"Charnchai, lepaskan dia," arah Tuan Devol.
"Tapi, uncle... dia ni pencuri, macam mana kalau dia buat macam-macam? Saya nampak dia mencubuk di beranda tadi," ujar Charnchai.
"Kau gila sudah kaini! Saya orang rumah ni juga, bukan pencuri. Palui!" Jax meronta untuk melepaskan dirinya, namun cengkaman Charnchai tidak mudah dileraikan.
"Charnchai... kasi lepaslah. Dia bukan pencuri, dia Jax anak lelaki kami." Puan Kezia mencelah.
Charnchai terlopong apabila mengetahui lelaki yang disangka pencuri itu, adalah anak kepada majikannya. Serta merta cengkamannya menjadi longgar, dan Jax berjaya melepaskan diri.
"M-m-maaf! Saya betul-betul tidak tau." Charnchai berkali-kali menundukkan kepala sebagai tanda permohonan maaf.
"Maaf? Maaf! Taik kaulah. Sudah kau tundul busul saya, kau tuduh lagi saya pencuri. Berani-berani kau tundul saya arr, kitai!" Cetus Jax. Dia mencebik bibir.
"Yang kau masuk macam pencuri tu kenapa? Memang patutlah bah dia tangkap kau. Ada pintu besar tapi mau juga pigi panjat beranda. Kau ingat panjat beranda tidaklah kau kedapatan pulang subuh-subuh? Rupanya ini kerja kau selama kami tiada di sini arr... bertuah punya anak!" Tempelak Tuan Devol.
Jax menundukkan wajahnya. Dia mati kutu di hadapan Tuan Devol. Meskipun dia keras kepala, namun dia tidak berani menjawab ketika Tuan Devol sedang memarahinya.
"Sudahlah tu, dady. Bisuk sajalah dady cuci telinga dia. Malu kita didengar jiran-jiran sebelah, lewat malam sudah ni." Puan Kezia cuba menenangkan suaminya.
Tuan Devol mendengus kasar, dan kembali ke bilik tidur. Kalaulah Puan Kezia tidak mengingatkan dia tentang jiran mereka, sudah pasti Tuan Devol akan membebel sampai ke pagi.
"Mumy, siapa juga ni perempuan buduh ni. Sembarang saja kamu bawa orang luar pigi sini," soal Jax pada ibunya.
"Nanti bisuklah mumy cerita. Bagus kau pi masuk bilik sekarang, sebelum dady kau keluar balik," kata Puan Kezia.
Jax meraba-raba punggungnya yang masih terasa sakit. Charnchai yang sedang memandangnya dikerling tajam.
"Apa kau tingu-tingu? Tundul tu mata kau sana, talingung!" Gertak Jax sebelum menutup pintu biliknya.
Charnchai menepuk dahi. "Haishh... bikin malu betul. Anak tuan rumah saya pigi tundul. Matilah saya bisuk," gumam Charnchai. Dia bergegas masuk ke dalam biliknya.
PAGI itu, Charnchai bangun dengan penuh bersemangat. Dia sudahpun bersiap dan bersedia untuk menjalankan tugasannya sebagai bodyguard keluarga Tuan Devol. Charnchai memutar tombol pintu biliknya, dia tergesa-gesa melangkah keluar.
"Gedebupp!" Charnchai terpeleset dan jatuh seperti nangka busuk di hadapan pintu biliknya.
"Argh... sialan. Apa ni?" Charnchai menghidu cecair licin dan melekit yang terdapat di lantai hadapan biliknya. Baunya seperti gel minyak rambut lelaki. Charnchai lekas-lekas berdiri. Pinggangnya diurut perlahan, sakit akibat terhempas di lantai.
"Sadap ka?" Ujar Jax sambil tertawa kecil. Dia sedang bersandar di tepi dinding dan menyaksikan Charnchai terjatuh.
"Kau sengaja kasi kena saya kan?" Soal Chanchai.
"Kau ada bukti ka mau tuduh-tuduh saya?"
"Jadi, siapa yang letak gel rambut ni di depan pintu bilik saya kalau bukan kau?"
"Mana saya tau!" Jax berpaling dan bergegas menuruni anak tangga menuju ke tingkat bawah. Dalam diam dia tersengih, hatinya puas kerana berjaya mengenakan Charnchai.
"Takpa, ni kali saya kasi chance kau. Kalau kau kasi kena saya lagi, siaplah kau nanti." Bisik hati Charnchai. Dia mengekori langkah Jax menuju ke tingkat bawah.
Kelihatan Tuan Devol dan isterinya sedang duduk menikmati kopi panas di ruang meja makan.
"Charnchai, sini duduk. Uncle ada mau bincang sikit pasal kerja kau," ujar Tuan Devol.
"Kerja? Kerja apa yang dady kasi sama si Talingung ni," soal Jax.
"Jax... jaga kau punya perangai." Puan Kezia mencuit lengan Jax.
"Bagus sikit kau Jax, dady belum selesai lagi sama kau ni." Tuan Devol mengerling Jax.
Charnchai mengambil posisinya. Dia duduk bertantangan dengan Jax di meja makan.
"Charnchai, disini uncle mau terangkan sedikit pasal tugasan kau. Uncle sudah putuskan supaya, kau ikut sama si Jax..."
"Apa? Ikut saya? Kenapa mesti ikut saya, dady upah dia jadi pengintip ka ni." Jax memotong perbualan Tuan Devol.
"Dady belum habis cakap, kau sudah menyampuk! Memang mau kena betul ni budak." Tuan Devol mulai naik berang dengan sikap Jax.
"Jax, kau dengar dulu apa dady kau mau cakap, bulih ka?" Puan Kezia cuba meredakan keadaan.
"Hmm!" Jax mendengus kencang. Jelas-jelas dia tidak bersetuju dengan cadangan ayahnya. Tidak mungkin dia mahu berkerjasama dengan orang yang telah menuduhnya sebagai pencuri pada malam tadi.
"Charnchai adalah bodyguard keluarga kita, tapi... tidak semua dia dapat jaga dalam satu masa. Jadi, dady putuskan Charnchai ikut sama kau saja. Pasal dady sama mumy, tiada masalah. Sebab yang paling banyak masalah, kau! Dan lepas ni, apa-apa acara kau atau kau pigi mana-mana, kau mesti bawa Charnchai. Kalau tidak, kau taulah apa akibatnya nanti." Jelas Tuan Devol.
"Perempuan begini dady bikin bodyguard? Silap-silap dia yang duluan pi batapuk kalau ada urang jahat. Kalau ya pun mau kasi saya bodyguard, carilah bah yang sado. Ini perempuan talingung lagi kamu upah jadi bodyguard." Jax memandang Charnchai sambil tersengih.
"Kau jangan pandang rendah sama dia, Jax. Belum tentu kau dapat kasi tumbang dia ni. Dady bukan sembarangan mau upah orang jadi bodyguard kalau tiada kelebihan."
"Apa saja bah dia ni, lestik telinga saja pun terus menggelupur tu. Dari mana juga kamu jumpa dia ni?" Ujar Jax dengan angkuh.
Charnchai yang berdiam sedari tadi mulai geram dengan tingkah laku, Jax. Namun, dia memujuk hatinya sendiri agar terus bersabar. Kalau bukan kerana Tuan Devol dan isterinya, Charnchai juga tidak ingin terlibat dengan lelaki itu. Dia harus menerima apa pun arahan Tuan Devol.
"Tidak kisahlah apa kau mau bilang, Jax. Keputusan dady muktamad! Charnchai akan ikut kau. Kau bebas bergerak pigi mana saja asalkan kau bawa dia sama-sama," tegas Tuan Devol.
"Keluar malam pun dady tidak kisah?" tanya Jax dengan bersemangat.
"Dari kau saja, tapi... ingat! Tanpa pengawasan Charnchai, kau tidak boleh keluar malam," jawab Tuan Devol sambil meneguk kopinya.
"Okey! Takda masalah tu. Baik, saya setuju dengan cadangan dady." Jax tersenyum lebar. Dia menghabiskan kopinya dan lantas berdiri. "Jax duluan masuk pi ofis, tadi si Anna telefon. Dia bilang ada dokumen penting yang perlu disain."
"Yala, nanti dady menyusul." Tuan Devol memberi isyarat kepada Charnchai untuk mengikuti Jax.
Tanpa sebarang bantahan, Charnchai segera menuruti arahan.
Sebelum masuk ke dalam kereta, Jax mengarahkan Charnchai berdiri di tepi keretanya. Gadis yang berpakaian singlet merah dan seluar paras lutut yang sudah kelihatan agak lusuh itu, dipandang dari atas hingga ke bawah. Apa yang lebih mengejutkan, gadis yang diupah sebagai bodyguardnya itu hanya memakai selipar jepun. Tidak sepadan langsung dengan karakter seorang bodyguard.
"Kenapa?" Soal Charnchai yang mulai tidak selesa dengan pandangan Jax.
"Begini ka pakaian bodyguard? Bikin malu saya saja kalau orang nampak kau ikut-ikut sama saya. Kau tiada pakaian yang lebih bagus ka daripada ini."
"Errr... pakaian saya semua begini. Itupun berapa helai saja yang sempat saya bawa."
"Haisshhh... biar betul kau ni. Dari mana juga dady saya pungut kau ni. Sumandak kampungan pun lebih bagus pemakaian dorang." Jax menarik nafas dalam-dalam. "Sudah, masuk dalam kereta. Cepat!" Arah Jax.
Mereka berdua masuk ke dalam perut kereta dan segera bertolak. Sebelum masuk ke ofis, Jax sempat membawa Charnchai ke kedai rombengan. Kedai yang menjual pelbagai jenis pakaian terpakai.
"Kau pilihlah pakaian yang bagus sikit. Kau ambil satu bundle pun tidak apa. Yang penting kau jangan kasi malu saya dengan pakaian selekeh kau." Jax membelek beberapa helai pakaian lalu dicampakkan ke arah Charnchai.
Tergesa-gesa Charnchai menurunkan pakaian yang tersangkut di kepalanya. "Tidak beradap langsung! Kalau iya pun mau belikan pakaian untuk saya, janganlah bah main limpar-limpar," desis hati Charnchai.
"Nah, buang tu selipar buruk kau. Pakai yang ini." Jax menghulurkan sepasang kasut hitam kepada Charnchai. "Tu, sana ada tandas. Kau pi tukar tu baju kau sekarang. Rimas saya tingu kau punya pakaian."
Charnchai tidak banyak merungut, dia terus menuruti kehendak Jax. Sesudah itu, barulah Jax berasa selesa sedikit dengan pemakaian Charnchai. Daripada baju singlet, bertukar ke baju lengan panjang berwarna hitam dan juga seluar jeans panjang hitam.
"All black! Nice. Tapi bau rombengan!" Jax menyeringai. Dia mengeluarkan sesuatu dari anak poket beg bimbitnya.
"Pssssttt! Psssttt!" Jax menyemburkan minyak wanginya pada pakaian Charnchai. "Okey, selesai. Jom! Lambat sudah saya ni gara-gara kau."
"Bukan saya juga yang minta kau pi belikan saya pakaian," bisik Charnchai perlahan dalam bahasa Thailand.
"Apa kau cakap tu? Saya tidak faham!" Jax bertempik. Suaranya mengejutkan mak cik penjaga kedai tersebut. Mak cik itu mengelus-elus dadanya.
"Tiada apa-apa. Saya bilang, kita lambat sudah mau masuk pi ofis kau," jawab Charnchai dengan geram. Dia sempat memohon maaf kepada penjaga kedai tersebut sebelum mereka meninggalkan kedai itu.
Ketika hendak masuk ke dalam bangunan ofis keluarga, Tuan Devol. Langkah Charnchai terhenti di hadapan sebuah kedai pakaian yang menjual peralatan dan pakaian boxing. Terdapat juga set pakaian tinju muay thai tergantung di sebalik kaca kedai pakaian tersebut. Charnchai rindu mengenakan pakaian itu, dia juga rindukan gelanggang perlawanan.
"Buat apa kau tingu tu pakaian. Macam ja kau pandai bertinju. Cepat masuk, talingung!" Bentak Jax seraya menarik tangan Charnchai masuk ke dalam bangunan ofis mereka.