Jadual latihan Aubree sudah pun diaturkan oleh Ahli Sihir Yang Tertua jadi Aubree tidak perlu melakukan apa-apa lagi selain daripada menghadiri latihan itu.
Dengan bantuan pembantu Elf yang ada di setiap kawasan, dia menunjukkan tempat latihan pertama Aubree, iaitu di sebuah bangunan dewan terbuka yang luas.
Pembantu Elf itu membawa Aubree berjumpa dengan pengajarnya yang akan mengajar Aubree untuk latihan pertama.
Latihan pertama Aubree ialah ilmu bela diri, yang di mana ilmu ini sudah pun dikuasai lama oleh Aubree.
Tapi yang membuatkan Aubree ragu-ragu untuk menggunakan ilmu bela dirinya adalah kerana Aubree tidak yakin jika ilmu bela diri yang dia ada, wujud di dunia ini atau tidak.
Setelah mereka tiba di dewan terbuka itu, mulut Aubree terlopong luas kerana melihat pemandangan yang ada di depannya. Di dalam dewan terbuka itu, Tentera Elf yang memakai pakaian latihan berwarna hitam sedang berlatih bersama-sama.
Mereka melakukan gerakan ilmu bela diri yang sama dan membuat gerakan dalam kelajuan yang sama, menjadikan seluruh suasana dewan itu boleh membuatkan semangat seseorang yang ingin berlatih meningkat.
Di luar dewan terbuka itu pula, di bahagian taman-taman yang ada di sekeliling dewan terbuka itu, Tentera Elf sedang berlatih dengan senjata. Mereka menggunakan senjata seperti pedang, pisau, panah atau kapak.
Aubree merasa semangatnya untuk berlatih meningkat dua kali ganda. Suasana ini mengingatkan dia ketika Aubree masih hidup sebagai manusia. Setiap kali mereka tiada misi, mereka akan berlatih di tempat yang sama dan suasana yang Aubree lihat sekarang adalah sama seperti suasana yang dia alami semasa dia hidup sebagai pembunuh upahan.
'Nice... Saya sudah suasana latihan yang begini. Jika begini suasana latihan saya, saya akan bersemangat untuk berlatih...'
"Tentera Elf yang berdiri di tepi sana itu ialah Tuan Gildam. Dialah yang mengetahui seluruh latihan di sini. Ahli Sihir Yang Tertua sudah pun memberi arahan kepada Tuan Gildam untuk menjadi pengajar anda sepanjang masa anda berlatih di sini..." Dengan suara sopan dan lembut, pembantu yang menolong Aubree tadi berkata.
Aubree menoleh ke arah Tuan Gildam yang ditunjukkan oleh pembantu itu.
Tuan Gildam yang dimaksudkan oleh pembantu itu ialah seorang Elf yang mempunyai tinggi sekitar 180 cm dengan rambut emas yang panjang hingga paras dada dan mempunyai mata berwarna kuning.
Aubree memandang ke arah pembantu tadi dan menganggukkan kepalanya tanda faham. "Terima kasih kerana sudah membawa saya ke sini..."
Pembantu itu menunduk hormat terhadap Aubree lagi sebelum dia berundur dari sana dan berlalu.
Aubree tidak terus pergi ke tempat Tuan Gildam. Dia berdiri di sana selama beberapa minit tanpa berbuat apa-apa. Aubree memandang ke arah tatu yang ada di tangannya.
Setelah mengambil nafas yang panjang, Aubree memulakan langkah pertamanya mendekati Tuan Gildam. Sesampainya di dekat Tuan Gildam, Aubree segera menyapa Tuan Gildam dengan suara lembut dan sopan.
"Salam, Tuan Gildam. Saya ialah Audrey, saya ditugaskan oleh Ahli Sihir Yang Tertua untuk berlatih di bawah ajaran Tuan Gildam. Sila beri tunjuk ajar..."
Tuan Gildam menoleh ke arah Aubree dengan wajah kosong. Lama dia memandang ke arah Aubree walaupun Aubree sudah lama habis memperkenalkan dirinya.
Aubree juga diam saja sambil menanti Tuan Gildam untuk bercakap.
Ketika kesabaran Aubree sudah berada di hujung nafas, akhirnya Tuan Gildam membuka mulutnya.
"Kamu Audrey, pemilik baru Kristal Kehidupan itu? Kamu nampak biasa-biasa saja..."
"Hah?"
Sebuah tanda soal yang besar muncul di atas kepala Aubree. Dia menjadi bingung setelah mendengar kata-kata Tuan Gildam.
'Biasa-basa saja? Apa maksud dia? Muka saya atau penampilan saya?'
"Semuanya nampak biasa-biasa saja kecuali mata kamu yang berwarna merah. Apa-apa pun, kamu masih belum dapat mengalahkan kecantikan yang ada pada Puteri Meliani, dia dua kali ganda lebih cantik dari kamu..."
Jika tadi Aubree kebingungan, saat ini dia sudah pun merasa geram. 'Saya datang nak berlatih ilmu bela diri... Bukannya datang nak dengar komen kau pasal perbezaan saya dan Meliani!'
Meskipun dalam hatinya dia merasa marah, Aubree tetap memberikan senyuman lembut kepada Tuan Gildam.
"Urmm, saya tidak faham apa yang Tuan sedang katakan saat ini tapi... Saya datang untuk menanyakan latihan pertama saya pada hari ini..."
Tuan Gildam memandang ke arah Aubree dengan wajah yang terlihat sedikit mencemuh Aubree. "Kau tidak faham? Bermakna kau bodohlah, kan? Tak apalah... Kalau kamu faham, itu lebih baik untuk saya. Baik, untuk latihan ilmu bela diri kamu akan diajarkan oleh saya dan saya akan memantau keadaan kamu. Jika saya merasa ada sesuatu yang tidak kena dengan kamu, saya akan memberikan hukuman pada kamu. Kamu faham?"
Aubree mengangguk dengan mulutnya sedikit dimuncungkan. Dia tidak faham kenapa Tuan Gildam melayannya dengan kasar begitu. 'Saya baru datang ke sini beberapa hari yang lalu. Sepatutnya dia perlu melayan saya dengan baik... Saya juga ialah pemilik Kristal Kehidupan yang lain. Kenapa dia perlu layan saya seperti ini?'
Tuan Gildam hanya mengangguk kecil dengan wajah acuh tidak acuh saat melihat perlakuan Aubree yang menurut saja.
Tuan Gildam meletakkan kedua-dua tangannya ke belakang dan berjalan mengelilingi Aubree. Aubree memandang Tuan Gildam dengan wajah bingung.
Tuan Gildam memegang lengan Aubree di sebelah-menyebelah. Saat Tuan Gildam mengeratkan genggamannya, Aubree mengerang kecil.
Aubree menyentuh lengannya yang sakit kerana digenggam.
Melihat tindakan Aubree itu membuatkan Tuan Gildam mendengus dengan wajah tidak puas hati. "Huh, baru sentuh sudah sakit! Lemah, kamu lemah dari yang saya sangka!"
Aubree terasa ingin mencemuh Elf yang ada di depannya itu. Dia tidak berani membuatnya secara depan-depan jadi dia hanya mampu membuatnya dalam hati.
'SENTUH APA BENDANYA?! Itu bukan sentuh lagi! Macam mana tidak sakit bila kau buat begitu! Ini tidak adil!'
Tuan Gildam menggeleng-geleng sambil berjalan menjauhi Aubree. Tangannya kembali diletakkan di belakangnya. "Hm! Kalau kamu lemah begini, macam mana kami boleh harapkan kamu untuk melindungi Kristal Kehidupan dan rakyat Elf kalau kamu lemah begini!"
Saat Tuan Gildam berpusing ke belakang, menampakkan belakangnya ke wajah Aubree, Aubree terus membuat muka buruk kerana merasa tidak puas hati dengan kritikan dari Tuan Gildam.
'Identiti saya baru saja diketahui sebagai pemilik Kristal Kehidupan beberapa hari yang lalu. Kau sangka saya akan terus jadi kuat begitu saja ketika identiti saya baru diketahui?! Kalau saya diberikan peluang, saya pun nak latih badan ni untuk jadi kuatlah!'
Tuan Gildam menoleh ke arah Aubree bila melihat Aubree tidak bergerak mengikutinya.
Aubree segera menukarkan wajahnya menjadi normal saat Tuan Gildam berpusing untuk memandang ke arahnya.
"Apa yang kamu buat di sana lagi? Cepat ikut saya! Saya akan hukum kamu kalau kamu lambat!"
Tuan Gildam sempat lagi mendengus sekali sebelum dia berjalan meninggalkan Aubree.
Aubree dengan wajah mahu tidak mahu terpaksa mengikuti Tuan Gildam.
"Baru hari pertama, sudah buat hal!"
"Belum lagi berlatih apa-apa tapi hukuman sudah diberikan!"
"Beginikah sifat seorang penjaga Kristal Kehidupan? Memalukan!"
"Saya tidak tahu kenapa Kristal Kehidupan mempercayai dia sebagai pemilik yang kedua... Heih!"
Aubree hampir saja jadi pekak mendengar semua bebelan dari Tuan Gildam. Dia tidak tahu apa salah yang telah dia lakukan terhadap Tuan Gildam sehinggalah lelaki itu seolah-olah menyimpan rasa tidak suka terhadap Aubree.
Setahu Aubree, ini pertama kali Aubree berjumpa dengan Tuan Gildam dan Aubree juga tidak melakukan apa-apa beberapa hari yang lalu yang akan membuatkan namanya menjadi buruk begini.
'Apa yang saya sudah lakukan sampaikan Tuan Gildam macam tidak puas hati dengan saya? Dan lagi satu, kenapa dia seolah-olah tidak suka saya jadi penjaga Kristal Kehidupan, ya? Adakah ini sebab mereka lebih suka Meliani jadi pemilik yang utama dan hanya dia? Ceh, apalah mereka ni! Saya ialah pemilik yang sebenar Kristal Kehidupan tu!'
Mereka tiba di satu kawasan taman yang berada di hujung. Di bahagian sana, sehelai tikar tebal dibentangkan di atas rumput. Di atas tikar itu terlihat dua orang Elf sedang berlawan satu lawan satu tanpa menggunakan senjata.
Tuan Gildam dan Aubree berhenti di tepi kawasan tikar itu.
Mata Aubree bersinar dengan perasaan ingin mencuba saat dia melihat dua orang Elf yang berbadan sasa dan berotot sedang berlawan satu lawan satu.
Aubree selalu melakukan latihan seperti ini semasa dia berlatih semasa dia masih hidup sebagai seorang manusia. Sekarang, perasaannya untuk bertarung dengan orang yang lebih kuat menjadi semakin mendalam.
Badan Aubree menjadi panas dan teruja kerana dia tidak sabar ingin mencuba untuk bertarung dengan salah seorang dari dua orang Elf tadi.
"Dean, Hensel! Hentikan latihan kamu dan datang ke mari," Tuan Gildam terus memberikan arahan kepada dua orang Elf itu.
Dua orang Elf yang dipanggil sebagai Dean dan Hensel itu segera berhenti dan memusingkan kepala mereka ke arah Tuan Gildam.
Mata mereka terlekat kepada wajah Aubree untuk beberapa saat sebelum mereka berjalan mendekati Tuan Gildam lagi.
"Tuan, apa yang ingin Tuan kami lakukan?" tanya Dean.
Tuan Gildam menunjukkan Aubree dengan gerakan tangan. "Ini ialah penjaga Kristal Kehidupan yang kedua. Seperti yang kamu tahu, dia baru saja tiba di sini beberapa hari yang lalu. Mulai hari ini dia akan berlatih di bawah ajaran saya."
Dean dan Hensel memandang ke arah Aubree. Senyuman manis muncul di bibir mereka dan mereka mula menyapa Aubree.
"Nama saya Dean. Selamat datang ke sini."
"Salam, saya ialah Hensel. Kau lebih comel dari apa yang saya dengar. Mata kau nampak unik."
Aubree juga membalas sapaan mereka dan tersenyum sepanjang masa dia bercakap.
"Selamat berkenalan. Kamu berdua boleh panggil saya Audrey."
Melihat bagaimana dua orang anak muridnya sepertinya tidak akan berhenti berbual dengan Aubree, Tuan Gildam mengambil keputusan untuk maju ke depan dan menghalang perbualan mereka.
"Kamu berdua boleh berbual dan bertanya tentang dia jika ada masa yang sesuai nanti. Sekarang ini, apa yang saya ingin kamu berdua lakukan... Saya mahu salah seorang dari kamu untuk menjadi lawan kepada dia untuk perlawanan satu lawan satu."
Dean dan Hensel terkejut dengan perintah Tuan Gildam. Mereka memandang ke arah Aubree yang kelihatan kecil dan nampak rapuh.
(Maksud rapuh ini ialah badan Aubree masih kurus dan belum ada otot yang terbentuk. Dalam erti kata lain, Dean dan Hensel nampak Aubree akan terus pengsan kalau terkena satu tamparan.)
Aubree melihat pandngan Dean dan Hensel itu dan dia hanya mampu tersengih dengan wajah kemerahan. Bukan salah Aubree terlihat seperti ini. Ini kerana pemilik badan ini asalnya hanyalah seorang pembantu rumah saja dan bukanlah seorang pejuang.
Aubree ada melatih badan ini sejak beberapa bulan setelah dia masuk ke Dunia Elf ini namun semua latihan itu masih belum cukup untuk menunjukkan fizikal Aubree yang kuat.
"Tuan, tuan yakin mahu dia berlawan satu lawan satu dengan kami? Dia... Dia nampak kecil dan... Badan dia..." Dean tidak tahu hendak menghabiskan ayatnya. Dia memandang Aubree dan Tuan Gildam berulangkali sebagai tanda yang dia tidak setuju dengan cadangan Tuan Gildam.
"Tuan Gildam, fizikal dia nampak tidak sesuai. Dia perlulah menjalani latihan asas dulu sebelum dia boleh berlawan satu lawan satu dengan kami. Jika tidak, kami tidak tahu apa yang akan jadi dengan dia kalau kami tersilap langkah..." Hensel juga setuju dengan apa yang difikirkan oleh Dean. Jadi dia pun menolong Dean untuk mengatakan apa yang ingin mereka katakan.
Tuan Gildam hanya diam saja sambil memandang Dean dan Hensel dengan wajah tidak peduli.
'Yalah, betullah cakap Hensel. Dengan keadaan fizikal saya yang seperti ni, sepatutnya saya perlu menjalani latihan asas dulu. Kenapa dia mahu saya berlawan satu lawan satu dengan dua orang Elf yang kuat ni?'
'Tapi saya tiada masalah untuk berlawan dengan mereka sekarang. Saya ada ilmu bela diri saya sendiri untuk mempertahankan diri saya...'
'Tapi pelik juga ya sebab Tuan Gildam berkeras mahu saya berlawan dengan mereka. Adakah Tuan Gildam berharap saya cedera teruk hasil daripada perlawanan ni? Dasar lelaki tak ada otak!'
Aubree memandang ke arah Tuan Gildam dengan renungan yang tajam.
Tuan Gildam berdehem beberapa kali ketika dia menyedari renungan tajam dari Aubree. "Saya bukanya mahu membuatkan dia cedera atau apa-apa. Saya cuma mahu tahu sejauh mana ilmu bela diri yang dia ada. Jika saya berikan pengajaran asas dari awal tentang ilmu bela diri sedangkan dia sudah tahu ilmu bela diri, semua pengajaran saya akan menjadi sia-sia dan akan membuang masa saya saja..."
Dean dan Hensel pun memahami kenapa Tuan Gildam mahu Aubree berlawan satu lawan satu. Mereka tersenyum kecil sambil mengangguk-angguk.
"Baik, saya faham, Tuan Gildam. Kalau begitu, saya akan pergi pertama. Dean boleh berlawan dengan Audrey selepas saya," Hensel dengan gembiranya menerima arahan dari Tuan Gildam.
Tuan Gildam mengangguk dengan rasa puas hati dengan jawapan Hensel. Dia memandang ke arah Aubree. "Kamu sudah dengar apa yang saya ingin kamu lakukan, bukan? Jadi, kamu harus berlawan dengan Hensel agar saya boleh melihat sejauh mana kekuatan kamu..."