Chereads / GELEMBUNG CINTA / Chapter 12 - Coach Ryan

Chapter 12 - Coach Ryan

AWAL pagi lagi, Charnchai sudahpun bersiap. Dia duduk menunggu di ruang tamu rumah mewah, Tuan Devol. Nampaknya, penghuni rumah itu belum sedar dari lena tidur mereka. Maklumlah, hujung minggu begitu mereka sengaja bermalas-malasan. Hanya Mbak Surti sahaja yang akan bangun lebih awal daripada mereka.

Charnchai bingkas berdiri sebaik sahaja mendengar bunyi memasak di dapur, yang hanya bersebelahan dengan ruang tamu tersebut.

"Selamat pagi, Mbak Surti. Masak apa tu?" soal Charnchai. Dia menarik bangku dan duduk melihat Mbak Surti yang sedang sibuk memasak.

"Mbak lagi masak nasi goreng kampung, ini makanan kegemaran Tuan Muda kita," jawab Mbak Surti sambil menuangkan sedikit perasa ke dalam masakannya.

"Oh... mesti sedap kan, Mbak? Saya pun suka kalau makanan ala-ala kampung ni. Lagi sedap daripada makanan-makanan lain."

"Ni... bentar lagi siap kok. Nanti kamu coba ya, siapa tau kamu juga jatuh cinta sama nasi goreng kampungnya Mbak Surti." Wanita separuh umur itu tersenyum kecil. Dia mematikan api gas dan menyalin masakan itu ke dalam sebuah bekas makanan.

"Wah! Sedapnya bau..." kata Jax yang tiba-tiba sahaja muncul di depan pintu dapur.

Senduk yang dipegang oleh Mbak Surti hampir sahaja terlempar akibat terkejut. Dia mengelus dadanya berulang kali.

"Tuan Muda, bikin kaget aja!" cetus Mbak Surti.

Jax tertawa kecil. Matanya memandang ke arah Charnchai.

"Awal juga kau bangun. Kau mau pigi mana ni?" Jax sengaja mencuit bahu, Charnchai. Lalu duduk di bangku sambil menghidu bau aroma masakan, nasi goreng kampung yang sudah dihidangkan di atas meja.

Tanpa menunggu lama, Jax terus sahaja mengisi nasi goreng kampung itu ke dalam pinggannya. Dia kelihatan begitu berselera melahap nasi goreng tersebut.

"Charnchai, tadi kamu bilang mau nyoba masakan mbak. Kenapa kamu ngak makan?" tanya Mbak Surti.

"Ah... ya, Mbak. Mau cubalah ni." Charnchai segera mengaut sedikit nasi goreng ke dalam pinggannya.

"Hmm... boss, bolehkah saya keluar ni hari? Saya ada sedikit urusan di luar. Saya sudah janji sama kawan saya," ujar Charnchai.

"Urusan apa? Sejak bila kau ada kawan?" Jax mengerutkan wajah. Dia tidak pernah melihat, Charnchai bertegur dengan mana-mana orang kecuali Alan.

"Adalah... bolehkan boss? Bukan lama pun, sekejap ja. Lagipun, ni hari kan hujung minggu. Saya..."

"Arhh... jadi kalau hujung minggu kau mau cutilah? Tidak boleh! Kau mesti sentiasa dekat sama saya. Kau tidak boleh keluar kalau saya tidak keluar!"

Pukkk!

Satu ketukan yang agak kuat hinggap di kepala Jax.

"Tidak payah kau dengar cakap si Jax ni, Charnchai. Setiap hujung minggu, kau boleh keluar pigi mana-mana yang kau mau. Saya izinkan. Bukan si Jax yang upah kau, tapi saya."

"Haisshh... dady ni, sakit tau dady ketuk kepala saya. Si Charnchai mana boleh suka-suka keluar oh!" Jax mengelus kepalanya.

Charnchai sempat tertawa kecil melihat gelagat dua beranak itu. 'Padan muka kau!' bisik Charnchai di dalam hati.

"Uncle minta maaf ya, Charnchai. Bukan uncle mau campur hal dalam urusan peribadi kamu tapi, Charnchai mau keluar pi mana sebenarnya? Charnchai belum hafal lagi kan selok belok di sini." Tuan Devol yang baru sahaja duduk di sebelah Jax segera menuangkan nasi goreng ke dalam pinggannya.

"Err... saya mau keluar sama kawan. Kami sudah janji mau pigi satu tempat. Kalau asyik terperap dalam rumah, bosan ba uncle. Saya kira-kira mau cari kelab boxing, mau training balik," ujar Charnchai.

"Kelab boxing? Saya pun bulih bawa kau pi sana ba." Jax mencelah.

"Bukan kau tidak suka meh pi tempat begitu?" Charnchai memandang ke arah Jax yang tiba-tiba mahu menawarkan diri untuk menghantarnya ke sana.

"Biarlah ba si Charnchai pigi sendiri. Kan dia sudah janji sama kawan dia, kau mau sibuk buat apa? Bagus kau tolong dady kasi bersih tu laman rumah kita, daripada kau sibuk mau urus hal orang," ujar Tuan Devol.

Jax mencebik bibir. Charnchai dikerling tajam.

"Okeylah, uncle. Saya keluar dulu ya, mungkin kawan saya sudah menunggu di luar." Charnchai bingkas berdiri setelah menghabiskan makanannya.

"Yala, hati-hati di jalan." Tuan Devol memberi isyarat tangan kepada Charnchai untuk menyuruhnya pergi. Kemudian menyambung semula menikmati nasi goreng kampung, Mbak Surti.

"Mbak, sedap nasi goreng tu," bisik Charnchai pada Mbak Surti sebelum beredar keluar.

Jax memalingkan wajah ke arah Charnchai yang sedang menuju ke pintu utama. Dia tampaknya kurang berpuas hati kerana Charnchai diizinkan keluar tanpanya.

"Si Charnchai tu bukan robot. Biarpun dia bodyguard kau, tapi dia pun perlu keluar sekali sekala. Kau tidak boleh kawal dia sesuka hati," kata Tuan Devol seraya menepuk bahu Jax. Dia sudahpun selesai menghabiskan sarapan paginya.

***

DARI jauh lagi, Joshua sudah melihat kelibat Charnchai yang sedang menuju ke arahnya. Joshua sengaja datang awal ke situ kerana dia sangat teruja untuk membawa, Charnchai ke kelab boxing yang dia sebutkan.

"Hai, Josh. Sorry, lambat sikit," ujar Charnchai.

"Takpa ba, nasib baiklah kau datang. Kalau tidak, memang reputlah saya menunggu kau di sini." Joshua berseloroh.

Mereka berdua tertawa kecil.

"Ba, marilah kita gerak. Saya sudah maklumkan sama kawan saya di kelab. Dorang tunggu kita ja tu." Joshua menjemput Charnchai masuk ke dalam keretanya.

Mereka berdua bergegas ke tempat tujuan mereka, iaitu kelab boxing. Wajah Charnchai nampaknya begitu teruja untuk menyertai kelab tersebut.

***

Jax menghempaskan punggungnya di atas sofa empuk. Alat kawalan televisyen digapai. Tv dihidupkan, namun Jax sepertinya tidak senang duduk. Fikirannya terganggu.

"Si Charnchai keluar sama siapa arr? Macam mana saya boleh tidak tahu yang dia ada kenalan di luar, sedangkan dia selalu sama saya?" gumam Jax. Dia bermonolog di hadapan tv yang dipasang kuat, namun tidak ditonton olehnya.

Telefon bimbitnya dikeluarkan. Skrin telefon ditenung seketika, lalu telefon itu dibaling ke sisi sofa.

'Macam mana mau tau dia sama siapa? Kelab boxing mana dorang pigi, Charnchai bukan ada telefon. Haisshh!' Jax menepuk dahi. Tidak habis dia memikirkan soal Charnchai.

***

"HEY, Josh! Lama kau tidak datang sini oh, sibuk betul ka?" Seorang lelaki berbadan sado menyambut kehadiran Joshua dan Charnchai, di hadapan pintu kelab tersebut.

Dua lelaki itu berlanggar bahu. Perkara itu sudah menjadi kebiasaan bagi kaum lelaki. Kalau perempuan sudah pasti berlaga pipi.

"Charnchai, kenalkan, ini Paul. Sahabat karib saya." Joshua memperkenalkan sahabatnya kepada Charnchai.

Mereka berdua berjabat tangan.

"Ini kah kawan yang kau bilang tu?" tanya Paul pada, Joshua.

"Ya, dialah tu. Dulu masa dia di Thailand, dia selalu juara di gelanggang muay thai," jawab Joshua.

"Gelanggang kampung-kampung ja, kalau perlawanan besar belum pernah ikut lagi," kata Charnchai.

"Ba, ngamlah tu. Kau join team kami, mana tau kau boleh bantu kasi up kami punya team. Sebab selalu kalah jumpa sama tu team Kelab Burangas. Dorang punya peninju perempuan semua tagap-tagap! Kuat-kuat lagi oh." Paul bercekak pinggang, dia menggeleng beberapa kali apabila mengingatkan tentang kelab peninju yang sering mengalahkan mereka di saat perlawanan akhir.

"Saya on saja kalau kamu sudi terima saya masuk dalam team kamu. Tapi, saya tidak janji kalau saya boleh bantu team kamu. Sebab saya belum pernah berjumpa mana-mana pemain tinju dari Malaysia, manalah tau rentak permainan dorang lebih mantap daripada apa yang saya pelajari. Sebab saya ni pun bukan pro sangat." Charnchai merendahkan dirinya.

"Ba, kalau begitu apa kata kita pi jumpa coach dulu. Manatau dia mau uji kau dulu sebelum masuk ni team. Sebab tu coach ada cerewet sikit, dia tidak suka kalau orang yang datang suka-suka saja. Dia mau yang betul-betul serius saja join ni kelab boxing kami," ujar Paul.

"Ba, jomlah Charnchai. Kau jangan risau, saya ada ba. Tu coach confirm terima kau tu." Joshua menepuk perlahan bahu Charnchai.

Mereka berdua mengekori Paul dari belakang.

***

"JAX! Kau mau pigi mana lagi tu?" Tuan Devol yang sedang memberi makan ikan-ikan di kolam taman kecilnya, menyoroti Jax yang tergesa-gesa menuju ke dalam keretanya.

"Jax mau keluar beli barang kejap," jawab Jax sebelum menutup pintu keretanya.

Jax menghidupkan enjin, lalu beredar keluar.

"Ni anak, betul-betul tidak pandai duduk diam di rumah oh," gumam Tuan Devol. Dia menggeleng beberapa kali.

Jax yang sedang memandu cuba mendail nombor, Alan. Nasib baiklah, nombor Alan dapat dihubungi.

"Hello, Alan. Kita jumpa di depan bangunan G-Mart dalam masa 15 minit. Penting ni, cepat!"

"Kena..."

Tut... tut... tut...

Belum sempat Alan bertanya, Jax sudahpun mematikan panggilan. Jax menekan pedal minyak dan memacu laju menuju ke destinasi yang ditetapkan.

***

"HAL penting apa juga si Jax bilang ni, belum lagi saya sempat bertanya dia sudah kasi mati fon. Kitai betul!" getus Alan.

Kelam kabut Alan menyiapkan diri. Mujurlah dia baru sahaja siap mandi sebelum Jax menelefonnya sebentar tadi. Dia lantas menggapai kunci keretanya dan bergegas keluar.

***

"COACH, ini Charnchai, kawan Joshua. Dia berminat mau sertai kelab boxing kita." Paul memperkenalkan Charnchai kepada Coach kelab boxing itu.

Coach yang sedang merenung jauh ke luar tingkap, perlahan-lahan berpaling ke arah mereka bertiga. Charnchai hampir terpana melihat kekacakan Coach tersebut. Seolah-olah ada satu pancaran cahaya yang memantul dari susuk tubuh dan wajah lelaki itu. Coach itu lebih kurang sebaya dengan, Charnchai. Walau penampilannya nampak biasa, namun ia mampu memukau pandangan setiap gadis yang melihatnya.

"Sebelum ni, kau pernah join mana-mana kelab? Tahu asas tinju dan sebagainya?" Coach itu membuka bicara dengan soalan yang bertubi-tubi kepada, Charnchai.

"Tidak pernah, Tuan! Dan, ya... saya tahu asas tinju serba sedikit. Namun, saya lebih kepada tinju muay thai, Tuan." Charnchai menjawab dengan lantang.

Coach itu tergelak kecil. Dia merasa sedikit geli hati. Joshua dan Paul juga, turut menahan tawa mereka yang hampir terlepas.

"Relaks... jangan panggil saya 'Tuan' boleh ka? Saya rasa, macam beliau-beliau pula kena panggil begitu. Nama saya, Ryan. Peserta kelab ni, semua panggil saya Coach. Sebab... yala, saya yang latih mereka di sini."

Coach itu menarik bangku dan duduk. Dia memandang penampilan Charnchai dari atas hingga ke bawah. Bola mata berwarna coklat hazel itu memandangnya dengan cukup teliti.

Charnchai yang hanya memakai seluar gantung dan singlet ketika itu, merasa seperti wajahnya sedang dibakar perlahan. Pipinya merona merah, jantungnya berdetak kencang. Dia tidak pernah mengalami perasaan seperti itu sebelumnya.

'Tolong... tolong berhenti melihat saya dengan pandangan itu!' jerit Charnchai di dalam hati.