Chereads / Aku Di Dunia Elf / Chapter 38 - Kedatangan Utusan Dari Menara Kristal(2)

Chapter 38 - Kedatangan Utusan Dari Menara Kristal(2)

Setelah beberapa kilometer Aubree dan Della bergerak, mereka terdengar dari arah belakang mereka, bunyi tapak kaki kuda. Dari bunyinya, Aubree dapat mengagak jika kumpulan yang dibawa oleh Kilan adalah berjumlah ramai.

Aubree menoleh ke belakang. Dia tahu siapa yang akan datang berkat dari pemberitahuan Issac tapi Aubree tiada niat untuk menghentikan White.

"Mereka sudah datang. Kau tidak mahu berhenti?" tanya Della.

Aubree memandang kembali ke depan. Dia menepuk kepala White beberapa kali dengan gaya lembut. "Teruskan bergerak, White. Kekalkan kelajuan seperti ini."

[Baik, Yang Mulia.]

Beberapa minit kemudian, bunyi tapak kaki kuda semakin mendekati dan sudah pun mencapai Aubree dan Della yang sedang menaiki seekor Harimau Bertanduk.

Di hadapan rombongan itu ialah Putera Kilan. Dia melihat seseorang yang dia kenali dan matanya terus bersinar kerana dia berjaya menemukan 'wanita misteri' yang mereka cari.

"Tunggu!" laung Kilan, menghentikan Aubree yang terlihat seperti tiada niat hendak berhenti.

Melihat ada dua orang wanita Elf di depan mereka, Tuan Merrah dan yang lain juga ikut berhenti. Mereka agak terkejut melihat ada seekor Haiwan Sakti yang dinaiki oleh dua orang wanita Elf tersebut. Yang lebih mengejutkan mereka ialah mata seorang dari Elf itu berwarna merah.

Aubree menyuruh White untuk berhenti dan dia menoleh ke belakang. Dia tidak mengatakan apa-apa dan hanya menaikkan keningnya ke arah Kilan.

Kilan segera turun dari kudanya dan mendekati Aubree. Dengan gaya yang sopan, Kilan menyapa Aubree. "Salam, saudari pahlawan. Jika kamu mempunyai masa sedikit, saya ingin mengatakan sesuatu kepada kamu."

Aubree tidak turun dari atas White dan hanya memandang Kilan dengan wajah megah. Dia tidak mahu turun dan menyapa balasan dari Kilan. Baginya, saat ini Aubree seakan-akan tidak mengenali Kilan dan menganggap Kilan sebagai orang yang tidak dikenali.

"Kamu ini siapa?" tanya Aubree dengan suara selamba dan terdengar agak malas.

Kilan memandang Aubree untuk beberapa saat. Dia agak terkejut melihat wanita misteri ini melayannya dengan sikap yang dingin sekali. Selama Kilan menjadi seorang Putera Elf dalam Kerajaan Barat, ini pertama kali dia mendapat layanan seperti ini dari Elf yang tidak dikenali.

Kilan merasa agak terkilan dan marah namun dia tetap menahan rasa marahnya kerana sekarang yang penting adalah untuk membiarkan Tuan Merrah memeriksa jika wanita misteri ini ialah pemilik Kristal Kehidupan yang kedua.

"Kamu mungkin tidak mengingati saya lagi tapi kelmarin, kamu sudah menolong saya dan kawan-kawan saya melawan Tentera Kegelapan..."

'Tsk, buat apa saya nak mengingati kau lagi? Kau tidak layak untuk saya ingat sepanjang masa!'

"Oh, kamu... Ya, ya, ya... Saya ingat. Kenapa kamu menghentikan saya? Kamu perlukan sesuatu dari saya?" tanya Aubree, masih dengan wajah malas.

Belum sempat Kilan mengatakan apa-apa, Tuan Merrah sudah pun berjalan mendekati Aubree.

"Ah, kamu mesti wanita misteri yang telah diceritakan oleh Putera Kilan," kata Tuan Merrah, mengusap janggutnya dengan wajah gembira. Dia memeriksa Aubree dari atas ke bawah.

Setelah Tuan Merrah melihat tingkat kekuatan yang ada di dalam badan Aubree, Tuan Merrah menjadi terkejut. Dia tidak menyangka jika tingkat kekuatan Aubree sangatlah tinggi dari semua Elf yang pernah dia nampak selama ini. Malah kekuatannya juga lebih kuat dari Puteri Meliani, pemilik Kristal Kehidupan yang pertama.

'Tidak mungkin. Jika dia sekuat ini, kenapa Kristal Kehidupan tidak memilih dia dari dulu? Hermm, ada sesuatu yang tidak kena di sini!'

Tuan Merrah terus ketawa terbahak-bahak. Matanya yang sepet itu terus tertutup kerana dia terlalu tertawa. "Bagus, bagus! Seperti yang sudah diramal. Kamu mempunyai kriteria sebagai seorang pemilik Kristal Kehidupan yang kedua... Tingkat Kekuatan kamu sangat tinggi. Jikalau begitu, mohon agar kamu mengikuti kami kembali ke Menara Kristal," kata Tuan Merrah.

'Tidak mengapa. Saya akan bawa dia dulu kembali ke Menara Kristal dan di sana barulah saya akan menyiasat siapa dia yang sebenarnya.'

Mata Aubree mengecil sedikit saat melihat renungan Tuan Merrah yang mencurigakan itu. Aubree kenal dengan cara renungan yang dibuat oleh Tuan Merrah. Semasa dia masih menjadi seorang pembunuh di dunia lama, dia selalu melihat renungan itu di mata orang yang mencurigai identiti seseorang.

'Adakah orang tua ini mencurigai saya?' kata Aubree dalam hati.

Jika saja Tuan Merrah terdengar cara Aubree memanggilnya 'orang tua', pasti dia sudah termuntah darah di sana. Panggilan Aubree terhadap Tuan Merrah sebagai 'orang tua' sangat tidak sopan!

[Boleh jadi mereka mencurigai identiti, Yang Mulia. Kekuatan Yang Mulia sangat tinggi di sini sehingga melebihi tingkat kekuatan pemilik Kristal Kehidupan yang kedua. Kerana Yang Mulia baru saja muncul sekarang, mereka pasti akan mencurigai identiti Yang Mulia.]

'Boleh saja jadi macam itu... Dan satu lagi, kau tidak pernah beritahu saya yang akan ada penguasa Kristal Kehidupan yang kedua? Sampai bila kau nak simpan rahsia ni dari saya?'

[Yang Mulia, jangan marah dulu. Saya bukan sengaja hendak merahsiakan perkara ini tapi saya merancang hendak memberitahu Yang Mulia setelah Yang Mulia tiba di Kerajaan Iron Tulip. Saya tidak menyangka yang perkara akan berubah seperti ini...]

'Hump, Kamu berhutang penjelasan terhadap saya. Saya akan tuntut ini kemudian!'

Di minda Aubree, dia mendengar suara White yang seperti ingin menangis namun Aubree mengabaikannya.

"Kenapa tuan ini sangat yakin jika saya ialah pemilik kepada Kristal Kehidupan yang kedua? Jika saya ialah pemilik Kristal Kehidupan yang kedua, Kristal Kehidupan itu sendiri yang akan datang kepada saya untuk menentukan jika saya ialah pemilik yang sebenar atau tidak," balas Aubree pula.

Tuan Merrah memandang Aubree dengan keluhan kesal dilepaskan dalam hati. 'Apakah maksud dia berkata seperti ini? Adakah dia tahu yang saya mencurigai dia? Hmm, dia boleh tahu yang saya mencurigai dia? Boleh tahan...'

"Sebab itu kamu perlu mengikuti saya kembali ke Menara Kristal supaya kami boleh memeriksa adakah kamu ialah pemilik Kristal Kehidupan itu atau tidak," kata Tuan Merrah pula.

"Dan jika saya terbukti bukan pemilik Kristal Kehidupan itu, apa yang akan kamu lakukan kepada saya?" soal Aubree lagi.

Dahi Tuan Merrah berkerut hebat setelah mendengar pertanyaan Aubree. 'Jika dia memang bukan pemilik Kristal Kehidupan, saya akan jadikan dia sebagai penjaga kepada Puteri Meliani. Tingkat Kekuatan dia sangat tinggi, malah lebih tinggi dari Puteri Meliani sendiri. Jika dia berada di samping Puteri Meliani dan menjaga Puteri Meliani, Puteri Meliani akan sentiasa selamat dan Kristal Kehidupan juga akan terjaga.'

Meskipun Tuan Merrah berfikir seperti itu, dia tidak mengatakan apa yang dia fikirkan itu secara terus-terang terhadap Aubree. Sebaliknya dia hanya ketawa lagi dan berkata, "Saudari, bagaimana kamu boleh yakin yang kamu bukanlah pemilik Kristal Kehidupan tersebut? Kita belum memeriksanya jadi kita belum tahu keputusan akhir..."

Sebagai seorang pembunuh di kehidupan lalu, bagaimana mungkin Aubree tidak mengetahui apa yang difikirkan oleh Tuan Merrah.

Orang yang mempunyai tenaga dan kekuatan yang kuat selalunya akan menjadi musuh kepada semua orang terkuat yang lain. Jika mereka tidak membunuh orang yang lebih kuat dari mereka, orang lain akan menggunakan cara seperti 'tali persaudaraan' sebagai tanda untuk mengikat orang kuat itu di sisi mereka. Dengan ini, bukan saja mereka akan merasa selamat tapi juga mendapat banyak faedah hasil dari 'tali persaudaraan' ini.

Nyatanya di kehidupan lama, Aubree juga pernah menggunakan kaedah ini untuk menjadikan persatuannya kuat. Dia merasuah dan mengugut banyak orang-orang kuat untuk masuk ke dalam kumpulannya agar kumpulan mereka menjadi lebih kuat dan digeruni oleh semua orang.

Aubree tidak pernah mengatakan yang pekerjaan yang dia lakukan setiap hari itu bukan pekerjaan yang bersih dan mulia. Lagipun, siapa saja di dunia ini tidak pernah melakukan pekerjaan kotor. Hanya untuk mencapai impian, semua orang sanggup melakukan apa saja untuk mencapai impian mereka, sekali pun jika harus mengotorkan tangannya sendiri.

Setelah mengetahui apa yang ingin dilakukan oleh Tuan Merrah, senyuman sinis muncul di bibir Aubree.

Senyuman itu mengejutkan semua Elf yang ada di sana kerana ini pertama kalinya mereka melihat seorang Elf bersikap bongkak seperti ini terhadap Tuan Merrah.

Jawatan Tuan Merrah di Menara Kristal sangatlah tinggi. Selain itu, tingkat kekuatan Tuan Merah juga sangat tinggi sehinggakan berpuluh-puluh Elf datang dan berusaha mengambil hati Tuan Merah. Jika Tuan Merrah berkenaan terhadap mereka, maka mereka akan mendapat faedah yang lumayan.

Semua Elf di sana berfikir jika Aubree sudah pun hilang akal. Mereka hairan kenapa Aubree bersikap bongkak terhadap Tuan Merrah dan bukannya mengambil hati dia. Jika Tuan Merrah marah terhadap dia nanti, peluangnya untuk pergi ke Menara Kristal akan hilang.

"Maaf tapi saya harus menolak kebaikan tuan untuk membawa saya kembali ke Menara Kristal. Saya dalam perjalanan pulang ke Kerajaan saya kerana ada perkara yang harus saya selesaikan," kata Aubree.

'Saya memang pemilik Kristal Kehidupan itu, jadi bila-bila masa saja saya datang ke Menara Kristal pun tidak mengapa.'

Setelah itu, Aubree mengusap kepala White untuk memberi arahan kepada White supaya bergerak ke depan.

"TUNGGU! TUNGGU DI SANA!" Satu suara milik seorang wanita dewasa menghentikan gerakan Aubree.

White berhenti, memberikan peluang kepada Aubree untuk menoleh ke arah si pemilik suara tadi.

Seorang wanita Elf yang dewasa dan berumur dalam lingkungan 20 hingga 30 tahun berjalan mendekati Aubree. "Nama saya ialah Fourlin, salah seorang dari ketua tentera dari Menara Kristal. Saudari, kamu harus faham jika pemilik kedua Kristal Kehidupan ini perlu kami cari secepat mungkin sebelum Raja Kegelapan tahu. Putera Kilan di sini memberitahu kami jika saudari ialah calon bagi pemilik yang kedua itu. Saya mohon agar kamu mengikuti kami kembali ke Menara Kristal agar kami boleh memeriksa adakah ini betul atau tidak..."

Aubree diam dan hanya memandang wanita Elf yang ada di depannya.