Chereads / Aku Di Dunia Elf / Chapter 46 - Dicurigai

Chapter 46 - Dicurigai

Setelah Aubree mandi dengan kecepatan tertinggi dan menukar bajunya ke baju yang bersih dan wangi, Aubree berjalan pergi ke tempat bilik Meliani dengan langkah yang tidak terlalu laju dan tidak terlalu cepat.

Pembantu Elf yang membawa Aubree ke bilik Meliani terpaksa mengikuti rentak kaki Aubree walaupun pada masa itu, ingin saja dia meninggalkan Aubree di sana dan segera pergi ke bilik Meliani.

Setelah mereka tiba di sana, Aubree terkesan dengan struktur bangunan di bilik Meliani.

Berbeza dengan bilik belajar Ahli Sihir Yang Tertua dulu, bilik ini lebih terlihat tenang dan menyedapkan pemandangan.

Di bahagian dalam bilik, terdapat ruangan khas untuk ruang tamu dengan meja dan kerusi. Lorong yang menuju ke kiri pula adalah jalan menuju ke bilik tidur Meliani. Manakala lorong yang berada di kanan pula menuju ke sebuah taman kecil yang ada di belakang bilik itu.

Pembantu Elf tadi memberi isyarat kepada Aubree untuk duduk di bahagian meja di ruang tamu. Setelah Aubree duduk, pembantu itu menuangkan teh kepada Aubree.

Seminit selepas Aubree sampai, Meliani keluar dari bilik tidurnya dan mendekati Aubree.

Aubree yang sedang duduk minum itu, menoleh ke arah Meliani. Melihat wajah yang mirip dengan Lucy itu membuatkan darah Aubree menggelegak namun perasaan marahnya ditahan.

Aubree hanya tersenyum ke arah Meliani tapi dia tidak berdiri dari kerusinya untuk menghormati Meliani.

Kerana semua Elf di tempat ini menganggap Meliani sebagai seorang puteri, semua Elf akan menunduk hormat terhadap dia di mana saja mereka berjumpa.

Di mata Elf lain, Aubree baru saja tiba di Menara Kristal dan masih belum tahu apa-apa. Terlebih lagi bila identiti Aubree adalah lebih rendah dari Meliani kerana statusnya sebagai pemilik Kristal Kehidupan yang kedua.

Kerana Aubree tidak berdiri untuk menghormati Meliani, membuatkan pembantu Elf lain yang ada di bilik itu memandang Aubree dengan perasaan kurang senang. Mereka tidak suka bagaimana Aubree hanya duduk di kerusi dan menyapa Meliani dengan selamba.

Mereka melihat Aubree sebagai seorang Elf yang tiada akhlak dan sangat tidak sopan terhadap Puteri Meliani yang dianggap sebagai senior kepada Aubree.

Tanpa Aubree sedar, dia sudah pun dicemuh dan mula dibandingkan dengan Meliani. Di hati mereka, Aubree ialah seorang Elf yang langsung tidak tahu adap, sombong dan tidak secantik Puteri Meliani.

Aubree tentu saja tidak tahu apa yang difikirkan oleh pembantu-pembantu Elf itu kerana dia tidak sedar pun perlakuannya itu membawa kesan buruk terhadap dirinya.

Sebagai seorang pemburu upahan dari abad ke-21, hal seperti menunduk hormat kepada orang lain tidak pernah ada di kamus hidup Aubree. Malah, dia juga tidak pernah tahu jika dia harus menghormati Meliani atau tidak kerana Aubree merasa dirinya mempunyai status yang lebih tinggi dari Meliani.

"Ah, Audrey. Kamu sudah tiba..." Meliani memandang ke arah pembantu Elf yang berdiri di sebelah kirinya pula. "Hidangkan makan tengah hari dengan segera."

Pembantu Elf yang dimaksudkan itu menunduk sedikit. "Baik, Puteri..."

Meliani berjalan menuju ke meja. Senyumannya tidak pernah hilang dari wajahnya. Meliani mengambil tempat duduk di depan Aubree.

"Saya mesti sudah buatkan kau menunggu dengan lama. Saya minta maaf... Sebaik saja saya diberitahu kalau kau mahu makan tengah hari dengan saya, saya bergegas ke sini selepas saya menyalin baju," kata Aubree.

Aubree menerangkan keadaannya dirinya yang lambat datang ke sini tadi lalu memberikan senyuman serba-salah. Walaupun Aubree merasa penerangan ini tidak diperlukan tapi Aubree sengaja berkata begini inti menghilangkan rasa janggal diantara dia dan Meliani.

Meliani tersenyum simpul mendengar kata-kata Aubree. "Tak mengapa, Audrey. Saya dengar yang kau sudah memulakan latihan kau hari ini. Saya pasti yang Audrey mesti datang terus ke sini dari tempat latihan, betul kan?"

Aubree hanya tersengih. "Saya hanya kembali sekejap ke bilik saya untuk menukar pakaian..."

Meliani tersenyum lembut mendengar jawapan Aubree. Dia mengangkat gelas kaca yang berisi teh yang disediakan oleh pembantunya.

Dengan penuh kelembutan dan sopan, Meliani meminum tehnya. Gayanya sama seperti seorang puteri dari kerabat diraja yang sudah pun diajar meminum dengan cara yang betul.

Aubree yang melihat sikap Meliani itu hampir saja menjulingkan matanya kerana merasa berang. Aubree boleh melihat perbezaan yang ketara diantara dia dan Meliani.

Aubree dibesarkan sebagai pembunuh upahan, jadi dia tidak pernah diajarkan benda seperti ini walaupun dia mempunyai seorang ibu.

Manakala Meliani pula dibesarkan di tempat ini dan semua perlakuannya sudah diajarkan sejak lama.

Tidak lama kemudian, makanan tengah hari pun tiba. Meliani dengan sopannya menyuruh Aubree untuk mula menjamu selera.

Sekali lagi, Aubree melihat perbezaan yang ketara diantara mereka berdua semasa mereka makan.

Tiba-tiba saja Aubree menjadi tidak berselera untuk makan. Jika Aubree makan dengan gaya agak gelojoh, Meliani pula makan dengan gaya sopan.

Beza sikap diantara mereka berdua membuatkan mereka dapat dibezakan sebagai penjaga Kristal Kehidupan.

Aubree memperlahankan suapan sudu sambil memerhati Meliani yang makan dengan penuh elegan. 'Dia ni sengaja nak kenakan saya? Dia saja nak buat Elf lain nampak yang saya dan dia mempunyai sikap yang berbeza? Apa yang Meliani dapat kalau dia buat begini?'

Makan tengah hari di ruang tamu kecil itu hanya dipenuhi dengan bunyi sudu atau garpu yang menyentuh piring dan mangkuk ketika dua orang wanita Elf itu sedang makan.

Suasana sunyi itu tidak lama apabila Meliani dengan tiba-tiba membuka mulut untuk bertanya kepada Aubree.

"Saya dengar yang hari ini kau berlawan satu lawan satu dengan seorang senior Elf kerana Tuan Gildam yang mahu..."

Aubree hanya memandang Meliani dengan lirikan anak mata. "Oh, kau ada dengar? Tak sangka pula gosip dengan cepatnya tersebar sampai kau pun tahu pasal perlawanan tu..."

Meliani ketawa kecil. "Jangan salah faham. Saya bukannya seorang yang suka bergosip. Saya cuma dengar dari mereka yang kau menang melawan Hensel..."

"Hasil dari perlawanan tu pagi ni, memang saya yang menang melawan dia," Aubree hanya menganggukkan kepalanya.

"Tak sangka pula saya yang kau ada sedikit ilmu bela diri," kata Meliani, dengan tenangnya mengambil secebis sayur yang ada di mangkuk.

Aubree mengerutkan dahinya. "Maksud kau, kau tidak pernah menyangka yang saya ni ada ilmu bela diri?"

"Saya cuma terkejut mengetahui kalau kau ada ilmu bela diri... Sebab dari awal, saya nampak kau sebagai seorang yang biasa-biasa saja... Susah untuk saya tengok jika kau mempunyai ilmu bela diri atau tidak. Maaf kalau apa yang saya katakan ini buatkan kau terasa tersinggung..." Walaupun Meliani meminta maaf, namun sikapnya yang tenang sambil makan itu pula berkata sebaliknya.

Aubree menaikkan keningnya ke atas saat melihat apa yang dikatakan oleh Meliani itu berbeza dengan tindakannya. 'Apa sebenarnya yang dia ingin lakukan pada saya?'

"Hensel ialah salah seorang Tentera Elf yang terkuat di tempat ini. Jadi mengetahui yang kau dapat mengalahkan dia pada perlawanan satu lawan satu itu walaupun fizikal kau lemah, saya jadi terkejut..." sambung Meliani lagi.

Aubree tidak menjawab, sebaliknya hanya makan dan mendengar apa yang ingin dikatakan oleh Meliani selepas ini.

"Selepas saya berjumpa dengan kau, saya menjumpai banyak perkara yang mengejutkan tentang kau..." Meliani sengaja berhenti makan dan dia mengambil peluang itu untuk memandang ke arah Aubree.

Aubree juga berhenti menggerakkan tangannya dan membalas pandangan Meliani. Tangan kiri dengan selambanya diletakkan di atas meja.

"Terutamanya mata kau yang berwarna merah..."

Aubree terus mengeluarkan suara ketawa yang kecil saat mendengar sambungan ayat Meliani tadi. "Kenapa? Adakah kau berminat dengan mata merah saya yang unik ini?"

Meliani tersenyum simpul tapi kali ini lebih menyimpan seribu makna. "Itulah masalahnya. Mata merah yang unik ini tidak pernah wujud di dunia ini. Jika wujud pun... Saya pasti akan mengetahui warna mata yang berbeza ini..."

Aubree memandang ke arah Meliani dengan wajah kosong. 'Weh, warna mata yang berwarna merah ni bukan yang aslinya. Yang asli adalah, mata saya yang berwarna hitam... Ah, peduli apa saya! Lebih baik saya tak cakap apa-apa pun pada kau!'

"Kau harus tahu di dunia ini hanya ada tiga jenis warna mata yang dimiliki oleh para Elf. Warna biru, warna kuning dan warna hijau... Tapi warna merah... Tidak pernah wujud di dunia ini..."

Meliani masih lagi bercakap. Kini, tangannya sudah rancak bergerak dan menyuapkan makanan ke dalam mulutnya.

"Ya saya tahu warna mata saya ini ialah merah. Tapi kau tidak perlulah beritahu saya sekali lagi tentang hal ni... Mungkin juga saya yang akan menjadi Elf pertama yang mempunyai mata berwarna merah. Mungkin mata saya yang berwarna merah ni disebabkan kekuatan yang diberikan oleh Kristal Kehidupan itu..."

'Memang betul pun, mata saya boleh berubah ke warna lain sebab kekuatan saya ini berasal dari Kristal Kehidupan...' Aubree mengalihkan pandangannya ke arah makanan lagi.

Tanpa disedarinya, genggaman tangan Meliani di sudunya menjadi ketat. Saat dia mendengar yang Aubree berkata yang kekuatannya berasal dari Kristal Kehidupan membuatkan Meliani tiba-tiba menjadi marah.

Tidak dinafikan lagi, sejak pertama kali dia mengetahui yang seorang lagi penjaga Kristal Kehidupan yang lain akan muncul, Meliani menjadi tidak senang hati dan selalu risau.

Sebagai seorang pemilik Kristal Kehidupan yang unggul sejak dulu lagi, dia tidak dapat menerima kenyataan yang dia harus berbagi kekuatan dengan Elf lain.

Dan sekarang, pemilik lain yang dikatakan itu sudah pun duduk dan makan bersamanya di meja makan yang sama.

Meliani tidak suka melihat Aubree dan dia tidak dapat menerima kenyataan yang Aubree juga adalah seorang pemilik Kristal Kehidupan yang lain selain dia. Oleh itu, Meliani berancang mahu mengeluarkan Aubree dari tempat ini dan sekali gus menghilangkan statusnya sebagai penjaga Kristal Kehidupan yang kedua.

"Kau merasa yang Kristal Kehidupan yang berikan kau kuasa tu?" tanya Meliani.

Meskipun dalam hatinya, dia merasa marah namun di luar, dia memasang wajah yang tenang saja.

Berkerut dahi Aubree mendengar kata-kata Meliani itu. Dia menjadi keliru kerana pertanyaan itu. 'Ah, apa yang dia cakap ni? Apa maksud dia tanya begitu? Mestilah saya yakin sebab White sendiri yang beritahu... Takkan White nak berbohong pada saya pula?'

Melihat wajah Aubree yang berkerut dan keliru itu, Meliani menyangka yang Aubree bingung dan tidak tahu apa-apa. Dalam hatinya, dia bersorak gembira kerana inilah kesempatannya untuk memutarbelitkan kenyataan.

"Kau harus tahu, semua benda yang unik di dunia ini membawa kejahatan... Dan ada diantara dari benda unik ini berasal Kegelapan. Mata kau adalah berwarna merah dan dianggap unik di tempat ini... Jika ada orang yang mencurigai mata kau itu, mereka pasti akan berfikir jika kau ini berasal dari Kerajaan Kegelapan..."

Hampir tersedak Aubree dengan makanan yang dia makan itu setelah dia mendengar kata-kata Meliani. Dia terus memandang Meliani dengan perasaan yang terkejut dan raut wajah yang buruk.

'Itu saja? Dia cakap banyak benda hanya sebab dia mahu cakap yang saya ni berasal dari Kerajaan Kegelapan? Apa? Hanya sebab mata saya berwarna merah dan berbeza dari Elf lain bermakna saya ni tergolong dalam dunia Kegelapan?'

'Hei, hello! Orang yang percaya dengan benda mengarut yang kau cerita ni cumalah orang yang bodoh! Orang yang tiada otak! Adakah patut dia cakap saya ni berasal dari Kerajaan Kegelapan! Tak guna! Peih!!'

Aubree mencuba sedaya upaya untuk menahan rasa marahnya. Dia memaksakan dirinya untuk tersenyum kepada Meliani yang saat itu sedang memandang Aubree seolah-olah Aubree ini adalah bahan jenaka kepada Meliani.

"Maaf, Meliani... Tapi saya rasa apa yang kau cakap ini tidak masuk akal. Walaupun mata saya berwarna merah... Tidak bermakna saya berasal dari dunia Kegelapan... Selain saya, banyak lagi orang lain di luar sana yang memiliki warna yang berlainan... Jika kau mencari dengan teliti, kau akan menjumpainya..."

Senyuman Meliani di bibirnya menjadi beku untuk seketika. Matanya merenung ke wajah Aubree tanpa berkelip.

"Dan jika kau tak percaya yang mata saya ini adalah simbol bagi kekuatan yang diberikan oleh Kristal Kehidupan, suatu hari saya akan tunjukkan kepada kau... Cuma, saya mahu kau jangan sebutkan perkara seperti ini kepada saya lagi. Saya tidak akan mudah percaya..."

Aubree meletakkan sudu yang dipegangnya ke atas piring. "Saya sudah selesai makan tengah hari. Terima kasih sekali lagi sebab sudah menjemput saya makan tengah hari bersama-sama... Sekarang, saya perlu kembali ke tempat latihan saya lagi. Selamat menjamu selera, PUTERI Meliani..."

Aubree mengatakan ayat terakhir yang ingin dia katakan sebelum dia berjalan keluar dari bilik itu. Sebelum berjalan jauh, Aubree berhenti di depan pintu bilik Meliani sebelum dia menoleh ke belakang, matanya melekat pada pintu bilik yang sudah ditutup. 'Hmm... Nasib baik dia tak letak racun dekat makanan tengah hari tu... Kalau tidak, entah apalah nasib saya kali ni...'

Setelah itu, Aubree berjalan pergi sambil memegang perutnya yang terasa kenyang. 'Erm, sedapnya makanan yang disediakan...'

***

***

Meliani yang sudah ditinggalkan oleh Aubree seorang diri di ruang tamu itu tidak lagi melanjutkan memakan makanan tengah harinya, melainkan hanya duduk diam sambil memandang ke depan.

Wajah cantiknya mempunyai kerutan di dahi, menunjukkan yang dia merasa tidak puas hati tentang sesuatu. Mesti ini berkaitan dengan perkara yang dibincangkan oleh Meliani dan Aubree tadi.

Meliani merasa dirinya diperbodohkan oleh Aubree. Pada mulanya, dia menyangka jika Aubree ialah seorang yang bodoh dan senang untuk dimanipulasikan tapi ternyata, gadis Elf itu lebih cerdik dari yang dikira.

Seorang pembantu Elf mendekati Meliani. "Puteri... Puteri tak apa-apa? Apa Puteri memerlukan hidangan lain?"

Meliani terus meletakkan sudunya ke atas pinggan. Dia berdiri dan berjalan masuk ke dalam biliknya semula.

"Saya sudah kenyang. Kamu boleh menyusun semula semua peralatan ni!"

Semua pembantu menjadi termangu-mangu dengan perubahan sikap yang mendadak dari Meliani.