"AUNTIE, terima kasih untuk makan malam tadi. Masakan auntie memang sedap! Kalau boleh... hari-hari saya mau makan di sini." Charnchai menyalam dan mencium tangan Odelia. Dia menyarung kasutnya yang terletak di atas tangga rumah Joshua.
"Senang-senang datanglah sini, ya? Rumah ni sentiasa terbuka untuk kamu." Odelia mengusap perlahan ubun-ubun Charnchai. Bertambah berat hati Charnchai mahu meninggalkan tempat itu kerana layanan mama Joshua yang sungguh baik dan lemah lembut telah menyentuh hatinya.
"Ba, marilah saya hantar kau pulang Charnchai. Gelap sudah ni, nanti risau pula keluarga Tuan Devol," ujar Joshua.
"Okay, auntie. Saya balik dulu, nanti kalau ada masa... saya datang lawat auntie."
"Yala, kamu hati-hati di jalan ya. Josh... hantar Charnchai pulang bagus-bagus arr. Jangan lagi kamu singgah pi mana-mana," pesan Odelia.
"Ya, ma... kami jalan dulu," ujar Joshua.
Odelia menghantar Charnchai dengan pandangan sayu. Perlahan-lahan kereta Joshua meninggalkan halaman rumah mereka dan terus menghilang di celah-celah rumah setinggan tersebut.
JAX menyelak tirai tingkap biliknya. Pandangannya tertumpu pada pagar besi keemas-emasan yang megah berdiri mengelilingi kawasan rumahnya. Beberapa buah kereta lalu di hadapan pintu pagar utama, namun tidak ada satu pun yang berhenti. Jax semakin tidak keruan. Entah sudah berapa kali dia melihat jam tangannya. Nafasnya dihembus kencang, kelibat yang ditunggu-tunggu belum kunjung tiba. Jax kembali ke katil dan menghempaskan tubuhnya seraya menarik sebiji bantal lalu menutup wajahnya.
Bodoh! Kenapa aku harus menunggu perempuan itu. Dia hanya bodyguard aku, bukan siapa-siapa! Keluh Jax pada dirinya. Dia menutup matanya rapat-rapat dan cuba untuk tidak memikirkan soal Charnchai.
Pittt!
Bunyi hon kereta membangkitkan Jax dari katilnya. Dia bingkas menuju ke arah tingkap. Kelihatan, Charnchai sedang berdiri di luar pagar sambil melambaikan tangan kepada Joshua, yang beransur meninggalkan kawasan perumahan Jax.
Sebaik kereta Joshua hilang dari pandangan, Charnchai membuka pagar laluan kecil dan segera masuk ke dalam kawasan rumah Jax. Mbak Surti membuka pintu utama setelah menyedari kepulangan Charnchai.
"Non... kamu ke mana aja sih? Itu, tuan muda lagi nungguin kamu dari tadi." Tanya Mbak Surti.
"Maaf, mbak. Tadi saya singgah di rumah kawan. Mama dia ajak makan malam sekali, segan juga saya mau tolak sebab mama dia bagus betul sama saya." Charnchai menundukkan kepala tanda memohon maaf.
"Oh... begitu. Ya udah, ga apa-apa. Kamu pergi berehat ke kamar ya."
"Ya, mbak."
Charnchai bergegas pergi ke biliknya yang terletak di tingkat atas. Mbak Surti pula masuk ke dapur untuk menyimpan semula makanan yang disediakan untuk Charnchai, memandangkan gadis itu sudah pun mengisi perut di rumah kawannya.
Charnchai menjengahkan kepala di sudut penjuru laluan ke biliknya. Dia memandang bilik Jax yang hanya bersebelahan. Bilik itu tertutup rapat.
'Tadi Mbak Surti bilang, Jax tunggu saya. Ada hal penting atau... hmm... mesti dia mau bising sama saya sebab balik lambat.' Bisik hati Charnchai.
Pelahan-lahan, Charnchai menapak kaki menuju ke pintu biliknya. Dia tidak mahu Jax menyedari kepulangannya kerana dia tahu lelaki perengus itu akan marah padanya. Pintu bilik dikuak dan Charnchai cepat-cepat masuk ke dalam.
Tak!
Suis lampu diketik. Bilik itu menjadi terang benderang disirami cahaya lampu. Charnchai terpaku di sudut pintu, mulutnya melopong. Nasib baiklah dia tidak menjerit.
"Dari pagi sampai ke malam baru kau ingat mau pulang? Banyak cantik! Kau ingat ini rumah kau ka? Suka hati kau ja mau keluar masuk, balik malam," bentak Jax yang sedang berdiri mencerlung tajam ke arah Charnchai.
"Sss... sa... saya..."
"Saya apa? Tadi siapa yang hantar kau pulang? Siap lambai-lambai lagi oh! Baru berapa hari kau di sini, kau sudah pandai pasang boyfriend arr. Bagus!" Jax sempat melihat lelaki yang menghantar Charnchai pulang, namun dia tidak dapat mengecam siapa lelaki itu.
"Sudah! Kau jangan tuduh saya macam-macam. Ya, saya salah sebab balik lambat. Saya minta maaf. Tapi, jangan tuduh saya yang bukan-bukan. Yang hantar saya tadi tu cuma kawan baik saya, bukan seperti yang kau sangkakan!" Giliran Charnchai pula bertempik. Dia mulai naik darah apabila dihujani tuduhan yang sama sekali tidak benar.
"Sejak bila kau ada kawan arr? Setahu saya, kau tidak kenal siapa-siapa pun di sini. Jadi macam mana saya mau percaya kau?"
"Itu pun saya mesti mau bagitau kau ka? Sama siapa saya berkawan, sama siapa saya keluar itu urusan peribadi saya. Lagipun hari ini masa cuti saya kan? Jadi suka hati sayalah mau keluar berapa lama. Kau tiada hak mau kontrol masa ataupun diri saya."
Terbuntang mata Jax mendengar kata-kata Charnchai. Apa yang dikatakan oleh gadis itu adalah benar! Jax membisu.
Tok! Tok! Tok!
Puan Kezia menolak daun pintu yang tidak berkunci.
"Jax! Charnchai! Kenapa ni? Malam-malam bertengkar sampai dengar suara kamu sana bawah." Puan Kezia memandang wajah mereka berdua silih berganti.
"Saya minta maaf, auntie. Jax yang mulakan dulu. Dia curi-curi masuk dalam bilik saya dan tuduh saya yang bukan-bukan," jelas Charnchai. Galak mata Jax memandang Charnchai, dia mahu bersuara tetapi dia pula mati akal dan tidak tahu hendak berkata apa.
"Astaga, Jax! Kau tau ka apa kau buat ni salah? Kau curi-curi masuk dalam bilik perempuan, nasib baik si Charnchai tidak bertelanjang."
Jax hampir tertawa mendengar perkataan 'bertelanjang' yang keluar daripada mulut Puan Kezia.
"Hah! Mau ketawa lagi kau sana. Sudah, kau balik pi bilik kau sekarang. Nasib bukan dady yang naik pi tengok kamu berdua, kalau tidak... nahas kau Jax." Puan Kezia mengarahkan Jax keluar dari bilik Charnchai. Sempat lagi Jax menyeringai pada Charnchai sebelum keluar dari bilik itu.
"Pigilah kau mandi Charnchai, pastu rehat. Auntie minta maaf bagi pihak si Jax. Memang dia tu kadang-kadang pandai kurang ajar tapi auntie tau Jax tidak akan buat apa-apa sama kau," ujar Puan Kezia.
"Ya, auntie. Sekali lagi saya minta maaf sebab ganggu ketenteraman auntie dengan uncle." Charnchai menundukkan kepala.
"Tiada apalah tu. Ya lah, auntie turun pi bawah dulu. Rehat cukup-cukup ya." Puan Kezia menyimpul senyuman dan meninggalkan Charnchai di dalam biliknya bersendirian.
"Arggh! Sialan. Macam mana saya mau bagi tu handphone sama si Charnchai. Mesti dia marah sama saya fasal hal tadi." Jax mendengus kasar, handphone baru yang terletak di atas meja dalam ruangan biliknya dipandang sekilas.
"SELAMAT PAGI, Jax. Jom pi sarapan? Saya belanja!" Pelawa Alara dengan gaya sedikit manja.
Jax terus melangkah masuk ke dalam bangunan syarikat ayahnya.
"Bolehkah kalau kau hormat saya sikit. Saya ni boss kau dan sepatutnya kau kena panggil saya boss, bukan Jax!"
"Alaaa... bukan apa pun, kan kita ni kawan. Apa salahnya saya panggil nama kau saja." Alara membuntuti Jax yang sedang menuju ke pintu lif.
"Sekarang kita ada di mana?" Jax menghentikan langkah dan memandang Alara.
"Pejabat."
"Hah! Tahu pun. Ini pejabat, bukan pub dan bukan kedai kopi. Kalau kau panggil nama saya sesuka hati di sini, pekerja lain pun akan ikut juga."
Alara menggaru kepala. Dia menyangka Jax tidak akan peduli kalau dia memanggil nama Jax sesuka hati tanpa memandang tempat, di mana mereka berada.
"Charnchai, cepat! Apa lagi kau tunggu sana, pi tekan tu lif." Arah Jax pada Charnchai yang berdiri agak jauh daripada mereka. Tanpa berlengah, Charnchai segera menuruti kata-kata Jax.
Alara mencebik bibir setelah Jax dan Charnchai masuk ke dalam lif. Jax langsung tidak mempedulikan ajakannya untuk pergi bersarapan bersama-sama.
"Takpa, kau jual mahal saja sama saya. Nanti esok-esok kau jatuh juga dalam genggaman saya," desis Alara.
"Boss." Charnchai menghulurkan sebuah bakul plastik putih dan juga beg bimbit milik Jax.
"Bawa masuk." Jax menolak daun pintu pejabatnya. Charnchai turut masuk ke dalam sambil menjinjit barangan Jax.
"Beg saya letak atas meja, tu bakul plastik kau punya." Jax menunjuk bakul plastik tersebut.
"Saya punya? Ini boss punya barang, bukan saya punya." Charnchai mengangkat bakul plastik itu dan membelek luarannya.
"Haishh... kau ni. Kau faham ka apa saya cakap? Barang tu kau punya, saya beli untuk kau. Anggap ja, tu barang tanda permohonan maaf saya fasal hal malam tadi."
Charnchai terkebil-kebil lalu melihat isi kandungan bakul plastik tersebut.
"Handphone?" Charnchai mengeluarkan kotak kecil yang berisi sebuah handphone baru.
"Ya, handphone. Kau ingat apa, katak?" Jax menyeringai.
"Mesti mahal ni kan. Kau ambil lah balik, nanti tak pasal-pasal saya kena suruh bayar balik." Charnchai meletakkan kotak handphone itu di atas meja Jax.
"Buduh! Saya ada cakap ka, suruh kau bayar balik. Saya kasi kau ikhlas, lagipun senang saya mau contact kau kalau ada apa-apa."
"Perlu meh? Saya kan kena sentiasa ada dekat dengan kau, jadi buat apa saya guna ni handphone."
"Kalau kau tidak banyak cakap, tidak boleh kah? Kau terima ja lah tu handphone. Jarang-jarang tau ada boss sebagus saya yang mau belikan handphone untuk pekerja dia."
'Bagus? Curi-curi masuk dalam bilik orang kau bilang bagus tu gaya kau. Cehh!' Bentak hati Charnchai.
"Saya sudah save nama dan no telefon saya dalam tu handphone. Kalau saya call, kau mesti angkat! Kalau tidak... nahas kau." Jax menunjukan jari telunjuknya dan membuat satu garisan lintang pada lehernya.
Charnchai mencebik bibir, sedikit pun dia tidak gentar dengan aksi dan kata-kata Jax.
"Apa lagi kau tunggu? Tu bangku di luar teriak-teriak sudah memanggil kau," ujar Jax.
Tanpa sepatah kata, Charnchai menggapai kotak handphone itu lalu memalingkan tubuh dan beredar keluar. Belum sempat dia menarik tombol pintu...
"Charnchai!" Suara Jax lantang memanggil nama gadis muay thai itu.