Kerana Issac ialah seorang Putera Ketiga dari Kerajaan Elf Timur dan juga seorang putera yang tampan, ramai orang yang mahu mengambil kesempatan untuk mendapatkan perhatian Issac agar nama dan status mereka meningkat.
Alasan itu sudah cukup untuk membuatkan Issac benci dan meluat dengan semua Elf yang hanya ingin mendekatinya kerana niat buruk. Sebab itu kenapa Issac tumbuh dengan sikap dingin agar semua Elf menjauh darinya setelah melihat aura dingin dan mengerikan yang dikeluarkan oleh Issac.
Namun tidak pernah pula Issac menyangka yang hari ini, dia terjumpa dengan seorang Elf yang tidak mahu mendekatinya sedangkan Elf itu belum tahu identiti Issac.
"Kau tahu siapa saya?"
'Ya, saya tahu... Hari-hari kita jumpa di kediaman Putera Ketiga dan hari ini pun kau hampir nak bongkarkan rahsia saya.'
Walaupun kata hati Aubree berkata begitu, Aubree tidaklah bodoh sangat mahu memberitahu begitu kepada Issac. Itu cari nahas namanya!
Aubree tersengih. "Kenapa saya perlu tahu siapa kau? Apa yang saya dapat kalau saya tahu siapa kau?" balas Aubree dengan wajah tidak peduli.
Issac tidak menjawab, sebaliknya masih merenung Aubree.
Tidak lama kemudian, Angela yang tertinggal tadi, akhirnya tiba di sisi Issac. Dia melihat ada orang lain lagi yang bersama dengan Issac saat itu dan mencuba untuk menyerang dia dengan sihirnya.
Issac tahu jika Angela akan bersikap agresif terhadap Elf yang dia tidak kenali. Jadi sebelum Angela menyerang Aubree, Issac sudah pun menghentikan dia. "Angela, jangan buat apa-apa pada dia. Dia bukan musuh!"
"Kalau dia bukan musuh, kenapa dia ada di sini?" tanya Angela tidak puas hati.
"Dia ialah pemilik panah yang saya cari," balas Issac tanpa mengalihkan pandangannya dari wajah Aubree.
Angela memandang ke arah Aubree. Dia masih ingat jika Issac berkata yang pemilik panah ini ialah penyelamat Issac dan Angela mahu berterima kasih kerana itu.
Namun sebaik saja matanya berbalas pandangan dengan Aubree, Angela diam membeku. Tiba-tiba saja Angela merasa sesuatu yang tidak kena dengan Aubree. Ketika dia memandang Aubree, dia merasa seolah-olah yang Aubree bukanlah sekadar Elf biasa dan yang paling membuatkan Angela tidak senang adalah Angela boleh merasa jika Elf yang ada di depannya ini akan merebut Issac darinya bila-bila saja.
Naluri Angela sangat tajam dan tepat jadi tidak mungkin apa yang Angela rasakan saat ini salah. 'Tapi Elf ini ialah lelaki? Kenapa saya rasa dia akan merebut Issac bila-bila masa saja dari saya?'
Aubree yang juga memiliki deria keenam yang tajam, turut merasa aura berbahaya dari Angela. Aubree sangat yakin jika Angela tidak akan mengenali Aubree dengan rupanya yang baru ini.
Aubree juga tidak merasa aura berbahaya dari Angela membawa maksud untuk membunuh Aubree tapi aura itu memberi maksud yang Angela merasa tergugat dengan kehadiran Aubree dan merasa Aubree akan menculik Issac bila-bila masa saja. 'Atau saya salah tengok? Kenapa sejak saya masuk ke dunia Elf ni, saya merasa naluri saya selalu salah?'
"Kau sudah dapatkan apa yang kau mahu jadi kau boleh pergi dari sini!" Suara Angela yang tadinya lembut saja ketika bercakap dengan Issac, kini berubah menjadi suara datar ketika bercakap dengan Aubree.
Angela merenung Aubree dengan tajam, seakan-akan ingin menyuruh Aubree agar segera pergi.
Aubree terus mendengus tidak percaya kerana arahan dari Angela. 'Saya memang nak pergi dari sini, okey? Janganlah tengok saya macam saya ni mahu culik suami kau pula!'
Issac memandang ke arah Angela dengan wajah tidak senang. "Bukan kau yang tentukan keputusan."
Angela terkejut mendengar kata-kata Issac. Dengan cepat, kepalanya terteleng ke arah Issac. "Issac, bukan macam tu... Saya cuma nak tolong kau! Lagipun, kita tak tahu jika Elf ini mempunyai maksud yang baik atau buruk. Lebih baik kita pergi dari sini secepat mungkin..."
"Kau sudah lupa? Saya sudah cakap yang saya nak cari pemilik panah itu. Sekarang, saya sudah jumpa dia dengan usaha saya sendiri sedangkan kau tidak mampu pun menjejaki keberadaan dia. Jadi, kau tidak layak untuk mengarah dia pergi dari sini atau tidak..." Begitu dinginnya suara Issac bercakap dengan Angela.
Angela terkejut dengan reaksi dingin Issac. Dia tidak pernah melihat Issac sedingin ini padanya. Kerana terkilan, Angela tidak dapat menahan dirinya daripada menangis.
Aubree memandang cara Issac melayani Angela dengan dingin sekali, menjadikan Aubree kesal dengan sikap Issac. "Tsk, tsk, tsk... Kalau beginilah cara kau layan perempuan, hidup seorang diri lah kau ni selamanya..."
Angela terus menjeling ke arah Aubree dengan air mata masih mengalir. "Diamlah! Issac tidak mungkin akan hidup seorang diri. Jika tiada perempuan yang mahukan dia, saya rela bersama dia selamanya!"
"Pfftt!" Kerana tidak tahan, Aubree terus ketawa terbahak-bahak. "Oh wow! Itu adalah luahan hati yang paling romantik yang saya pernah dengar."
"Diamlah. Jangan bercakap benda yang mengarut," tegur Issac lagi.
Angela semakin sedih. Ahli sihir Elf itu memandang Issac dengan mata yang berair. "Tapi... Tapi saya cakap... Saya cakap benda yang betul!"
"Ini bukannya masa yang sesuai untuk bermain. Saya tiada mood nak layan benda ni..." Sekali lagi, kata-kata Issac membuatkan Angela semakin terkilan.
Dalam diam, Angela menggenggam erat jari-jemarinya. Sakit di hati tiada siapa yang rasa kecuali dirinya sendiri. Angela melirik ke arah pelaku yang sudah membuatkan Issac menjadi semakin dingin ini.
Si pelaku Aubree yang hanya selamba memandang mereka bergaduh itu, menggaru dagunya tanpa rasa bersalah. 'Ini salah saya seratus peratus. Saya cuma datang nak ambil panah saya saja...'
"Saya tak mahu masuk campur dalam urusan peribadi kamu berdua. Oleh kerana saya sudah dapatkan apa yang saya mahu, saya pergi dulu! Oh, dan saya harap kau tidak akan cari saya lagi selepas ini!" Aubree sempat memberikan senyuman nakal kepada Issac.
Angela menjadi semakin marah melihat senyuman itu. 'Kalau nak pergi tu, pergi sajalah! Tak perlu nak minta benar segala bagai!'
Tiba-tiba, Issac merasa cemas ketika lelaki Elf tadi berkata yang dia ingin pergi. Dia tidak tahu kenapa tapi dia tidak mahu lelaki itu pergi secepat ini.
"Tunggu, kau sudah menyelamatkan saya sebanyak dua kali. Setidaknya, biarkan saya lakukan sesuatu untuk membalas budi kau!"
Angela memandang Issac dengan mulut ternganga besar, dia tidak percaya jika Issac akan menghentikan lelaki Elf yang tidak dikenali itu.
Aubree memandang ke arah Issac dengan wajah tidak percaya tapi beberapa saat kemudian, senyuman kecil menghiasi bibirnya.
"Mungkin tidak. Saya tidak mahu bergaul dengan banyak Elf, terutamanya Elf yang mempunyai status tinggi seperti kau..."
Kening Issac terangkat tidak percaya. "Oh, kau tahu siapa saya?"
Aubree mengeluh. "Saya bukannya seseorang yang diibaratkan macam katak di bawah tempurung, Yang Mulia Putera Ketiga. Meskipun saya kenal kau... Tapi kau tidak kenal saya. Jika dilihat kepada status kita yang berbeza, saya tidak hairan jika kau tidak kenal dengan saya."
"Bagaimanapun, saya harus pergi kerana saya tidak mahu berlama di sini... Terima kasih sebab sudah tolong simpan panah ini untuk saya!"
"Boleh saya berjumpa dengan kau lagi?"
Aubree agak terkesima dengan soalan dari Issac. Dalam seumur hidupnya sebagai seorang pembunuh, dia tidak pernah menyangka orang akan bertanya soalan itu kepadanya.
"Kau pernah dengar perkataan tentang 'takdir', Yang Mulia? Katanya, jika kita mempunyai umur yang panjang, takdir akan mempertemukan kita kembali..."
Dengan sekelip mata, Aubree sudah pun menghilang. Dahan pokok tempat dia berdiri tadi masih hangat dengan kehadiran Aubree walaupun dia sudah tiada.
Issac yang tidak lagi mampu menahan Aubree pergi, hanya mampu memandang tempat Aubree berdiri dengan wajah kosong. Dia tidak faham, kenapa dia tidak mahu Elf itu pergi. Siapa Elf itu sehingga Issac yang selama ini tidak pernah peduli dengan orang lain pun merasa teragak-agak mahu melepaskan dia?
"Issac, mari pergi!" Angela tidak sanggup melihat Issac yang terlihat seperti tidak sanggup mahu meninggalkan tempat ini. 'Adakah Elf tadi sangat penting bagi dia sampai Issac pun jadi begini? Tapi Issac tidak pernah peduli dengan mana-mana Elf pun sebelum ini...'
Issac memandang ke tempat Aubree menghilang tadi dengan perasaan yang bercampur-baur. Akhirnya dia pun berpaling dari sana dan berlalu.
Angela juga memandang ke tempat Aubree menghilang tadi dalam masa sesaat. Keluhan kesal keluar dari mulutnya sebelum dia mengejar Issac lagi.
***
***
Di sebuah menara, di sebuah kawasan yang dikawal rapat dengan pengawal Kerajaan dan tentera-tentera Elf, seorang ahli sihir Elf yang sudah terlihat tua sedang berjalan dengan pantas menuju ke ruangan tingkat paling atas di menara itu. Di belakangnya, ada sekumpulan lagi Elf yang memakai baju perang yang berlainan warna.
Ketika dia membuka pintu, matanya menjadi bulat disertai dengan riak wajahnya yang mula berubah.
Apa yang dia nampak di tengah-tengah ruangan itu ialah sebutir pertama indah dan bercahaya sedang melayang-layang di meja altar yang kecil. Permata itu bercahaya dengan cahaya yang berkedip, membuatkan semua orang yang masuk ke ruangan itu harus menahan nafas mereka.
Beberapa orang penjaga yang sudah ada di ruangan itu menunduk untuk memberi salam hormat kepada ahli sihir itu.
"Ahli Sihir Yang Tertua, apakah maksudnya Kristal Kehidupan ini bercahaya seperti ini?" tanya seorang wanita Elf yang memakai baju perang berwarna merah dan membawa sebilah pedang yang disangkut di pinggangnya.
Ahli Sihir Yang Tertua ialah ahli sihir yang paling tertua dan terkuat di seluruh kerajaan Elf. Kerana statusnya yang tinggi, hanya dia yang diberi tanggungjawab dan dibenarkan untuk menjaga Kristal Kehidupan sehinggalah penguasa Kristal itu sudah cukup dewasa untuk mengendalikan kekuatan Kristal Kehidupan.
Ahli Sihir Yang Tertua itu mendekati meja altar dengan matanya masih melekat pada Kristal Kehidupan yang sebesar tapak tangan itu.
"Ahli Sihir Yang Tertua?"
Ahli Sihir Yang Tertua itu mengeluh dalam keadaan keliru dan kesal. "Kristal Kehidupan mempunyai pemilik yang baru!"
Kata-kata itu membuatkan semua orang yang ada di sana terkejut.
"Tidak mungkin... Kita sudah mempunyai seorang penguasa Kristal Kehidupan dan dia sendiri ada di bawah bimbingan Ahli Sihir Yang Tertua. Tidak mungkin akan ada penguasa lain muncul lagi!" kata seorang Elf lelaki yang bertubuh besar dan mempunyai janggut.
"Kamu semua mungkin tidak akan percaya dengan apa yang saya katakan tapi Kristal Kehidupan tidak akan pernah berbohong. Meliani mungkin sudah dipilih oleh Kristal Kehidupan sebagai penguasanya ketika Meliani mengikuti ujian lima tahun yang lalu tapi kita tidak akan pernah tahu bagaimana masa depan kita akan berubah..."
"Jadi, sekarang kita harus bagaimana, Ahli Sihir Yang Tertua?"
"Bagaimana dengan nasib Puteri Meliani?"
"Kita tidak mungkin akan mengusir Puteri Meliani pergi dari sini sebab dia ialah penguasa pertama Kristal Kehidupan!"
Semua orang mula bercakap-cakap sehingga menimbulkan bunyi yang bising.
"Senyap!" Suara Ahli Sihir Yang Tertua membuatkan semua orang kembali terdiam.
"Puteri Meliani masih menjadi penguasa Kristal Kehidupan ini... Tapi kita juga harus mencari penguasa Kristal Kehidupan yang baru ini sebelum Raja Kegelapan tahu. Penguasa Kristal Kehidupan yang kedua ini mempunyai peran yang penting dalam membantu Puteri Meliani melawan Raja Kegelapan nanti..."
"Kita harus mula mencari dia di mana?" tanya salah seorang Elf lagi.
Ahli Sihir Yang Tertua tadi memandang ke arah Kristal Kehidupan kembali.
"Penguasa yang satu ini sangat istimewa. Kita harus mencari dia dengan cara yang istimewa juga..."
Ahli Sihir Yang Tertua terus keluar dari ruangan itu. Yang lain segera mengikuti dia lagi. "Hantar surat darurat kepada empat buah kerajaan Elf yang lain. Maklumkan kepada semua kerajaan Elf tentang hal ini. Semua Raja dari empat Kerajaan Elf harus berkumpul di Ruang Olligan dalam masa dua hari."
"Baik, Ahli Sihir Yang Tertua..."
Kerana perubahan pada Kristal Kehidupan itu, seluruh kawasan menara itu menjadi sibuk. Semua tentera atau pengawal berlari ke sana ke mari untuk melakukan tugas mereka.