Chereads / Aku Di Dunia Elf / Chapter 40 - Buku Peninggalan

Chapter 40 - Buku Peninggalan

Keesokan harinya, seperti yang sudah dirancang, Aubree bersama yang lain pun bergerak kembali ke Menara Kristal.

Mereka menggunakan kenderaan yang selalu digunakan di Dunia Elf ini iaitu sebuah model kenderaan lama jika dibandingkan dengan dunia Aubree yang sebelum ini.

Aubree yang melihat kenderaan yang berupa kereta dalam reka bentuk lama, tidak tahu hendak memberi komen apa kepada kaum Elf di Dunia Elf ini.

Aubree tahu Elf di sini tidak begitu mementingkan teknologi untuk membantu mereka kerana hampir kesemua dari mereka bergantung kepada Kuasa mereka sendiri. Hanya mereka yang tidak mempunyai Kuasa saja yang akan menggunakan kereta seperti ini. Contohnya bagi golongan orang kaya yang hanya bergantung kepada ilmu bela diri dan juga bagi golongan Elf yang miskin.

Mereka menggunakan tiga buah kereta untuk kembali ke Menara Kristal. Aubree akan naik kereta yang ketiga bersama-sama dengan Della dan White.

Dalam perjalanan menuju ke Menara Kristal, Aubree menggunakan peluang ini untuk bertanyakan banyak soalan kepada White. Della pun disuruh oleh Aubree untuk tidur dulu.

'White, terangkan pada saya tentang pemilik Kristal Kehidupan yang lain. Kenapa saya tidak tahu jika ada pemilik Kristal Kehidupan yang kedua?'

[Yang Mulia, sebelum saya menemukan Yang Mulia dulu, pemilik Kristal Kehidupan yang kedua sudah ditemukan. Pendek kata, Yang Mulia adalah pemilik yang pertama tapi masih belum ditemukan. Pemilik Kristal Kehidupan yang kedua perlu ditemukan untuk menjaga Kristal Kehidupan.

Perkara ini hanya saya dan para pengikut Yang Mulia saja yang tahu. Orang lain selain daripada itu tidak akan tahu. Sebab itu kenapa mereka menyangka Yang Mulia adalah pemilih yang kedua. Tapi sebenarnya pemilik kedua Kristal Kehidupan hanya menjaga Kristal Kehidupan sehinggalah pemilik yang sebenarnya muncul.

Sekarang Yang Mulia sudah tiba dan sudah tentu Kristal Kehidupan memberikan tanda kepada semua orang bahawa pemilik Kristal Kehidupan yang kedua sudah pun muncul.]

'Oh, baiklah... Saya faham. Jadi mereka berfikir jika saya ialah pemilik yang kedua sedangkan yang sebenarnya saya ialah pemilik asli Kristal Kehidupan itu? Hmm, patutlah Tuan Merrah curiga dengan saya sejak dia melihat kekuatan dalaman saya...'

[Yang Mulia, perkara lain yang perlu Yang Mulia tahu adalah kekuatan yang diberikan oleh Kristal Kehidupan adalah tidak terkira.]

Aubree menaikkan keningnya kerana bingung dengan kata-kata White. 'Apa maksud kamu?'

[Kristal Kehidupan memberikan kekuatan yang tidak terbatas kepada pemiliknya sendiri... Manakala bagi Elf yang lain, mereka hanya mampu menggunakan empat elemen dunia serta menguasai ilmu bela diri. Sebab itu kenapa Yang Mulia mempunyai kekuatan yang berbeza dengan Elf yang lain.

Namun semenjak kejadian pertarungan dengan Tentera Kegelapan di hutan dua hari yang lalu, saya risau perang yang akan datang akan menjadi lebih sulit. Yang Mulia harus berhati-hati.]

Mendengar penjelasan itu membuatkan Aubree juga merasa tidak sedap hati. 'Kamu maksudkan tentang kekuatan Tentera Elf yang tiba-tiba meningkat, di mana mereka boleh menggunakan elemen lain selain daripada empat elemen dunia?'

[Tepat sekali Yang Mulia. Kristal Kehidupan berfungsi untuk mengawal kekuatan dan elemen di seluruh Dunia Elf, termasuk Kerajaan Kegelapan. Kekuatan mereka dipengaruhi oleh kekuatan Kristal Kehidupan sendiri. Namun, bagi mereka menggunakan elemen dunia lain selain empat elemen dunia adalah sangat mustahil dan berbahaya.]

'Bermakna mereka mempunyai sumber lain agar mereka boleh mendapatkan elemen yang lain selain empat elemen dunia yang lain. White, berapa kemungkinan untuk Raja Kegelapan menjumpai sumber lain untuk mendapatkan kekuatan tambahan?'

[Minta maaf, Yang Mulia. Sebenarnya, separuh dari ingatan saya sudah dikunci semenjak ratu yang sebelum ini menghilang. Saya tidak boleh menjawab soalan Yang Mulia. Tapi saya percaya jika Ratu yang sebelum ini ada meninggalkan sebuah buku peninggalan tentang misteri dunia yang tidak diketahui oleh dunia luar.]

Aubree menutup matanya. Dia mengeluh dengan perasaan kesal. 'Ratu yang sebelum ini mempunyai jawapan untuk pertanyaan saya. Jika dia meninggalkan buku peninggalan itu di Kerajaan Iron Tulip, bermakna saya harus kembali ke Kerajaan Iron Tulip lagi. Aisshh, kenapa saya rasa keputusan saya untuk mengikuti rombongan kembali ke Menara Kristal ini salah ya? Patutkah saya lari saja dari sini?'

[Jangan Yang Mulia. Kita sekarang dalam perjalanan menuju ke Menara Kristal. Jika Yang Mulia melarikan diri sekarang, mereka akan mengejar Yang Mulia sehingga ke Kerajaan Iron Tulip.]

'Tsk! Kenapa kau tidak bagi tahu saya sejak awal tentang benda ni? Kenapa baru sekarang? Kalau saya tahu sejak awal, saya tidak akan terima tawaran mereka untuk pergi ke Menara Kristal!'

Aubree terus membuka matanya dan memandang White dengan wajah serius pula. 'Kau cakap yang separuh dari ingatan kau dikunci? Adakah Ratu Kerajaan Iron Tulip yang mengunci ingatan kau sebelum dia hilang?'

[Seluruh ingatan saya akan dikunci semasa Ratu Kerajaan Iron Tulip yang sebelum ini menghilang. Namun setelah Yang Mulia muncul di dunia ini, separuh daripada ingatan saya kembali terbuka.

Sebab itu mengapa saya datang ke mari untuk mencari Yang Mulia. Ingatan saya yang seterusnya akan terbuka jika Yang Mulia berjaya mengambil alih kembali Kerajaan Iron Tulip.]

Aubree mengangguk dengan jawapan White. 'Patutlah kau tiba-tiba muncul di hutan hari itu. Rupanya kau datang nak mencari saya.'

Aubree menoleh ke luar jendela cermin kereta dan memandang ke arah langit. 'Saya tertanya-tanya apakah rahsia yang ditinggalkan oleh ratu sebelum ini di Kerajaan Iron Tulip. Kenapa Kerajaan Iron Tulip dirahsiakan dari dunia luar?'

***

***

KREEK!

Bunyi brek kereta terdengar saat kereta dihentikan secara mengejut. Dalam pada yang sama, semua Elf yang ada di dalam kereta pertama dan kedua keluar dari kereta masing-masing dan segera berlari ke depan.

Aubree yang melihat keadaan itu merasa ada sesuatu yang tidak kena. Dia memandang ke arah Della yang terjaga kerana terkejut semasa kereta dihentikan secara mengejut.

Della memandang sekeliling dengan wajah separuh mamai dan separuh cemas. "Apa? Kenapa ni? Apa yang terjadi? Kenapa kita berhenti?"

"Della, kau diam di dalam kereta. White, mari ikut saya ke luar!" kata Aubree sebelum dia menolak pintu dan keluar dari sana. White mengikuti Aubree dari belakang.

Saat Aubree tiba di tempat Elf yang lain sedang berkumpul, dia melihat ada kumpulan Tentera Kegelapan sedang bertarung dengan para Tentera Elf.

"Macam mana Tentera Kegelapan ini boleh ada di sini? Sepatutnya mereka tidak akan sampai di sini tanpa melalui perbatasan. Jika mereka melalui perbatasan, mereka harus berhadapan dengan Tentera Elf yang menjaga kawasan perbatasan," kata Aubree dengan wajah terkejut.

[Kecuali mereka menggunakan sumber lain untuk masuk ke sini...] White memberi kesimpulan sendiri.

Aubree menajamkan matanya, merenung semua Tentera Kegelapan itu. "Mereka menggunakan pintu portal..."

[Yang Mulia, kita harus menghapuskan semua Tentera Kegelapan ini dan mencari pintu portal itu sebelum mereka menggunakan pintu portal itu untuk berpindah ke tempat lain.]

Aubree mengerling ke arah White ketika White berkata begitu. Kemudian, dia memandang kembali ke arah area pertarungan sambil berpeluk tubuh. 'Saya rasa saya patut tunggu di sini saja... Semua Tentera Elf ini nampak kuat, mereka pasti dapat mengalahkan semua Tentera Kegelapan ni...'

[Baik, Yang Mulia.]

Aubree memerhati pertarungan diantara dua pihak yang masih berlangsung. Alasan mengapa Aubree tidak mahu menyertai mereka dalam perlawanan ini adalah kerana dia mahu menyembunyikan kekuatannya yang sebenar kepada Elf lain. Lagipula, kekuatannya berbeza dari Elf lain.

Namun apa yang Aubree tidak tahu adalah, kerana dia tidak bergerak untuk menolong Tentera Elf lain melawan Tentera Kegelapan, para Elf yang ada di sana memandang rendah terhadap Aubree.

Mereka berfikir jika Aubree tidak mahu menolong mereka kerana Aubree takut dan lemah. Meskipun Aubree ialah pemilik Kristal Kehidupan yang kedua, tidak bermakna dia mempunyai kekuatan. Jika ada pun, pasti Aubree masih tidak tahu bagaimana mahu menggunakan kekuatan itu.

Jika Aubree tahu apa yang difikirkan oleh mereka, tentu saja dia akan mengubah fikirannya dan segera masuk ke area perlawanan. Tapi Aubree juga tidak peduli jika Elf lain berfikir yang dia ini ialah seorang yang lemah kerana Aubree belum merancang hendak menunjukkan kekuatannya sekarang.

Fourlin menghayunkan tangannya dari kanan ke kiri, membunuh dua orang Tentera Kegelapan yang ada di depannya dengan menggunakan Kuasa Tanah.

Fourlin berhenti sekejap dan menoleh ke belakang, tepat di mana Aubree sedang berdiri. Melihat bagaimana Aubree langsung tidak bergerak menolong mereka membuatkan Fourlin mencemuh Aubree dalam hati.

'Pemilik Kristal Kehidupan yang kedua? Kenapa pula dia yang jadi pemilik yang kedua? Dia tidak pun bergerak hendak menolong kami... Mungkin sebab dia masih tidak tahu bagaimana hendak berlawan? Heh, kenapa Elf macam dia yang dipilih?'

Fourlin tidak lagi mempedulikan Aubree dan terus melawan Tentera Kegelapan yang masih tersisa.

Setelah melawan kesemua Tentera Kegelapan, akhirnya kemenangan berpihak kepada Tentera Elf. Seperti yang disangkakan oleh Aubree, Tentera Kegelapan menggunakan pintu portal untuk masuk ke tempat ini. Setelah Tuan Merrah menghapuskan semua jejak pintu portal, mereka pun melanjutkan perjalanan.

Setelah perjalanan selama 2 jam, mereka tiba di sebuah kawasan hutan tebal. Pokok-pokok yang ada di hutan itu bertumbuh dalam saiz yang besar dan tinggi. Dahan-dahan di setiap pokok juga sangat besar dan banyak.

Ketika mereka berhenti, Aubree mengintip dari dalam kereta dan memandang ke luar. Dia melilau ke sekeliling dan menyedari yang mereka berada di dalam hutan.

Tuan Merrah keluar dari dalam kereta dan berjalan mendekati dua batang pokok yang sangat besar. Yang menariknya, dahan-dahan diantara dua pokok itu membentuk sebuah lengkungan U ke atas dan membentuk sebuah gerbang.

Tuan Merrah membacakan sebuah mantera dan setelah itu, muncullah cahaya diantara dahan pokok gerbang tadi. Cahaya itu sangat terang dan menghasilkan sebuah pintu gerbang ajaib yang membawa mereka secara langsung ke Menara Kristal.

Setelah Tuan Merrah masuk kembali ke dalam kereta, perjalanan mereka diteruskan.