Rombongan yang mengikuti Putera Issac sedang bersiap-siap untuk bertolak. Issac bercadang mahu menggunakan kuda untuk menggantikan alat pengangkutan mereka. Jadi semua Elf yang akan mengikuti Issac akan menggunakan kuda.
Issac naik ke atas seekor kuda yang berwarna hitam. Dia memandang ke arah Aubree yang sedang berdiri tidak jauh darinya. "Kau mahu naik dengan saya?"
Aubree memandang Issac dengan wajah kosong. 'Huh, apa? Saya tidak salah dengar kah ni? Dia nak ajak saya naik kuda dengan dia? Peih, siapa mahu!'
Soalan itu membuatkan Angela yang sudah menaiki kudanya sendiri segera menoleh ke arah Issac. "Apa? Kau mahu ajak pembantu ni naik ke atas kuda bersama kau? Kau tahu tak soalan kau tu sangat tidak masuk akal?" kata Angela dengan muka tidak puas hati.
Angela tahu pembantu biasa yang dibawa oleh Issac bersama mereka itu akan membuatkan Angela merasa terancam tapi dia tidak menyangka pula ia akan menjadi begini teruk.
Angela segera memberikan jelingan tajam kepada Aubree, dia mahu memperingatkan Aubree tentang status dia sebagai seorang pembantu biasa dan seorang pembantu biasa tidak boleh bergaul dengan Elf yang berkedudukan tinggi, contohnya Issac.
Aubree melihat jelingan itu dan hanya mencemuh dalam hati. 'Kau tak perlu bagi saya amaran begitu pun, saya memang tidak akan mahu terima tawaran lelaki muka ais ni!'
Aubree memandang ke arah Issac dan menunduk sedikit. "Maaf, Yang Mulia. Sebagai seorang pembantu biasa, saya tidak boleh menerima tawaran Yang Mulia..."
"Kamu akan mengikuti saya sepanjang masa saya meronda di sekeliling desa ini. Kamu ialah seorang pembantu biasa, kamu tidak dapat menunggang kuda sendirian."
'Walaupun status saya ialah pembantu biasa di sini, tidak bermakna saya tidak tahu hendak menunggang kuda! Tak guna punya lelaki muka ais! Kau nak cakap yang saya tidak dapat menunggang kuda? Pei, dasar lelaki muka ais!'
"Issac, dia cuma seorang pembantu biasa dan kau ialah seorang Putera dari Kerajaan Timur. Kau tidak boleh berikan tumpangan pada dia... Jika banyak Elf yang tahu tentang ini, kau akan diketawakan oleh orang lain..." Angela segera mencelah percakapan diantara Issac dan Aubree.
Angela tidak mungkin akan biarkan Aubree naik ke atas kuda bersama dengan Issac. Selama ini Issac tidak pernah meminta seorang wanita untuk menunggang kuda bersamanya tapi kenapa hari ini, Issac tiba-tiba meminta Aubree pula?
Aubree juga berfikir benda yang sama dengan apa yang difikirkan oleh Angela. 'Kenapa Issac tiba-tiba nak saya naik ke atas kuda bersamanya? Jangan-jangan dia curiga dengan saya pasal kejadian semalam? Tapi tidak mungkin dia tahu sebab saya yakin jika penyamaran saya tidak terbongkar...'
"Sebenarnya, Yang Mulia... Saya boleh menunggang kuda saya sendiri jadi Yang Mulia tidak perlu risau jika saya tidak dapat mengikuti Yang Mulia," kata Aubree.
Issac memandang Aubree dengan mata yang dikecilkan. "Oh, kamu tahu bagaimana mahu menunggang kuda?"
Aubree membalas pandangan Issac dengan hati yang sedikit resah. Bila Aubree mendengar suara curiga Issac tadi, Aubree merasa resah jika Issac mencurigai sesuatu dalam dirinya.
Belum sempat Issac atau Aubree mengatakan apa-apa, Angela yang sudah tidak tahan dengan perbualan dua orang Elf ini, terus mencelah. "Kalau kamu tahu bagaimana mahu menunggang kuda, itu sudah baik. Sekarang, cepat kamu pilih kuda kamu dan bersiap untuk bertolak. Jangan kerana kamu, kita lambat untuk bertolak."
Aubree menunduk ke arah Angela sebagai tanda menerima arahan Angela sebelum dia menghampiri seorang Elf yang ditugaskan untuk menjaga bangsal kuda. Sementara berjalan ke arah bangsal kuda, Aubree sempat lagi membebel seorang diri.
"Dia cakap yang saya akan lambatkan mereka untuk bertolak? Ingat saya nak sangat ikut mereka? Hishh, tak guna!"
Setelah Aubree mendapatkan kudanya dan naik ke atas, mereka pun bertolak. Perjalanan mereka bermula dan harus melintasi beberapa buah pasar.
Semasa Issac keluar dari kawasan kediaman Putera Ketiga, dia mencuri banyak perhatian dari para Elf yang ada di pasar umum.
Banyak wanita Elf yang terpegun melihat Putera Pertama Kerajaan Elf Timur yang menaiki kuda.
Kerana Issac ialah seorang Putera yang tampan dan ditambahkan lagi dengan wajah dinginnya, dia diibaratkan seperti seorang pahlawan yang mahu bertolak ke medan perang.
Meskipun wajahnya serius dan dingin, ia tidak dapat menghentikan para wanita daripada terus terpegun dan tergila-gila dengan Putera Pertama itu. Tidak kira semua wanita ini berasal dari keluarga kaya atau miskin, mereka tetap terpegun.
Sama halnya dengan Angela kerana dia juga mempunyai imej sebagai seorang ahli sihir yang cantik. Banyak lelaki Elf yang melihat Angela akan terpegun dan menjerit-jerit memanggil nama Angela.
"Oh, lihat itu! Itu ialah Putera Pertama dari Kerajaan Timur, yang dipanggil sebagai Putera Dingin... Saya tidak menyangka yang Yang Mulia menjadi lebih tampan!"
"Saya setuju, dia malah lebih tampan dari tahun lalu! Saya dengar yang Yang Mulia Putera Pertama akan tinggal di sini untuk beberapa minggu untuk menolong Yang Mulia Putera Kilan untuk mencegah tentera Kegelapan daripada menyerang desa kita!"
"Betulkah? Jadi, kita ada peluang untuk melihat Yang Mulia Putera Issac setiap hari?"
"Kalau Yang Mulia mahu tengok muka kau! Kau ni tidak tak pernah tengok cermin kah? Tengok muka kau, adakah Yang Mulia mahu melihat muka hodoh macam kau!"
"Kalau kau nak cakap hodoh pada orang lain, kau patut cakap perkataan tu pada diri kau dulu... Jangan samakan kehodohan kau itu dengan saya!"
"Hei, apa maksud kau!?"
"Kau sendiri tahu apa maksud saya!"
Dan dengan begitu saja, pergaduhan diantara para wanita Elf bermula sedangkan pelaku yang membuatkan pergaduhan itu berlaku tidak peduli sedikit pun tentang apa yang terjadi.
Aubree melihat semua kejadian yang berlaku kerana dia hanya berada beberapa meter jauh dari Issac. Melihat bagaimana terkenalnya Issac diantara para wanita Elf membuatkan Aubree mencemuh dalam hati. Dia meluat melihat bagaimana semua wanita memuji dan tergila-gila dengan Issac sedangkan lelaki itu dua puluh empat jam sentiasa memakai wajah dingin.
'Hanya saya seorang saja yang nampak lelaki ni suka memakai wajah dingin dan agak sombong... Atau memang semua perempuan suka dia?'
'Mereka memanggil dia hanya dengan panggilan Putera Dingin saja? Kenapa tidak panggil saja dia Putera Bermuka Ais Yang Dingin Dan Sombong?'
Sepanjang masa perjalanan melintasi pasar umum itu, Issac tidak memberi reaksi apa-apa. Dia hanya duduk di atas kuda dengan wajah dingin dan matanya hanya diarahkan ke jalan raya. Issac juga tidak menoleh ke kiri atau kanan untuk memberi senyuman kepada orang ramai yang berkumpul.
Tidak lama kemudian, terdengar pula bunyi para wanita berteriak dari arah tempat di mana Issac dan rombongannya masuk.
Bila Aubree menoleh ke belakang untuk mencari tahu punca kenapa semua wanita Elf itu berteriak, dia melihat ada Jake bersama dengan rombongannya.
Berbeza dengan Issac yang tidak mahu memandang sesiapa pun, Jake pula dengan senyuman paling manis, melambai ke arah semua orang. Sempat lagi dia mengenyitkan mata ke arah beberapa orang wanita Elf sehingga wanita itu pengsan di atas jalan.
Aubree terus terlopong tidak percaya. 'Ini sangat tidak dipercayai. Si muka ais tu mampu buatkan perempuan bergaduh sebab dia... Sedangkan lelaki playboy ni mampu buatkan perempuan pengsan. Seriously, inikah kelebihan seorang lelaki yang mempunyai wajah tampan!'
Aubree menoleh ke depan dan tidak menumpukan perhatiannya ke arah Jake lagi.
Setelah perjalanan selama setengah jam, mereka tiba di sebuah sungai. Issac memberi isyarat untuk berhenti dan menyuruh para tentera yang mengikutinya untuk memeriksa kawasan itu.
Angela yang masih ada di atas kudanya, menggerakkan tali kuda agar kudanya berjalan menghampiri Issac. "Kau yakin jika di kawasan ini adalah kawasan yang digunakan oleh Tentera Kegelapan untuk membuat pintu portal?" tanya Angela.
Issac tidak menoleh ke arah Angela dan sebaliknya hanya menumpukan perhatiannya ke arah sungai. "Pasti atau tidak pasti, itu bukan fokus kita. Sekarang ini, kita harus mencari semua pintu portal yang sudah ditanam oleh Tentera Kegelapan sebelum mereka mengaktifkan pintu portal itu."
Angela diam sekejap sebelum dia mengangguk. Kemudian dia turun dari atas kuda. "Kalau begitu, saya akan gunakan sihir untuk memeriksa sama ada kawasan ini sudah ditanam dengan pintu portal atau tidak..."
Angela tidak menunggu jawapan dari Issac dan terus berjalan mendekati sungai. Dia mengangkat tangannya ke atas dan membacakan mantera yang hanya dia yang faham.
Aubree hanya diam di atas kuda sambil memandang Angela melakukan pekerjaannya.
Setelah Angela menghabiskan membaca semua mantera, tapak tangannya mengeluarkan cahaya terang sebelum cahaya itu membesar dan membentuk semua gelombang, yang menyinari seluruh kawasan hutan dan sungai itu.
"Ini terasa pelik," kata Angela.
"Ada apa?" tanya Issac kepada Angela setelah dia menyedari wajah Angela yang terlihat dalam masalah.
"Saya boleh merasa sedikit aura dari Tentera Kegelapan tapi saya tidak merasa ada tanda-tanda pintu portal telah ditanam di sini," kata Angela menjawab soalan Issac.
Wajah Issac berubah menjadi tidak senang dengan kata-kata Angela. "Bermakna, ada Tentera Kegelapan yang berada di sekitar sini. Adakah kau dapat pastikan mereka berada di mana?"
Angela mengangguk sekali dengan wajah serius. Dia mengangkat tangan kanannya dan menunjuk ke arah kawasan hutan yang berada di seberang sungai. "Mereka ada di seberang sungai ini."
Issac dan Aubree memandang ke arah hutan yang ada di seberang sungai.
Aubree mengecilkan matanya. Dengan masa sesaat, anak mata Aubree yang berwarna hitam berubah menjadi warna emas sebelum ia kembali menjadi normal. Tentu saja tiada yang nampak perubahan ini kerana Aubree berada di belakang Issac dan Angela.
Dengan perubahan itu, deria penglihatan Aubree menjadi dua kali ganda lebih tajam. Dia menggunakan penglihatannya untuk memeriksa kawasan hutan yang ada di seberang.
Apa yang dia nampak ialah, sekumpulan Tentera Kegelapan yang lengkap dengan senjata sedang bersembunyi di sebalik pokok dan sedaya-upaya menyembunyikan diri mereka supaya tidak terlihat.
Aubree mengeluh dalam hati. 'Mereka datang lagi. Jika dilihat, kekuatan mereka lebih kuat dari Tentera yang menyerang ladang anggur hari itu. Jika Issac dan Angela pergi ke hutan itu, mereka tidak akan dapat mengalahkan mereka, walaupun ada Tentera Elf yang datang bersama mereka. Aishh, takkan saya perlu bertukar untuk selamatkan mereka lagi?'
Para tentera yang memeriksa kawasan sekeliling tadi kembali lagi ke tempat Issac. Mereka melaporkan bahawa mereka tidak menemukan apa-apa yang mencurigakan.
"Saya yakin mereka ada di seberang sana!" kata Angela, masih mahu berkeras agar mereka memeriksa hutan yang ada di seberang jalan.
Aubree menjeling Angela dalam diam. 'Kau akan buatkan kita terbunuh kalau kita semua ke sana. Maksud saya, saya tidak akan mati sebab saya boleh melawan mereka semua... Tapi tidak mungkin saya akan bocorkan identiti saya hanya dengan menyelamatkan kamu semua...'