Bahagian III
Kisah ini ialah kisah 10 tahun dahulu. Saat semasa Mahou Shoujo baru sahaja dibentuk dan bakal menghadapi peperangan dengan Típota tou skótous. Ketika itu, Maou Vearth masih lagi hidup dan mengetuai badan kejahatan itu. Kisah ini tiada sesiapa pun tahu atau terekod, kecuali oleh orang yang terlibat. Kisah ini juga ialah pengkhianatan manusia dan juga titik mula pengakhiran Maou Vearth. Kisah ini jugalah yang menukar sejarah dunia Mahou Shoujo....
"Tuanku..." Raksasa-raksasa mekanikal yang berkumpul tunduk menyembah ketua mereka, Maou Vearth. Dalam segerombolan mega tentera raksasa itu, ada kelibat manusia, seorang lelaki memakai kot makmal menghadap Maou Vearth.
"Oh... Sudah sampai?"
"Maou Vearth, hari ini, janji patik telah terkabul..." Suara seorang manusia, menghulurkan sesuatu kepada ketua kejahatan itu.
"Profesor.... Lama kita tidak berjumpa, sejak hari kau merayu kepada beta. Siapa sangka, akan ada pengkhianat yang sanggup memusnahkan dunia hanya untuk satu nyawa..." Vearth berpaling ke arah kelibat lelaki dewasa yang berpakaian makmal itu. Wajah manusia itu kurang jelas kelihatan tetapi dia tahu identiti lelaki itu. Lelaki ini ialah rakan sepakat yang mampu mengubah nasib tentera kejahatannya itu. Malah benda yang dibawanya ialah "senjata rahsia" untuk menguasai dunia!
"Untuk satu nyawa itu, segalanya akan patik lakukan..."
"Gagagaga... Jangan risau. Barang yang kau hajati itu telah pun beta sempurnakan..." Seraya Vearth itu pun mencampak sesuatu "bekas misteri" ke arah lelaki itu. Lelaki itu mencapainya, lalu melihat "objek yang dikehendaki" itu dengan wajah gembira.
"Patik menjunjung kasih..."
"Gagaga... (ketawa) Syabas, Profesor!" Vearth ketawa suka. "Objek" yang menjadi tukar ganti ini bakal menyelesaikan satu-satunya kelemahan tenteranya.
"Inikah ganjaran buat patik?" Lelaki itu tersenyum penuh makna. Manusia itu meneliti habuannya yang diberikan.
"Dark matter..." Ya, bekas yang diberikan oleh Vearth tersebut tersimpannya "dark matter" salah satu rahsia Maou Vearth menghidupkan objek-objek tidak bernyawa dan statik menjadi entiti raksasa sebagai pengikutnya.
"Manusia pelik, mengapakah kamu perlukan "dark matter" itu?" Soal Vearth, kepada lelaki yang meminta benda itu sebagai ganjarannya.
"Rahsia."
"Hmm... Jadi benda yang kamu hasilkan ini....?" Vearth memandang ke arah alat yang dibawa oleh lelaki itu.
"Tuanku boleh menghasilkan klon manusia melalui alat ini...."
"Bagus, gagaggagaga....." Tawa Vearth.
Ya, pengkhianatan yang dikatakan terbesar ini ialah penukaran teknologi "terlarang" milik manusia, mesin pengklonan dengan kuasa kegelapan "dark matter". Lelaki itulah menjadi punca sebenar serangan gergasi Típota tou skótous ke atas manusia! Peperangan yang mengubah nasib organisasi Mahou Shoujo.....
Tetapi, jangan salahkan lelaki itu seratus peratus. Dia terpaksa. Anak lelakinya hampir ke hujung nyawa. Hanya "dark matter" itulah sahaja penyelamat. Kuasa benda itu mampu mewujudkan "kuasa nyawa" yang dapat memulihkan anaknya. Ironinya, teras magika milik pihak kebenaran, Mahou Shoujo merampas nyawa pemiliknya, sebaliknya kuasa kejahatan mewujudkannya. Sebab itulah, Vearth mahukan tubuh klon, yang tidak tercemar oleh apa-apa bahan kimia atau penyakit, untuk membentuk tenteranya.
Anaknya penghidap leukimia. Tahap terakhir. Biarpun teknologi sekarang semakin canggih, namun anaknya tidak dapat diselamatkan. Jadi lelaki itu mengambil risiko, menggunakan "kuasa" daripada kegelapan itu. Lebih-lebih lagi, anaknya itu satu-satunya waris bersama isteri tercintanya, yang juga tidak akan hidup lama. Nasib isterinya itu sudah tersurat, tetapi bukan anaknya. Sekurang-kurangnya anaknya itulah bukti cinta mereka berdua.
Teknologi klon itu berjaya membentuk tentera Típota tou skótous yang gah, namun malang sekali, klon tetap klon. Mereka tidak sempurna seperti manusia normal. Jangka hayat mereka terlalu singkat. Inilah kelemahan klon yang menyebabkan teknologi ini terus terlarang. Akhirnya, 6 tahun selepas itu, Vearth menghadapi kekalahan dan nyawanya melayang kerana silap percaturan. Kemenangan itu mengakhiri legasi tiraninya. Tetapi, legasi baharu membuka tirainya, menggantikan yang lama. Vearth masih belum mati sepenuhnya, kerana sebahagiannya masih hidup, dalam kalangan kita!
...............................................
Saat ini, dunia sekarang, seluruh sisa entiti asing yang wujud, telah berkumpul di suatu tempat yang tidak dapat dihampiri manusia, "segitiga bermuda". Segala kategori entiti asing, daripada D hinggalah AAA berkumpul di sini. Semuanya menghadap tuan mereka, yang berkategori S. Dalam dunia ini, hanyalah 8 entiti asing sahaja berkategori S. Mereka jarang-jarang muncul. 1 entiti kategori S dikatakan mampu menandingi 1 organisasi yang diketuai Master. Malah, kategori S ini juga dikatakan sama tahap atau mungkin lebih daripada kuasa seorang Grand Meister, ketua Mahou Shoujo yang dilantik sekarang.
Tatkala entiti S dikatakan paling kuat dalam kelompok raksasa ini, mereka hanyalah sebesar saiz manusia biasa, Entiti AAA adalah sangat besar, menjangkau ketinggian bangunan tiga tingkat, sebaliknya entiti terlemah pula hanyalah sebesar haiwan liar seperti harimau. Walau bagaimanapun, kelibat entiti S ini jauh terasa kerana "aura" mereka yang sangat dahsyat.
"Hari pembangkitan Tuan Vearth semakin tiba!" Ujar salah seorang daripada 8 entiti S, Tiamat, bersuara, menggemakan seluruh tempat perhimpunan itu. Para pengikut yang ada, bersorak-sorai, gembira dengan kenyataan itu. Bagi mereka, Vearth ialah segala-galanya!
"Yaaaaaaaaaaaa...........!!!"
Tiamat merupakan entiti S yang paling aktif dalam pergerakan peninggalan sisa-sisa survival Típota tou skótous selepas mereka menetap di bumi. Bagi entiti S yang lainnya, mereka kurang berminat dalam menjadi ketua atau bertindak dalam menentang Mahou Shoujo, sebaliknya hanya sekadar menyertai apa-apa program melibatkan kepentingan kehadiran mereka, untuk menjaga air muka mereka seperti hari ini. Tujuan perjumpaan ini untuk menilai kekuatan, bilangan anggota dan rancangan aktiviti mereka untuk memusnahkan mahou shoujo. Entiti-entiti S selain Tiamat hanya memerhati dan tidak berminat untuk menyertainya kerana ketiadaan ketua mereka, Vearth. Bayangkan jika 8 entiti S ini bertindak, sudah pasti hancur dunia manusia ini!
Namun, kemusnahan Mahou Shoujo bukanlah sasaran sebenar kumpulan raksasa ini. Mereka sebenarnya mahu mengenal pasti dan mencari kelibat "entiti SS", yang telah hilang tiba-tiba dan mungkin masih tersembunyi. Sudah pasti, mereka mahukan makhluk terkuat itu untuk mengetuai kumpulan ini. Andai kata entiti SS ini ditemui, sudah pasti mereka boleh mencapai kemenangan. Justeru, mereka akan memastikan setiap tempat di dunia dipantau untuk mencari kewujudan entiti tersebut.
"Tuan..." Salah satu entiti bawahan Tiamat telah menghulurkan kertas-kertas analisis kepadanya.
"Daerah Harima....?" Tiamat melihat dengan teliti laporan yang dibawa oleh entiti bawahannya. Bacaan kewujudan "kuasa" di sana sangat pelik. Malah, La-Pharase, entiti AA yang hampir menyamai kuasa entiti AAA juga mati dibunuh di situ. Dan lebih menyebabkan dia tertarik ialah, kelibat Primula, Mahou Shoujo generasi pertama, bekas Grand Meister yang pertama, berada di lokasi itu dan membunuh banyak entiti yang berada di kawasan itu. Mendengarkan nama Primula, telah mendidihkan kemarahan yang ditanggung dan dipendam oleh Tiamat selama ini. Niatnya jelas, keinginannya untuk membalas dendam atas kematian Maou Vearth yang dilakukan oleh gadis itu semakin membuak-buak.
Tiamat sebenarnya adalah antara salah seorang general yang terselamat daripada perang-perang gergasi antara Puak Magika dan Puak Típota tou skótous. Dua puak ini sebenarnya bukanlah berasal dari bumi. Puak Magika ialah pengasas kepada kelompok Mahou Shoujo yang meminjam kuasa Magika. Sebelum kemunculan Mahou Shoujo, asal sebenar kuasa Majika ini dimiliki oleh kaum Valkrie yang tinggal di dimensi Valhalla, dunia lain yang tidak dapat terjejak oleh manusia. Misi mereka untuk memusnahkan kegelapan yang datang dari Hades, yang ganas dan kejam. Justeru, kaum Valkrie sedaya upaya memusnahkan dimensi Hades yang juga merupakan asal usul kaum Típota tou skótous. Akhirnya, perang gergasi Hades-Valhalla yang terakhir telah memusnahkan dua dunia itu, sekaligus hampir memupuskan kaum-kaum terulung itu. Perang gergasi itu telah meragut banyak nyawa dan menyebabkan mereka ketiadaan tempat tinggal...
Namun, masih terdapat sisa-baki survival daripada kedua-dua kaum tersebut. Ketua kegelapan, Maou Vearth yang terselamat telah menyembunyikan diri di bumi lantaran membina semula ketenteraannya kembali bagi memulakan penjajahan di bumi ini. Menggunakan kuasa kegelapannya, generasi baharu Típota tou skótous muncul dan lebih dikenali sebagai entiti asing. Seperti lawan mereka juga, Valkrie juga telah memilih untuk menetap di bumi dan memulakan bekerjasama dengan manusia. Sebagai hasilnya, Mahou Shoujo telah dicipta melalui hasil gabungan "teras Majika" dan manusia berjantina perempuan. "NADESHIKO", organisasi pertama Mahou Shoujo yang ditubuhkan di Jepun, menjadi pelopor utama kepada dunia era Mahou Shoujo.
Setelah berpuluh-puluh tahun dua puak ini mendiamkan diri, akhirnya pergerakan mereka mula aktif. Dan, sebagai akibatnya, akhirnya perang gergasi kedua antara dua puak ini tercetus lagi. Malang buat kumpulan antagonis, Maou Vearth telah bertempur satu sama satu dengan Primula lalu terbunuh dalam perang kedua ini yang menyebabkan hampir 90 peratus daripada tentera kegelapan dimusnahkan ketika itu. Mahou Shoujo juga mengalami nasib yang sama, tetapi, ketua mereka ketika itu, Primula, berjaya memenangi peperangan gergasi yang dahsyat itu apabila ketua penjajah itu berjaya dibunuhnya..
Manusia juga mengalami kesan daripada peperangan itu, walaupun hakikat sebenarnya disembunyikan. Buktinya, tsunami besar selatan Tokyo sebenarnya ialah cetusan daripada peperangan gergasi kedua antara dua organisasi itu. Segala insiden dan bukti yang ada dipadamkan, sementara saksi pula dihilangkan ingatan. Tiamat ketika itu masih tidak mempunyai kekuatan dan terpaksa bersembunyi di kawasan terlindung atas arahan Maou Vearth. Raja kegelapan itu berjaya mencipta Tiamat dengan megeluarkan kuasanya lalu merasuki badan manusia. Tiamat telah bergelar entiti S hasil daripada kejayaan itu. Bukan semua manusia yang boleh dijadikan perumah untuk entiti. Entiti itu sendiri mestilah kuat dan perumah itu (manusia) mestilah berkeadaan baik dan sihat serta bebas daripada penyakit. Malang sekali, manusia moden kini suka mengambil makanan berkimia dan kurang mengamalkan gaya hidup sihat menyebabkan tidak banyak tubuh manusia yang sesuai untuk digunakan.
Alasan itu juga, klon tidak sesuai sebagai "perumah" bagi entiti, kerana terhasil daripada gabungan bahan kimia. Kesilapan besar ini hanyalah disedari oleh mereka, setelah tewas teruk dalam peperangan itu. Bayaran untuk kekalahan itu sangat besar. Kontradiksi hakikat pengkhianatan lelaki itu, menyebabkan puak kejahatan tewas, tetapi kenyataan itu terus tersimpan menjadi rahsia dan tiada sesiapa yang tahu....