporan harian kerana ingin menghantarnya kepada guru penasihat. Dia terlupa menyerahkan laporan ringkas pasukannya yang telah diserahkan oleh pengurus pasukannya, Chitose. Semasa dia memasuki bilik kelab itu, wajah yang tidak ingin dilihatnya berada di situ. Di dalam bilik kelab bola sepak, Sanosuke, kawan baik Yami, secara 'kebetulan' berada di situ. Niat Sanosuke itu cukup jelas, kerana dia asyik menanyakan hubungannya dengan gadis-gadis yang dikaitkan dengannya, namun Yami terus menafikan hal tersebut dan menyatakan bahawa mereka HANYA tinggal serumah.

"Mereka hanyalah tetamu di rumah aku..."

"Budak sekolahkah kau ni, Yami?" Marah Sanosuke apabila mendengar jawapan selamba Yami.

"Bukankah kita masih bersekolah?" Balas Yami dengan soalan.

"Kau tinggal bersama gadis-gadis itu, pasti akan berlaku sesuatu, bukan?" Sanosuke cuba mencungkil rahsia yang tidak wujud daripada Yami.

"Malangnya, aku bukan kamu, 'sukebe' (pemiang)!" Yami masih menafikan kata-kata Sanosuke.

"Adakah kau....." Wajah Sanosuke berubah.

"Hah? Apa?" Yami agak kurang senang apabila Sanosuke beriak sedemikian.

"Gay?" Selepas Sanosuke menghabiskan katanya, Yami menghadiahkan terajang padu pada punggung Sanosuke, kerana kemarahan. Setelah mendapatkan buku laporan, dia meninggalkan Sanosuke yang menggosok punggungnya akibat kesakitan lalu keluar dari bilik kelabnya. Dalam perjalanan, Sanosuke mengejar Yami dari belakang.

"Tunggulah aku. Punggung aku sakit, cubalah kau 'lakukan' perlahan sikit!" Jeritnya dari belakang.

Yami yang memperdulikan Sanosuke itu, tidak tahu bahawa jeritan Sanosuke itu telah menimbulkan banyak salah faham, terutamanya daripada pelajar perempuan 'fujioshi'!

"Punggung sakit... Eh..." Suara gadis itu tidak didengari Yami dan Sanosuke, telah dibukukan olehnya sebagai kitab suci peminat-peminat BL di sekolah itu.....