Chereads / Aku Di Dunia Elf / Chapter 49 - Kawan Lama

Chapter 49 - Kawan Lama

Beberapa hari setelah Tuan Gildam pergi ke luar kawasan Menara Kristal untuk membuat misi, Aubree masih melanjutkan latihannya seperti yang disuruh.

Dan Elf yang disuruh oleh Tuan Gildam untuk memerhati dan menjaga Aubree ialah Hensel dan Dean tapi sepanjang masa, hanya Hensel yang akan menemani Aubree sepanjang masa latihan.

Aubree memilih untuk berlatih pedang pada pagi itu, jadi dia akan bergerak ke tepi sungai di mana kawasan itu menjadi tempat Aubree untuk berlatih pedang.

Hensel dan Dean tidak dapat menyertai mereka kerana mereka mempunyai tugas sebagai penjaga menara pada pagi ini.

Selama sejam Aubree berlatih mengayunkan pedang yang dibawanya dan tiada tanda untuk dia berhenti.

Aubree sangat fokus terhadap latihannya sehingga dia tidak sedar dengan seorang lelaki Elf dengan seragam biru sedang memerhati Aubree dari atas pokok.

Sekali sekala lelaki itu tersenyum saat melihat Aubree mengayunkan pedang sekuat hati.

Tidak lama kemudian, Aubree berhenti berlatih. Dia mengelap peluhnya dengan belakang tapak tangan kiri.

Aubree mendongak untuk memandang ke arah langit. "Panasnya... Nampaknya hari ini tidak akan hujan..."

Aubree berjalan menuju ke bawah pokok rendang di mana dia meletakkan barang-barangnya. Aubree mencapai botol minuman yang dia sangkutkan di dahan pokok.

Lelaki berseragam biru tadi tersenyum simpul saat dia melihat Aubree masih tidak menyedari kehadiran lelaki itu. Dia pun mengambil keputusan untuk turun dari atas pokok dan membiarkan Aubree melihatnya.

Saat Aubree melihat kelibat seorang lelaki Elf yang memakai seragam biru, dia terus tersedak dengan air yang diminumnya kerana terkejut.

Aubree terbatuk beberapa kali sambil menepuk dadanya. Dia memandang ke arah lelaki berseragam biru lagi sebelum dia melayangkan penumbuknya.

Kerana serangan mendadak dari Aubree, lelaki itu tidak sempat mengelak. Dia terjatuh ke atas tanah dengan suara erangan yang kecil.

Mendengar lelaki itu mengeluarkan suara, mulut Aubree terbuka luas.

Jari telunjuk diluruskan ke arah lelaki itu yang masih terduduk di atas tanah. "Kau— Kau betul-betul yang asli? Kau bukan ilusi?"

Aubree memandang lelaki itu dari atas ke bawah. "Issac Leo Elliot! Apa yang kau buat di sini?"

Issac yang sedang memegang pipinya yang terasa perit itu, mendongak ke arah Aubree yang sedang berdiri di depannya dengan wajah yang garang.

Dengan wajah selamba, dia berkata, "Wah, tak sangka saya boleh dengar kau sebut nama penuh saya pada hari pertama kita berjumpa hari ni..."

Aubree: "..."

"Saya tidak menyangka yang kau akan menyapa kawan lama kau dengan cara begini. Saya cuma datang nak bagi salam, kenapa kau tumbuk saya macam saya ni orang jahat pula?"

Dengan wajah bengang, Aubree menunjuk ke wajah Issac lagi. "Siapa kawan lama kau? Saya tidak pernah mengaku kau ni kawan saya!"

Issac tidak mempedulikan kata-kata Aubree. Sebaliknya, dia ketawa pula.

Issac mengangkat tangannya ke arah Aubree, seolah-olah dia ingin meminta sesuatu.

Aubree menaikkan keningnya ke arah Issac, bingung dengan apa yang ingin diminta oleh Issac. "Apa?"

"Tolonglah saya berdiri... Takkan kau nak biarkan saya duduk di sini selamanya?"

Aubree terus menapak dua langkah menjauhi Issac. "Kenapa saya perlu tolong kau pula? Tangan dan kaki kau tu bukannya patah, jadi kau masih boleh berdiri sendiri..."

Issac tidak mahu mengalah dan masih tetap mahu Aubree menolongnya. "Kau yang buatkan saya terjatuh tadi. Kau lupa? Kau yang tumbuk saya sampai jatuh..."

Aubree terdiam dengan kata-kata Issac. Dia berfikir sekejap dan merasa apa yang dikatakan oleh Issac itu ada betulnya juga.

Tadi, Aubree bukan sengaja mahu menumbuk Isaac tapi kerana dia terkejut melihat Issac yang tiba-tiba ada di sini membuatkan dia gelabah dan tidak sempat berfikir lagi.

Walaupun dia serba-salah, Aubree juga tidak rela mahu menolong lelaki itu.

Aubree melirik ke arah Issac secara diam-diam. Lelaki itu masih lagi duduk di atas tanah dengan santai. Nampak gayanya dia memang menunggu Aubree untuk menolong dia.

Wajah Aubree berubah menjadi kelam setelah menyedari perbuatan Isaac itu.

"Jadi, kau nak tolong saya atau tidak?" tanya lelaki itu dengan senyuman kecil di bibirnya. Dia terlihat seperti sedang menahan rasa tawanya.

Aubree berfikir untuk beberapa saat lagi sebelum dia mengambil keputusan untuk menolong Issac. 'Hanya fikirkan ini sebagai bayaran saya selepas tumbuk wajah dia tadi. Lepas ini, saya tidak perlu berhutang apa-apa lagi pada dia...'

Dengan keputusan itu, Aubree pun mendekati Issac lagi dengan keluhan kecil. Tangan kanan dihulurkan ke arah Issac.

"Sini..."

Issac tersenyum gembira dan terus memegang tangan Aubree.

Aubree menarik tangan Issac dan menolong lelaki itu berdiri tegak lagi.

Saat Isaac ditarik, dia mengambil kesempatan ini untuk membiarkan dirinya ditarik sehinggalah badannya hampir melekat di badan Aubree.

Aubree tidak menyangka yang Issac akan melakukan ini. Malah, dia langsung tidak bersedia dengan perbuatan Isaac. Matanya yang bulat itu memandang Issac yang sedang tersengih nakal.

Aubree menggetap giginya. "Kau..."

"Kita berjumpa kembali... Sudah lama saya tidak berjumpa dengan kau... Adakah kau baik-baik saja?"

"..."

Aubree tidak tahu hendak menyambung apa yang ingin dia katakan tadi atau menjawab soalan dari Issac. Kerana percakapannya dipotong oleh Issac, semua perkataan yang Aubree ingin katakan menghilang begitu saja.

Issac tersenyum lagi melihat wajah bingung Aubree. Dia sangat suka melihat wajah Aubree setiap kali raut wajah gadis itu berubah. Hanya itu saja yang mampu membuatkan senyuman di bibirnya muncul semula.

Semenjak dia berpisah dengan gadis itu beberapa minggu yang lalu, Issac tidak pernah berhenti berfikir mengenai gadis itu. Dia sentiasa berfikir bagaimana uniknya gadis ini ketika sedang beraksi atau bagaimana beraninya dia melawan setiap kali mereka bercakap antara satu sama lain.

Kali ini, dia mempunyai peluang untuk masuk ke Menara Kristal dan dia sangat gembira saat dia mengetahui yang dia boleh berjumpa dengan Aubree dan akan sentiasa melihat gadis itu lagi.

"Kau ni peliklah... Sekejap cakap ini, sekejap cakap itu... Ish, buat pening kepala saja!"

Aubree terus menolak dada Issac agar lelaki itu segera menjauh darinya. Dengan jarak yang sangat rapat diantara mereka, Aubree dapat merasakan nafas hangat lelaki itu di wajahnya membuatkan Aubree merasa tidak selesa.

Issac terundur dua langkah ke belakang namun sempat dia menarik tangan kanan Aubree semula. Dia terus mengangkat tangan kanan Aubree sehingga ke paras dada.

"Apa ni? Sejak bila kau ada bentuk ni di tangan kau?" tanya Issac sambil memandang ke arah tatu di tangan Aubree.

"Oh, ini... Ini ialah hadiah yang saya dapat dari Ahli Sihir Yang Tertua semasa saya datang sebulan yang lalu. Ahli Sihir Yang Tertua cakap, tatu ini berfungsi untuk mengunci kekuatan saya agar saya tidak menggunakan Kuasa saya untuk sementara waktu..."

Aubree menjawab dengan lancar saja tanpa menyedari yang tangannya masih dipegang oleh Issac.

Renungan mata Issac menjadi tajam dan wajahnya kembali menjadi dingin. "Mengunci kekuatan kau? Kenapa dia perlu mengunci kekuatan kau?"

Aubree hanya mengangkat kedua bahunya tanda tidak ambil kisah. Saat dia menyedari yang tangannya yang masih dipegang oleh Issac, dia segera menarik tangannya dan menyembunyikan tangannya di belakang.

Issac berpura-pura tidak melihat apa yang dilakukan oleh Aubree. Sebuah keluhan kecil dilepaskan.

"Oh ya, kenapa kau ada di sini? Macam mana kau boleh ada di sini?"

Issac memberikan senyuman manis terhadap Aubree. "Kau tak perlu tahu kenapa saya boleh ada di sini... Saya datang ke sini hanya kerana saya rindu dengan kawan lama saya..."

Aubree hampir saja terpukau dengan senyuman manis Issac yang sangat jarang ditunjukkan tapi perasaan itu segera hilang saat mendengar ayat terakhir Issac.

Dia terus berpeluk tubuh sambil mencebik. "Siapa kawan lama kau? Saya bukan teman lama kau... Kau boleh cari orang lain untuk jadi kawan kau..."

"Kalau kau tidak mahu jadi kawan saya, jadi kau nak saya panggil kau apa?"

Aubree menjeling Issac setelah mendengar soalan itu. "Kenapa saya perlu jawab soalan kau? Issh, ada-ada sajalah kau ni! Sudahlah, saya nak sambung latihan lagi..."

Aubree terus berjalan mendekati pedang yang dia letakkan di tepi batang pokok tadi. "Saya nak latihan lagi jadi kau boleh pergi... Saya tidak mahu diganggu semasa saya latihan..."

Setelah itu, Aubree pun berjalan ke kedudukan di tempat dia berlatih tadi.

Issac hanya memerhati Aubree dengan senyuman di wajahnya.

Sebelum dia berlatih, Aubree sempat menoleh ke tempat Issac berdiri tadi dan melihat lelaki itu sudah tiada di sana.

'Hmm, lari pun dia! Entah apalah yang dia buat di sini... Kacau orang saja tahu! Dasar putera muka ais!'

Tidak lama kemudian, bunyi pedang diayunkan di udara terdengar.

Tanpa Aubree sedari, di sebatang pokok yang berada tidak jauh dari Aubree berlatih, Issac sedang berdiri di atas dahan yang tersembunyi sambil memerhati Aubree berlatih.