Pada malam yang tenang itu, di sebuah kediaman yang bersebelahan dengan kediaman Putera Ketiga, cahaya lampu berasal dari lilin masih menerangi kawasan itu.
Angela meletakkan pemegang lilin yang dibawanya dari ruangan sebelah ke atas sebuah meja. Dia tersenyum dan memandang ke arah Issac yang sedang menopangkan kepalanya dengan menggunakan tangan kiri.
Issac terlihat tenang dan santai tapi aura dingin dan mengerikan masih terpancar keluar dari dalam badannya.
"Malam ini sangat sejuk. Kau mahu saya hidangkan teh dan beberapa biskut manis?" Dengan suara lembut, Angela bertanya kepada lelaki Elf yang sedang menutup matanya.
Kediaman yang mereka diami sekarang ialah kediaman yang bersebelahan dengan rumah Putera Ketiga. Kerana mereka adalah tetamu kehormat Kilan, mereka akan menetap di kediaman ini buat sementara waktu.
Sebaik saja Issac tiba di kediaman ini tadi, tiada benda lain yang dia lakukan selain duduk dan menutup matanya, seakan-akan tidak mahu diganggu dengan dunianya sendiri.
Angela yang ingin meluangkan masa yang ada ini dengan Issac pun merasa dua hari, sama ada ingin berbual dengan Issac atau tidak. Kerana Angela memahami Issac, Angela tahu jika lelaki Elf berwajah dingin itu sudah pun duduk dan menutup matanya, dia tidak ingin diganggu oleh sesiapa.
Jake pula sudah hilang entah ke mana selepas dia tiba di sini tapi tidak perlu diteka lagi ke mana lelaki itu akan pergi. Selalunya, jika ada masa terluang, lelaki Elf itu akan pergi ke tempat yang mempunyai ramai wanita Elf.
"Tak perlu..." Hanya dua patah perkataan saja yang diucapkan oleh Issac.
Angela tersenyum manis, meskipun Issac tidak melihatnya. "Baiklah... Kalau macam tu, saya akan temankan kau sampai kau masuk tidur."
Issac tidak bercakap lagi dan hanya tetap menutup matanya, malas mahu mengambil kisah dengan kehadiran Angela.
Meskipun Angela merasa sedikit kecewa dengan sikap Issac yang tidak peduli itu, Angela tetap duduk di kerusi yang berdepan dengan Issac.
Pada masa yang sama, mata Angela tertancap ke arah sebatang anak panah yang berwarna putih. Dahi Angela berkerut kerana dia kenal dengan anak panah itu.
Anak panah itulah yang diminta oleh Issac untuk mencari di mana tuan empunya anak panah itu berada. Angela merasa terkejut bila dia mengetahui jika panah ini mempunyai sihir yang lebih kuat dari sihirnya sehingga Angela tidak mampu mengesan siapa pemilik panah itu.
Angela menjadi marah kerana dia tidak mampu membuktikan kepada Issac dengan kemampuannya. Jika saja Angela dapat mematahkan sihir di sebalik anak panah itu dan memberitahu Issac siapa pemiliknya, tentu saat ini Issac akan berbual dengannya.
Dan sekarang, kerana kegagalan Angela, anak panah itu berada di atas meja berdekatan dengan Issac. Ini menunjukkan yang Issac tidak akan mengalah sehinggalah dia mengetahui siapa pemilik di sebalik anak panah itu.
Hati Angela merasa pedih namun dia cepat-cepat menutup rasa terkilannya. Pandangan Angela melekat di wajah lelaki Elf tampan berwajah dingin itu lagi.
"Kau masih nak cari pemilik panah ni? Apa yang pemilik panah ni buat pada kau sampaikan kau tidak mahu mengalah mencari dia?"
"Dia penyelamat saya... Jadi saya harus mencari dia supaya saya dapat mengucapkan terima kasih kepada dia..."
Jawapan dari mulut Issac itu membawa seribu kerutan di dahi Angela. 'Penyelamat? Issac berusaha mencari pemilik anak panah ni hanya sekadar untuk berterima kasih? Kenapa dia perlu berusaha keras? Selama ini, jika ada orang yang menyelamatkan dia, dia hanya akan menganggap masalah itu sebagai angin saja... Tapi kenapa sekarang?...'
"Bagaimana dia boleh selamatkan kau? Kenapa saya tidak tahu? Ada apa-apa yang terjadi pada kau sebelum ini?" tanya Angela dengan wajah risau.
"Itu bukan masalah besar. Rombongan saya diserang dengan tentera Kegelapan semasa hari pertama saya ke sini dan pemilik panah ini yang telah menolong saya," jawab Issac lagi tanpa membuka matanya.
Angela berfikir tentang jawapan itu. "Oh, begitu ya..."
"Jadi, kalau macam tu, sekiranya saya berjumpa dengan penyelamat kau itu, saya juga akan mengucapkan terima kasih kepada dia. Tapi kenapa dia melarikan diri selepas menyelamatkan kau? Takkan dia tidak mahu diberi hadiah selepas menyelamatkan Putera Ketiga dari Kerajaan Elf Timur..."
Angela terus bercakap tanpa memandang ke arah Issac. Tangannya sibuk bermain dengan hujung lengan baju yang labuh sambil mulutnya terkumat-kamit bercakap.
Tiba-tiba, mata Issac terbuka dengan cepat.
Tanpa berkata apa-apa, Issac segera berdiri dan berjalan meninggalkan ruangan itu.
Angela yang masih bercakap itu menjadi tercengang-cengang melihat Issac berlalu pergi begitu saja tanpa mengatakan apa-apa.
"Eh, Issac... Kau nak pergi tidur sudah? Tapi saya belum habis bercakap dengan kau..."
Dengan sikapnya yang dingin, Issac mengabaikan Angela dan berjalan pantas di sepanjang koridor menuju ke bilik tidurnya.
Angela cuba mengejar langkah kaki Issac yang pantas itu sehingga dia hampir terjatuh berkali-kali kerana terpijak skirt bajunya yang labuh.
"Issac, tunggu!"
Setelah Issac tiba di depan pintu biliknya, Issac terus membuka pintu biliknya. Issac melangkah masuk ke dalam dan memeriksa seluruh kawasan biliknya.
Tidak lama kemudian, Angela masuk dalam keadaan termengah-mengah. Melihat Issac sudah masuk ke dalam biliknya dalam keadaan yang mencurigakan, Angela tidak jadi mahu berehat sekejap.
Ahli sihir Elf itu terus menghampiri Issac. "Kenapa? Ada Elf masuk ke sini? Ada pencuri?"
Issac mendekati katilnya dan memeriksa tempat anak panah yang dia letakkan di tepi katil, khas untuk menempatkan anak panah yang dia kumpulkan tadi siang.
Melihat tempat itu sudah kosong, Issac terus bergerak menuju ke jendela besar di biliknya. Pada masa yang sama, Issac melihat ada bayang hitam sedang melompat dari atas atap kediaman ini menuju ke pokok bunga besar yang ada di taman bahagian tengah.
Mata Issac bersinar dengan maksud yang dalam dan dia juga ikut melompat keluar dari jendela itu dan mengejar bayangan hitam tadi.
Angela yang masih bingung dan tidak tahu apa-apa itu, menjerit memanggil nama Issac namun tidak dipedulikan. 'Dia ni! Dia nak ke mana sebenarnya ni? Kenapa dari tadi dia asyik bersikap pelik?'
Walaupun Angela bingung dan geram kerana Issac mengabaikannya, dia hanya mampu mengikuti lelaki Elf itu kerana dia takut terjadi apa-apa yang buruk berlaku kepada Issac.
Angela mengangkat tangan kanannya dan membaca satu mantera pendek. Dalam sekelip mata, sekepul awal putih, muncul di depan Angela. Angela segera melompat naik ke atas kepulan awan itu dan mengejar Issac.
...
Aubree sudah jauh dari bilik Issac setelah dia berjaya mencuri semua anak panah yang disimpan oleh Issac.
Melihat semua anak panah yang berhasil dia ambil kembali sudah ada di tangannya, membuatkan senyuman bangga muncul di bibir Aubree.
Aubree masuk ke sebuah kawasan hutan yang berhampiran untuk bersembunyi. Di tepi sungai yang berdekatan, akan ada White yang sedang menunggu.
Namun belum sempat Aubree melangkahkan kaki masuk ke dalam hutan, deria keenam Aubree segera mengesan kehadiran orang asing di sekitarnya.
Aubree berhenti melompat dan sekarang dia berdiri di atas sebuah dahan pokok. Dengan sekali ayunan tangan, anak mata Aubree bertukar menjadi hijau. Pada masa yang sama, wajah Aubree juga mula berubah bentuk dan wajah asli Aubree tadi sudah pun bertukar menjadi wajah yang tidak dikenali. Malahan, bukan saja imej Aubree yang berubah tapi identiti jantinanya juga berubah.
Aubree bertukar dari wanita Elf menjadi seorang lelaki Elf.
Aubree bersandar pada pokok itu sambil berpeluk tubuh. Dengan santainya Aubree menunggu sehinggalah Issac tiba tidak jauh dari Aubree.
Melihat bayangan hitam tadi berhenti dan menunggu dia di atas dahan pohon dengan gaya santai, membuatkan Issac menaikkan keningnya. Dia merasa hairan dan pada masa yang sama tertarik dengan bayangan hitam itu.
Issac tidak menyangka jika bayangan hitam yang dikejarnya tadi akan berhenti dan menunggu kedatangan Issac dengan gaya santai, seolah-olah tidak takut pun jika Issac akan menangkap dia.
Aubree memandang tepat ke anak mata Issac. Dia tersenyum kecil. "Ah, sampai pun kau..."
Kata-kata itu membuatkan Issac sekali lagi mengangkat keningnya. Meskipun dia tertarik dengan identiti Elf yang ada di depan matanya saat ini, namun wajah Issac masih menunjukkan wajah dingin dan tidak berperasaan.
Di sisi lain, Aubree sudah pun mengutuk Issac sepuas hatinya setelah melihat wajah tidak berperasaan lelaki dingin tersebut. 'Dia ni tidak penatkah asyik dengan muka tidak berperasaan saja? Saya pula yang bosan tengok muka kau. Silap hari bulan, calon isteri kau pun lari tengok muka kau macam ni...'
Mata Issac melekat pada panah yang dipegang oleh Aubree sebelum dia memandang ke wajah Aubree lagi. "Kau pemilik panah ni?"
Aubree terus mengangkat tangannya ke udara. "Sudah jelas saya pegang panah ni, memanglah saya punya? Kenapa kau tanya lagi?"
"Betulkah ini kau punya? Buktikan kepada saya?"
Aubree terus ketawa mendengarnya. "Bukti? Kenapa saya perlu buktikan kepada kau? Tiada apa yang perlu saya buktikan kepada kau. Saya cuma datang untuk ambil balik hak milik saya..."
"Kenapa kau lari selepas kau tolong saya hari itu?"
"Kenapa saya perlu tinggal di sana? Saya hanya nak tolong... Saya tak nak buat benda lain selain dari itu," jawab Aubree selamba.
Issac terdiam sambil dia memandang ke arah Aubree. Dia menjadi semakin tertarik dengan peribadi Elf yang tidak dikenali ini.