TAK!
PAAKK!!
"Aduh!" Aubree mengerang kesakitan apabila badannya ditolak ke arah rak yang ada di belakangnya. Kerana belum bersedia, Aubree terjatuh di atas tanah dalam keadaan melutut.
Beberapa orang pembantu Elf yang diketuai oleh Viana menghampiri Aubree dengan senyuman sinis di wajah mereka.
Saat ini, Aubree sudah pun dibawa ke stor yang terpencil dan sunyi ini oleh Viana dan pembantu-pembantu yang lain.
Viana mengangkat kakinya dan menginjak tangan kanan Aubree yang ada di atas tanah.
Aubree mengerang kesakitan dan dia terus menolak Viana ke belakang.
Viana terundur ke belakang dan dia agak terkejut bila mengetahui yang Aubree sangat kuat. Namun tidak lama kemudian, dia menjadi marah pula. Viana mengangkat tangannya dan terus menampar pipi kanan Aubree.
Aubree menggigit bibirnya menahan marah. Dia menutup matanya beberapa saat untuk bersabar sebelum dia memandang Viana dengan pandangan tajam.
"Dasar pembantu tidak sedar diri! Sejak Yang Mulia Putera Kilan tidak suka pada kau, sekarang kau mahu beralih kepada Yang Mulia Putera Issac pula? Kau ingat kau cantik sangat sampai tak sedar diri nak pergi menggoda Putera Pertama tu. Dalam mimpi!"
"Hei, apa ni? Saya mana ada menggoda Putera Pertama tu... Kamu semua yang sebarkan berita buruk tentang saya!" bentak Aubree.
"Kau ingat saya nak percaya dengan ayat murahan kau tu? Hei, semua orang tahulah yang kau ikut dengan Putera Issac untuk meronda hari ini dan kau ambil kesempatan ini untuk menggoda Putera itu... Sedangkan Ahli Sihir Angela pun bercakap benda yang sama pasal kau!" Viana dengan sinisnya berkata.
Beberapa orang pembantu Elf yang ada di belakang Viana hanya tertawa mengejek melihat keadaan Aubree.
"Saya tak suruh pun kau untuk percaya tapi saya sarankan kepada kau untuk mencari jawapan yang sebenar sebelum kau menuduh saya seperti ini," kata Aubree, masih mahu bersabar.
Aubree tahu keadaan sudah semakin memburuk jika Viana dan pembantu lain menyerang dia. Aubree tidak mahu perkara ini menjadi lebih teruk dari yang sekarang.
Dengan wajah mengejek, Viana tersengih ke arah Aubree. "Tak kisah jawapannya seperti apa. Saya memang tidak pernah suka pada kau jadi kenapa saya perlu susahkan diri untuk mencari jawapan yang sebenar? Hanya buang masa saya nak buat benda tu..."
"Kau akan menyesal sebab buat benda ini pada saya..." Dari wajah Viana, Aubree memandang pula wajah setiap pembantu satu-persatu. "Kamu semua akan menyesal!"
Pandangan Aubree sangat menggerunkan sehingga membuatkan semua orang yang ternampak Aubree akan merasa takut pada Aubree.
Namun bagi Viana, amaran itu cumalah sekadar gertakan Aubree untuk membuatkan Aubree terlepas daripada masalah ini.
Viana mengangkat tangannya lagi, mahu menampar Aubree sekali lagi. Dia mahu Aubree sedar yang pembantu hodoh dan lemah seperti dia tidak pantas memberikan gertakan kepada orang lain.
Selain itu, jika Viana mahu membuli Aubree, tidak akan ada orang yang mahu mempertahankan Aubree. Yang Mulia Putera Issac? Lelaki dengan personaliti dingin dan tidak pernah ingin bergaul dengan wanita itu ingin melindungi Aubree yang hodoh dan lemah ni? Jangan harap!
Lainlah kalau Viana. Dia boleh melakukan apa saja kepada pembantu Elf yang mempunyai jawatan lebih rendah dari dia kerana Viana mempunyai Puteri Katy untuk melindunginya.
Sekadar pembantu seperti Aubree, Viana boleh lenyapkan bila-bila masa saja.
Aubree tahu Viana akan terus menyerangnya jadi dia sudah lama mempersiapkan dirinya. Melihat Viana sudah mengangkat tangannya, Aubree tidak ragu-ragu lagi untuk mengangkat kaki dan menendang perut Viana.
Viana terus terundur ke belakang dan terlanggar rak-rak yang ada di sana. Viana mengerang kesakitan kerana belakangnya yang terhentak benda keras.
Pembantu-pembantu yang lain terlopong dengan mulut yang besar ketika mereka melihat kekuatan Aubree. Mereka tidak menyangka yang Aubree boleh melawan Viana.
Viana menjadi marah. 'Berani dia melawan saya! Dasar pembantu hodoh tak sedar diri!' Dia memandang ke arah pembantu yang lain. "Apa yang kamu semua buat berdiri saja di sana? Pukul pembantu ni, biar dia sedar sikit siapa diri dia yang sebenar!"
Mendengar arahan dari Viana itu, semua pembantu beramai-ramai mendekati Aubree dan mula menyerang dia.
Aubree agak kelam-kabut. Dia masih tidak pasti sama ada dia perlu melawan mereka atau membiarkan saja mereka menyerang Aubree. Jika Aubree melawan, masalah ini akan menarik perhatian Issac dan Putera lain dan Aubree tidak mahu perkara itu terjadi.
Tapi jika dia tidak melawan, Aubree akan dibelasah teruk oleh mereka.
'Ah, tak kisahlah saya nak lawan atau tidak. Saya cuma nak hidup dengan tenang saja tapi masih ada juga yang sibuk nak cari masalah!'
Aubree mengelak setiap serangan mereka dan menolak setiap dari pembantu rumah itu ke belakang. Aubree tidak menyerang mereka dengan teruk kerana dia tidak mahu disoal-siasat pula nanti. Lagipun, siapa yang percaya jika pembantu biasa mempunyai ilmu bela diri yang tinggi, kan?
Di tengah-tengah kekacauan itu, terdengar suara lelaki menyergah semua orang yang ada di dalam stor itu. Serta-merta, semua orang berhenti bergerak dan memandang ke pintu, mencari tahu siapa yang datang.
Nathan bersama dengan tiga orang Pengawal Elf pagi. Nathan melihat Aubree di tengah-tengah kerumunan orang dan sedang bergelut dengan pembantu Elf yang lain.
Dengan wajah marah, Nathan memandang semua Elf yang ada. "Apa yang terjadi di sini? Kenapa kamu semua menyerang dia?"
Semua pembantu Elf itu memandang diantara sesama dengan wajah ketakutan. Perbuatan mereka ini dilakukan dengan senyap tanpa pengetahuan sesiapa. Perbuatan ini juga salah dan tidak dibenarkan di kediaman ini. Jika ada yang didapati bergaduh di dalam kediaman Putera Kilan, mereka akan dihukum dengan hukuman berat.
Nathan mendekati Aubree yang sedang memegang tangan seorang Elf. Keadaan itu seolah-olah menunjukkan yang Aubree sedang mempertahankan dirinya daripada ditampar. Nathan memandang wajah pembantu Elf yang dipegang oleh Aubree.
Melihat renungan tajam dari Nathan membuatkan Elf itu ketakutan dan segera menarik tangannya. Dia juga berundur ke belakang dan berselindung di sebalik badan pembantu Elf yang lain.
"Kami... Kami tidak buat apa-apa. Kami cuma nak bertanya sesuatu terhadap dia," jawab salah seorang dari pembantu itu.
"Kamu fikir saya akan percaya. Kalau kamu mahu bertanya dia soalan kenapa kamu harus bertanya di tempat yang sempit dan terpencil ni?" kata Nathan.
Soalan itu bukan saja membuatkan semua pembantu Elf merasa resah tapi juga merasa terkedu. Mereka tidak tahu hendak menjawab apa.
"Pembantu ini sudah bertindak tidak sopan terhadap Putera Kerajaan... Dia mencuba untuk menggoda Yang Mulia Putera Issac sebab itu kami mahu memberi dia sedikit pelajaran, supaya dia sedar yang dia itu sekadar pembantu biasa," salah seorang dari Elf itu berkata dengan suara yang marah dan kesal. Dia juga sempat memberikan pandangan meluatnya terhadap Aubree.
Nathan memandang pembantu Elf yang sudah menjawab tadi. "Kamu menuduh dia begitu, jadi kamu mempunyai bukti untuk membuktikan yang dia sudah melakukan perkara itu?"
Mendengar bagaimana Nathan bercakap tentang bukti, membuatkan pembantu yang lain marah. "Jadi, kamu boleh buktikan kepada kami jika pembantu ni tidak bersalah atau tidak?"
"Kamu harus berikan saya bukti dulu jika benar dia melalukan perkara itu terhadap Putera Kerajaan. Dan jika memang betul dia bersalah, bukan tempat kamu semua untuk menentukan nasib dia. Sepatutnya perkara ini dilaporkan kepada Yang Mulia Putera Ketiga, kenapa kamu semua mengambil tindakan begini?"
Semua pembantu Elf itu saling berpandangan. Mereka tahu mereka juga salah kerana sengaja mahu menyerang Aubree tapi mereka sangat marah terhadap Aubree kerana gosip yang mengatakan dia mencuba untuk menggoda Putera Kerajaan. Mereka mahu membelasah Aubree sendiri dulu sebelum dia dihukum oleh Putera Ketiga nanti.
Melihat tiada pembantu yang maju ke depan untuk memberikan bukti kepadanya membuatkan Nathan mengeluh kesal. "Sudah, perkara ini jangan diungkit lagi. Apa pun yang berlaku di kediaman ini, biarkan Putera Ketiga yang tentukan. Jangan kamu menghukum orang lain tanpa bukti!"
Nathan berpaling dan bersedia untuk beredar. Bila dia melihat Aubree masih tidak mahu mengikutinya, Nathan berhenti dan dia memandang ke arah Aubree.
"Kau mahu ikut saya atau kau mahu tinggal di sini?" tanya Nathan.
Aubree yang memang mahu melarikan diri dari tempat ini tidak teragak-agak lagi untuk mengikuti Nathan. Sepanjang masa dia berjalan ke pintu bersama Nathan, dia menerima pandangan tajam dari seluruh arah tapi Aubree buat tidak nampak. Lagipun, dia bukannya takut dengan mereka.
Setelah mereka keluar dari stor itu, Nathan berhenti dan Aubree juga ikut berhenti.
Aubree tersenyum ke arah Nathan. "Terima kasih sebab sudah tolong saya tadi. Saya tidak tahu bagaimana mahu membalas budi kau..."
Nathan tersenyum kecil sambil menggaru kepalanya. "Saya cuma nak tolong kau. Lagipun, kawan kau pun cakap dengan saya untuk menolong kau..."
Kening Aubree berkerut dengan wajah kebingungan. "Kawan saya?"
Serentak dengan itu, seorang Elf wanita keluar dari sebalik batu yang besar dan segera memeluk Aubree. "Aubree! Syukurlah kalau kau tak apa-apa. Nasib baik Nathan sempat selamatkan kau tadi. Saya ada dengar dari gosip pembantu lain yang Viana bawa pembantu lain untuk serang kau di bilik stor. Jadi saya minta tolong dengan Nathan untuk keluarkan kau dari sana..."
Aubree terkejut dengan penjelasan Julie. Pada awalnya, Aubree bingung kenapa Nathan boleh tahu Aubree ada di stor itu. Rupanya, Julie yang sudah meminta bantuan dari Nathan.
Aubree tersenyum lebar dan dia memegang erat tangan Julie. Walaupun Aubree merasa dia boleh melawan semua pembantu rumah itu tapi kerana pertolongan Nathan dan Julie, Aubree boleh lari dari masalah yang lebih teruk lagi. "Terima kasih, Julie."
Julie hanya tersenyum sambil memeluk Aubree.
Nathan juga ikut tersenyum melihat dua orang rakan itu. "Baiklah, masalah sudah selesai. Jika kamu punya masalah masa akan datang, boleh datang ke tempat saya untuk meminta tolong. Oh dan Aubree... Saya berharap kau boleh berhati-hati. Saya nampak masalah ini semakin serius..."
Aubree faham dengan maksud Nathan kerana Aubree dapat meneka yang Nathan tahu siapa dalang di sebalik kejadian dia terjatuh di dalam tasik. Oleh itu, Aubree hanya mengangguk dengan nasihat dari Nathan.
Nathan tersenyum untuk kali terakhir kepada dua orang wanita Elf itu sebelum dia berlalu bersama kawan-kawannya yang sedang menunggu.
"Kau memang tak apa-apa, Aubree? Apa yang Viana buat pada kau?" tanya Julie sambil memandang Aubree dengan wajah risau.
Aubree tersengih sambil menggeleng. "Saya tak apa-apa. Nasib baik Nathan sempat datang tadi sebelum mereka belasah saya..."
Julie menghembus nafas lega. Dia juga sangat panik ketika mendengar yang Viana membawa Aubree ke stor bersama dengan pembantu yang lain. Dalam fikiran Julie hanya ada satu ayat—Mereka akan menyerang Aubree.
"Baguslah kalau kau tak apa-apa. Jahat betul Viana tu nak buli kau hanya kerana gosip tu. Saya tahu kau tidak bersalah. Kau tak perlulah peduli sangat dengan gosip-gosip tu, ya?"
Kata-kata prihatin dari Julie membuatkan Aubree merasa sedikit terkesan. Sebelum dia meninggal di dunia sebelum ini, dia telah dikhianati oleh sahabatnya sendiri. Kerana itu, Aubree merasa susah untuk percaya kepada orang lain lagi. Dia juga merasa sukar untuk menerima orang sebagai orang terdekatnya.
Aubree tidak mahu pisang berbuah dua kali dan dia putus asa. Tidak mungkin dia membiarkan perkara yang sama berlaku dan mati kedua kali, kan?