Setelah masalah yang ada di ladang anggur itu diurus, Issac bersama dengan yang lain kembali ke kediaman Putera Ketiga. Ketika mereka tiba di sana, Putera Kilan sedang menunggu mereka di ruang tamu dengan wajah cemas.
Setelah melihat kehadiran Issac, Kilan mendekati Putera Pertama itu untuk meminta jawapan. Namun belum sempat dia membuka mulut mahu bertanya Issac, matanya tertumpu ke arah ahli sihir Elf yang berdiri beberapa inci saja dari belakang Issac.
"Angela, kau juga datang ada di sini?" tanya Kilan dengan nada suara ceria.
Aubree yang masih bersama dengan mereka itu hanya merungut dalam hati. 'Oh, yalah. Saya lupa pula kalau kerabat diraja ini akan menggunakan bahasa tidak rasmi jika mereka bercakap dengan kawan-kawan mereka.'
Angela tersenyum lembut ke arah Putera Kilan lalu dia menunduk sebagai tanda hormat kepada Putera Ketiga Kerajaan Barat itu. "Salam hormat, Yang Mulia Putera Ketiga."
Kilan terus ketawa sambil menganggukkan kepalanya beberapa kali. "Ya, ya, ya... Sudah lama kita tidak berjumpa. Bagaimana dengan keadaan kau dan keluarga kau? Semuanya sihat?"
Angela tersenyum lagi melihat sikap ramah Kilan. Putera Ketiga ini selalu melayan Angela dengan baik dan lembut, bukan seperti lelaki yang ada di dekatnya sekarang ini. Dua puluh empat jam pasang muka ais...
"Ya, saya dan keluarga saya sihat-sihat saja, Kilan. Bagaimana dengan kau dan keluarga kau?"
Kilan hanya mengangguk. "Saya dan keluarga saya juga sihat-sihat saja..."
"Marilah duduk dulu..." Kilan pun mempelawa para tetamunya untuk duduk. Setelah itu, dia mengarahkan pembantu rumah yang lain untuk menyediakan hidangan.
Aubree dan yang datang bersama Issac tadi segera mengundurkan diri dari sana untuk memberi peluang kepada tiga orang Elf itu berbual sendiri.
Aubree pergi ke kawasan yang sunyi sedikit. Setelah itu, dia pun mengurut dadanya kerana lega. Lega kerana dia tidak perlu berpura-pura berlakon sebagai pembantu rumah.
Aubree pun merasa penat kerana sepanjang hari hanya memasang wajah tidak berperasaan. Sebagai seorang pembunuh upahan, Aubree lebih suka memandang orang lain dengan sengihan yang mengerikan dan sekarang bila Aubree tidak dapat menggunakan senyuman itu lagi, Aubree merasa penat dan bosan.
Aubree menendang batu yang ada di dekatnya. "Aish, kalaulah saya boleh keluar dari sini secepat mungkin. Saya tidak perlu menghadapi mereka lagi..."
"Duit... Saya perlukan duit..."
Aubree berjalan mundar-mandir di sana sambil berfikir bagaimana caranya agar dia boleh mendapatkan duit dalam masa yang terdekat.
"Harimau tu pun tak berguna. Datang nak beritahu kalau saya ini Permaisuri mereka tapi langsung tidak tolong berikan saya duit! Pengikut macam mana Haiwan Sakti tu, langsung tak nak tolong saya...Peih!"
Aubree berfikir untuk pergi saja ke Black Market. Aubree sangat yakin dengan kemampuan ilmu bela diri miliknya dan dapat mengumpulkan duit sebanyak 100 Koin Emas dalam masa yang terdekat.
Aubree berdiri bawah sepohon pokok sambil berfikir tentang rencananya. Apa yang Aubree tidak sedar ialah ada seorang lelaki Elf sedang duduk di atas dahan pokok tepat di mana Aubree sedang berdiri.
Bukan Aubree tidak sedar, tapi kerana tingkat kekuatan lelaki Elf itu sangat tinggi sampaikan Aubree yang mempunyai deria tajam pun tidak sedar lelaki Elf itu ada di sana.
Mendengar ada orang lain berada di kawasan itu selain dia, mata Elf itu yang pada mulanya tertutup, terbuka perlahan-lahan, mempamerkan sepasang anak mata yang indah berwarna kuning.
Elf itu memandang ke bawah dan melihat Aubree yang sedang berjalan ke kiri dan ke kanan sambil bercakap tentang sesuatu. Lelaki Elf ini tidak dengar apa yang dikatakan oleh Aubree kerana Aubree bercakap dengan suara yang sangat perlahan.
Lama dia memerhati Aubree yang kelihatan sedang memikirkan sesuatu. Lelaki Elf itu berfikir mahu diam dan memerhati saja Aubree sampailah Aubree pergi sendiri.
Namun ketika Aubree menoleh ke arahnya dengan sebuah jelingan yang tajam, dia terkejut kerana dia tidak menyangka yang Aubree akan menyedari kehadiran dia di atas pokok itu.
Dahan tempat dia berehat agak terlindung dengan daun-daun pokok yang lebar dan lebat, jadi tidak mungkin pembantu biasa akan dapat mengesan kehadiran dia di atas dahan itu.
Tidak, bukan itu masalahnya. Masalahnya, macam mana pembantu biasa macam Aubree boleh mengetahui kehadiran lelaki Elf ini sedangkan dia sudah menyembunyikan dan menutupi jejaknya seratus-peratus supaya tiada yang menyedari yang dia ada di sana.
Aubree menatap ke arah pokok itu untuk beberapa minit sebelum dia memandang ke tempat lain. Aubree merasa Elf yang bersembunyi di atas dahan itu mempunyai kekuatan yang tinggi, tidak kira jika dia mempunyai elemen dunia atau ilmu bela diri tapi yang pasti, Elf itu sangat kuat.
'Ah, mampus saya! Kenapa saya tengok dengan pandangan maut saya? Kalau dia tahu yang saya ni ada kemampuan ilmu bela diri, mampus saya! Harap saja dia bukan seseorang yang mempunyai hubungan rapat dengan mana Putera Elf dari sini. Kalau tidak susah pula saya nak lari nanti...'
'Aish, kenapa saya boleh jadi cuai macam ni?'
Aubree tidak lagi memandang ke arah pokok itu untuk kedua kali dan berjalan meninggalkan tempat itu. Dia mahu mencari tempat lain yang sunyi supaya dia boleh menyusun rancangannya untuk mengumpukkan Koin Emas.
Lelaki Elf tadi memandang Aubree sehinggalah Aubree hilang di sebalik pokok-pokok bunga. Hanya setelah Aubree hilang barulah dia melarikan pandangannya ke tempat lain. Tapi fikirannya masih lagi memikirkan tentang jelingan maut yang diberikan oleh Aubree tadi.
Jelingan itu bukan jelingan biasa, melainkan sebuah jelingan waspada. Tidak mungkin seorang pembantu biasa dapat melakukan jelingan seperti itu... Atau semua pembantu rumah di kediaman Putera Ketiga ini mempunyai kemampuan seperti ini?
Kerana tidurnya sudah terganggu, lelaki Elf itu tidak lagi mahu tinggal di sana. Dia melompat turun dari atas dahan itu ke atas tanah. Setelah dia membersihkan bajunya dari daun dan memperbetulkan keadaan bajunya, barulah dia berjalan menuju ke ruang tamu di mana Kilan berkumpul bersama yang lain.
"Oh, hai Issac... Kau sudah pulang rupanya. Jadi, macam mana dengan pekerjaan di ladang anggur tu? Ada apa-apa yang menarik yang kau boleh kongsikan kepada saya?" Lelaki Elf itu terus duduk di sebelah Issac sambil memandang Issac dengan sengihan lebar.
Issac yang sedang minum teh dengan tenang itu, memberikan pandangan dingin kepada lelaki Elf itu. "Saya sudah ceritakan masalah ini kepada Kilan dan saya tidak akan ulang sekali lagi..."
"Alah, kau ni... Saya cuma tanya saja, tak perlulah kau tunjukkan muka marah kau." Lelaki Elf bermata kuning itu ketawa lagi sambil menepuk bahu Issac beberapa kali.
Issac yang memang terkenal dengan sikap dinginnya hanya memandang tangan lelaki Elf itu di atas bahunya dengan wajah yang semakin kelat.
"Jake, kau ke mana saja seharian ni? Lepas kau tiba di sini dengan Angela, kau tidak terus berjumpa dengan saya. Malah kau tinggalkan Angela seorang diri pula mencari Issac," kata Kilan.
Lelaki Elf bermata kuning tadi hanya tersengih mendengar soalan Kilan. Dia ialah Jake Alexius, Putera Kelima dari Kerajaan Elf Selatan. Dia memiliki Kuasa Api dalam Level 8. Selain itu, dia juga merupakan sahabat kepada Kilan dan Issac.
"Saya cuma nak bersiar-siar di kota ini sahaja. Sudah lama saya tidak datang ke sini," jawab Jake dengan selamba. Dia merenung pembantu rumah di depannya yang saat itu sedang menuangkan teh untuk Jake.
"Tipu, saya tahu kau sengaja tinggalkan saya kerana kau nampak ada Elf wanita cantik di tengah jalan tadi. Semua orang tahu kalau kau ini jenis kaki perempuan," Angela terus menghentak meja dengan tangan kirinya sebelum dia menudingkan jarinya ke wajah Jake.
Jake sekadar tertawa kecil. "Angela, kita ada di Kerajaan Barat sekarang ini. Jangan rosakkan nama saya di tempat ini sebagaimana kau sudah rosakkan nama saya di Kerajaan saya sendiri..."
Angela berpeluk tubuh dan memalingkan wajahnya ke tempat lain. "Hmmph! Sudah perangai kau yang tidak baik! Sudahlah kaki perempuan, tiap-tiap hari cari wanita dan bawa mereka minum arak bersama..."
"Kalau kau tidak berhenti bercakap, saya juga akan bocorkan rahsia kau di depan semua orang," Jake tidak suka mendengar Angela berkata buruk mengenainya dan dia tidak mahu mengalah. Jadi, dia juga harus berbuat benda yang sama seperti apa yang Angela lakukan.
Kata-kata Jake itu berhasil membuatkan Angela menoleh ke arah Jake semula. "Kau--"
"Kau yakin kau nak saya ceritakan pada semua orang? Sedangkan Issac pun tidak tahu apa yang akan saya beritahukan ni."
Wajah putih berseri milik Angela bertukar menjadi merah. Dia terus berdiri dan memandang Jake dengan wajah berang. "Kalau kau keluarkan satu perkataan pun tentang itu, saya akan sumpah kau jadi batu!"
Jake tergelak besar kerana melihat wajah berang Angela. "Wah, kau nak sumpah saya jadi batu? Kau tidak takutkah dihukum oleh Yang Mulia Raja Kerajaan Selatan? Lagipula, saya ialah Putera Kelima dari Kerajaan Selatan..."
Melihat dia sudah tidak mampu melawan Jake, Angela terus memandang Jake dengan wajah marah. Dia sungguh tidak suka jika lelaki itu ada di ruang yang sama dengannya kerana mereka akan sentiasa berperang mulut.
"Kau--"
"Baik, cukup... Saya tidak mahu pula kediaman saya bertukar menjadi medan peperangan kamu berdua. Ini kediaman saya dan saya tidak benarkan sesiapa pun bergaduh di tempat ini. Lebih baik kamu berdua duduk diam dan jangan bergaduh lagi," tegur Kilan yang sudah tidak tahan melihat perbalahan diantara dua orang kawannya itu.
Berbanding dengan Kilan, Issac hanya bersikap tidak ambil peduli dan hanya meminum tehnya.