Setelah Tuan Gildam datang, dia membawa Aubree pergi ke tempat lain lagi. Aubree mengucapkan selamat tinggal kepada Hensel dan Dean. Sepanjang masa dia berehat, dia tidak merasa bosan kerana Hensel dan Dean sering bercerita banyak perkara yang berkaitan dengan tempat ini.
Tuan Gildam membawa Aubree pergi ke sebuah padang yang kosong. Nampaknya padang itu dikosongkan hanya untuk Aubree.
Di tepi padang itu, terdapat sebuah meja kayu yang sangat panjang dan di atas meja itu terdapat pelbagai jenis senjata tajam, bermula dari pedang, kapak, panah, pisau, parang, cambuk dan banyak lagi.
Aubree yang melihat semua senjata itu menjadi teruja. Dia tidak sabar mahu menyentuh dan berlatih dengan semua senjata itu.
"Sebelum saya latih kamu untuk menggunakan semua senjata ini, saya akan melatih kamu agar fizikal kamu akan semakin kuat. Sebagai seorang penjaga Kristal Kehidupan, kamu mesti mempunyai kekuatan yang tinggi agar kamu boleh melawan Raja Kegelapan. Jika kamu berusaha keras, dalam masa yang singkat, saya akan ajarkan kamu untuk menggunakan semua senjata ini," ujar Tuan Gildam untuk menerangkan apa yang perlu Aubree lakukan setelah ini sebagai latihannya.
Aubree agak kecewa kerana dia belum boleh menyentuh mana-mana senjata tajam yang ada di atas meja sebelum latihan fizikalnya selesai. Tapi setelah Aubree mengingati jika latihan fizikal ini juga berfaedah untuk dirinya, rasa kecewa Aubree perlahan-lahan menghilang.
Aubree melirik ke arah senjata-senjata yang ada di atas meja. 'Apa gunanya semua senjata ni diletakkan di atas meja kalau tidak digunakan sekarang? Ceh!'
"Baik, kalau begitu... Saya mahu kamu melakukan larian di padang ini sebanyak 20 kali. Setelah itu, kembali ke sini untuk latihan kamu yang seterusnya."
Aubree mengangguk kecil sebelum dia memulakan lariannya. Baginya, larian mengelilingi padang sebanyak dua kali bukanlah perkara yang susah tapi mungkin buat masa sekarang agak sukar kerana tubuh badan Aubree yang masih lemah.
Tuan Gildam yang melihat Aubree sudah pun berlari, ingin menghentikan gadis itu lagi tapi akhirnya dia membiarkan saja Aubree melaksanakan latihannya.
Dahi Tuan Gildam berkerut kecil. 'Dia menerima semua arahan saya tanpa bantahan? Dia biar betul ni? Saya menyangka yang dia akan membantah arahan saya dan akan membuat kecoh? Boleh pula dia buat selamba? Macam mana saya nak tambahkan bilangan pusingan dia jika dia bersikap buat tidak tahu begini?'
Tuan Gildam berfikir yang dia boleh menambahkan jumlah larian Aubree untuk berlari mengelilingi padang jika Aubree tiba-tiba membantah arahannya. Memikirkan rancangan itu yang akan membuatkan Aubree menjadi terbeban membuatkan Tuan Gildam merasa senang di dalam hati.
Tapi kenyataannya, semua rancangan Tuan Gildam menjadi hancur hanya kerana Aubree yang hanya menuruti perintahnya tanpa mengatakan apa-apa.
Sikap Aubree yang selamba itu membuatkan Tuan Gildam merasa perit di dalam hati. Hatinya menjadi panas dan Tuan Gildam pun memandang Aubree dengan tajam.
Jelas sekali wajahnya yang muram saat merenung Aubree yang sedang berlari.
Tidak jauh dari padang itu, di sebuah lorong pejalan kaki yang di mana lorong itu telah pun dibina atap, seorang wanita Elf bermata biru sedang memandang Aubree dengan wajah yang sukar untuk dibaca.
"Puteri Meliani, cuaca hari ini sangat panas. Bagaimana jika Puteri kembali ke bilik Puteri untuk berehat?" ujar salah seorang dari empat orang pembantu yang berdiri di belakang Meliani.
Meliani tidak menjawab dan sebaliknya memandang sekejap pembantu itu sebelum dia memandang ke arah Aubree lagi.
***
***
Ketika matahari terpacak tegak di atas kepala, saat itulah Aubree berehat dari melakukan latihannya.
Tuan Gildam memberikan peluang untuk Aubree berehat dan sekali gus kembali ke biliknya untuk makan tengah hari.
Aubree yang masih tercungap-cungap di atas rumput itu hanya memandang ke atas. Cahaya matahari menyinari ke permukaan bumi melalui celah-celah daun pokok di tempat Aubree berehat.
"D*mn, saya tidak sangka pula badan ni sangat rapuh dan lemah macam ni? Saya belum buat banyak, badan ni rasa macam nak meletup saja..."
Aubree memegang bahu kanannya yang terasa sengal. "Aduh, sakitnya badan saya! Kalau beginilah keadaan badan saya, latihan fizikal saya mungkin akan dipanjangkan sehingga ke beberapa bulan lagi. Aiissh, menyusahkan!"
"Aubree!"
Aubree tidak perlu menoleh ke arah si pemilik suara yang memanggilnya kerana dia tahu hanya ada seorang saja Elf di seluruh tempat ini yang akan menyebut nama aslinya.
"Della, saya kan sudah cakap sebelum ni... Selagi kita masih ada di sini, kau kena panggil saya dengan panggilan Audrey. Kita tidak boleh biarkan sesiapa tahu siapa identiti saya yang sebenarnya..."
Della terkebil-kebil mendengar kata-kata Aubree. "Kau tidak pernah cakap pun..."
Aubree menoleh ke arah Della dengan wajah berkerut. "Tidak pernah kah?"
Della menggeleng dengan wajah naifnya.
Aubree menutup matanya sambil mengeluh kecil. "Kalau memang saya lupa beritahu kau, kau boleh fikir sendiri, kan? Tak perlulah saya beritahu kau semua perkara yang perlu kau lakukan atau tidak boleh selagi kita masih berada di sini... Selagi kita masih ada di sini, kau kena panggil saya Audrey... Dan saya akan panggil kau sebagai Della? Faham?"
Della menganggukkan kepalanya dengan laju. "Baik, baik... Saya faham. Saya datang ke sini untuk membawa kau pergi makan tengah hari. Guru yang mengajar kau ada beritahu saya untuk bawa kau pergi makan..."
Aubree menolak badannya ke atas dengan sokongan dari kedua-dua tangannya. Badannya terasa sangat berat dan lemah tapi memikirkan perutnya yang kelaparan, Aubree tidak peduli dengan kesakitan di seluruh badannya.
"Baik, jom kita pergi kembali ke bilik. Saya harus mandi dulu. Badan saya berbau peluh!" kata Aubree.
Della tersenyum gembira dengan kata-kata Aubree dan dia menolong Aubree untuk berdiri setelah dia melihat Aubree yang dalam kesakitan itu.
"Kau tak apa-apa, Audrey? Kau masih larat nak berjalan atau tidak ni?" tanya Della dengan wajah yang cemas.
"Teruk sangatkah latihan yang guru kau bagi pada kau sampaikan kau berjalan pun payah sangat? Isshh, jahat betullah guru kau tu! Kenapa dia perlu menyiksa kau sampai jadi begini?" Terdapat rasa marah yang bercampur dengan kata-kata Della itu.
Aubree tersenyum geli hati dengan kata-kata Della. Jika Tuan Gildam mendengar kritikan dari Della saat ini, Aubree yakin jika wajah Tuan Gildam akan menjadi masam mencuka.
"Jangan risau, Della... Ini bukannya teruk sangat. Saya belum biasa lagi melakukan latihan yang berat macam ini, jadi tentulah badan saya akan sakit. Selama ini, kerja saya hanyalah sebagai seorang pembantu rumah di kediaman Puteri Ketiga tu... Jadi tentulah badan saya akan sakit dengan semua latihan yang diberikan," ujar Aubree mahu menenangkan Della yang terlihat marah itu.
Mendengar kata-kata Aubree itu, Della menjadi senyap. Dia berfikir sejenak dengan apa yang dikatakan oleh Della dan berfikir jika apa yang dikatakan oleh Aubree itu ada benarnya juga.
Selama ini Aubree hanya melakukan kerja sebagai pembantu rumah, di mana peluang dia hendak berlatih seperti ini?
Dalam perjalanan mereka menuju ke bilik Aubree, seorang pembantu berhenti di depan mereka.
"Salam, Puteri Audrey. Pesanan dari Puteri Meliani berkata bahawa Puteri Meliani ingin menjemput Puteri Audrey untuk menjamu makan tengah hari bersama-sama di bilik Puteri Meliani."
Della yang mendengar bagaimana pembantu itu memanggil Aubree dengan panggilan 'puteri' membuatkan Della menjadi teruja.
Tapi itu bukan yang bermain di minda Aubree, melainkan 'makan tengah hari bersama-sama Puteri Meliani'.
'Puteri Meliani? Ajak saya makan tengah hari bersama-sama...? Hmm, mungkin ini biasa-biasa saja sebab mungkin Meliani mahu berkenalan dengan saya. Tapi kerana muka dia sama macam Lucy, saya tidak boleh berhenti daripada mencurigai dia...'
Aubree mengangguk dengan wajah tenang dan selamba. "Baik, saya faham. Terima kasih atas pesanannya. Saya akan perlu kembali ke bilik saya dulu untuk menukar pakaian saya... Beritahu Puteri Meliani jika saya akan lambat sedikit."
Pembantu tadi menunduk sekali sebagai tanda hormat. "Baik, Puteri Audrey."
Aubree mengecilkan matanya memandang pembantu itu. 'Hmm, ada sesuatu yang mencurigakan...'