Chereads / Aku Di Dunia Elf / Chapter 22 - Tidak Setanding

Chapter 22 - Tidak Setanding

Setelah jauh dari kawasan di mana dia bertembung dengan Issac tadi, Aubree pun berhenti di tepi sebuah sungai.

Dia terus terduduk di atas tanah sambil menghembuskan nafas panjang.

White yang sudah bersembunyi di kawasan yang terdekat itu berjalan menghampiri Aubree.

"Saya sudah dapatkan kembali panah saya. Sayangnya, saya tiada peluang nak bertarung dengan Putera Ketiga atau ahli sihir itu. Kalau saya dapat bertarung dengan mereka, saya pasti akan dapat tentukan seberapa kuatnya kemampuan saya ini..."

Semasa Aubree bercakap, anak matanya bercahaya lagi dan kini anak matanya yang berwarna hijau kini bertukar menjadi merah. Aubree mengangkat tangannya dan anak panah yang dia letakkan di tepinya terbang melayang ke udara.

Kemudian, Aubree menggenggam jari-jemarinya dan anak panah tadi menghilang menjadi debu, seolah-olah tidak pernah wujud pun sebelum ini.

[Yang Mulia, jika Yang Mulia menggunakan kemampuan Yang Mulia bertarung dengan mereka, mereka tidak akan dapat mengalahkan Yang Mulia. Mereka tidak setanding dengan Yang Mulia...]

Mendengar itu, ada rasa bangga yang muncul di hati Aubree. Dia terus mengangkat dagunya dengan wajah bangga dan berkata, "Mestilah mereka tidak setanding dengan saya..."

[Jadi, Yang Mulia sudah tahu kekuatan sebenar Yang Mulia. Apa yang akan kamu lakukan? Seharusnya, Yang Mulia kembali ke Kerajaan Iron Tulip.]

"Saya belum dapat kembali ke Kerajaan Iron Tulip selagi kontrak saya dengan Putera Ketiga itu selesai..." Tanpa menghabiskan apa yang ingin dia katakan, Aubree terdiam sambil berfikir sesuatu. "Tapi jika tengok keadaan saya sekarang, tidak mustahil jika saya pergi dari tempat ni. Tidak ada orang yang akan curiga!"

[Jadi Yang Mulia merancang mahu melarikan diri dari kediaman Putera Ketiga itu?]

Aubree mengangguk kecil. "Hmm, mungkin..."

White terlihat senang dengan jawapan Aubree. [Kalau begitu, saya akan umumkan kepada para pengikut yang lain untuk menyambut Yang Mulia di sini...]

Aubree terus memandang ke arah White pula. "Tunggu... Jangan dulu beritahu mereka. Saya yang akan datang sendiri. Kau harus tetap ada di sini dan tetap bersama saya sehingga saya kembali ke Kerajaan Iron Tulip lagi."

Mendengar arahan baru itu, White menundukkan kepala dengan gerakan lembut. [Baik, Yang Mulia.]

Aubree memandang ke langit dengan senyuman kecil. Dia keras gembira dan bangga dengan dirinya sendiri. Walaupun Aubree berpindah ke dunia lain, Aubree masih memiliki kekuatannya dan malah menjadi semakin kuat dari dirinya di dunia sebelum ini.

'Umur saya masih panjang... Masih banyak perkara menarik yang menunggu saya di masa depan...'

***

***

Seperti biasa, Aubree dan Julie pergi ke kediaman Putera Ketiga untuk bekerja. Aubree pergi ke bilik Putera Kilan untuk menolongnya bersiap.

Saat Aubree tiba di sana, Aubree melihat ada Issac di ruang tamu kecil di luar bilik Putera Ketiga. Aubree bersikap tenang saja di depan Putera Pertama itu.

Aubree menunduk hormat kepada Issac, memberi salam hormat kepada Putera Pertama itu. "Salam hormat, Yang Mulia..."

Issac tidak bercakap, sebaliknya hanya memandang Aubree dalam masa beberapa saat sebelum dia memandang ke tempat lain.

Aubree tidak dapat menahan dirinya daripada mencemuh Putera Pertama itu dalam hati. 'Dasar muka ais!'

Aubree tidak kisah dengan kehadiran Issac lagi dan dia terus masuk ke bilik Putera Ketiga. Melihat Kilan sudah berdiri di depan cermin bersama dengan seorang pembantu lain, Aubree segera membantu pembantu itu.

Kilan melirik ke arah Aubree yang sedang membetulkan jubah lapisan luar yang dipakainya. Aubree yang tidak sedar itu hanya sibuk menolong Putera Ketiga itu. Kilan hanya memandang Aubree untuk beberapa saat sebelum dia mengalihkan pandangannya ke depan.

Setelah siap, Aubree dan pembantu tadi berundur ke belakang.

Kilan memandang dirinya di depan cermin untuk kali terakhir sebelum dia berjalan keluar. Aubree dan pembantu tadi hanya mengikuti dari belakang.

Ketika mereka keluar, Angela dan Jake sudah ada di luar untuk menunggu Kilan. Mereka berdiri dan terus memberi salam hormat kepada Putera Ketiga. Hanya Issac saja yang tidak berdiri.

"Ada apa-apa khabar tentang serangan Tentera Kegelapan lagi?" tanya Kilan, mengambil tempat duduk di tempat duduk berbalutkan tilam empuk yang ada ruangan itu.

Setelah Kilan duduk, barulah Angela dan Jake duduk di tempat duduk mereka.

Pada masa yang sama, mata Angela terarah ke arah Aubree yang berdiri dan menunduk di sebelah bangku Kilan. Angela tidak tahu kenapa tapi dia merasa terancam bila melihat Aubree. Perasaan ini sama seperti perasaan yang dia rasa ketika melihat lelaki Elf yang tidak dikenali semalam.

'Perasaan apa ni? Kenapa saya merasa terancam dengan dia? Dia cuma seorang pembantu biasa di kediaman ini? Kenapa saya merasa begini pula?'

Dengan deria keenamnya, Aubree memang tidak terlepas daripada merasakan pandangan tajam dari Angela. 'Tidak mungkin ahli sihir ini tahu yang saya ialah pemilik anak panah yang dia jumpa kelmarin. Penyamaran saya adalah pada tahap yang tinggi, tidak mungkin dia akan tahu...'

Walaupun Aubree merasa tidak senang dengan renungan tajam dari Angela, Aubree tetap bersikap tenang dan berdiri di dekat Kilan.

"Semalam, beberapa pengawal yang bertugas meronda di sekeliling desa melaporkan ada pergerakan mencurigakan di bahagian selatan. Saya rasa Tentera Kegelapan yang lain masih ada di desa ini," Jake melaporkan apa yang dia dengar melalui pengawal bertugas kepada Kilan.

"Jadi itu bermakna, tempat ini sudah diceroboh dengan Tentera Kegelapan. Semua Tentera Kegelapan itu harus dihancur secepat mungkin sebelum ada warga desa yang terluka," kata Kilan pula.

Tiba-tiba, Issac berdiri sambil memandang ke arah Kilan. "Saya akan meronda di sekeliling desa ini bersama dengan pengawal yang lain. Lebih baik kau laporkan masalah ini ke Raja sebelum masalah ini semakin membesar."

Tidak lama kemudian, Jake pula berdiri. "Saya akan ikut dengan Issac. Kami akan membentuk dua kumpulan untuk memeriksa kawasan-kawasan di Desa ini..."

Belum sempat Kilan berkata apa-apa, Issac kembali bercakap lagi. "Tapi, saya mahu dia datang bersama saya untuk membantu saya seperti kelmarin..."

Aubree menoleh ke arah Issac bila mendengar Issac berkata begitu dan dia mendapati yang Issac sedang menunjuk ke arahnya dengan wajah selamba tapi dingin. 'Hei, kenapa saya? Dalam banyak-banyak pembantu rumah di sini, kenapa saya? Dasar muka ais, cari orang lainlah nak pilih!'

Kilan juga ikut memandang ke arah Aubree. Dengan wajah bingung, dia memandang ke arah Issac. "Kenapa dia?" tanya Kilan. Dia tidak tahu kenapa tapi Kilan merasa sedikit ragu-ragu untuk memberi kebenaran kepada Issac untuk membawa Aubree pergi.

"Dia ialah salah seorang dari pembantu kau yang selalu menolongnya kau. Berbanding dengan pembantu lain, dia lebih sesuai untuk melayani saya sebab dia lagi tahu keperluan seorang Putera. Jadi, dia lebih sesuai ikut dengan saya. Lagipun, saya tiada masa nak pilih pembantu lain. Saya tidak mahu buang masa saya pilih orang lain sedangkan pembantu yang sesuai sudah ada di sini..." Dengan suara yang lancar, Issac berkata kepada Kilan.

Kerana alasan yang diberikan oleh Issac itu ada benarnya, Kilan terpaksa memenuhi permintaan Issac.

"Mari pergi!" kata Issac kepada Aubree yang masih berdiri di tempatnya.

Aubree yang masih termangu-mangu itu terpaksa mengikuti Issac yang sudah pergi. Sempat lagi dia mengutuk Putera Pertama itu dalam hati. 'What the hell!? Kenal asyik saya saja yang dia nak bawa? Kenapa bukan orang lain? Pembantu Putera Ketiga tu kan ada banyak, kenapa saya? Issh, lelaki muka ais ni mesti sengaja nak kenakan saya!'

Tanpa mengatakan apa-apa, Angela sudah tentu akan mengikuti ke mana pun Issac pergi. Setelah meminta izin untuk berlalu kepada Putera Ketiga, Angela segera berlari mengejar Issac.

Jake juga meminta diri dari sana untuk melakukan tugasnya.

Tinggallah Kilan di sana seorang diri sambil berfikir tentang sesuatu. Kilan masih lagi berfikir tentang motif Issac mahu membawa Aubree keluar. Secara tiba-tiba, Kilan merasa mahu Aubree mengikuti Issac.

Bila Kilan sedar apa yang dia fikirkan, Kilan terus tersedar. 'Eh, apa yang saya fikir ni? Sejak bila saya terfikir seperti ini kepada pembantu tu? Ini tidak masuk akal!'

Dengan gelengan kepala, Kilan berdiri dan bersiap-siap untuk pergi ke istana.