BAB 3
LUKA COFFEE. BANGKOK, THAILAND.
"Okey, Tuan Devol. Saya serahkan projek ini kepada syarikat awak. Saya harap semuanya akan berjalan dengan lancar." Wakil syarikat Katana Holdings itu bersalaman dengan, Tuan Devol.
"Terima kasih, kerana memberi kepercayaan kepada syarikat kami untuk menguruskan projek ini. Pihak kami tidak akan menghampakan, Katana Holdings," ujar Tuan Devol. Senyumannya meleret sampai ke telinga. Dia telah berjaya meyakinkan, Mr. Khor Kiet dengan begitu mudah.
"Sama-sama. Saya tahu, kalian pasti dapat menguruskannya dengan baik. Kalau macam tu, saya minta diri dulu. Saya akan memaklumkan perkara ini kepada pihak atasan kami," balas Mr. Khor Kiet.
"Ya, baiklah. Kami pun mau cepat ni. Isteri saya ndak sabar-sabar sudah mau pi Phuket. Rugi kalau ndak ambil kesempatan ni, bukan selalu datang pi Thailand."
"Betul tu, Phuket adalah pilihan terbaik. Semoga awak berdua enjoy kat sana nanti." Mr. Khor Kiet melemparkan senyuman seraya beredar meninggalkan, Tuan Devol.
Sebaik sahaja Mr. Khor Kiet hilang dari pandangan, Tuan Devol segera menghubungi isterinya untuk bersiap sedia.
Puan Kezia yang berada di hotel pada ketika itu, sudahpun menyiapkan barangan mereka. Nampaknya, dia benar-benar teruja mahu ke Phuket. Dia membawa semua barangannya ke bawah, dan menunggu Tuan Devol di lobi hotel.
Selang beberapa minit, Tuan Devol sampai di hotel penginapan mereka. Dia segera membantu isterinya memasukkan barangan mereka ke dalam sebuah kereta yang disewa khas oleh, Tuan Devol.
"Okey, kita gerak sekarang." Arah Tuan Devol kepada pemandu kereta sewa tersebut.
"Kita naik kereta saja ka pi Phuket?" soal Puan Kezia.
"Tiada kereta yang direct dari Bangkok pi Phuket, sayang. Kalau kita ikut bas, ambil masa 12jam. Sebab tu, dady sudah tempah tiket kapal terbang awal-awal," jawab Tuan Devol bersama senyuman.
"Wah... awal lah kita sampai di sana ni kan. Bestnya..." ujar Puan Kezia.
Tuan Devol hanya tersenyum melihat tingkah isterinya.
Seperti yang telah dirancangkan, mereka telah tiba lebih awal dengan menaiki pesawat ringan ke tempat pelancongan yang sangat popular di negara Thailand tersebut. Mereka menyewa sebuah chalet yang terdapat di situ untuk semalaman, kerana mereka harus kembali ke Malaysia pada keesokan harinya.
Maka, hari yang indah itu mereka lewati dengan tawa dan gurau senda. Mereka tidak melepaskan setiap peluang yang ada, hampir kesemua tempat menarik di kawasan itu mereka lawati.
"Dady, nanti kita pi tengok tinju muay thai, ya? Mumy dengar... ada perlawanan kejap lagi. Mesti siok kalau tengok perlawanan depan mata, kan?" kata Puan Kezia.
"Mumy tidak penat ka? Satu hari ni kita berjalan pusing-pusing round Phuket. Dady penat bah, mengantuk pun ada." Tuan Devol yang baru sahaja selesai menikmati makan malamnya, menyandarkan belakangnya pada kerusi. Riak wajahnya tampak keletihan.
"Kalau macam tu, dady duluan lah balik pi chalet. Mumy mau betul pi tengok depan mata tu tinju muay thai. Lagipun bukan jauh tu tempat, dorang bikin gelanggang terbuka dekat pantai saja."
"Haisssh... Mumy ni. Bahaya tau jalan sendiri-sendiri. Bukan ada siapa-siapa kita kenal di sini. Yala, nanti kita pi tengok. Tapi... lepas tu terus balik ya. Dady rasa penat betul ni."
"Ya, mumy janji. Lepas habis satu perlawanan kita balik pi chalet." Puan Kezia sangat gembira, kerana hajatnya untuk melihat perlawanan tinju muay thai di depan mata akhirnya tercapai.
Mereka berdua segera menuju ke tempat perlawanan itu diadakan. Setibanya di gelanggang tinju tersebut, perlawanan sudahpun bermula. Dua petinju sedang ligat bertarung di tengah gelanggang.
"Aik, dady. Perempuan lawan lelaki ka tu?" tanya Puan Kezia. Dia sedikit terkejut apabila menyedari petinju yang berada di dalam gelanggang tersebut adalah seorang wanita, yang sedang berhadapan dengan seorang petinju lelaki.
"Bulih tahan ni perempuan Thailand oh. Berani betul dia berlawan sama lelaki, tagap lagi tu lawan dia." Tuan Devol menggeleng beberapa kali. Dan nampaknya dia mulai tertarik dengan perlawanan itu.
Setiap tendangan dan tumbukan petinju lelaki itu, dapat ditepis oleh petinju wanita tersebut. Serangan balas wanita itu yang mengenai sasaran dengan tepat, mendapat sorakan daripada penonton yang berada di situ. Namun, kedua-duanya tidak mahu mengalah dengan mudah. Mereka saling berbalas serangan.
Petinju lelaki itu menghayunkan lutut kanannya dengan sekuat tenaga ke arah rusuk wanita tersebut, manakala tangan kirinya pula laju menerpa ke sisi wajahnya. Teknik 'hook' yang dilancarkan mengakibatkan wanita tersebut, tersungkur ke lantai yang beralaskan pasir pantai.
"Wake up! Girl! Wake up! Belasah dia habis-habisan." Tuan Devol yang tergamam melihat pertarungan itu, tiba-tiba menjerit menyuruh petinju wanita itu bangkit semula.
"Dady... mati sudah ka dia tu? Keluar sudah darah di mulut dia. Marilah pulang, saya takut pula tingu dorang ni." Puan Kezia menarik lengan, Tuan Devol. Dia sudah tidak sanggup melihat pertarungan itu.
"Issshhh... manada mati. Masih hidup lagi tu, percayalah. Bulih manang bah dia ni." Tuan Devol tidak mahu berganjak dari situ. Dia terus menjerit, memberikan semangat kepada petinju wanita yang masih tertiarap di tengah gelanggang itu.
"Girl... bangun! Lawan balik!" pekik Tuan Devol. Segelintir penonton yang berada di situ mulai memandang ke arah, Tuan Devol yang tidak henti-henti menjerit. Mereka berasa hairan, kerana Tuan Devol bercakap dalam bahasa yang mereka tidak fahami. Maklum sajalah, kebanyakan penonton yang berada di situ adalah orang tempatan Thailand.
Pengadil perlawanan mulai mengira detik.
"1... 2... 3... 4... 5... 6... 7..."
"Wait! She's awake!" kata Tuan Devol.
Wanita tersebut mulai bangkit perlahan-lahan. Tangannya berpaut erat pada tali gelanggang perlawanan. Darah pekat yang mengalir di bibirnya dikesat dengan jari jemarinya. Dia sudah bersedia untuk bertempur semula.
Perlawanan diteruskan. Nampaknya, kali ini wanita itu bertindak lebih agresif. Setiap serangan yang dilancarkan tampak begitu bertenaga sehingga pihak lawannya tidak mampu menangkis. Wanita tersebut mengakhiri perlawanan itu dengan gaya 'upper cut', yang mana serangannya disasarkan ke bahagian kepala pihak lawan. Petinju lelaki itu, akhirnya tewas terduduk di sudut gelanggang dengan berlumuran darah. Kehebatan wanita itu disorak gemuruh oleh penonton.
"Nah, kan. Sudah dady bilang, manang tu perempuan," ujar Tuan Devol. Dia turut memberi tepukan gemuruh kepada petinju wanita tersebut.
Gadis itu memandang ke arah, Tuan Devol. Dia menundukkan kepala dengan dua telapak tangan yang dirapatkan, seraya mengukir senyuman kecil kepadanya.
Tuan Devol juga melakukan hal yang sama.
"Bah, marilah kita balik pi chalet. Bisuk kena bangun awal lagi ni." Ajak Puan Kezia.
"Yala." Ringkas jawapan Tuan Devol.
Mereka berdua beredar meninggalkan gelanggang tersebut.
Ketika dalam perjalanan pulang ke chalet, satu perkara yang tidak diduga telah menimpa pasangan tersebut. Mereka disekat oleh seorang lelaki bertopeng yang lengkap bersama senjata tajam, dan juga sepucuk pistol.
"Give me all your money and jewelleries! If you don't want me to blow her brains out!" bentak lelaki bertopeng itu. Lelaki tersebut mengacukan pistol di sisi kepala, Puan Kezia.
Tuan Devol dan isterinya amat terperanjat, akibat disergah lelaki bertopeng itu. Yang tiba-tiba sahaja muncul dari arah belakang dan cuba merompak mereka.
"Calm down... please, don't hurt my wife." Tuan Devol cuba menenangkan perompak tersebut.
"Give me all your money, now!" tempelak perompak itu.
"D-dady, b-bagi saja apa dia mau," ujar Puan Kezia terketar-ketar. Tubir matanya mula berair akibat ketakutan.
"Shut up!" Perompak itu bertempik.
Pekikan perompak itu mencuri perhatian seorang gadis yang berada tidak jauh dari situ. Gadis tersebut dapat merasakan, ada perkara buruk yang sedang berlaku di sekitar kawasan laluan kebiasaannya. Gadis itu bergegas menuju ke arah suara tersebut.
"Okey, okey. Please... let her go. I'll give you what you want," kata Tuan Devol. Dia mengeluarkan dompetnya. Jam tangan kesayangannya juga, turut ditanggalkan tergesa-gesa.
Gadis tadi sudahpun tiba di tempat kejadian. Perlahan-lahan, dia menghampiri perompak itu dari belakang. Lelaki bertopeng itu langsung tidak menyedari kedatangan gadis tersebut.
Tuan Devol yang baru sahaja hendak menghulurkan duit dan barang berharganya, tergamam melihat gadis di belakang perompak itu.
Gadis yang berada di belakang perompak tersebut memberi isyarat diam kepada, Tuan Devol dengan segera. Dan tanpa memperdulikan keselamatan dirinya, gadis itu bergerak pantas untuk menjatuhkan perompak itu ke tanah.
"Bam!"
Satu das tembakan rambang dilepaskan.
Puan Kezia, jatuh ke pangkuan Tuan Devol. Gadis yang cuba menyelamatkan mereka, masih lagi bergelut dengan perompak tersebut. Mujurlah ada beberapa pengawal yang datang membantu, ketika terdengar bunyi tembakan yang berdentum kuat sebentar tadi.
Perompak itu berjaya diberkas, dan telah dibawa oleh pengawal ke balai polis berdekatan.
"Mumy... bangun Mumy." Tuan Devol menggoyangkan tubuh, Puan Kezia yang masih belum sedarkan diri.
Gadis yang telah menyelamatkan mereka tadi, hanya berdiri diam di depan pintu chalet. Dahinya ada sedikit luka kecil. Namun dia kelihatan bersahaja, dia langsung tidak terkesan dengan luka kecil sebegitu.
Puan Kezia membuka matanya perlahan-lahan.
"D-dady... kita di mana ni? Mana sudah tu perompak? Dady ndak apa-apa?" soal Puan Kezia bertubi-tubi. Dia terpisat-pisat melihat dirinya yang terbaring di atas sofa.
"Bertenang, Mumy. Kita selamat, sekarang kita di dalam chalet. Itu perompak sudah kena bawa pi balai polis. Mumy pengsan tadi, tu lah Mumy ndak sedar dibawa pi sini," jawab Tuan Devol.
"Syukurlah. Mumy takut betul tadi, lain kali Mumy tidak mau pi sini lagi. Trauma Mumy kalau begini." Puan Kezia menarik nafas lega. Pandangannya beralih ke arah pintu chalet. "Eh! Bukan yang pemain tinju ka tu, Dady? Kenapa dia ada di sini?" soal Puan Kezia.
Gadis itu tersenyum kecil seraya tunduk memberi salam. Sesuai dengan budaya masyarakat Thailand.
"Oh, ya. Dialah tu, dan dia juga yang kasi selamat kita tadi. Nasib baik dia datang, kalau ndak... mungkin melayang sudah nyawa kita dua," ujar Tuan Devol.
"Come, get in. It's cold out there." Puan Kezia mempelawa gadis itu masuk ke dalam.
Tanpa segan silu, gadis itu masuk ke dalam dan duduk berhadapan dengan pasangan suami isteri tersebut.
"Thank you, for saving us. What is your name, girl?" tanya Puan Kezia.
Gadis itu tersenyum kecil.
"Perkara kecil saja tu auntie, uncle. Kebetulan juga saya lalu di sana tadi. Hurmm... Nama saya, Charnchai," balas gadis tersebut.
Tuan Devol dan isterinya tergamam apabila mendengar gadis itu, boleh bertutur dalam bahasa malaysia dengan baik.
"Charnchai? Macam mana kamu pandai cakap bahasa malaysia, bukan kamu orang Thailand ka?" Puan Kezia bingung. Mereka suami isteri saling berpandangan.
"Saya memang membesar di Thailand, tapi... sebenarnya saya ni orang Malaysia."
"Kamu kacukan Thailand ka, atau ikut keluarga berhijrah pi sini?" Tuan Devol mencelah.
"Panjang cerita dia, uncle. Saya sendiri pun tidak ingat semua perkara. Yang saya tahu, saya dibawa pigi Thailand selepas kami sekeluarga mengalami kemalangan masa di Malaysia dulu. Saya menghidap amnesia, banyak perkara yang saya tidak ingat."
"Jadi... macam mana dengan keluarga kamu yang lain? Dorang pun di sini juga ka?" soal Puan Kezia ingin tahu.
"Tidak, auntie. Uncle Khaeng bilang, keluarga saya semua sudah meninggal masa kejadian. Doranglah yang langgar kereta kami, dan dorang juga yang bawa saya pi Thailand. Tapi... sejak auntie Dao sakit-sakit ni, dia ada kasi tau saya, bahawa keluarga saya di malaysia masih hidup."
"Auntie Dao tu siapa? Kenapa kamu tidak cari keluarga kamu di Malaysia. Kesian kamu ni tau." Tuan Devol sangat bersimpati dengan kejadian yang dialami oleh gadis itu.
"Dia, isteri Uncle Khaeng. Saya memang berhasrat mau cari keluarga kandung saya, tapi... Uncle Khaeng tidak mau kasi lepas saya. Setiap kali sy cakap mau balik Malaysia, Uncle Khaeng mesti marah dan pukul saya. Dia bilang, tiada yang kasi makan dorang kalau saya balik Malaysia. Macam yang kamu nampak tadi, saya masuk dalam gelanggang semata-mata mau cari duit untuk kasi makan dorang." Suara Charnchai kedengaran sebak. Meskipun fizikalnya kelihatan kuat, namun hatinya tidaklah sekuat mana. Mahu saja dia menjerit dan menangis di hadapan pasangan suami isteri itu.
"Saya minta maaf auntie, uncle. Saya bukan mau minta simpati sama kamu, saya sendiri pun tidak tau, kenapa saya boleh ceritakan hal ini sama kamu. Lebih baik saya balik sekarang, mesti Uncle Khaeng tengah tunggu saya." Charnchai cepat-cepat berdiri dan meminta izin untuk pulang.
Puan Kezia memandang suaminya. Pandangan matanya mempunyai maksud. Dia mahu Tuan Devol melakukan sesuatu.
"Charnchai! Tunggu dulu," ujar Tuan Devol.
Charnchai yang baru sahaja hendak melangkah keluar, menghentikan langkahnya. Dia berpaling semula kepada pasangan suami isteri tersebut.
"Charnchai, kami boleh bantu kau. Itupun kalau kau betul-betul mau cari keluarga kandung kau. Esok, kami mau balik Malaysia. Kalau kau mau ikut, kami boleh bawa kau sama-sama. Tadi kau sudah selamatkan nyawa kami, sekarang biar kami balas budi kau pula. Lagipun, kami memang ikhlas mau tolong kau. Keluarga kau di Malaysia pun, mesti tengah mencari kau." Tuan Devol menawarkan pertolongan.
Mereka bertiga berjeda seketika. Suasana di dalam chalet itu menjadi hening.
"Nanti saya cuba fikirkan, saya betul-betul kena balik sekarang," ujar Charnchai.
"Ya, baiklah. Charnchai fikir betul-betul ya. Jam 8 pagi besok, kami akan bertolak," kata Puan Kezia yang berdiam sedari tadi.
"Ya, auntie. Saya pergi dulu." Charnchai melangkah keluar dari chalet, lalu bergegas pulang ke rumah.
"Kesian si Charnchai kan, dady. Bulih-bulih dia tinggal sama orang yang langgar keluarga dia. Mumy harap, dia mau ikut kita balik pi malaysia bisuk." Puan Kezia menghela nafas pendek. Dia sangat berharap gadis itu akan menerima bantuan mereka.
"Sudah dia bilang kan, dia hilang ingatan lepas tu kejadian. Nampak betul tu orang yang bawa dia sengaja mau ambil kesempatan. Sudahlah hilang ingatan, kena suruh cari duit lagi. Dady pun harap dia ikut kita bisuk." Tuan Devol meraup wajahnya. Dia kelihatan letih dan mengantuk. "Bah, marilah kita tidur. Dady mengantuk betul sudah ni," ujar Tuan Devol seraya berdiri menuju ke katil yang tersedia di chalet tersebut.
"Dady duluanlah, mumy mau telefon si Jax dulu kejap."
"Yala, jan lama-lama. Lewat sudah ni."
"Ya, selamat malam dady."
Tuan Devol sudahpun menghempaskan tubuhnya di atas tilam. Manakala Puan Kezia pula cuba menghubungi anak mereka, Jax.
"KRING! KRING!... KRING! KRING!..."
"Jax! Telefon kau berbunyi." Alan menunjukkan telefon pintar itu kepada, Jax yang sedang asyik menari sambil dikelilingi beberapa gadis cantik yang berpakaian seksi.
"Siapa call?" soal Jax yang sedang menuju ke arah Alan.
"My beloved woman?"
"Alamak, matilah. Mumy saya!" Jax lantas mendapatkan telefonnya, dan bergegas ke pintu belakang pub.
"Hello, Jax? Kenapa lama betul kau sambut telefon?"
"Anu, mumy... hmm... Jax di tandas tadi. Sorry, mumy."
"Di tandas ka, di pub? Ndak payahlah kau tipu mumy, Jax. Mumy tau, Jax mesti pigi pub lagi ni kan?"
"Hi...hi... ya, mumy. Jangan kasi tau dady arr. Jax sama si Alan bah ni. Boring duduk di rumah, tiada mau buat apa-apa."
"Hmm... Jax senang-senang di sana. Jax tau ka, hampir lagi kami dua dady kena rompak tadi. Bahaya betul di sini oh."
"Ah! Jadi, mumy sama dady okey ka ni. Kamu pigi buat report bah, risau pula Jax di sini."
"Kami okey ja, nasib ada orang tolong kami tadi. Kalau tidak... hmmm, mati sudah kali kami. Apa tidak, tu perompak siap ada pistol lagi. Sampai mumy pengsan! Tau."
"Aduii, mumy. Mau jatuh jantung saya, tau. Mumy sama dady, bila juga mau balik ni. Jan lama-lama di situ bah, tingu baru dua hari kamu di sana. Macam-macam sudah terjadi."
"Ya, ndak payahlah Jax risau. Bisuk kami balik sudah. Mumy telefon ni, mau suruh Jax kasi tau si Mbak Surti. Kemas sedia tu bilik tetamu, manatau ada orang mau tinggal sana nanti."
"Aik, siapa yang mau tinggal sana mumy? Takkanlah mumy betul-betul serius mau bawa perempuan Thailand untuk saya, Jax main-main saja bah tu."
"Perasan santut! Kau sana. Siapa bilang kami bawa perempuan untuk kau. Mumy suruh kemas-kemas saja tu bilik. Yala, manatau ada tetamu kita ka, apa ka. Yala, itu saja. Mumy mau cas telefon lagi ni, bisuk awal kami gerak pi Bangkok. Kami sini di Phuket ni, asal ndak kepunan mumy jalan-jalan di sini."
"Emm... yala. Nanti Jax kasi tau si Mbak Surti. Telefon Jax kalau kalau kamu sampai di airport bisuk, nanti saya ambil kamu."
"Yala, Jax jangan lama-lama di pub tu. Jam berapa sudah ni, belum lagi kamu balik. Kalau dady tau, habis taik telinga Jax tu berhamburan si dady kasi ceramah."
"Ya, Mumy. Esok kita jumpa, ya. Babai..."
Panggilan telefon dimatikan. Jax bergegas masuk ke dalam pub dan mengajak, Alan pulang.