Bahagian IV
Profesor Rei memandu Mercedes Benz B63S miliknya meluncur laju menuju ke destinasi, makmal rahsia di sebuah kawasan pedalaman di ceruk hutan. Kawasan tidak berpenghuni itu mempunyai denai kecil yang mustahil dilalui oleh kenderaan bias. Namun kereta B63S 6x6nya tegap menempuh halangan yang ada sepanjang jalan. Bukan sahaja kereta SUV itu diubah suai olehnya dengan teknologi terkini, malah kelebihan kereta bertayar 6 itu menyebabkan kereta ini menjadi kegemarannya.
Makmal rahsianya terletak di bawah tanah, dibina khas untuk menghadapi peperangan dan sangat kukuh binaannya. Serupa dengan teknologi yang digunakan untuk membina rumah anaknya, pangkalan rahsia ini dibina dengan nanoteknologi dengan 30 kali ganda kekuatannya. Di situ juga organisasi kedua yang diwujudkan untuk menentang Típota tou skótous iaitu Neo-Saint, telah diwujudkan. Teknologi Neo-Saint agak berbeza dengan teknologi Mahou Shoujo kerana tidak melibatkan "kuasa nyawa". Malah, mereka menggunakan tenaga alam sebagai sumber kuasa untuk mengisi teras "Majika" mereka. Kelemahannya cuma satu, mereka hanya boleh bertarung apabila teras "Majika" mereka penuh dan terpaksa mengecas semula apabila teras mereka kosong. Berbanding Mahou Shoujo yang boleh bertarung selagi mana mereka hidup dan kuasa nyawa mereka masih ada, Neo-Saint hanya mampu bertarung selagi "bateri" mereka ada.
Sebab itu Profesor Rei mencari penyelesaian untuk mencipta "power bank", untuk medium mengecas semula tenaga yang diperlukan oleh teras "Majika". Perkara ini mungkin pelik, namun sebenarnya Profesor Rei sudah berjaya menyelesaikan kemelut yang dialami olehnya itu, dalam keadaan tidak sengaja. Akan tetapi, hakikat itu terus dirahsiakan, kerana mustahil dia tergamak untuk memperalatkan insan yang sangat penting dalam kehidupannya itu....
"Rei-sensei, selamat kembali..." Ujar Profesor Elric, salah seorang pengkaji merangkap anak didiknya, menyambut kedatangannya ke makmal rahsia itu.
"Elric, bagaimanakah dengan ujikaji itu?"
"...Maaf..." Elric tunduk, kekecewaan.
"Sekali lagikah...?" Rei mengeluh.
Eksperimennya terus menghadapi kegagalan satu demi satu. Lagipun, dia sebenarnya tahu punca kegagalan itu. Dia tiada "benda itu".
"Rei-sensei...?" Suara Elric mengembalikannya pada realiti.
"Tiada apa-apa, teruskan sahaja frasa dua dahulu...." Rei memberi arahan lalu melangkah masuk ke bilik ujikaji itu.
................................................
Seperti biasa, Rei memasukkan wang elaun bulanan ke dalam akuan anaknya, Yami. Dia menggunakan akaun bank "dummy" bagi mengelakkan daripada dikesan oleh orang luar. Rei kadangkala berasa sedih kerana tidak dapat menghabiskan masa bersama anaknya, tetapi, jika dia masih bersama anaknya, nyawa Yami akan terancam. Rei memilih untuk kehidupan sebegini justeru dia terpaksa menerima hakikatnya. Isterinya, Hikari telah meninggalkannya untuk selama-lamanya. Dia sudah lama bersedia menghadapi situasi itu kerana inilah bayarannya apabila dia mencintai Hikari.
Sesungguhnya gadis itu istimewa, secara literasi dan nyatanya. Gadis itu bukan manusia biasa. Dia ialah "ibu" kepada Mahou Shoujo. Dia datang dari dunia Valhalla, dunia lain yang tidak pernah diketahui manusia. Sebagai ratu Valkrie, kaum Valhalla, Yggdrasil, nama Hikari ketika itu telah mengetuai angkatan tenteranya menentang tentera Hades yang datang untuk menjajah dunia Valhalla. Peperangan itu berakhir dengan kemusnahan dunia tempat lahir gadis itu. Ratu Valkrie itu telah dilarikan oleh para pengikutnya ke bumi, namun, hanya tinggal dia sahaja yang hidup kerana di bumi, suasananya tidak sesuai dengan kehidupan mereka.
Yggdrasil bertuah kerana orang pertama yang menemuinya ialah Rei. Rei ketika itu ialah seorang pengkaji sains berkepakaran biofizik, telah menyelamatkan dan membawa gadis itu ke makmal kajiannya. Rei telah memberikan nama baharu untuk ratu valkrie itu, iaitu Hikari yang juga bermaksud cahaya. Rei menempatkan Hikari di bilik khas, untuk memulihkan semula Hikari yang semakin lemah dan tidak bermaya. Rei jugalah yang berjaya menghasilkan alat untuk 'mengikat' kuasa Hikari, yang kemudiannya dipanggil teras magika, alat pencetus kelahiran mahou shoujo. Dalam masa yang sama, Hikari mengajar Rei tentang 'kuasa' untuk menghadapi 'kejahatan' yang bakal tiba.
Pada mulanya, proposal keselamatan Rei telah diketawakan oleh badan-badan pertahanan dunia dan wakil PBB yang menganggapnya gila dan tidak siuman. Tetapi, setelah serangan pertama Típota tou skótous, memusnahkan bandar Chernobyl di Pripyat, Rei diangkat menjadi ketua pembangunan aset perang, mewujudkan organisasi pertama Mahou Shoujo yang berpangkalan di Tokyo. Rei juga telah menubuhkan syarikat pertahanan persendiriannya untuk mendapatkan dana, sekaligus menjadikannya usahawan alat senjata dan aset peperangan yang terkaya di dunia. Presiden Amerika dan seluruh pemimpin negara di dunia telah berkumpul dalam mesyuarat khas, akhirnya terpaksa tunduk dan menyalurkan dana kepada organisasi Rei bagi menghadapi peperangan dunia ke-3, kali ini, menentang entiti asing!
Masa yang dikongsikan bersama, memutikkan perasaan cinta antara Rei dengan Hikari. Rei yang masih muda ketika itu, telah jatuh cinta dengan kecantikan dan kejelitaan Hikari. Hikari juga mempunyai perasaan yang sama, merelakan jiwanya, untuk dicintai lelaki itu. Setelah bertahun-tahun lamanya Hikari terperap dalam pusat penyelidikan Rei, akhirnya Rei berjaya menjadikan Hikari seperti manusia biasa dengan memendamkan kuasa milik gadis itu. Idea itu datang semasa Hikari menonton rancangan anime yang dirakamkan oleh teman sekerja Rei. Kuasanya itu dipendamkan melalui bentuk 'mode' iaitu apabila seseorang ingin menggunakan kuasa, dia akan bertukar 'mode' daripada manusia kepada mahou shoujo. Hikari cuba mempraktik teori kartun itu dengan menjadikan dirinya bertukar menjadi 'manusia', terbalik daripada aksi kartun tontonannya itu. Ternyata, tindakannya membuahkan hasil apabila menyebabkan zirah sakti (pakaian aneh milik Hikari), kuasa magika dan senjatanya dipendamkan dalam jiwanya. Bayaran kepada kehilangan kuasa itu, dia dapat hidup seperti manusia dan boleh bersiar-siar di muka bumi tanpa menghadapi kesan bahaya akibat pencemaran.
Setelah berjaya untuk hidup seperti insan lain, Hikari dan Rei mengambil keputusan untuk berkahwin dan telah dikurniakan anak lelaki. Rei menamakannya Yami, anak sulungnya itu. Hikari dan Rei menyembunyikan hakikat sebenar identiti mereka kepada Yami. Yami yang naif itu, menerima seadanya ibu bapanya itu tanpa soal. Rei tidak banyak menghabiskan masa bersama Yami. Biarpun Hikari juga membantu Rei dalam kesibukan kerjaya, Hikari sempat meluangkan masa bersama anak lelakinya itu. Justeru, Yami sangat manja dengan ibunya berbanding bapanya.
Rei semakin sibuk apatah lagi Típota tou skótous semakin galak melancarkan serangan. Gadis-gadis kecil yang yatim-piatu dibawa masuk sebagai bahan kajian. Biarpun mendapat banyak tentangan daripada badan kemanusiaan, peperangan pasti memerlukan korban. Dalam ribuan gadis yang diuji kaji oleh mereka, hanya 125 sahaja yang berjaya melepasi eksperimen itu. Unit mahou shoujo yang pertama telah diwujudkan dan diketuai oleh 0001A, nombor kod seorang gadis yang tidak diketahuinya. Kejayaan itu membawa khabar gembira kepada Rei dan memulakan siri serangan untuk mengekang kehadiran musuh kegelapan itu.
Perkahwinan Rei tidaklah selalunya bahagia. Yami dihidapi leukemia. Rei yang ketika itu sedang sibuk bekerja, tergamam mendengar hal itu daripada mulut isterinya. Rei tahu, isterinya bila-bila akan mati kerana 'kuasa'nya, sebaliknya, dia tidak menyangka Yami juga akan pergi meninggalkannya. Mujurlah Rei menemukan solusinya. Yami berjaya diselamatkan, tetapi kesihatan Hikari pula sudah semakin terjejas. Selepas peperangan gergasi antara Mahou Shoujo dengan Típota tou skótous berakhir, Hikari banyak menghabiskan masa di rumah, tidak seperti dahulu. Semakin hari, kuasa dalaman Hikari mulai 'bocor' kerana teras majika yang dicipta oleh Rei tidak dapat mengekang lagi kuasa itu. Akhirnya, kewujudan Hikari sebagai orang Valhalla terakhir, dikesan oleh makhluk entiti yang masih wujud dan memusuhi mereka.
Kesilapan Rei membiarkan isterinya tinggal di rumah mengakhiri nyawa insan tercintanya itu. Makhluk entiti berkelas SS telah muncul dan membunuh isterinya. Makhluk itu satu-satunya kelas SS yang wujud ketika, turut terkorban apabila Hikari menggunakan kuasa terakhirnya untuk membunuh makhluk itu. Ketika dia tiba di rumahnya, Hikari sudah hampir kepada penghujung nyawanya. Sambil tersandar di dinding, dia memeluk Yami, yang pengsan. Rei melihat senyuman terakhir Hikari, memeluk erat isterinya itu. Jemari Hikari, menyentuh wajah Rei, sambil menggeleng-gelengkan kepalanya. Isterinya itu enggan membenarkan Rei dalam kemurungan. Tiada kesedihan yang nampak pada wajah bersih itu. Perlahan-lahan, badan Hikari mula menghilang, disinar cahaya. Kaum Valkrie mati tidak meninggalkan jasad. Mereka akan hilang begitu sahaja. Lagipun, mereka tidak patut wujud di bumi ini.
"Hi-hikari... HIKARI!!!!!!!"
Setelah kehilangan Hikari, Rei membuka firma pertahanan persendirian baharu untuk menggantikan organisasi Mahou Shoujo yang ditinggalkannya. Keputusannya untuk meletakkan jawatan cukup mengejutkan banyak pihak dan negara. Firma baharunya telah mendapat sokongan oleh beberapa negara yang tidak mempunyai agensi Mahou Shoujo dan badan-badan kemanusiaan yang membenci eksperimentasi terhadap kanak-kanak perempuan. Kerajaan Jepun berbelah-bahagi untuk menyokong keputusan Rei itu, namun Rei memilih membuka firmanya di Malaysia.
Untuk membuktikan kemampuan firma baharu yang diberi nama Neo-Saint, anak kepada jutawan, keluarga Matsushima menjadi tikus makmalnya pertama. Ternyata, janda hartawan itu sanggup berhabisan wang asalkan anak tunggalnya itu dapat diselamatkan. Anak gadis jutawan itu ialah pengguna pertama teras majika versi terbaharu, teras fizika. Teras fizika sangat unik kerana mampu menjana kuasa hidup untuk membantu memanjangkan hayat penggunanya. Dalam pertempuran menentang entiti, kuasa yang dikumpulkan dalam teras tersebut setanding dengan mahou shoujo bertaraf striker, tetapi hanya selagi teras itu masih ada kuasa. Seperti komputer riba atau telefon bimbit, gajet ini hanya berguna jika masih memiliki kuasa bateri. Setelah kejayaan memulihkan anak jutawan itu, pasukan Neo-Saint pun telah diwujudkan bagi menentang musuh yang mengancam bumi. Dengan bantuan kewangan daripada Matsushima, firma Rei telah mula mencipta nama. Rei telah berkahwin lagi, kali ini dengan janda hartawan itu, tetapi tiada cinta pada perkahwinan itu. Si janda itu mungkin mencintainya, tetapi hatinya tetap pada Hikari.
Anak jutawan itu merupakan peminat rahsia kepada anaknya, Yami. Sebut pasal Yami, hidup anaknya itu berubah setelah dia menyelamatkan seorang mahou shoujo. Dia sendiri terkejut apabila rumah yang diduduki oleh Yami telah diubahsuaikan melalui camera satelit miliknya, sumbangan gabungan negara-negara maju Asia. Dia sentiasa memerhatikan Yami dari jauh. Apabila adanya kekuatan dalam jiwanya, barulah dia melawati anaknya itu. Sebab itulah, dia sangat jarang-jarang bertandang, menemui hasil cinta antara dia dengan Hikari. Dia rindu akan Hikari. Terlalu rindu....
Mungkin kini, Yami tidak memerlukannya kerana dia sudah ditemani gadis-gadis comel dan cantik seperti seorang maharaja. Tidak kiralah sesiapapun yang menjadi menantunya, dia cuma berharap agar gadis pilihan Yami akan menjaga anaknya itu hingga akhir hayat. Karma agaknya, kerana mungkin menantunya kelak, seorang mahou shoujo, legasi peninggalan Hikari!