Chereads / Aku Di Dunia Elf / Chapter 31 - Putera Tidak Tahu Malu(2)

Chapter 31 - Putera Tidak Tahu Malu(2)

'Di Dunia Elf ni, mereka gunakan ilmu bela diri yang berbeza? Ah, sudah tentu! Ini ialah Dunia Elf... Saya saja yang lupa tentang hal ini! Argh, kenapa saya boleh cuai sangat ni!!'

Issac melangkah dua langkah ke depan, menghampiri Aubree yang saat itu sedang bertarung dengan dirinya sendiri untuk mencari jawapan.

Saat Aubree mendongak ke atas untuk melihat wajah Issac ketika lelaki itu mendekati, serta-merta minda Aubree menjadi kosong. Terdiam dia di sana sambil memandang Issac.

Pada masa yang sama, di mindanya keluar amaran yang bertubi-tubi, memperingatkan Aubree agar dia menjauhi lelaki berwajah dingin ini di masa akan depan.

'Bahaya! Ini sangat bahaya! Lelaki muka ais ni sangat bahaya untuk saya! Saya perlu menjauh dari dia di masa depan kalau saya tidak mahu rahsia saya terbongkar! Aissshh, kenapa di depan lelaki ni saya rasa saya sangat lemah? Sihir apa yang lelaki guna ni sampai saya jadi begini?'

"Kamu belum menjawab soalan saya tadi..."

'Kau mahu saya jawab apa, hah?'

Aubree segera menundukkan kepalanya, sedar yang akibatnya sangat tidak sopan di depan Putera Pertama ini.

Issac tidak lagi menunggu Aubree untuk menjawab pertanyaan yang dia soal tadi. Issac mengangkat tangannya, ingin menangkap tangan Aubree.

Naluri Aubree yang peka itu segera memberi amaran untuk Aubree untuk mengelak dan itulah yang dia lakukan. Aubree segera berundur dua langkah ke belakang, mahu menjauh dari Putera berwajah dingin itu.

"Yang Mulia, tidak sopan jika Yang Mulia menyentuh seorang pembantu yang mempunyai status yang lebih rendah dari Yang Mulia. Jika tidak, akan ada gosip baru berkaitan dengan Yang Mulia yang tersebar di kediaman Yang Mulia Putera Ketiga," Dengan gaya profesional seperti seorang pembantu rumah, Aubree menjawab Issac.

Wajahnya yang masih menunduk itu masih tidak diangkat.

Issac terdiam mendengar jawapan Aubree. Bibirnya bergerak membentuk senyuman yang sangat jarang terbentuk di bibirnya, terlebih lagi bila reputasinya sebagai seorang Putera Dingin.

"Oh, jadi kamu juga tahu tentang gosip itu? Jadi sekarang, kamu mahu mengelak daripada gosip baru tersebar? Saya sangka kamu yang mulakan gosip ini untuk mendapatkan perhatian saya? Atau... Ini hanyalah rancangan kamu untuk mendapatkan perhatian saya supaya saya boleh berjumpa dengan kamu?" balas Issac dengan wajah dingin. Kedua tangannya disilangkan ke belakang.

Soalan yang baru itu membuatkan Aubree menjadi beku. Kali ini mindanya bukan saja menjadi kosong tapi meletup seperti bunga api kerana serangan soalan yang tidak dijangkakan dari Putera Pertama tadi.

'Eh? APAA? SAYA YANG SEBARKAN?'

'SAYA NAK CARI PERHATIAN LELAKI MUKA AIS NI?'

'WHAT THE F**K!'

'SEJAK BILA SAYA MAHU BUAT BEGITU? SAYA NAK LARI DARI TEMPAT NI ADALAH!'

Aubree mengangkat kepalanya, memandang Issac dengan wajah terkejut. "Yang Mulia, saya tidak pernah menyebarkan berita yang saya tahu akan dilarang di kediaman Yang Mulia Putera Ketiga. Saya tahu sebagai seorang pembantu rumah, perbuatan itu dilarang!"

"Ah, jadi kamu mengaku yang bukan kamu yang sebarkan gosip murahan tu?"

Aubree hampir saja mahu mencebikkan bibirnya di depan Putera Dingin tapi Aubree sempat berhenti kerana dia teringat jika perbuatan itu tidak sopan di depan Putera Dingin ini. 'Peninglah kepala saya nak layan Putera Dingin ni! Sekejap dia guna bahasa rasmi, sekejap dia guna bahasa tidak rasmi? Dan kenapa dia fikir saya mahu mengambil kesempatan pada dia untuk menyebarkan gosip tu? Semuanya tak ada makna pun pada saya! Peih!'

Aubree tahu semakin lama dia berhadapan dengan Putera Dingin ini, kesabarannya akan semakin menipis. Aubree perlu melakukan sesuatu agar Issac berhenti bertanya dan bercakap benda karut dengannya.

Dengan itu, Aubree memandang Issac dan terus melontarkan senyuman yang paling manis yang pernah dia buat walaupun sebenarnya senyuman itu adalah senyuman palsu.

"Yang Mulia, pekerjaan saya masih belum selesai dan saya masih perlu menjemur sisa pakaian ini lagi. Saya juga merasa Yang Mulia tidak seharusnya berada di sini. Tolong kembali ke dalam kediaman untuk berehat, Yang Mulia..."

Dengan sopan, Aubree mengangkat kedua tangannya, menunjukkan jalan 'Keluar' kepada Issac. Dia mahu lelaki ini segera pergi dari tempat ini kerana Aubree langsung tidak mahu berjumpa dengan dia!

"Kamu mahu menjemur sisa pakaian ni? Bukannya nak sambung berlatih?" kata Issac pula, dengan senyuman mengusik di bibirnya.

'Argh, mata saya! MATA SAYA! MATA SAYA AKAN JADI BUTA? Sejak bila Putera Dingin ni boleh tersenyum begini! Saya harus katakan yang dia memiliki wajah yang tampan... Tapi kalau dia senyum macam tu, mata saya akan jadi cepat BUTA!'

'Bilalah dia nak pergi ni? Pergi sanalah... Shoo! Shoo!'

'Alangkah berharapnya saya dapat berkata begitu pada lelaki muka ais ni!'

Meskipun dalam jiwanya, dia sudah meraung kuat ingin melepaskan kemarahan, Aubree masih tersenyum kepada Issac. "Ya, Yang Mulia... Saya perlu menyiapkan pekerjaan saya ini sebelum saya menyambung kembali pekerjaan saya yang lain."

"Kalau macam tu, saya akan tolong kau..."

"Hah? Apa?" Kerana dia terkejut dengan kata-kata Issac, Aubree terlupa dengan adap sopan-santun di depan seorang Putera. Dia memandang Issac dengan wajah bingung.

'Tolong? Tolong apa? Dia mahu tolong saya apa?'

Issac tidak menunggu Aubree untuk mengatakan apa-apa. Dia dengan suka hatinya melakukan apa yang ingin dia lakukan.

Issac mengangkat tangan kanan. Jarinya dipetik sekali dan semua sisa pakaian yang masih ada di dalam bakul pakaian, terbang melayang di udara.

Issac menggunakan Kuasa Angin miliknya untuk membuatkan semua pakaian itu melayang dan terus tersidai dengan sendirinya ke atas tempat menjemur.

Aubree yang tidak sempat melakukan apa-apa itu, memandang Issac dengan mulut terbuka luas. Dia tidak menyangka yang Putera Dingin ini akan menolong dia. Kerja menjemur ini senang saja tapi Issac tetap mahu tolong.

'Issh, apa hal lelaki muka ais ni nak tolong saya? Saya boleh buat kerja ni sendiri... Kalau ada Elf lain tahu pasal hal ni, bertambah lagi gosip buruk pasal saya. Lebih-lebih lagi kalau nenek kebayan— Eherm, maksud saya Ahli Sihir tu tahu pasal benda ni? Mesti dia mengamuk besar. Lelaki muka ais ni bukannya suka tolong orang pun!'

"Yang Mulia, saya tidak perlukan pertolongan dari Yang Mulia. Saya boleh lakukan kerja ini sendiri..."

Issac memandang Aubree dengan wajah selamba. "Bukan sepatutnya kau perlu cakap 'Terima kasih, Yang Mulia.'? Saya kan sudah tolong kau..."

Mahu saja Aubree menampar mulut Putera Dingin ini sekali saja. 'Pandai betul nak cari alasan nak balas apa yang saya cakap!'

"Tapi Yang Mulia, pekerjaan ini ialah pekerjaan saya. Yang Mulia seharusnya tidak perlu menolong saya..."

"Sama-sama..." balas Issac tanpa menunggu Aubree menghabiskan ayatnya.

Terbiarlah Aubree di sana dengan mulut terbuka seperti seekor ikan buntal yang membuka mulut.

Suasana diantara mereka menjadi senyap selama beberapa minit. Mereka tidak berkata apa-apa dan hanya saling berpandangan.

'Tak tahu malu! Itu dia! Lelaki muka ais ni bukan saja dingin tapi dia juga tidak tahu malu! Dasar Putera Tidak Tahu Malu! Itu sepatutnya Elf lain panggil kau, bukan Putera Dingin!' bentak Aubree dalam hati.

"Jadi kalau kau sudah siap buat kerja, saya mahu bertanya satu soalan..."

Aubree diam saja sambil memandang Issac. Entah kenapa dia merasa ada yang tidak kena dengan soalan yang akan ditanyakan oleh Issac selepas ini.

"Saya tahu kau kenal dengan wanita misteri yang sedang dicari oleh Putera Kilan, bukan?"

Mendengar soalan itu, Aubree menjadi resah. 'Saya tahu memang tidak ada yang kena dengan soalan dari dia!'

"Tidak... Saya tidak kenal siapa wanita misteri itu," jawab Aubree, tiga saat setelah Issac menyoal.

Issac memandang Aubree dengan kening yang diangkat. "Oh, kau menjawab lebih cepat dari yang saya sangka."

Otak Aubree hampir mahu meletup kerana Issac berkata begitu. 'Ishh, dia saja nak kenakan saya!!'

"Jadi, kau memang kenal dengan wanita misteri itu?"

"Tidak."

Issac: "..."

"Kau tidak boleh menipu saya..."

"Yang Mulia, saya tidak akan menipu Yang Mulia tentang hal ini. Lebih-lebih lagi hal yang berkaitan dengan Yang Mulia Putera Kilan..."

"Baiklah, saya faham... Nampaknya, kau pandai sekali membalas semua perkataan saya..."

Aubree: "..."

Sekali lagi, suasana sepi memenuhi kawasan itu.

"Yang Mulia, saya tidak tahu kenapa Yang Mulia berkeras mahu mengatakan yang saya mengenali wanita misteri itu. Tapi biar saya katakan pada Yang Mulia, saya tidak mengenali pun siapa wanita misteri itu..." Aubree mencuba menyakinkan Issac bahawa 'wanita misteri' itu bukanlah dirinya.

"Kau tidak boleh perbodohkan saya macam yang kau buat begitu pada Elf lain. Saya berbeza dan lebih peka dari semua Elf. Kau boleh menipu Elf lain tapi tidak untuk saya..."

"Sebenarnya, pertama kali saya datang ke sini... Saya sudah tahu yang kau ini berbeza dari semua pembantu rumah yang lain. Hanya sekadar pembantu rumah tapi deria kau lebih peka dari antara semua Elf, termasuk Elf yang mempunyai Tingkat Kekuatan yang paling tinggi..."

"Kenapa Yang Mulia katakan yang saya berbeza dengan pembantu rumah yang lain?" tanya Aubree pula, tidak mahu mengalah. Tidak mungkin dia akan mengaku yang dia mengenali 'wanita misteri' itu. Dia tidak mahu mengaku yang dialah 'wanita misteri' yang dicari itu.

"Kau lebih tenang berhadapan dengan setiap situasi, atau yang lebih tepat lagi, kau tidak takut pun jika berdepan dengan saya..."

Kening Aubree terangkat dengan pertanyaan yang baru disebut oleh Issac. 'Kenapa semua orang perlu takut dengan dia?'

Dengan wajah tanpa berperasaan, Aubree terus menatap wajah Issac. 'Jadi kenapa kau tidak cakap saja yang saya sebenarnya wanita misteri tu? Kenapa nak tunggu sampai sekarang baru nak cakap?'

"Dan paling penting sekali... Bau badan kau... Mempunyai aura bau yang sama dengan wanita misteri yang sudah menolong kami."

"Hah...!?" Aubree terkejut. Bulat matanya memandang Issac. 'Tidak mungkin... Tidak mungkin dia akan tahu wanita misteri itu ialah saya! Tapi... Tidak mungkin!'

Issac tersengih melihat reaksi Aubree. "Ini sangat senang. Saya ingat kau boleh bersembunyi dalam masa beberapa bulan lagi untuk saya membongkarkan identiti kau. Ini tidak terlalu cepat, bukan begitu menurut kau?"

Aubree memandang Issac dengan tajam sebelum dia berpeluk tubuh. "Saya nampak yang Yang Mulia mempunyai banyak masa terluang sampaikan Yang Mulia dapat mencari 'wanita misteri' ni dengan cepat! Adakah Yang Mulia tidak mempunyai kerja lain selain mengganggu kehidupan orang lain?"

'Jika lelaki ni sudah pun tahu siapa saya, tiada guna jika saya terus mengelak dari soalan dia. Aduh, sakit kepala saya nak layan perangai lelaki tak tahu malu ni!'

Issac sekadar mengangkat bahunya tanda tidak tahu. Kemudian dia berpeluk tubuh lagi dan berkata, "Salahkan deria dan naluri saya sebab terlalu peka dan teliti... Atau kau boleh latih lagi kemampuan kau supaya boleh bersembunyi dari saya lain kali. Saya rasa kau tidak perlu menyembunyikan identiti kau lagi, kan?"

Aubree terlopong melihat sikap Issac. 'Dasar tidak tahu malu! Dia memang layak digelar Putera Tidak Tahu Malu!! Sejak bila Putera Dingin ni mempunyai sikap macam ni! Kenapa sikap dia yang ini sangat berbeza dengan diri dia yang sebelum ini?'

"Kau—"

Belum sempat Aubree menghabiskan ayatnya, dia berhenti. Aubree menoleh tajam ke belakangnya kerana dia mendengar bunyi tapak kaki seseorang yang mendekati tempat ini.

"AUBREE?"

Seseorang memanggil nama Aubree dari sebalik pakaian-pakaian yang dijemur.

'Alamak! Ada orang datang! Saya tidak boleh biarkan mereka tahu saya ada di sini dengan Putera Tidak Tahu Malu ni!"

Issac juga mendengar nama Aubree dipanggil tapi dia kelihatan tiada niat hendak pergi dari sana. Dia hanya memandang Aubree dengan kening yang diangkat.

Aubree terus menolak Issac untuk menyuruh Issac pergi. "Kau boleh pergi sekarang! Saya tidak mahu mendapat masalah kalau mereka nampak kau ada di sini dengan saya!"

"Kau tidak mahu mereka nampak kita berdua di sini?"

Aubree memandang Issac dengan wajah bengang. "Habis tu, apa lagi? Sudah cukup mereka bergosip tentang saya... Saya tidak mahu tambah gosip lain lagi!"

"Kau nak risau kenapa? Saya boleh tolong hapuskan semua gosip tu," kata Issac pula. Masih dengan wajah selamba.

'Dan buatkan semua orang tambah membenci saya? Silap hari bulan, nenek kebayan— Silap, Ahli Sihir tu cari gaduh dengan saya lagi!'

"Kau diamlah! Pergi sajalah dari sini!" kata Aubree dengan kasar. Dia sengaja menurunkan bunyi suaranya kerana dia tidak mahu Elf yang mencari dia tahu tentang situasi mereka.

"Aubree, kau di mana ni? Kau masih belum siap buat kerja lagi? Yang Mulia Putera Kilan mahu berjumpa dengan kau..."

"Aubree, kenapa kau tidak menjawab?"

'Julie, dia datang!' Aubree menjadi resah kerana suara Julie semakin dekat. Aubree menjeling geram ke arah Putera Pertama yang degil tidak mahu pergi.

Kerana tiada pilihan lain, Aubree harus menggunakan kekuatannya untuk 'menghalau' Issac. Aubree mengangkat tangannya, ingin menolak badan Issac dengan menggunakan tapak tangan.

Aubree menggunakan Kuasa Angin untuk menolak Issac pergi dan tidak lagi menyusahkannya nanti.

Malangnya, Issac sudah pun melihat apa yang ingin dilakukan oleh Aubree. Sebaik saja Aubree menolak tangannya, Issac segera memegang pergelangan tangan Aubree dan menarik Aubree sehinggalah Aubree terdorong ke depan dan hidungnya terus terlanggar dengan dada bidang milik Issac.

Issac terus menarik Aubree ke dalam pelukannya. Mereka melintasi beberapa helaian pakaian yang disidai dan bersembunyi di sebalik pakaian yang jauh dari kawasan yang tempat mereka berdiri tadi.

Aubree mendongak ke wajah Issac dan menjeling lelaki itu. Kerana Issac lebih tinggi dari Aubree, Aubree yang 'pendek' itu terpaksa mengangkat kepalanya agar pandangan mereka menjadi sama paras.

"Lepaskan saya!" Aubree berbisik dengan keras sambil mencuba melarikan diri dari pelukan Issac.

"Jangan bercakap dan tetap diam... Kalau kau tidak mahu Elf lain tahu!" balas Issac dengan wajah selamba tapi bercampur dengan nada ugutan.

Wajah Aubree berubah menjadi kelat dalam masa sekejap. 'Tak guna! Berani lelaki ni ambil kesempatan! Dasar lelaki tak tahu malu! Peih!'

Aubree ingin menolak Issac menjauh darinya lagi tapi bila dia mendengar suara Elf yang tadi memanggil namanya semula membuatkan Aubree tiada pilihan lain selain daripada mendiamkan diri.

"Aubree? Eh, mana dia ni? Katanya dia ada di sini..." Julie, Elf yang diperintah oleh Putera Kilan untuk memanggil Aubree, memandang ke seluruh kawasan itu untuk mencari Aubree.

Julie mencari Aubree untuk beberapa kali lagi sebelum dia berlalu pergi. "Ah, mungkin dia sudah siap di sini dan pergi buat pekerjaan lain. Saya patut cari dia di tempat lain lagi..."

Aubree mengeluh lega setelah Julie pergi. Bukan dia tidak mahu memberitahu Julie situasinya yang sebenar tapi Aubree tidak mahu Julie juga berfikir buruk tentangnya dan merasa semua gosip yang tersebar adalah benar.

Setelah Julie pergi, masalah pertama Aubree sudah selesai dan sekarang untuk masalah kedua.

Perlahan-lahan, Aubree pun memandang ke arah 'masalah kedua' yang seolah-olah tidak mahu melepaskan dia dari pelukan.

Issac juga ikut memandang Aubree dan menunjukkan wajahnya yang memberi maksud 'Apa?'