Di suatu suasana yang sungguh gelap dan tersangat hening. Kedua mata Sufi bagaikan tenggelam di dasar laut yang paling dalam. Dia melihat ke kanan dan ke kiri, mencari suatu pintu yang mampu mengeluarkan dirinya dari kegelapan yang menggelisahkan itu. Akhirnya, muncullah suatu cahaya putih yang bersinar terang di hadapannya. Perlahan-lahan cahaya itu menelan kegelapan yang memenuhi penglihatannya itu hinggalah suasana yang gelap dan tersangat hening tersebut berubah menjadi suasana yang sangat terang.
"Bangunlah wahai jiwa yang seumpama air. Padamkan kegelapan yang ingin membinasakan itu." Suatu suara yang muncul dari sinaran cahaya putih yang terang itu.
Suara itu membuatkan Sufi terjaga daripada lenanya. Dia duduk dari baringnya cuba untuk memecahkan rantai-rantai kemalasan yang merantai tubuhnya sewaktu lena memenuhi minda.
"Mimpi." Ucap Sufi sambil menyapu wajahnya.
Sufi membersihan diri lalu bergerak ke kawasan luar rumah untuk menghirup udara yang segar. Apabila dia membuka pintu, dia melihat ramai penduduk kampung yang sedang berlari ke arah gerbang kampung yang berada tidak jauh dari tempatnya. Wajah mereka kelihatan cemas seperti ada sesuatu yang buruk sedang berlaku.
"Gaduh?" Soal Sufi.
Sufi cuba mengikuti langkah penduduk kampung tersebut menuju ke gerbang kampung. Setibanya Sufi, dari kejauhan dia melihat satu sosok makhluk gergasi yang berbentuk seperti ular tapi berkepala tiga berwarna hitam pekat diiringi pula dengan aura-aura hitam di sekitar tubuhnya. Ukuran tubuh makhluk itu menyamai ukuran sebuah rumah yang sangat panjang.
"Habislah... Raksaksa itu sedang lapar... Pasti dia akan menelan tubuh kita satu per satu." Keluh seorang lelaki tua yang sudah pun terduduk di tanah diselebungi dengan ketakutan.
Dari kejauhan itu juga, Sufi dapat melihat Daem sedang melompat terbang menumbuk salah satu kepala makhluk tersebut hanya menggunakan kedua tangannya.
"Ilmu gerak tubuh." Bicara Sufi.
*Di Alam Ulfun Ain, Ilmu gerak tubuh adalah ilmu berbentuk fizikal yang menggunakan aura untuk melapisi kawasan luar tubuh sama ada sebagai pelindung ataupun digunakan sebagai serangan. Ianya keajaiban yang dizahirkan pada gerak geri tertentu
Daem memukul makhluk itu bagaikan seorang petinju hingga makhluk itu merasai kesakitan daripada pukulan Daem tersebut, namun tubuhnya tidak menunjukkan sebarang bekas pukulan mahupun terluka.
"Apa yang makhluk ni makan? Keras sangat kulit dia." Keluh Daem.
"Cinggg!!!" Pedang Merah menusuk secara tiba-tiba pada salah satu kepala makhluk yang berada ditengah-tengah.
Pedang itu berpusing kencang menghasilkan percikan api kesan daripada pertembungan sengit di antara Pedang Merah dengan kulit makhluk tersebut. Dalam beberapa detik, Nur muncul memegang pedang itu bersama dengan aura merah yang mengelilingi tubuhnya. Nur menekan masuk pedang itu hingga tembus ke dalam kepala makhluk menyeramkan itu. Memercik darah hitam yang banyak lalu perlahan-lahan kepala makhuk itu jatuh terhempap ke bumi.
"Mati pun kau. Dua lagi kan. Mari sini." Cabar Nur.
"Nur… Lambat kau sampai. Abang Rahman dan sahabat yang lain mana?" Tanya Daem.
"Abang Rahman dan yang lain membantu penduduk di kampung sebelah menentang makhluk seperti ini cuma yang ini lebih besar. Makhluk ini seperti ibu yang satu lagi itu seperti anaknya. Abang Rahman menyuruh aku bergegas pulang. Katanya ada aura gelap yang lebih besar ingin membinasakan kampung kita." Jawab Nur dengan nada yang tegang.
Penduduk kampung yang berkumpul di gerbang kampung mula tersenyum. Mereka melihat sinar harapan yang dapat melindungi mereka daripada makhluk gergasi itu.
"Hmmm... Panas pula bahang matahari." Keluh Sufi.
Tubuh Sufi ingin membantu Daem, namun bisik hatinya pula mencegah yang sedemikian. Setibanya dia di gerbang itu, bahang matahari masih terlalu panas. Mungkin, itu merupakan antara suatu kelemahan bagi kelebihannya di alam itu.
"Nur… Lariii!!!" Teriak Daem secara mengejut.
Kepala makhluk yang tertusuk pedang tadi itu kembali berdiri seperti sedia kala. Lubang tusukan di tengah kepalanya itu sembuh sempurna seperti tiada apa-apa yang berlaku. Nur dengan tangkas melempar pedangnya jauh daripada makhluk tersebut.
"Dirimu adalah tingkah ku, tingkah ku….." Nur tidak sempat menghabiskan mantera berpindah tempat kerana kaku melihat ketiga-tiga kepala makhluk itu sudah pun sehasta dekat menyerang ke arah tubuhnya.
Salah satu kepala makhluk itu hampir sahaja menelan tubuh Nur yang kaku.
"Pap!!!!" Sufi datang tepat pada masanya menghentikan serangan kepala makhluk itu menggunakan tangan kirinya.
Suasana hening seketika diiringi dengan siulan-siulan angin. Nur menatap kedua mata Sufi yang hadir pada masa-masa yang genting. Di dalam kekalutan itu, dia mampu merasakan ketenangan. Damai hatinya melihat Sufi bersama masa yang seakan-akan terhenti.
"Ini baru raksaksa Nur. Tenang... Habiskan mantera mu." Arah Sufi.
"Maaf... Dirimu adalah tingkahku, tingkahku adalah dirimu." Bicara Nur menyelesaikan lafaz manteranya yang terputus.
Selama beberapa detik berlangsung, Nur tetap dengan kedudukannya. Dia melihat semula pada pedangnya.
"Habislah. Pemegangnya menyentuh bumi." Bisik hati Nur.
Nur memandang wajah Sufi bersama wajah yang berubah cemas. Tangan kiri Sufi masih menahan kepala makhluk yang ingin menelan Nur itu tetapi kepala yang dua lagi mula menyerang ke arah tubuhnya. Wajah Sufi tetap tenang bahkan bibirnya mengukir senyuman yang kecil.
"Wahai Air…." Bicara Sufi.
"Wrashhh!!!" Titisan air yang banyak terbang mengelilingi Sufi dan Nur dari permukaan alam.
Ketiga-tiga kepala makhluk itu berundur menjauhi titisan-titisan air itu. Nur, Daem bahkan seluruh penduduk kampung terpana melihat keajaiban itu. Aura yang bertindak dahulu sebelum mantera selesai dilafazkan.
"Berubahlah dikau menjadi salju. Dingin membeku di setiap apa yang dikau sentuh. Dingin membeku di setiap apa yang aku sentuh." Sambung Sufi.
Makhluk itu menyerang Sufi melalui ketiga-tiga kepalanya. Apabila semakin hampir, Sufi mengarahkan tangan kanannya ke arah makhluk itu membuatkan titisan-titsan air yang mengelilingi tubuhnya meruju ke arah makhluk tersebut bagaikan taburan peluru. Setiap titisan yang menyentuh makhluk itu berubah menjadi ais yang perlahan-lahan membekukan keseluruhan tubuhnya hingga menjadi sebuah bongkah ais yang tersangat besar berbentuk ular berkepala tiga.
"Sufi, kau pengguna salju?" Soal Daem.
"Mmm... Aku pun kurang pasti." Balas Sufi bersama senyuman kecil.
Nur kaku untuk ke sekian kalinya. Kejadian itu berlaku tepat dihadapannya bagaikan suatu pertunjukkan dari seorang yang sangat luar biasa bahkan luar biasa di hatinya.
"Hancurkan ular ini Daem." Arah Sufi.
Daem melompat ke arah makhluk itu lalu memukulnya secara bertubi-tubi menggunakan penumbuknya.
"Bayangkan penumbuk mu itu terbakar dengan api yang panas dan hadirkan rasa api di dalam jiwamu." Sambung Sufi lagi ibarat mengajarkan Daem tentang suatu ilmu.
Daem mengikuti petua Sufi. Perlahan-lahan dia membayangkan di akalnya dan perlahan-lahan dia menghadirkan di jiwanya seperti apa yang Sufi arahkan. Apabila dia bertindak semula, penumbuknya terbakar bagai menyalakan api. Semakin bertubi-tubi penumbuknya hinggap ke makhluk itu semakin marak pula api yang menyala bahkan rasa dalam jiwanya ibarat dibakar sesuatu.
"Tinju Api: Seribu percikan api!!!" Teriak Daem.
Makhluk yang membeku itu semakin terbakar dan menyala sangat besar hingga bongkah ais ular berkepala tiga berubah menjadi api kesemuanya. Perlahan-lahan makhluk itu berubah menjadi debu hitam lalu hilang dibawa angin.
"Habis?" Soal Daem.
"Sufi..." Panggil Nur.
"Habis... Tenangkan diri ya." Pujuk Sufi.
Suasana hening seketika seperti awalnya kehadiran Sufi di tempat itu. Waktu itu dihiasi dengan cahaya matahari yang semakin hilang kerana aturannya peredaran waktu. Kehadiran Sufi bagaikan petunjuk bahawa semua bahaya akan menemui noktahnya. Penduduk kampung mula mengukir senyuman dan bersorak memecahkan waktu yang hening seketika kerena terkesan dengan kejayaan itu. Sungguh seorang penyelamat tampan yang hadir dari alam lain. Dalam beberapa minit, kedengaran hentakan kaki-kaki kuda yang berlari menuju ke arah mereka.
"Nur... Daem… Api besar apa tadi? Makhluk itu mana?" Tanya Abang Rahman yang baru tiba bersama dengan sahabat-sahabat mereka yang lain.
"Abang Rahman. Kami Berjaya membinasakan makhluk itu. Berkat….." Jawab Daem lalu pengsan terhempap ke tanah.
"Mabuk agaknya budak ini. Betulkah Nur?" Tanya Abang Rahman lagi.
"Ya Abang Rahman. Berkat Sufi, kami berjaya mengalahkan makhluk itu." Jawab Nur.
"Mana Sufi?" Tanya Abang Rahman.
Mata-mata yang ada disitu mulai meliar mencari dimanakah kewujudan Sufi. Namun pandangan mereka tidak bertemu dengan kehendak hati.
"Tadi dia ada Abang Rahman. Baru sekejap tadi dia ada dengan kami." Jawab Nur yang mula keliru bagaimana si penyelamat keadaan itu boleh hilang sekelip mata.
"Nur... Apa yang terjadi dengan Daem?" Tanya Alim.
"Aku rasa, Daem mabuk cinta dengan makhluk itu." Balas Lokh.
"Daripada dia jatuh cinta dengan makhluk itu bagus dia jatuh cinta dengan kau. Kau dengan Daem kan tiada beza...Lembab." Sindir Luft.
"Mungkin sebab dia menggunakan ilmu gerak tubuh yang baru. Tinju Api, seribu percikan api. Itu yang dia teriakan tadi." Jawab Nur.
"Mengapa Daem bakar makhluk itu kalau dia jatuh cinta?" Soal Lokh lagi.
"Lembab! Nur sudah kata yang kami berjaya tewaskan makhluk itu. Kalau Daem jatuh cinta buat apa dia bakar. Ish!" Marah Nur.
Gelak dan tawa pun menghiasi suasana mendengarkan bicara daripada Lokh.
"Daem menggunakan ilmu gerak tubuh peringkat tinggi." Terang Abang Rahman memecahkan gelak dan tawa mereka.
Penjelasan itu mengejutkan sahabat-sahabat Daem kerana kemampuannya mencapai peringkat tinggi hanya dalam masa sehari. Guru yang menjadi api pembakar kepada peningkatan Daem itu pula tiada siapa yang membicarakan. Mungkin kerana gurunya yang tanpa sedar itu pun sendiri mendiamkan diri lalu menghilang bagai angin yang berhembus sayu.
"Hmmm… Lokh, Luft. Kamu adik beradik angkat Daem. Hantar dia ke rumahnya. Yang lain pulang ke rumah bersihkan diri dahulu. Tidak lama lagi Maghrib akan tiba." Arah Abang Rahman.
Kedua mata Abang Rahman masih mencari dimanakah kedudukan Sufi tapi tetap sahaja jawapannya sama seperti sebelumnya. Sufi hilang begitu sahaja.
*****
"Allahuakhbar Allahuakhbar." Azan berkumandang di surau Laila.
Penduduk kampung mula berkumpul di surau Laila untuk menunaikan solat Maghrib. Setibanya Abang Rahman di surau itu, matanya masih mencari-cari kewujudan Sufi.
"Alim. Kau ada nampak Sufi?" Tanya Abang Rahman yang terserempak dengan Alim.
"Tiada Abang Rahman. Saya belum berjumpa dengan dia sejak kita sampai ke kampung tadi." Jawab Alim.
Nur yang terdengar pertanyaan itu menghampiri Abang Rahman.
"Abang Rahman. Radyah dan Rayyan pun hilang. Rumahnya masih gelap." Terang Nur.
"Kata Rayyan pagi tadi, dia dengan adiknya ingin pergi mencari herba di hutan Zamrud Mulia. Lewat pula mereka pulang." Balas Abang Rahman.
*****
Suatu suasana petang dipersimpangan jalan antara Kampung Laila, Kampung Hudap dan jalan ke Kota Bulan Merah semasa pertarungan Sufi, Nur dan Daem di Kampung Laila. Sewaktu perjalanan Radyah dan Rayyan pulang ke kampung, mereka telah terserempak dengan serigala jadian bermata buta sebelah kiri yang tubuhnya hampir dua kali ganda berbanding manusia biasa. Seekor kuda yang mereka bawa bersama melarikan diri masuk ke dalam hutan meninggalkan mereka berdua di persimpangan jalan.
"Serigala jadian. Jangan jauh dari Abang Radyah." Arah Rayyan.
"Arghh…Jantung adikmu itu milikku. Manis." Ucap serigala jadian itu dengan suaranya yang menakutkan.
Rayyan membuka langkah ilmu gerak tubuh bersiap sedia dengan suatu pertarungan yang bakal mengasyikkan jiwa.
"Gerak Aliran Air." Seru Rayyan.
Tangan Rayyan mula didampingi dengan aura biru yang mengalir. Dia menghulur tangan kanannya kehadapan bersama jari-jari yang tersusun rapi.
"Manusia lemah. Aura sekecil itu ingin bertarung dengan aku. Mari." Ejek Serigala jadian itu.
Serigala jadian itu berlari ke arah Rayyan menggunakan tangan dan kakinya. Dengan matanya yang merah, nafsu membunuhnya jelas menakutkan. Serigala itu mulai menyerang Rayyan dengan kedua tangannya yang berkuku besar secara bertubi-tubi. Rayyan menepis setiap serangan itu mengunakan kedua tangannya bagai air yang mengalir memasuki ke celah-celah tangan serigala jadian tersebut. Dalam keasyikkan bertarung, kaki Rayyan berjaya menendang kencang bahagian perut serigala itu hingga tubuhnya terbuang kebelakang menghempap ke bumi.
"Hah...Tunggu kau manusia lemah. Arghhh!!!" Serigala itu bangkit semula lalu mengeluarkan aura hitam yang banyak dari tubuhnya untuk menguatkan serangan.
Setelah berkumpulnya aura hitam yang tebal di sekeliling tubuh serigala itu, dia berlari ke arah Rayyan untuk memulakan semula pertarungan yang terhenti seketika. Serigala jadian itu menyerang Rayyan dengan tangan kirinya. Kali ini serangannya semakin laju daripada yang sebelum ini. Rayyan menepisnya menggunakan tangan kanan lalu mengunci tangan serigala tersebut di rusuk kanannya. Dalam masa yang sama tangan kiri Rayyan menusuk ketengah dada serigala itu menggunakan hujung jari-jemarinya.
"Pap!!!" Jari Rayyan hanya bertembung dengan dada serigala itu tapi tidak menusuk ke dalam.
"Lemah!!!" Teriak Serigala itu.
Serigala itu menyerang Rayyan lagi menggunakan tangan kanannya yang berkuku panjang dan besar tepat ke arah jantung Rayyan. Rayyan dengan tangkasnya tunduk masuk ke bawah tangan kanan serigala itu dan pada masa yang sama tangan kirinya menusuk ke arah mata kiri serigala yang sudah pun buta tersebut hingga tembus ke dalam mata. Tangan kanan Rayyan pula mematahkan tangan kiri serigala itu yang masih terkunci di bahagian rusuk kanannya.
"Krakkk!" Bunyi tangan serigala yang dipatahkan oleh Rayyan.
"Arrrggghhh!!!" Teriak serigala jadian itu meraung kesakitan.
Serigala itu melompat kebelakang menjauhkan dirinya daripada Rayyan dengan raungan kesakitan pada tangan kirinya yang patah itu.
"Siapa yang lemah sekarang makhluk durjana." Ejek Rayyan.
"Kau patahkan tangan kiri aku…Tunggu kau manusia lemah…Auuuggghhhh!!!" Marah Serigala jadian itu lalu secara tiba-tiba dia meyalak dengan nyaringnya.
Suasana hening seketika…
"Apa lagi kuasa kau makhluk durjana." Cabar Rayyan.
"Abang...Dengar. Dalam hutan." Arah Radyah.
Rayyan menoleh ke arah hutan tebal yang berada di tepian jalan. Dia terdengar tiga pergerakan makhluk besar yang sedang berlari kencang menuju ke arahnya. Semakin dekat bunyi larian itu, semakin perlahan pergerakannya. Dalam beberapa detik, keluar tiga ekor serigala jadian dari arah kawasan hutan tersebut. Tubuh mereka besar tapi tidak sebesar serigala jadian yang Rayyan tentang sebelum ini.
"Kau bawa kawanan kau. Lemah." Ejek Rayyan.
Serigala besar itu mengarahkan jari telunjuknya pada Rayyan.
"Serang manusia bongkak itu. Jelas kan pada dia bagaimana rasa kematian." Arah Serigala besar itu.
Tiga ekor serigala itu mula menyerang Rayyan dari tiga penjuru menggunakan gigi mereka yang tajam. Rayyan tidak dapat menepis menggunakan kedua tangannya kerana dia risau kedua tangannya itu akan putus jika bersentuhan dengan gigi-gigi serigala itu. Dalam fokusnya Rayyan menghindari serangan-serangan itu, tanpa sedarnya ketua serigala itu sudah pun berada di belakang sedia untuk membaham lehernya.
"Abang!!! Lari!!!" Teriak Radyah.
Dalam kekalutan itu, Rayyan tidak sempat melarikan diri sepenuhnya. Dia hanya mampu menyelamatkan lehernya dengan mempertaruhkan tangan kanannya.
"Prrrappp!!!" Ketua serigala jadian itu membaham tangan kanan milik Rayyan.
Rayyan terduduk di tanah meraung kesakitan dengan darah yang mengalir deras daripada tangan kanannya yang putus.
"Puhh!!! Sakit?" Ejek ketua serigala itu.
Rayyan hanya mampu melihat tangan kananya di ludah begitu sahaja oleh ketua serigala jadian itu. Dia tidak tahu untuk berbuat apa lagi. Gerak Aliran Air Rayyan bergantung sepenuhnya pada kedua-dua tangan. Dia tidak mampu menyerang hanya dengan menggunakan satu tangan.
"Radyah…Lari…" Arah Rayyan dengan nada yang semakin sayu.
Rayyan tersedar dalam situasi yang berubah kedudukan itu, dia tidak akan mampu menyelamatkan dirinya apatah lagi menyelamatkan adiknya. Dia hanya mampu mengorbankan nyawa demi adik kesayangannya itu.
"Abang..." Panggil Radyah dengan nada yang dihiasi tangisan.
Anak buah serigala besar itu mendekati Radyah.
"Abang Sufi...Tolong Radyah." Ucap Radyah dengan akal yang mengharapkan Sufi datang untuk menyelamatkannya.
"Jangan!!! Kita perlukan jantung manis itu untuk pemujaan. Kalian ambil jantung abangnya!" Tegah ketua serigala itu.
Rayyan menutup mata lalu menarik nafas sedalam-dalamnya. Air matanya mula mengalir membayangkan dirinya akan mati di tangan serigala-serigala durjana itu. Membayangkan wajah adik kesayangannya yang tidak mampu dia lindungi. Sangat perit bagi Rayyan di hujung-hujung hayatnya. Dia hanya mampu duduk, pasrah dengan putaran takdir yang berlaku.
"Lari...Radyah." Arah Rayyan untuk yang terakhir kalinya.
Ketiga ekor serigala itu melompat ke arah Rayyan dengan wajah gembira yang menyeramkan. Melihat tubuh Rayyan bagai santapan malam yang mengasyikkan. Hampir sahaja salah satu tangan serigala itu menusuk ke jantung Rayyan.
"Zappp!!!" Tangan salah satu serigala yang hampir menusuk jantung Rayyan itu putus sekelip mata.
"Aaauugghh!!!" Serigala itu menyalak kesakitan.
Dua serigala lagi menjauhi Rayyan apabila melihat satu sosok tubuh yang sangat menakutkan bagi mereka berada di sampingnya. Sosok tubuh yang berwajah tenang, terlalu tenang hinggakan suasana ketika itu mengikuti rentak-rentak ketenangan auranya.
"Abaaanngg…Abang Sufi!!!" Teriak Radyah.
Membuak gelora rasa kegembiraan dan harapan dalam hati Radyah. Tidak dia menyangka permintaannya dalam kekalutan itu menjadi kenyataan.
"Sufi?" Soal ketua serigala itu.
Rayyan mula membuka matanya perlahan-lahan. Tersenyum lebar bibirnya melihat wajah Sufi yang tenang mencampakkan tangan serigala yang putus itu.
"Sufi…" Seru Rayyan dengan suaranya yang hampir hilang.
Dengan suatu senyuman kegembiraan dan hati yang merasa ketenangan, perlahan-lahan mata Rayyan tertutup semula. Jantungnya masih berdegup, namun mindanya hilang tidak sedarkan diri.
"Tenang." Ucap Sufi sambil memandang serigala yang terputus tangan itu kaku berdiri dihadapannya.
"Aahhh. Siapapun dia. Makan jantungnya!" Arah ketua serigala itu.
Serigala yang berada di hadapan Sufi itu merasa sangat gelisah. Dia kaku apabila berpandang mata dengan Sufi. Dia merasakan aura ketenangan Sufi itu bagai racun di dalam tubuhnya yang perlahan-lahan membeku dan sangat menyakitkan. Dia cuba menggerakkan tangannya yang lagi satu. Tapi tangannya yang tersisa itu tidak menurut apa yang akalnya perintahkan. Sufi pula terus merenung ke dalam matanya bagaikan kaca ais yang tepat menusuk ke dalam mata.
"Gerak Aliran Salju:…" Bicara Sufi.
"Abang besar… Hantu Salju… Abang besar…" Ucap salah satu anak buah ketua serigala itu.
"Hantu Salju... Jumlah kita ramai. Jangan takut. Serang saja dia!" Arah ketua serigala itu lagi.
Kedua serigala yang berada jauh dari Sufi itu mula melompat menyerang ke arah Sufi. Sufi menyilang tangannya dengan tenang di bahu lalu menggerakkan tangannya itu bagai menebas sesuatu.
": Serpihan Kaca-Kaca Salju." Sambung Sufi.
Usai sahaja tingkah dan bicara Sufi itu, terbit serpihan-serpihan kaca ais dari aura yang mengelilingi tubuhnya. Terbang bagaikan peluru-peluru kaca ais yang memotong tubuh-tubuh serigala yang menyerang ke arahnya umpama daging yang dibelah-belah dengan potongan yang halus. Serigala yang berada di hadapan Sufi itu pula tidak berhenti menggeletar. Wajahnya pucat di penuhi dengan keringat ketakutan. Sufi menyentuh wajah serigala itu dengan telapak tangannya. Secara perlahan-lahan wajah serigala itu membeku dari wajah sampailah ke bahagian kaki hingga satu tubuh membeku tanpa sebarang pergerakan. Sufi menolak pula wajah serigala yang membeku itu hingga tubuhnya terhempas ke bumi. Pecah berkecai tubuh srigala itu bagai pecahan-pecahan ais yang dihentak ke permukaan alam. Ketua serigala itu kaku seketika melihat keindahan gerak salju milik Sufi. Dalam masa yang sama dia dapat merasakan nyawanya bakal di ragut dalam sekelip mata.
"Sufi!!! Aku ingat bentuk wajahmu. Aku ingat gelaran mu itu. Kau tunggu Sufiii…" Teriak ketua serigala itu.
Serigala itu melompat ke bahagian belakang lalu berlari menggunakan tangan dan kakinya masuk ke dalam hutan tebal di tepian jalan. Ketakutan pada jiwanya itu memaksa dia berlari lebih kencang agar hilang secepat mungkin daripada pandangan mata Sufi.
"Aku pun ingat wajah kau." Sindir Sufi.
Sufi dengan wajahnya yang tenang itu mula memapah Rayyan yang tidak sedarkan diri.
"Abang Sufi..." Panggil Radyah.
"Kamu dua ada bawa kuda Radyah?" Tanya Sufi.
"Ada..." Jawab Radyah.
"Panggil kuda itu semula. Kita pulang ke kampung terlebih dahulu ya." Arah Sufi.
Radyah mula memanggil kudanya yang hilang melarikan diri masuk ke dalam hutan.
"Battt!!!" Teriak Radyah.
Dalam beberapa detik, kuda Radyah keluar daripada kawasan hutan berlari menuju ke arahnya. Sufi mendekati kuda itu lalu menghulurkan tangan kanannya pada mulut kuda tersebut. Dia meminumkan auranya yang berubah menjadi air.
"Naik Radyah. Biar aku yang tunggang kuda ini." Arah Sufi lagi.
Sufi menaiki kuda itu dengan meletakkan Rayyan yang tidak sedarkan itu di bahagian hadapannya. Radyah seakan-akan terkejut dengan arahan itu. Akalnya membayangkan apa yang akan terjadi diantara dia dengan Sufi.
"Tapi…" Balas Radyah.
"Tenang." Pujuk Sufi.
Dengan getaran pada tubuh Radyah, dia menunggang kuda itu bersama Sufi. Memegang baju Sufi menggunakan kedua tangannya dengan seerat mungkin. Dia cemas memikirkan abangnya, tapi dia juga cemas memikirkan Sufi. Rasa itu datang berwajahkan Sufi memotong rasa yang lain di dalam jiwanya. Jelas kecomelan pada wajahnya yang semakin merah itu.
"Pegang kuat-kuat ya, kuda ini akan berlari kencang dua kali ganda dari yang biasa." Terang Sufi lalu menggerakkan kuda tersebut.
Dalam perjalanan mereka menuju ke kampung Laila, kuda itu berlari sangat kencang dua kali ganda daripada yang biasa. Kedua tangan Radyah tidak lagi memegang baju Sufi. Kedua tangannya itu sudah pun memegang bahagian perut Sufi. Larian kuda itu terlalu kecang hinggakan rasa-rasa itu sudah tidak terfikirkan lagi. Sufi hanya memikirkan Rayyan yang sekarat pada masa itu manakala Radyah pula memikirkan abangnya dan Sufi. Malam semakin pekat dalam perjalanan mereka hingga cahaya tidak kelihatan lagi. Akhirnya, perjalanan mereka sampai ke destinasi.
"Kamu penuntut ilmu Syifa'...Kan Radyah?" Tanya Sufi.
*Ilmu Syifa' adalah ilmu penyembuhan yang ada di alam Ulfun Ain tidak kira sama ada menggunakan herba mahupun kuasa-kuasa ajaib daripada aura.
"Ya Abang..." Jawab Radyah.
"Kita terus ke rumah kamu. Setibanya di sana, kita akan merawat dia." Balas Sufi.
Radyah mengangguk membenarkan arahan itu. Setibanya di rumah Radyah, Sufi memapah Rayyan naik ke atas rumah. Sufi menggunakan aura di tangan kanannya untuk menyekat aliran darah yang keluar daripada tangan Rayyan yang putus. Radyah mengambil sebaldi air lalu mula merawat abangnya menggunakan Ilmu Syifa'. Wajahnya dibanjiri air mata dan keringat. Belum pernah sepanjang riwayat hidupnya merawat luka separah itu. Apatah lagi yang dirawatnya itu adalah abang kesayangannya sendiri.
"Abang..." Panggil Radyah pada Sufi dengan nada yang sayu.
"Radyah tidak mampu..." Sambungnya lagi.
"Rayyan masih bernafas. Tenang. Jangan putus asa dan putus berdoa ya." Pujuk Sufi.
"Tapi Abang, nafas dia..." Ucap Radyah.
Akhirnya, Rayyan berhenti bernafas. Hembusan dan tarikan nafasnya tidak lagi kedengaran. Tubuhnya kaku bagai patung yang sedang baring di atas riba Sufi. Akal fikiran mula hilang daripada tubuh Radyah bahkan jantungnya berhenti berdetak. Matanya membesar dengan bibir yang tidak lagi bergerak. Kepalanya rebah menghempap ke dada Sufi dengan kedua tangan menyangkut di kedua bahu pemuda tersebut.
"Radyah." Panggil Sufi sambil menepuk bahu Radyah mengejutkan dia dari kejutan jiwa.
Radyah kaku tidak bermaya dengn air mata yang terus mengalir. Dalam beberapa detik, air matanya yang mengalir tanpa henti itu terselit suatu titisan bercahaya putih menitis ke wajah Rayyan. Hati Sufi mula berbisik dan akalnya mula mengambarkan sesuatu ilmu tentang titisan itu. Rayyan pula terduduk dari baringnya secara mengejut dengan nafas yang kembali berfungsi yang ditarik dan di hembus sekuat mungkin.
"Rayyan?" Panggil Sufi.
"Hah. Radyah?" Soal Rayyan yang melihat Radyah kaku dengan mata yang terbuka di dada Sufi.
Sufi mula mengalirkan aura ketenangannya itu ke tubuh Radyah mengalir masuk ke dalam mulut lalu membasahi jantungnya. Kali ini, Radyah pula yang tersedar dari kejutan jiwa lalu memandang mata Sufi dengan kedua tangannya yang semakin erat memegang bahu pemuda itu.
"Abang?" Panggil Radyah.
Sufi memandang wajah Radyah manakala Radyah pula kaku bersama gelora rasa memandang wajah Sufi.
"Radyah?" Panggil Rayyan.
Radyah memandang Rayyan lalu memandang semula ke wajah Sufi.
"Pap!" Radyah menampar Sufi secara tiba-tiba.
"Sakit Radyah." Keluh Sufi.
"Aaahhh!!!" Teriak Radyah lalu menjauhkan dirinya daripada Sufi.
"Aik." Balas Sufi.
"Abang Sufi buat...buat apa?" Tanya Radyah dengan nada yang manja bersama wajahnya yang berubah merah padam.
Sufi mengarahkan jari telunjuknya ke arah Rayyan. Radyah menoleh mengikuti arah jari telunjuk Sufi itu. Dia melihat abangnya sudah mula bernafas dengan baik.
"Abanggg!!!" Teriak Radyah lagi lalu bergerak memeluk abangnya.
Rayyan menepuk halus belakang Radyah yang kembali di banjiri air mata kegembiraan. Sufi hanya tersenyum melihat mereka berdua tapi akalnya masih berperang memikirkan titisan bercahaya yang dia lihat sewaktu Radyah dan Rayyan kaku dalam peredaran masa. Apakah cahaya itu sehingga ketenangan dalam jiwa dan akalnya tergugat. Bahkan dia di tampar tanpa suatu kesalahan yang jelas.
*****
Suasana maghrib di dalam surau Laila. Setelah selesai solat Maghrib berjemaah, Abang Rahman berdiri lalu menuju ke bahagian hadapan surau.
"Assalamualaikum." Ucap Abang Rahman.
Penduduk kampung menjawab salam itu dengan wajah yang dihiasi dengan berbagai macam riak yang menyedihkan. Akal mereka masih berperang dengan ketakutan pada kejadian petang tadi.
"Seperti yang kita ketahui, raksaksa datang tanpa kita duga. Di kampung sebelah Kampung Sakin, saya dan murid-murid saya bertarung menewaskan satu sosok makhluk yang berbentuk ular berkepala tiga yang di gelar sebagai Hyn hitam. Sukar untuk mengalahkan makhluk ini kerana ketiga-tiga kepalanya itu harus di musnahkan secara serentak. Sekiranya hanya satu kepala ataupun dua, kepala itu akan sembuh semula seperti sedia kala. Berkat Sufi, Nur dan Daem, Hyn hitam yang menyerang kampung kita pun turut dibinasakan." Terang Abang Rahman.
Apabila mendengar nama Sufi, penduduk kampung mula tersenyum dan berbicara mengenai kehebatannya.
"Saya tidak tahu lagi untuk berbuat apa kerana kita semua pun bukan pejuang. Hanya mampu untuk melindungi diri sendiri. Saya ingin meminta pendapat kamu semua. Perlukah kita meminta bantuan daripada kota?" Sambung Abang Rahman lagi.
Seorang lelaki tua berbadan sasa dan berwajah seperti Daem berdiri.
"Anak saya masih tidak sedarkan diri. Bukan kerana dia tewas, tapi kerana kejayaannya melindungi nyawa-nyawa kita semua. Bagi saya Abang Rahman, bantuan daripada kota itu tidak perlu bukan kerana kita kuat, tapi mereka itu lebih merisaukan daripada raksaksa yang datang petang tadi. Berikan latihan lebih pada pemuda-pemuda di kampung ini untuk melindungi kita semua. Mereka sahajalah harapan kita." Terang Pacik Nuar ayah kepada Daem.
Penduduk kampung mengangguk kepala menandakan mereka setuju dengan pendapat itu. Bagai ada sesuatu yang menakutkan tentang kota yang mereka katakan tersebut sehingga mereka sanggup mempertahankan kampung tanpa bantuan daripada kota.
"Baiklah. Saya akan bincangkan perkara ini dengan murid-murid saya pada latihan di gelanggang ilmu malam nanti." Terang Abang Rahman lalu bergerak ke luar surau.
"Nur…" Panggil Sofea sahabat Nur yang berwajah putih cantik dengan matanya yang sepet berhidung mancung.
"Hah?" Jawab Nur.
"Sufi mana?" Tanya Sofea lagi.
Pertanyaan itu menambah bunga-bunga rindu yang pohonnya itu sudah pun berbunga lebat di dalam hati Nur. Akalnya tidak lepas dari membayangkan wajah tenang Sufi yang menjadi sang penyelamat keadaan meskipun dia cuba untuk menafikan semua itu pada awalnya cerita. Bayangan peristiwa petang itu berputar bagaikan jam. Berpusing ke arah kanan lalu ke kiri dan akhirnya kembali ke awal pusingan. Begitulah seterusnya tidak berkesudahan.
"Nur… Aku tanya kau. Mana Sufi." Tegas Sofea.
"Aku tidak tahu. Dari petang tadi dia hilang." Jawab Nur.
Terbit kerisauan pada hati gadis itu. Bunga-bunga yang menambah lagi keindahan taman rindu didalam jiwa.
*****
Suasana di luar surau sewaktu Abang Rahman bersendirian menghirup udara yang segar. Secara tiba-tiba, datang seorang gadis dari kejauhan berlari menuju ke arahnya.
"Abang Rahman!!! Abang Rahman!!!" Teriak gadis tersebut.
"Hah Lara. Apa yang jadi?" Tanya Abang Rahman.
"Abang Rayyan... Tangan kanan Abang Rayyan putus. Radyah sedang merawat abangnya sekarang. Sufi ada di rumah mereka membantu Radyah," Terang Lara gadis kecil yang merupakan adik bongsu kepada Lokh dan Luft. Tercungap-cungap dia menerangkan perkara itu kepada Abang Rahman.
Tanpa berfikir panjang, Abang Rahman menuju ke rumah Rayyan. Sesampainya dia di rumah Rayyan, dia melihat pemuda itu sedang duduk bersandar di dinding rumah dengan darah yang berlumuran di tubuhnya. Radyah pula duduk disampingnya menutup luka besar dari tangan kanan Rayyan yang putus.
"Abang Rahman..." Panggil Rayyan dengan mata yang hampir tertutup.
"Abang Rahman, Kami di serang empat ekor serigala jadian waktu pulang ke kampung. Tangan kanan Abang Rayyan putus di baham oleh ketua mereka. Salah satu dari mereka itu hampir sahaja membunuh Abang Rayyan tapi…" Terang Radyah.
"Tapi?" Tanya Abang Rahman.
"Abang Sufi datang menyelamatkan kami. Dia sempat membunuh tiga ekor dari mereka. Serigala yang lagi satu berjaya melarikan diri." Sambung Radyah.
"Sufi membunuh tiga ekor Mu'un. Rayyan macam mana?" Tanya Abang Rahman.
"Abang Rayyan sudah sedarkan diri tapi belum pulih sepenuhnya." Jawab Radyah.
Sufi keluar dari salah satu bilik yang ada di ruang tamu rumah itu usai menunaikan solat maghrib.
"Abang Rahman." Panggil Sufi.
"Sufi. Kau tidak apa-apa?" Tanya Abang Rahman.
"Saya tidak apa-apa." Jawab Sufi dengan senyuman kecil di bibirnya.
"Mu'un? Bagaimana makhluk itu sampai ke sini." Soal Abang Rahman.
"Kalau di lihat dari wajah makhluk itu, dia seperti baru mengamalkan ilmu Hawul." Terang Sufi.
*Ilmu Hawul adalah ilmu yang menukarkan tubuh asal pengamalnya kepada wujud yang lain. Mu'un adalah manusia yang menukarkan tubuhnya kepada bentuk serigala dengan mengorbankan jantung manusia sebagai bayarannnya. Mu'un akan bertambah kuat sekiranya memakan jantung manusia. Dasar auranya adalah aura hitam yang mendorong nafsunya melakukan perkara-perkara keji.
"Pasti ada yang menjadi penuntut Serpihan Kitab Majnun di tanah tepian alam ini. Atau lebih dekat lagi, di kawasan daerah Laila ini." Jelas Abang Rahman.
"Hanya Kampung Laila yang mengamalkan kitab Karangan Majnun. Kemungkinan, serigala jadian ini berasal dari Kampung Sakin ataupun Kampung Hudap." Balas Radyah pula.
"Kampung Sakin… Hmmm... Sewaktu aku berada di kampung itu, ada seorang lelaki tua yang menjelaskan sesuatu tentang Serpihan Kitab Majnun. Katanya, terdapat seorang pemuda yang mengamalkan kitab tersebut di kampung itu. Serpihan Kitab Majnun itu tidak boleh di gunakan kerana ianya berunsurkan kegelapam. Si Majnun mengarang kitabnya bersama dengan ilmu kegelapan agar pembacanya tahu usulnya ilmu itu dan tahu bagaimana untuk mencegahnya, bukan untuk di amalkan. Kerana terlalu berbahaya, Raja Negeri Bulan Merah membuang ilmu-ilmu berunsurkan kegelapan tersebut dari kitabnya. Itulah yang di gelar oleh penduduk di Tanah Tepian Alam ini sebagai Serpihan Kitab Majnun." Terang Abang Rahman.
"Alluakhbar Allahuakhbar." Seruan Azan berkumandang di surau Laila menandakan Isyak telah menggantikan waktu Maghrib.
"Kita sambung perbincangan tentang masalah ini di gelanggang ilmu selepas solat Isyak. Radyah, jaga Rayyan. Nanti aku minta Lara temankan kau. Mari Sufi. Kita solat terlebih dahulu." Arah Abang Rahman.
Sufi dan Abang Rahman bergerak ke surau untuk menyahut seruan azan tersebut. Radyah merenung Sufi hinggalah dia hilang dari pandangan mata. Di sebalik kejadian yang mengerikan itu, wujud rantai-rantai baru yang mengunci bayangan Sufi di dalam jiwanyanya. Rantai rindu dan rantai harapan. Harapan kepada penyelamat nyawanya dan rindu kepada pemilik hatinya. Bahkan akalnya sentiasa memutarkan kejadian romantisnya memeluk Sufi.
*****
Usai sahaja solat Isyak, murid-murid Abang Rahman menuju ke gelanggang ilmu yang terletak tidak jauh dari surau Laila termasuk Sufi.
"Assalamualaikum..." Ucap Abang Rahman.
Suasana hening menerpa dikala Abang Rahman mula menyepikan diri untuk seketika.
"Hari ini kita dikejutkan dengan berbagai berita yang mengerikan darilah serangan Hyn Hitam di kampung sebelah hinggalah serangn Hyn hitam di kampung kita dan berita yang lebih mengejutkan lagi, Radyah dan abangnya di serang oleh empat ekor Mu'un petang tadi. Tangan kanan Rayyan putus tapi dia masih mampu bernafas dengan baik. Berkat Sufi, nyawa Radyah dan Rayyan dapat diselamatkan daripada makhluk durjana itu." Terang Abang Rahman.
"Mu'un itu apa Abang Rahman?" Tanya Lokh.
"Mee kan. Apa la kau ni Lokh.." Marah Luft.
"Hmmm. Kalau sudah bodoh itu jangan berlakon pandai. Susah ilmu masuk ke otak kau nanti. Mu'un itu serigala jadian." Sindir Abang Rahman.
Mereka tergelak mendengar sindiran itu memecahkan suasana yang tegang seketika.
"Tapi Abang Rahman, dalam Kitab Karangan Majnun tidak pernah pula dia terangkan mengenai Mu'un." Soal Alim.
"Ilmu gelap itu hanya ada pada Serpihan Kitab Majnun dan kemungkinan pemuda kampung sebelah ada yang menuntut kitab itu. Kitab itu terlalu bahaya pada jiwa-jiwa kita sebagai manusia sebab itulah ianya dipisahkan daripada Kitab Karangan Majnun." Jawab Abang Rahman.
"Sepertinya... Si Majnun itu adalah seorang yang mempunyai ilmu yang sangat tinggi." Puji Alim
"Berdasarkan cerita daripada penduduk di kota, Si Majnun itu meneroka keseluruh alam hanya kerana keinginannya yang membuak-buak untuk mempelajari pelbagai ilmu. Namun setibanya dia di negeri ini, dia terjumpa dengan seorang gadis bernama Laila berwajah hitam manis, berhidung mancung dan sangat cantik. Dia jatuh cinta pada pandang pertama dengan sepenuh hati sehingga tiada lagi yang tesisa untuk perkara yang lain. Apabila rasa cinta itu sudah membuak-buak tidak tertahan di dalam jiwanya, dia datang ke rumah Si Laila yang terletak di tengah hutan Zamrud Mulia untuk melamarnya. Setibanya dia di sana, dia menangis sambil memukul tubuhnya sendiri apabila melihat Si Laila sudahpun mati pada pohon gergasi yang terletak di luar rumahnya itu." Terang Abang Rahman.
"Apa yang terjadi pada Si Laila Abang Rahman?" Tanya Nur.
"Si Laila mati dengan cara menggantung dirinya sendiri pada pohon yang ada di luar rumahnya. Pohon itu sekarang kita kenali sebagai Pohon Zamrud Mulia. Pohon gergasi yang berkulitkan beribu permata Zamrud mulia." Jawab Abang Rahman.
Murid-muridnya tergamam mendengar bagaimana riwayat si Laila itu berakhir. Suatu pengakhiran yang berpaut dengan suatu kehinaan.
"Mengapa wanita itu sanggup mati dengan cara yang hina seperti itu." Keluh Luft.
"Itu semua kerana cinta yang bertepuk sebelah tangan." Balas Abang Rahman.
Mendengarkan penjelasan itu, membuatkan mereka tertanya-tanya apakah kuasa cinta hingga mampu memusnahkan diri seseorang.
"Apa... Maksud Abang Rahman?" Soal Nur.
"Memang benar Si Majnun sangat mencintai Si Laila. Namun wanita itu tidak mampu membalas perasaan Si Majnun dengan cinta yang sama. Itulah maksudnya cinta yang bertepuk sebelah tangan. Meski Si Majnun mengetahui perkara itu, dia tetap berusaha untuk meraih cinta wanita itu hingga penduduk di negeri ini mula menghina dan menggelar dia sebagai Si Gila. Si Laila juga juga terkena tempias hinaan dan cacian penduduk di negeri ini. Apabila akalnya sudah tidak mampu lagi menghadapi mulut-mulut yang tidak henti memusnahkan perasaannya itu, atas desakan kebencian dia menamatkan riwayatnya sendiri." Jawab Abang Rahman.
"Sedihnya..." Ucap Alim.
"Cinta yang merumitkan." Keluh Lokh.
"Setelah Si Laila mati, dia mengusung mayat wanita itu ke kampung ini lalu menjalankan suatu mantera yang menjadikan mayat Si Laila itu hidup semula. Bukan sebagai manusia, tapi sebagai raksaksa yang terbesar di alam ini yang digelar sebagai Raja Hitam. Tiada siapa yang tahu sebesar apa raksaksa itu tapi ada yang kata ianya tinggi dan besar seperti suatu gunung. Sejak daripada pembangkitan si Laila itu, Si Majnun berkahwin dengan makhluk itu lalu hilang begitu saja daripada alam ini." Terang Abang Rahman lagi.
"Ohhh. Sebab itu kampung dan daerah ini diberi nama Laila. Kan Abang Rahman." Soal Lokh.
"Hmmm. Nampak kamu pandai sedikit daripada adik kamu." Sindir Abang Rahman.
Sindiran yang mengukir gelak dan tawa memecahkan suasana yang dihiasi dengan kesedihan tentang hikayat Si Majnun.
"Cukuplah untuk cerita tentang Hikayat Si Majnun. Sebelum bersurai, aku ingin mengkabarkan berita gembira pada kamu semua. Mulai esok, kita akan berlatih di gelanggang ilmu pada pagi dan malam hari. Itu sahaja untuk malam ini. Assalamualaikum." Sambung Abang Rahman dengan ringkas lalu membuka langkah bergerak pulang ke rumahnya.
"Ringkasnya…" Ucap Luft.
"Latihan lagi." Keluh Alim.
Dikala itu, Nur terdiam dilanda berbagai persoalan apabila kedua telinganya mendengar tentang hikayat Si Majnun dan Si Laila. Bermain didalam fikirannya tentang rasa yang tidak menentu itu. Perlukah dia teruskan atau terus nafikan. Mengorbankan rasa pertama demi masa depan yang belum pasti. Si empunya rasa pula hanya diam bersama senyuman kecil di wajah tenangnya itu.
"Mantera Tidak Berwarna. Hasyiq Qalbu." Ucap Sufi dalam suasana yang semakin hening itu sambil mengorak langkah pulang ke rumah Abang Rahman.
Tiada siapa yang mendengar apa yang Sufi katakan. Mantera Tidak Berwarna: Kekasih Hati. Adakah itu asasnya alur cerita Sufi di alam itu. Bahkan dia juga di gelar Hantu Salju. Sungguh, seorang hantu yang berwajah tenang dan tampan.