CHARNCHAI meleraikan pelukan, Puan Kezia.
"Charnchai, auntie tidak tahu apa sebenarnya masalah kamu sama si Jax. Tapi, auntie harap kamu berdua dapat selesaikan perkara ini bagus-bagus. Kita ini tinggal serumah, tidak bagus kan kalau kita bermasam-masam muka. Dan auntie mau, Charnchai selesa tinggal di sini." Puan Kezia memandang, Jax dan Charnchai silih berganti. Dia berharap kedua-dua mereka dapat berbaik-baik.
"Auntie tidak payah risaulah pasal ni. Saya okey. Auntie, saya mau berehat dulu ya. Penat." Charnchai menundukkan kepala lalu naik ke tingkat atas. Jax yang masih berdiri terpaku, langsung tidak diendahkan Charnchai.
"Jax... cuba bagitau mumy. Apa sebenarnya masalah kamu dua? Jax marah si Charnchai lagi ka." Puan Kezia melontarkan soalan kepada, Jax. Namun, tidak jua diendahkan. Anak lelakinya itu berpaling dan menyusul naik ke tingkat atas.
"Hmm..." Puan Kezia mengeluh kecil seraya menggeleng kepala.
Jax memberitahu perihal Charnchai keluar sejak tengahari tadi. Tapi, tidak pula dia menceritakan kejadian yang berlaku antara mereka berdua.
Usai mandi, Charnchai menghempaskan tubuhnya di atas katil. Tubuhnya terasa sedikit lenguh. Dia memandang siling putih yang terbentang di hadapannya.
Rumah ini sangat besar dan serba mewah, tapi kenapa semakin sukar untuk aku bernafas di dalam rumah ini. Adakah, aku patut berpindah keluar dari rumah besar ini? Tapi... bagaimana dengan Puan Kezia dan Tuan Devol? Aku tidak mahu mereka mengatakan, aku ini tidak reti bersyukur atau mungkin lebih kepada, tidak mengenang budi. Charnchai dilanda kekalutan. Fikirannya menerawang jauh, sehinggakan dia tidak sedar matanya sudah hampir terlelap. Dan akhirnya, Charnchai tertidur lena.
Jax pula, masih duduk di balkoni. Ditemani angin malam yang bertiup lembut menyapa tubuhnya. Sesekali, Jax menggosok telapak tangannya. Dia kedinginan. Dan ada suatu perkara sedang mengganggu ketenteramannya ketika itu.
"Bodoh betul mulut aku ni. Kenapalah banyak-banyak perkataan, itu juga yang kau sebutkan!" Jax memukul bibirnya perlahan. Tampaknya, dia sedang menyesali bait kata yang dia tuturkan pada, Charnchai siang tadi.
Jax mengangkat punggung. Langkah kakinya diatur perlahan menuju ke bilik, Charnchai.
TOK! TOK!
Pintu diketuk agak perlahan. Tiada sebarang respon yang diberikan. Jax memutar tombol pintu.
Krekk...
Charnchai terlupa mengunci pintu. Perlahan, Jax menghampiri Charnchai yang terbaring mengerekot di atas katil. Gadis itu sudah terlena. Dia langsung tidak menyedari kedatangan, Jax.
Jax membongkokkan badannya. Wajah Charnchai ditenung sedalam-dalamnya. Seolah-olah, ada satu daya tarikan yang menarik Jax untuk duduk lebih lama menatap gadis itu. Helaian rambut yang menutupi sebahagian wajah Charnchai, Jax selitkan di balik telinga Charnchai dengan penuh berhati-hati. Dia tidak mahu mengejutkan lena si gadis itu.
Sedang asyik, Jax mengamati wajah gadis itu. Tiba-tiba tangan Charnchai bergerak pantas.
GEDEBUBB!
Jax terduduk seraya menekup mulutnya. Bibirnya pecah dan mengeluarkan sedikit darah.
"Boss setan!" Charnchai bertempik. Namun, matanya masih tertutup rapat. Jelas-jelas, dia sedang mengigau. Posisi tidurnya beralih. Dia mengiring ke sisi, membelakangi Jax yang mengaduh kesakitan pada bibirnya.
"Haishh! Perempuan ni. Dalam tidur pun dia boleh pukul saya lagi. Mesti dia tengah mimpi pasal saya ni," desis Jax. Mahu saja dia mengejutkan gadis itu, namun tidak pula dia meneruskan niatnya. Malahan, Jax tersenyum apabila teringatkan mimik wajah Charnchai ketika mengigau tadi.
"Comel juga dia ni," bisik Jax perlahan.
Jax bingkas berdiri. Dia menyelimutkan tubuh Charnchai yang tidak berselimut. Melalui gaya tidurnya, gadis itu tampak kesejukan.
"Maaf. Saya tidak berniat pun mau panggil kau perempuan murahan," ujar Jax. Dia tersenyum dan melangkah keluar dari bilik Charnchai.
SEAWAL pagi lagi, Charnchai sudah bersiap. Hari yang ditunggu-tunggu sudah pun tiba. Itu adalah, hari pertama latihan boxing untuk Charnchai. Dan dia tidak mahu terlewat untuk datang berlatih. Charnchai bergegas turun ke tingkat bawah.
Kelihatan, Puan Kezia dan Tuan Devol sedang duduk menikmati air teh di ruang meja makan. Charnchai menyertai mereka.
"Charnchai, awal kau bersiap. Mau pigi mana? Ni hari off day kau kan." Puan Kezia menghulurkan secawan teh kepada, Charnchai.
"Hari ini, hari pertama latihan boxing saya." Charnchai meniup asap nipis dan menghirup perlahan air tehnya yang masih hangat.
"Ermm... uncle, auntie... saya ada suatu perkara yang mau dibincangkan." Charnchai memandang kedua-dua wajah pasangan yang duduk di hadapannya itu. Dia berasa sedikit serba salah. Namun, dia harus berani mengatakan hal yang terbuku di hatinya.
"Hal apa, Charnchai? Kamu ada masalah dengan kelab boxing kamu?" soal Tuan Devol.
"Eh, tidak. Bukan itu. Sebenarnya... saya mau tanya kalau, saya boleh tinggal di tempat lain. Saya janji, saya tidak akan mengabaikan tugasan saya. Itu pun, kalau uncle dan auntie izinkan saya tinggal di luar," ujar Charnchai.
"Tapi, kenapa tiba-tiba saja mau pindah? Kan bagus kalau kau tinggal saja di sini. Lagipun senang kau ikut si Jax pigi mana-mana." Puan Kezia berkerut dahi. Riak wajahnya tampak tidak bersetuju dengan cadangan Charnchai.
"Begini auntie... saya tidak mau menyusahkan kamu di sini. Cukuplah, auntie dan uncle bantu saya cari pekerjaan. Lagipun, saya perlukan sedikit privasi. Kalau siang saya bekerja, sebelah malam nanti saya boleh pergi latihan boxing."
"Tapi kan, di sini pun kamu boleh buat begitu. Anggap saja rumah ini, macam rumah kamu sendiri. Tidak payahlah mau segan silu. Auntie sama uncle, sudah anggap kau macam anak sendiri." Puan Kezia meraih tangan Charnchai yang asyik bermain dengan jari jemarinya sedari tadi. Gadis di hadapannya itu kelihatan agak gelabah.
"Ya, auntie. Tapi, saya tidak selesa. Saya..."
"Mumy... sudahlah. Kalau dia betul-betul mau tinggal di luar, kita turutkan saja. Kita pun tiada hak mau tahan dia tinggal lama-lama di sini. Hal peribadi dia, kita jangan masuk campur." Tuan Devol memintas kata-kata, Charnchai. Dia sepertinya mengerti apa yang dimaksudkan oleh, Charnchai. Gadis itu sememangnya memerlukan privasi.
Puan Kezia tidak mampu berkata apa-apa. Dia terpaksa akur dengan kata-kata suaminya. Mereka mengizinkan Charnchai untuk tinggal di tempat lain.
"Charnchai sudah jumpa tempat tinggal?" soal Puan Kezia. Charnchai menggeleng kepala.
"Lepas habis latihan nanti, saya cuba-cuba cari kalau ada tempat tinggal yang sesuai. Biarlah bilik sewa, yang penting saya selesa dan kos murah," jawab Charnchai.
"Bah, ya lah. Kalau begitu, kasi tau saja kami kalau kau jumpa sudah tempat tinggal baru. Kami pun berat hati juga sebenarnya mau kasi biar kau tinggal di luar. Tapi, apa boleh buat kalau itu sudah keputusan kau," kata Tuan Devol.
Charnchai sekadar mengangguk dan menghabiskan air teh sebelum dia bertolak ke kelab boxing. Nasib baiklah, kawasan perumahan Tuan Devol banyak teksi yang lalu lalang. Charnchai menaiki teksi ke kelab boxing kerana dia tidak sempat memaklumkan kepada, Joshua untuk menjemputnya.
"Mumy, Charnchai belum bangun ka?" Jax yang baru sahaja bangun terus duduk di sisi, Puan Kezia.
"Apa belum bangun, lama sudah dia keluar."
"Aik, pigi mana? Kenapa tidak kasi tau saya?" Jax mulai menggelabah. Charnchai keluar lagi tanpa memaklumkan padanya.
"Apa juga kau mau sibuk hal dia. Itu dia punya taulah. Lagi pun, bukan dia jaga kau juga ni hari."
"Haishh... ya lah bah. Tapi, sekurang-kurangnya dia bagi tau lah bah mana dia pigi. Ini terus ja main keluar, tiada hormat langsung sama boss dia."
"Hmm... baru mumy faham. Patutlah... si Charnchai mau pindah rumah." Puan Kezia mengerling, Jax.
"Apa? Biar betul dia mau pindah rumah. Apa sebab dia mau pindah dari sini, tidak cukup besar ka ni rumah untuk dia tinggal." Jax duduk menegak. Matanya terbeliak mendengar Charnchai mahu berpindah keluar.
"Tanya diri kau sendiri, Jax. Mesti kau tau, apa sebab dia tiba-tiba mau pindah." Puan Kezia bangkit dari duduk lalu meninggalkan Jax bersendirian di ruang tamu.
CHARNCHAI mengorak langkah masuk ke dalam ruangan kelab boxing. Kelihatan, teman-teman yang lain sedang gigih melatih stamina diri. Mereka sempat menyambut kedatangan Charnchai dengan senyuman mesra.
"Joshua mana? Dia tidak ikut sekali?" Paul menyapa, Charnchai.
"Tidak. Saya datang sendiri saja ni hari." Charnchai meletakkan beg galasnya dan mulai membuat regangan badan.
"Itu budak sekejap timbul, sekejap hilang. Macam chipsmore! Bah, pelan-pelan berlatih arr. Sementara kita tunggu Coach Ryan sampai. Dia mau umum nama peserta untuk pertandingan tinju terbuka bulan depan." Paul meneruskan latihannya. Begitu juga, Charnchai.
Masing-masing mereka, gigih berlatih dan sudah tidak sabar untuk mengetahui nama-nama yang terpilih untuk ke pertandingan yang disebutkan. Charnchai langsung tidak menaruh harapan, kerana dia masih baru di dalam kelab itu.
Sedang Charnchai meloncat-loncat bermain tali skipping. Fiona datang menghampiri. Serta merta Charnchai berhenti.
"Nama kau, Charnchai kan? Saya, Fiona." Gadis bertubuh lampai dan tegap itu menghulur salam. Charnchai menyambut salamnya seraya mengiyakan kata, Fiona.
"Di mana kau belajar skill tinju Muay Thai?" soal Fiona. Dialah yang bertarung dengan Charnchai semasa, Coach Ryan membuat ujian kecil pada Charnchai.
"Oh... saya belajar semasa di Thailand. Err... Fiona, saya minta maaf arr kalau saya terpukul kuat hari tu." Charnchai menunduk kepala seraya menekap kedua belah tangannya sebagai tanda memohon maaf.
"Ishhh... tiada apalah tu. Perkara kecil ja pun. Tapi, memang sakit jugalah." Fiona tergelak diikuti, Charnchai.
"Morning, semuanya..."
"Eh, Coach Ryan." Fiona menepuk bahu Charnchai dan kembali ke tempatnya semula.
Charnchai menyeroti langkah Coach Ryan yang sedang menuju ke arahnya.
"Jangan kasi putus tu tali skipping arr," ujar Coach Ryan dalam nada berbisik. Coach Ryan sengaja mengusik gadis itu dan berlalu masuk ke dalam pejabat kecilnya. Charnchai menyembunyikan wajah. Dia sangat malu teringatkan hal yang terjadi malam semalam.
"Pssttt! Boss cakap apa?" Fiona mencuit lengan, Charnchai.
"Dia bilang, jangan kasi putus ni tali skipping." Charnchai menunjukkan tali skipping di tangannya.
"Haha... ya kah. Bagus mood Coach kita ni hari. Pandai pula dia melawak, punya tebal tu tali skipping. Macam mana mau kasi putus?"
"Fiona. Sudah lah tu berbual. Mari, semua berkumpul di tengah. Termasuk kau juga, Charnchai." Semua ahli kelab boxing tersebut berkumpul di satu ruangan kosong yang terdapat di tengah-tengah kelab tersebut.
Coach Ryan menarik sebuah kerusi dan terus duduk menghadap anak-anak buahnya. Secebis kertas yang tertera nama-nama peserta berada di dalam tangannya.