Pada malam itu, Aubree dan Julie kembali ke rumah sewa mereka untuk berehat. Sepanjang hari ini, Aubree sering saja diejek dan dibuli dengan pembantu rumah yang lain. Aubree yang sudah biasa dengan cemuhan dan ejekan dari orang lain semasa dia masih hidup di dunia manusia, tidak mempedulikan ejekan dari para pembantu rumah.
Gosip buruk mengenai Aubree bukan saja tersebar di kalangan para pembantu rumah malah juga turut tersebar di kalangan para pengawal di kediaman Putera Kilan.
Aubree tidak tahu akan hal ini jika bukan kerana Nathan yang memberitahu Aubree. Ketika Nathan bertanyakan keadaan Aubree, Aubree hanya sekadar tersenyum kecil dan menjawab yang dia baik-baik saja. Sedangkan dalam hati, hanya Tuhan saja yang tahu bagaimana besarnya amarah Aubree, seolah-olah dia ingin membunuh sesiapa saja yang bercakap buruk tentangnya.
Setelah mereka masuk tidur pada malam itu, Aubree sekali lagi keluar dari rumah sewa untuk pergi berjumpa dengan White. Kali ini, tempat perjumpaan mereka bukan lagi di tepi kolam melainkan di tepi sungai.
Kenapa Aubree memilih tempat ini?
Sebab dia ingin melepaskan rasa marahnya yang seharian ini ditahan-tahan.
"AARRGGHH! TAK GUNA!"
Setiap kali Aubree berteriak, air sungai akan meletup dan membentuk sebuah gelombang air seperti tsunami. Aubree melepaskan semua rasa marah.
White yang duduk di belakang dan jauh sedikit hanya memandang Aubree melampiaskan rasa marah.
Aubree terus berteriak-teriak marah dengan semua perkataan yang kesat terkeluar dari mulutnya. Dia menendang-nendang mana-mana batu yang ada di depan matanya.
Setelah sejam melepaskan rasa marah, Aubree berhenti dalam keadaan tercungap-cungap. Aubree terus terduduk di atas batu yang mempunyai permukaan yang rata.
Perlahan-lahan, White mendekati Aubree. [Yang Mulia, Yang Mulia perlukan bantuan saya?]
Aubree mengangkat tangan kanan, tanda menghentikan niat White. "Tak perlu... Saya masih boleh bertahan lagi."
[Mereka cuma Elf yang berstatus rendah. Tidak sepatutnya mereka memperlakukan Yang Mulia begini rendah. Yang Mulia harus memberi mereka kesedaran tentang status mereka.]
Aubree memandang ke arah White pula. "Masalahnya, mereka tidak tahu pun siapa saya yang sebenarnya. Lagipun, jika masalah ini berpanjangan, saya yakin Putera Ketiga itu akan melakukan sesuatu tentang hal ini. Tidak mungkin dia akan biarkan seorang pembantu merosakkan namanya hanya kerana gosip seperti ini..."
White memandang Aubree pula. [Yang Mulia tidak maksudkan...]
"Yes, White. Sudah tiba masanya untuk saya keluar dari tempat itu. Meskipun cara ini agak bodoh di mata saya, at least ini adalah jalan yang paling cepat. Saya merasa yang Putera Ketiga itu akan membuang saya dari tempat kerja ini hanya kerana gosip ini. Di kediaman dia, tiada seorang pun di sana yang mahu menyebelahi saya. Saya yakin, semua musuh saya di kediaman itu akan berusaha apa pun untuk menyingkirkan saya."
Terdengar White mengeluh kecil. [Baiklah, jika Yang Mulia inginkan begitu.]
"Bagaimana dengan kawasan hutan di seberang sungai di kawasan yang kami ronda hari ini. Kau ada pergi periksa kawasan itu? Saya sudah melihat ada sekumpulan Tentera Kegelapan yang sedang bersembunyi di kawasan hutan itu," Aubree mengubah topik mereka kepada kumpulan Tentera Kegelapan yang dia nampak di kawasan hutan di seberang sungai.
[Tentu sudah, Yang Mulia. Apa yang saya nampak, mereka terdiri daripada sekumpulan Tentera Kegelapan yang mempunyai Tingkat Kekuatan dari 8 hingga 10. Sebahagian dari mereka menggunakan elemen dunia dan yang lain menggunakan ilmu bela diri. Malah, saya juga mengesan beberapa jenis elemen yang tidak berasal dari empat elemen utama dunia. Jika mereka tidak segera dihapuskan, mereka akan tiba di kawasan Kerajaan Selatan dalam masa beberapa hari lagi.]
Dahi Aubree berkerut lembut kerana dia sedang berfikir tentang sesuatu. "Mereka datang ke sini untuk menyerang Kerajaan Barat atau mereka ada niat yang lain?"
[Berjuta tahun sudah pun berlalu semenjak Kristal Kehidupan itu dijumpai. Setelah perang itu berakhir, Raja Kegelapan berperang dengan mana-mana Kerajaan Elf. Raja Kegelapan hanya tinggal di kerajaan dia, melatih dan memperbanyakkan bilangan tenteranya. Saya rasa sudah tiba saatnya Raja Kegelapan untuk membuat rancangan untuk menguasai seluruh dunia tapi Raja Kegelapan harus menghancurkan Kristal Kehidupan kerana Kristal Kehidupan ialah sumber kekuatan para Elf.]
"Maknanya, jika Raja Kegelapan berjaya menghancurkan Kristal Kehidupan itu, semua Elf akan jatuh dalam pemerintahan Raja Kegelapan..."
[Betul, Yang Mulia...]
"Jadi, apa yang perlu saya lakukan? Tidak mungkin saya akan keluar sana dan tolong mereka, kan?" kata Aubree pula.
[Yang Mulia, jika Raja Kegelapan sudah dapat menguasai semua Kerajaan Elf, lambat-laun Kerajaan Iron Tulip juga akan jatuh ke dalam tangan Raja Kegelapan. Yang Mulia tidak boleh biarkan Raja Kegelapan menguasai dunia.]
"Kerana saya ialah pemilik Kristal Kehidupan seperti yang kau cakap dulu, saya kena lindungi Kristal Kehidupan itu sendiri. Saya juga tidak akan biarkan Raja Kegelapan menguasai dunia..."
Mendengar bagaimana Aubree bersedia untuk melawan Raja Kegelapan, White tersenyum senang hati.
"Kalau macam itu, saya harus menghapuskan semua Tentera Kegelapan yang ada di hutan itu. Mereka ialah mata-mata yang dihantar oleh Raja Kegelapan untuk mencari di mana Kristal Kehidupan itu."
Aubree memandang ke arah White. "Kita akan pergi berburu pada malam ini, kau sudah bersedia?"
White menunduk tanda menuruti permintaan Aubree. [Saya bersedia mengikuti perintah Yang Mulia.]
Aubree memandang ke depan dengan sengihan lebar. "Baik, mari kita pergi!"
***
***
Di kepekatan malam itu, di sebuah kawasan hutan yang berdekatan dengan sungai, sekumpulan Tentera Elf yang memakai baju berwarna ungu gelap sedang berjalan dalam pergerakan yang senyap. Mereka menggunakan batang pokok atau semak untuk menyembunyikan diri.
Salah seorang dari mereka yang merupakan ketua bagi kumpulan itu memberikan isyarat kepada ahli yang lain dengan menggunakan isyarat tangan.
Semua Elf mengangguk setelah menerima isyarat tangan itu.
Lima orang dari kumpulan itu bergerak maju ke depan sambil memegang pedang. Mereka berada dalam keadaan siap-sedia untuk menyerang saat ini.
Sekarang ini, kesemua Tentera Elf ini berada di kawasan hutan yang ada di seberang sungai di mana Angela mengatakan terdapat kuasa kegelapan di sekitar tempat ini. Dan sekarang semua Tentera Elf ini menyerang hutan ini untuk membunuh semua Tentera Kegelapan.
Tentera Elf ini diketuai oleh Putera Kilan sendiri dan ditemani oleh dua orang sahabatnya, Issac dan Jake.
Setelah melangkah sebanyak sepuluh langkah ke depan, tiba-tiba berpuluh-puluh panah dilepaskan ke arah lima orang Tentera Elf yang maju ke depan tadi.
Seorang dari mereka tidak sempat berundur dan mengelak lalu mati terkena panah-panah yang dilepaskan. Tentera Elf yang berjaya mengelak segera berundur ke belakang dan segera memandang sekeliling untuk memeriksa keadaan.
Serentak dengan itu, beberapa orang Tentera Kegelapan yang memakai seragam hitam melompat dan mendarat di atas tanah. Ada diantara mereka yang memegang pedang dan ada juga yang tidak memegang apa-apa.
Melihat itu Kilan dengan pantas memberi arahan kepada pasukan barisan pertama untuk bergerak ke hadapan. Manakala pasukan barisan kedua melompat ke atas pokok dan akan menyerang Tentera Kegelapan yang masih berada di atas pokok.
Pertarungan diantara kedua kumpulan musuh bermula. Suara pedang yang saling bergeseran dengan pedang lain terdengar diselang-selikan dengan suara anak panah menyusuri udara, menusuk musuh yang disasarkan.
Kawasan hutan itu menjadi huru-hara ditambahkan lagi pertarungan para Elf yang menggunakan elemen dunia. Letupan demi letupan berlaku di kiri dan kanan disertakan dengan cahaya api yang membakar pokok-pokok yang sudah tumbang.
"Kita harus memanggil pasukan kedua untuk membantu kita. Kekuatan kita tidak setara dengan mereka!" kata Jake, menggunakan Kuasa Api untuk melawan dua orang Tentera Kegelapan di depannya. Salah seorang dari mereka mati dan menyisakan seorang lagi Tentera Kegelapan.
"Kita harus bertahan semampu yang boleh. Kita tidak boleh biarkan mereka masuk ke kawasan lain," kata Kilan pula.
Satu-persatu dari anak buah Putera Kilan mengalami kekalahan. Meskipun begitu, Kilan dan yang lain masih tetap bertahan untuk bertarung dengan semua Tentera Kegelapan tersebut.
"Ada yang tidak kena dengan kumpulan Tentera Kegelapan ini. Mereka lebih kuat dari yang pernah kita lawan sebelum ini. Ada sesuatu yang membuatkan mereka lebih kuat!" kata Issac.
Ketika salah satu dari Tentera Kegelapan itu menggunakan Kuasa Ais terhadap Kilan, Kilan menjadi terkejut kerana dia tidak pernah melihat mana-mana Elf menggunakan Kuasa seperti itu. Hal ini kerana hanya ada empat saja jenis Kuasa yang wujud di dunia Elf.
"Apa? Tidak mungkin! Bagaimana mereka boleh mendapat kuasa yang seperti itu?" tanya Kilan, terkaku di tempat dia berdiri.
"Kilan, awas!!" Issac melihat Kilan yang sudah hilang fokus terhadap lawan di hadapannya. Tentera Kegelapan yang menggunakan Kuasa Ais tadi ingin menyerang Kilan lagi.
Issac segera menolak Kilan ke tepi dan mereka bersama-sama jatuh ke atas tanah.
Ais yang berbentuk kristal dan sangat tajam tadi melintasi mereka dan mengenai batang pokok yang ada di belakang. Tentera Kegelapan tadi ingin menggunakan Kuasa Ais lagi untuk menyerang mereka.
Issac mengayunkan tangannya, menghalang daripada mengenai mereka dan membuatkan ais itu berbalik kepada tuan empunya.
Tentera Kegelapan tadi segera mengangkat tangannya dari semua ais kristal itu berhenti tepat di depan matanya. Dia ingin menyerang Issac dan Kilan lagi tapi belum sempat dia bergerak lagi, datang cahaya elektrik dari langit dan mengenai badan Tentera Kegelapan itu.
Serentak dengan itu, awan-awan hitam berkumpul di langit, mengeluarkan bunyi guntur kuat diselang-selikan dengan cahaya elektrik.
Issac menoleh ke arah satu figura yang memakai baju berwarna kuning lembut yang terbang ke arah mereka.
"Issac! Nasib baik saya sempat!" kata Angela, tersenyum lebar melihat Issac.
Issac yang masih dengan wajah dingin itu hanya mengangguk sekali untuk membalas kata-kata Angela. Lelaki Elf ini tidak menunggu lama dan mula menyerang lagi Tentera Kegelapan yang lain.
Melihat bagaimana Issac berusaha keras untuk mengalahkan semua Tentera Kegelapan, membuatkan segaris senyuman kecil muncul di wajah Angela. Tidak lama kemudian, dia pun turut menyertai Issac untuk melawan para Tentera Kegelapan.