Sebaik saja Issac tahu yang Aubree sudah pun diusir dari kediaman ini, Issac tidak melengahkan masa dan terus menggunakan Kuasa Anginnya untuk terbang menuju ke biliknya.
Dalam hati Issac, dia tidak berhenti memaki hamun Kilan kerana sudah mengusir Aubree dari kediamannya sendiri. Walaupun Issac tahu jika Kilan tidak tahu yang Aubree adalah wanita misteri yang dia cari, Issac tetap merasa kesal dan marah dengan sikap Kilan.
Walaupun begitu, Issac tidak mempunyai masa untuk mengejar Kilan dan memarahi sahabatnya itu secara langsung. Dalam fikirannya saat ini, dia hanya mahu mencari Aubree.
"Scorpio, keluar!"
Seorang Elf yang memakai baju berwarna hitam dan serupa seperti seorang ninja, muncul di depan Issac dalam keadaan melutut. "Ya, Yang Mulia?"
Scorpio ialah pengikut setia kepada Issac dan hanya akan muncul jika dipanggil. Tugas Scorpio kali ini ialah memerhati setiap gerak-geri Aubree yang mencurigakan.
"Di manakah Aubree pergi setelah dia diusir dari kediaman ini?" tanya Issac.
"Mereka kembali ke rumah sewa mereka sebelum mereka pergi ke jalan arah Selatan, Yang Mulia. Saya sudah menyuruh beberapa orang anak buah yang lain untuk mengikuti dia secara senyap-senyap."
Tentu saja Issac tidak pernah membiarkan Aubree begitu saja tanpa pengawasan. Semenjak Issac mengetahui siapa Aubree yang sebenarnya, Issac sudah memerintahkan Scorpio untuk menghantar dua orang pengikutnya untuk memerhati setiap pergerakan Aubree.
Angela yang dari tadi masih memerhati Issac segera mengikuti Issac. Dia melihat ada Scorpio yang sedang melutut di depan Issac dan menjadi kehairanan melihat mereka. Dia pun menghampiri Issac dan bertanya, "Issac, kau nak buat apa?"
Issac tidak menjawab Angela malah dia memandang Scorpio dan berkata, "Tunjukkan saya di mana dia?"
Berkerut dahi Angela mendengar arahan dari Issac. "Issac, kau nak cari siapa?"
Seperti tadi, Issac mengabaikan Angela dan terus keluar dari sana diikuti oleh Scorpio.
"Issac!" teriak Angela memanggil nama Issac namun masih tidak dipedulikan. Angela menggigit bibirnya kerana dia sakit hati dengan sikap Issac. Sejak akhir-akhir ini, Issac sering mengabaikan dia. Angela sendiri pun tidak tahu kenapa Putera Pertama itu boleh berubah sedemikian.
Meskipun Angela berteriak memanggil nama Issac, Issac seolah-olah memekakkan telinganya dan terus terbang. Issac berhenti di sebuah kawasan hutan dan sedang berdiri di atas dahan pokok yang paling tinggi.
Tidak lama kemudian, Scorpio muncul di belakang Issac dalam sekelip mata. "Mereka sedang menuju ke Kerajaan Selatan, Yang Mulia. Mereka baru saja keluar dari kawasan desa jadi mereka masih belum jauh dari tempah ini."
Issac menganggukkan kepalanya. "Bagus."
Dengan menggunakan Kuasa Angin, sekali lagi Issac terbang di udara dan segera menuju ke kawasan yang disebut oleh Scorpio.
'Saya harus menemui dia sebelum Kilan dan yang lain menemui dia!'
***
***
"Jadi, Yang Mulia—"
"Kau kan tahu kalau saya lebih suka kau panggil saya dengan menggunakan nama saya. Kau tak perlulah guna bahasa istana jika kita ada di luar begini. Lagipun, saya juga tidak mahu ada orang lain tahu tentang identiti saya," kata Aubree, memotong kata-kata Julie.
"Baiklah, kalau kau mahu macam itu. Tapi saya cuma nak tanya, adakah Putera Ketiga tahu yang kau ini ialah seorang Ratu di Kerajaan Iron Tulip?" tanya Julie.
Aubree menggeleng. "Tak, dia tak tahu. Saya tak rasa dia perlu tahu tentang ini..."
"Kenapa pula? Bukannya sebelum ini kau suka dengan dia? Dengan status kamu yang sudah sepadan, kau dan Putera Kilan tentu boleh—"
Belum sempat Julie menghabiskan ayatnya, Aubree segera berhenti dan memandang Julie dengan wajah serius.
"Julie, mungkin dulu saya pernah suka dengan Putera tu... Tapi sekarang sudah tidak lagi. Lagipun, dia sudah memilih Puteri Katy..." Aubree berpusing lagi, mahu meneruskan langkah namun ketika dia teringat akan sesuatu, dia memandang ke arah Julie lagi.
"Lagipun, kau tidak ingat apa yang dia katakan kepada saya masa di taman tadi? Dia mempermalukan saya di depan semua orang dan dia terus membuat keputusan tanpa menyelidik dulu kejadian ini. Walaupun saya tidak bersalah tapi saya tetap berterima kasih pada dia sebab sudah bebaskan kita berdua. Saya sudah ambil keputusan, mulai hari ini, saya tidak akan pernah menyimpan perasaan pada Putera Ketiga itu lagi."
Julie melihat Aubree berkata bersungguh-sungguh dengan rasa tekad. Julie masih ingat bagaimana Kilan memarahi Aubree di taman tadi tentang perkara yang Aubree tidak pernah buat. Mungkin sebab itulah kenapa Aubree tidak lagi mahu menyimpan perasaan terhadap Putera Ketiga itu.
Julie merasa jika keputusan Aubree ini ada baiknya. Julie juga merasa marah terhadap Putera Ketiga itu kerana sudah menuduh Aubree tanpa usul periksa.
"Jadi, Julie... Saya mohon jangan lagi kau ungkit perasaan saya pada Putera dungu itu," kata Aubree lagi sebelum dia berpusing dan melangkah ke depan lagi.
Julie mengangguk dengan serius. "Ya, saya faham. Saya juga setuju jika kau melupakan putera itu selamanya..."
Aubree ketawa dengan jawapan Julie.
"Tapi Aubree, saya cuma nak tahu... Siapa saja yang tahu tentang identiti kau sebagai Ratu?" tanya Julie lagi.
"Selain kau, tiada orang lain lagi yang tahu," jawab Aubree dengan selamba.
"Hanya saya saja yang tahu?" kata Julie dengan mata yang bersinar. Dia tidak menyangka pula jika dia ialah Elf yang pertama yang akan mengetahui tentang identiti Aubree. Julie merasa bangga kerana dialah orang pertama yang mengetahui rahsia ini.
"Tentu seronok jadi seorang Ratu, bukan begitu Aubree?" tanya Julie lagi. Dia memandang ke atas sambil menghayal tentang Aubree yang memakai jubah diraja dan duduk di atas takhta. Di sisi lain, semua rakyat Kerajaan Iron Tulip akan melutut kepada Aubree dan memberikan sumpah janji mereka untuk setia kepada Aubree. Wah, hebatnya!
Namun khayalan yang muncul di minda Julie dengan cepatnya menghilang kerana kata-kata Aubree yang seterusnya.
"Saya kembali ke Kerajaan Iron Tulip untuk merebut kembali kerajaan itu dari tangan Raja yang tamak dan kejam. Perjalanan saya tidak mudah, Julie... Saya harus mengalahkan Raja kejam itu sebelum saya mampu mengambil alih kembali takhta milik saya.
Sebab itu kenapa saya mahu kamu rahsiakan identiti saya sebagai seorang ratu kerana saya masih belum sepenuhnya menjadi ratu. Lagipun, keadaan badan saya masih lemah. Saya masih perlu berlatih banyak supaya saya dapat melawan Elf-Elf yang jahat di Kerajaan Iron Tulip nanti..."
Julie memandang ke arah Aubree dengan wajah terkejut. "Apa maksud kau yang badan kau lemah? Kau nak kembali ke Kerajaan Iron Tulip tu dengan badan lemah begini dan melawan Raja yang kejam itu? Kau sudah hilang akalkah?"
Aubree tersengih. "Badan saya bukannya lemah sangat. Saya masih boleh melawan tapi buat masa sekarang, saya perlu melatih badan saya ini supaya jadi lebih kuat. Kalau saya sudah jadi kuat, senanglah saya nak ambil alih kerajaan itu lagi," kata Aubree dengan wajah selamba.
Julie mencebik dengan balasan selamba dari Aubree. Tiba-tiba, dia berhenti dan memandang ke arah Aubree lagi. "Kau pandai bertarung? Maksud saya, kau... Kau ada ilmu bela diri... Atau kekuatan, begitu?"
Aubree tersengih lagi. "Saya ada dua-duanya..."
Sekali lagi, Julie ternganga. "Apa? Bagaimana mungkin? Tidak pernah ada Elf yang mempunyai kedua-duanya sekali!"
Aubree mengangkat bahu tidak peduli. "Jadi, maksudnya saya berbeza dari yang lain!"
Julie menjeling Aubree dengan jelingan meluat setelah melihat sikap bangga diri di wajah Aubree. Aubree hanya ketawa melihat gelagat Julie.
Tiba-tiba, dia berhenti ketawa dan segera memandang ke belakang. Wajahnya yang tadi penuh dengan kegembiraan kini bertukar menjadi serius.
"White, bawa Julie bersembunyi. Ada sesuatu yang datang ke arah sini!" kata Aubree.
White yang dari tadi hanya berjalan di sebelah Aubree tanpa bercakap apa-apa itu terus mengangkat Julie ke atas badannya dan segera mencari tempat persembunyian. Julie berteriak-teriak saat badannya dibawa pergi oleh White.
Sedangkan Aubree yang ditinggalkan di sana terus memandang sekeliling dengan pandangan tajam. Dalam masa sesaat saja, anak matanya bertukar menjadi ungu gelap dan panah berwarna putih muncul di tangan kanannya.
Aubree menarik tali ke belakang dan melepaskan anak panah ke udara, tepat ke arah sebuah objek yang sedang melaju ke arahnya.
Anak panah itu meluncur di udara dan mengenai tepat di wajah seorang lelaki Elf yang sedang terbang melayang di udara. Belum sempat anak panah itu mengenai di matanya, lelaki itu terus menangkap panah itu.
Pada masa yang sama, dia juga terbang menuju ke tanah dan akhirnya mendarat di depan Aubree yang saat ini sedang terlopong kerana terkejut.
"Saya tidak sangka pula begini cara kau nak menyapa teman lama kau," kata Issac dengan tenang sambil menunjukkan anak panah di tangan kanannya.
Wajah Aubree terus menjadi buruk seolah-olah dia telah termakan buah limau. Kerana dia sudah keluar dari kediaman Putera Kilan dan tidak mempunyai apa-apa kaitan lagi dengan penghuni di kediaman itu, Aubree peduli lagi dan malah melayan Issac dengan sikap tidak sopan.
"Teman lama? Siapa yang nak berteman dengan kau!" balas Aubree.