Chereads / Mahou Shoujo Primula (Malay) / Chapter 19 - Bab 5.2 – Benar-benarlah serius untuk mencintaiku!

Chapter 19 - Bab 5.2 – Benar-benarlah serius untuk mencintaiku!

Bahagian II

Musim peperiksaan sudah pun berakhir. Dua minggu berlalu bagaikan sekelip mata bagi Yami. Masa memang tidak menunggu sesiapa. Tetapi bagi Yami, dua minggu yang ditempuhinya itu cukup berbeza. Dalam dua minggu itu juga, hidupnya itu tidak lagi kesunyian seperti hari-hari lalu setelah dia kehilangan bonda tercinta. Setiap detik dan saat pada dua minggu itu memberikan pengalaman baharu buatnya. Pada paginya, dia akan dihidangi oleh Aya juadah sarapan yang sedap dan bervariasi, seterusnya berjalan ke sekolah bersama Eri, adik tirinya itu. Tidak kurang juga makan malamnya kini berteman lauk-pauk air tangan Saaya, rakan sejak kecilnya dan sesekali disindir dan bercakaran dengan Mai yang mempersoalkan populariti Yami. Tidak dilupakan juga, pengakhir harinya diganggu oleh Aria yang suka mengusiknya sebelum dia tidur untuk bertemu hari esok.

Sungguhpun riak wajahnya sentiasa menunjukkan rasa kurang senang, tetapi hatinya hangat dengan kebahagiaan. Siapa duga, hanya mempunyai teman di sini, duka dan lara yang membungkam jiwa, dihanyutkan oleh ombak ria? Yami sendiri kadang kala tidak memahami riak ekspresi gadis-gadis disekelilingnya – senyuman, jeling mereka dan sebagainya. Yami tidak dibenci diusik Aria apatah lagi menyisihkan Mai yang suka bersikap dingin dengannya. Apalah rasa kebencian yang sedikit itu, kerana kebahagiaannya jauh lebih besar dalam hidupnya. Seraya hari-harinya itu dapatlah dikonklusikan dengan istilah bahagia. Tetapi, kebahagiaan tidak datang begitu sahaja. Dalam melalui saat-saat kebahagiaan itu, ada suatu perkara yang amat mengejutkan Yami!

"..." Di hadapan papan notis, Yami bagai tidak percaya dengan apa yang dilihatnya sekarang. Pada ruang papan kenyataan itu, terlekat senarai nama yang menunjukkan kedudukan pelajar pada peperiksaan yang lepas. Pada senarai nombor satu yang selalu tertulis namanya, ada nama lain, yang cukup dikenalinya, merampas takhtah Yami untuk mendahului kedudukan teratas pelajar Tahun Dua. Amamiya Aya, pelajar yang baru sahaja menyertai kelas Yami, seminggu sebelum peperiksaan, telah berjaya menundukkan dominasi Yami dalam peperiksaan pertengahan tahun yang dijalankan baru-baru ini. Nama Saaya, seperti biasa, mendiami senarai di bawah nama Yami, kali ini menduduki tangga ke-3 manakala Eri pula telah menunjukkan peningkatan yang mendadak kerana termasuk dalam golongan sepuluh terbaik, kini menghuni tangga ke-5 untuk keseluruhan pelajar Tahun 2. Eri yang biasanya berada dalam kedudukan belasan, berjaya meningkatkan markah dalam ujiannya setelah gigih berusaha dan sering mengulang kaji bersama Saaya.

Tsukakushi Kanade, ketua pelajar Sekolah Tinggi Harima masih mengungguli senarai pelajar Tahun 3 seperti biasa. Yami berasa bangga dengan Kanade kerana dia tahu, pencapaian gadis itu tidak pernah mengecewakan walau sibuk dengan tugas sebagai ketua pelajar. Kanade memang merupakan pelajar contoh sekolah ini, tidak hairanlah namanya disebut-sebut sebagai pengganti ketua pelajar semasa dia masih dalam tahun dua terutamanya di sekolah yang mementingkan akademik ini. Sebab itu, Tsukino, guru kelas 2-A pernah memujuk Yami untuk menyertai persatuan pelajar kerana pencapaian Yami terdahulu cukup melayakkannya mengganti tempat Kanade nanti. Saaya juga termasuk dalam calon pilihan, malangnya dia dan Yami menolak tawaran itu. Oleh yang demikian, pembantu Kanade, Suzuki Ami, penghuni senarai nombor tiga (kini nombor 4) diletakkan sebagai calon pewaris jawatan tertinggi tersebut. Tidak lama selepas keputusan itu diambil, Aya berpindah ke sekolah ini, dan menduduki carta teratas senarai nama pelajar tahun dua, membuatkan beberapa desas-desus kedudukan Ami bakal terjejas.

Yami tidak tahu untuk berasa marah atau gembira dengan pencapaian Aya, namun rasa jengkelnya tetap ada kerana tempat pertama miliknya sudah dimiliki oleh gadis itu. Memang dia tidak memperdulikan kedudukan atau penghormatan, tetapi situasi itu tetap mengecewakan lelaki itu. Peristiwa itu juga telah membawa perubahan mendadak di dalam kelasnya. Mata-mata cemburu yang menjelingi dirinya kerana kehebatan dalam pelajaran itu sudah semakin berkurangan. Rata-rata, semuanya berasa gembira apabila Aya berjaya memecahkan dominasi Yami dalam kelas dan tingkatan, lantaran memecahkan ego tebal lelaki itu. Sedangkan, Yami tidak pernah menunjuk-nunjuk, apatah lagi berkata angkuh di hadapan rakan-rakan sekelasnya!

Menjadi lelaki yang sempurna dalam akademik dan kokurikulum memang payah. Tiada sesiapapun di sekolah itu mempunyai pencapaian sedemikian kecuali Yami. Jika Kanade sekalipun, dia hanya cemerlang dalam pelajaran, tetapi tidak mempunyai apa-apa pencapaian dalam kokurikulum kecuali aktif dalam badan tertinggi pelajar. Kehadiran Aya akhirnya mengubah status itu. Aya bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran, malah dia kini menjadi harapan utama dalam kelab gimnastik sekolah. Pada mulanya, Aya tidak berminat untuk menyertai sukan itu, tetapi Yami telah menyarankan Aya mengisi masanya untuk memasuki kelab atau persatuan berbanding menghabiskan masa menunggunya ketika dia menjalani latihan bola sepak. Setelah ditekankan oleh lelaki itu beberapa kali, barulah Aya bersetuju. Selain mengisi masa Aya, Yami sebenarnya mahu Aya menjauhi kelab bola sepak kerana rakan-rakan sepasukannya terutamanya Sanosuke tidak dapat memberikan tumpuan dalam latihan akibat asyik menumpukan Aya yang memberikan sokongan di tepi padang. Akibatnya, Sanosuke telah terkena rembatan bola sebanyak beberapa kali dalam latihan (secara sengaja) apabila Yami membuat hantaran kencang kepadanya. Begitu juga beberapa ahli kelab yang turut menerima nasib yang sama, apabila Yami mengesan tumpuan mereka telah beralih ke gadis itu.

Dalam kesibukan pelajar dalam bidang akademik dan kokurikulum, satu fenomena lain mula menjangkiti para pelajar sekolah tinggi tersebut. Di sekolah itu juga, terdapat organisasi rahsia, yang dinamakan 'kelab peminat', ditubuhkan untuk memuja dan melindungi idola yang disanjungi mereka. Idola itu biasanya merujuk kepada lelaki atau perempuan popular di sekolah itu. Yang paling menarik, pelajar pertukaran, Aya telah mempunyai kelab peminatnya sendiri walaupun baru berpindah ke sana. Realitinya, semua ahli kelab peminat itu terdiri daripada golongan pelajar lelaki, yang mengidolakan Aya kerana kecantikannya. Mereka menamakan kelab tersebut, "Amamiya Aya Aishiteru" (Kumencintai Amamiya Aya) atau nama singkatannya AAA. Hampir 30 peratus pelajar sekolah tinggi tersebut menyertai kelab AAA yang ditubuhkan secara rahsia itu, sudah tentu daripada kelompok lelaki. Objektif utama kelab itu ialah memisahkan 'kegelapan' (maksud Yami dalam Jepun) dengan idola mereka. Pebagai rancangan dan pelan telah diatur untuk mengenakan Yami. Malang sekali, lelaki sempurna bernama Yami itu sukar didekati kerana tiada sesiapa pun yang ingin atau berjaya menghampiri lelaki yang selalu bermuram durja itu. Satu persatu rancangan mereka gagal dan digagalkan.

Hakikat sebenar kesukaran AAA menggugat lelaki ini ialah Yami juga telah dilindungi oleh sebuah organisasi rahsia, juga kelab peminat Yami iaitu 'T.A.T.E". Hanya ahli kumpulan sahaja yang tahu kewujudan kelab ini, hatta Yami sekalipun tidak menyedarinya. Sebagaimana kelab peminat lain, Yami diangkat menjadi idola mereka secara sembunyi-sembunyi. Presiden kelab tersebut sangat berpengaruh dan sering kali menyelamatkan Yami daripada menjadi mangsa buli para pelajar yang mencemburuinya. Buktinya, semasa senior bola sepak yang cuba memungkiri janji setelah gagal dalam pertaruhan mereka, cuba membuat kacau terhadap Yami. Kelab pelindung Yami itu telah menghantar surat ugutan yang berupa gambar skandal mereka dan mengancam untuk mengambil tindakan disiplin sehinggakan mereka boleh dibuang sekolah. Akhirnya, para senior itu mengalah dan menurut permintaan mereka setelah menjalankan 'rundingan' secara rahsia. Justeru, hidup Yami tidak pernah diganggu dan dikacau oleh sesiapa pun dengan adanya T.A.T.E, baik sekalipun AAA yang mempunyai jumlah ahli yang begitu ramai berbanding mereka.

Berbalik kepada aktiviti kokurikulum yang sah, Eri dan Saaya pula merupakan ahli kelab memasak yang kurang popular di sekolah itu. Tidak ramai yang mahu menyertainya lantaran masing-masing dilatih di sekolah ini menjadi golongan teknokrat dan ikhtisas. Malah, kelas masakan juga tidak diwajib di sekolah ini seperti sekolah tinggi yang lain, membuatkan golongan pelajar terutamanya perempuan tidak ambil kesah akan hal itu. Sungguhpun begitu, pencapaian kelab masakan ini bukanlah sebarangan. Saaya merupakan bintang dunia masakan kerana berjaya menggondol banyak kejuaraan masakan peringkat remaja, malah pernah mengalahkan beberapa chef selebriti dalam cabaran masakan yang disertainya. Beberapa buah sekolah masakan pernah menawarkan biasiswa dan tempat belajar khas untuknya, tetapi Saaya menolak. Eri yang tidak aktif bersukan, memilih untuk mengikuti teman baiknya itu dari kecil untuk menyertai kelab tersebut. Sebenarnya, Eri lebih suka untuk menjadi pengurus kelab bola sepak, tetapi stamina dan kesihatannya tidak mengizinkan. Eri dinasihatkan oleh Profesor Rei, bapa tirinya untuk tidak banyak melakukan aktiviti fizikal. Eri tidak mahu terus pulang ke rumah, lantaran menyertai kelab masakan supaya dapat pulang bersama insan yang disayanginya itu. Di situ jugalah, Eri belajar membuat pencuci mulut yang sedap untuk dihidangkan kepada Yami, lelaki yang dicintainya.

"Kamu berdua...." Yami yang baru sahaja tamat menjalani latihan bola sepak itu, terserempak dengan Eri dan Saaya, di kawasan simpanan kasut.

"Jangan salah faham, saya tidak menunggu nii-san atau apa-apa. Ini hanyalah kebetulan!" Eri memalingkan muka sambil menyatakan bicara tersebut kepada Yami.

"Saya menunggu awak, Yaa-kun..." Kata Saaya.

"Saaya!" Marah Eri.

"Apa-apa sahajalah..." Yami menghampiri loker kasutnya, membuka kunci tersebut.

"Maaf Yami-san, kerana membuatkan awak menunggu..." Aya muncul dengan tiba-tiba, kelihatan termengah-mengah kerana bergegas pantas dari tempat gimnastik di sekolah itu.

"Aku tidak menunggu kamu langsung...." Jawab Yami, selamba. Aya masih mengekalkan senyumannya dan seperti Yami, menukar sepatunya dengan kasut yang tersimpan dalam loker.

Hari ini, Aya nampak begitu bahagia. Bukan kerana keputusannya dalam peperiksaan mahupun kepopularannya dalam kelab, sebaliknya kerana hari yang paling dinanti-nantikan pelajar hampir dekat, iaitu 'festival sekolah'. Yami memahami perasaan Aya kerana gadis itu tidak pernah merasai acara meriah tersebut sepanjang hidupnya. Malah, tidak sekalipun Aya menyertai festival perayaan di kuil-kuil kerana statusnya sebagai mahou shoujo. Yami pernah bertanyakan Aria mengenai perkara ini, ternyata Aya tidak pernah berseronok atau berpelesiran dalam hidupnya itu. Lebih mengejutkan lagi, Aya tidak pernah membeli belah di pasar raya! Segala pakaian dan keperluan Aya diperoleh melalui pesanan dalam talian atau ditempah daripada agensi mahou shoujo yang lain.

Pernah beberapa kali Yami menerima kotak-kotak berisi barangan pesanan Aya daripada jenama-jenama popular. Kata Aya, terdapat beberapa jenama terkenal dunia seperti Gucca, Armoney dan sebagainya merupakan antara perniagaan yang diusahakan oleh kumpulan-kumpulan mahou shoujo sebagai penjana pendapatan mereka. Malah beberapa supermodel yang memperagakan produk tersebut, merupakan ahli atau bekas mahou shoujo. Tidak hairanlah gadis-gadis tersebut jelita dan menawan, seperti Aya dan Mai. Aria juga cantik, namun tubuh lolinya itu menjadikannya seperti kanak-kanak yang comel. Apabila Yami memberikan komen sedemikian kepada Aria, dia pasti melenting dan mungkin sebab itulah Aria suka mengganggu hidup Yami.

"Mari kita pulang," ujar Yami, yang sudah memakai kasutnya (kegunaan di luar sekolah) menuju ke arah pintu pagar.

"Hari ini tugas saya untuk memasak," jawab Eri.

"Eri-san, bukankah hari ini giliran saya?" Kata Aya.

"Ceh... Baru saya nak praktiskan masakan yang baru saya belajar...."

Yami yang mendengar perbualan mereka berdua itu, berasa gembira dalam hatinya dan sesekali bermonolog; "aku harap saat-saat ini terus berkekalan sampai bila-bila.."

Yami tahu, hajatnya itu tidak akan kesampaian.....