"Yang Mulia, sejak dari tadi Yang Mulia memegang panah ini. Yang Mulia ingin saya simpan panah ini dulu?" Aubree tekad mengambil keputusan untuk mengambil panah itu dari Issac.
Dia hanya mahu menghentikan Issac daripada mengetahui apa-apa yang membolehkan identiti dirinya terbongkar.
Aubree tidak masalah jika identitinya terbongkar tapi masalahnya bukan sekarang. Aubree masih mempunyai masalah yang perlu dia selesaikan dan tidak mahu menambah masalah lain.
Oleh itu, Aubree perlu menunda keinginan Issac untuk mencari pemilik panah itu. Setidaknya, Aubree tidak perlu risau untuk menangani masalah Issac pada masa yang tidak sesuai ini.
Issac mengerling ke arah Aubree yang berdiri dekat sedikit dengannya dengan wajah yang menunduk. Anak matanya mengecil dan segaris sinar yang tidak dapat difahami muncul di balik bola matanya.
"Semasa serangan tentera Kegelapan tadi, kau bersembunyi di mana tadi?" Suara dingin milik Putera Pertama itu menyapa ruang telinga Aubree.
Aubree hampir saja kehilangan keseimbangan badannya bila mendengar soalan itu. 'Dia sudah curiga pada saya? This fast?' Terlebih lagi bila dia mendengar bagaimana Issac bercakap dengannya dengan bahasa yang tidak rasmi.
Melihat bagaimana Issac boleh bercakap dengan bahasa tidak rasmi terhadap pembantu biasa tersebut membuatkan wajah ahli sihir Elf tadi menjadi merah padam kerana marah. Dia tidak puas hati bila mendengar Issac bersikap tidak rasmi dengan orang yang berstatus lebih rendah.
Kerana tidak ingin Issac terus mencurigai dia, Aubree memasang wajah takut dan cemas. "Kami, kami takut... Kami, kami hanya bersembunyi di sebalik pokok dan semak-samun, Yang Mulia!" jawab Aubree dengan suara tersekat-sekat dan ketakutan.
Mendengar bagaimana Aubree melarikan diri kerana ketakutan dan tidak melawan tentera Kegelapan tadi, ahli sihir itu tertawa dengan penuh sinis. Dengan wajah bongkak, dia berpeluk tubuh dan menghampiri Aubree.
"Baguslah kalau orang kelas rendah macam kamu bersembunyi. Kamu bukan saja tidak mempunyai Kuasa atau ilmu bela diri, malah sangat lemah. Lindungi diri sendiri pun tidak mampu, apalagi nak menolong orang lain. Sungguh tidak berguna!" sindir ahli sihir Elf itu terhadap Aubree.
Kata-kata itu sangat merendahkan maruah Aubree sebagai seorang pembunuh upahan paling berbahaya di dunia. Tidak mempunyai Kuasa itu tidak dihairankan kerana dunia moden pada abad 21 mana ada Kuasa-Kuasa macam Api, Angin dan sebagainya...
Tapi bila dikatakan Aubree tidak mempunyai ilmu bela diri dan sangat lemah, membuatkan darah Aubree menggelegak, mempengaruhi minda separuh sedarnya untuk membunuh saja ahli sihir yang ada di depannya.
'Saya ialah pembunuh upahan paling berbahaya dan sukar dibunuh di kehidupan saya yang sebelum ini. Saya tidak mempunyai masalah untuk membunuh ahli sihir tak guna ni di sini! Menyesal saya puji dia cantik tadi, dia langsung tidak cantik! Peih!'
Aubree memberikan jelingan membunuh dia ke arah ahli sihir itu dan sesaat kemudian hilang kembali sebelum ahli sihir itu sedar dengan perubahan Aubree.
Malah pembantu yang bersama dengan Aubree juga sudah menjadi pucat wajahnya bila ahli sihir tadi menyebut mereka(pembantu rumah) sebagai Elf lemah.
Meskipun ahli sihir tadi tidak sedar dengan jelingan Aubree tapi tidak bagi Issac kerana dari awal Putera Elf berwajah ais itu hanya menumpukan perhatiannya kepada Aubree. Melihat jelingan maut yang dikeluarkan oleh Aubree tadi, bola matanya bersinar sekejap kerana merasa tertarik. 'Tidak mungkin seorang pembantu biasa mampu menghasilkan sebuah jelingan maut seperti itu. Siapa dia sebenarnya?'
"Angela, sudah cukup. Mereka banyak membantu kita dalam kehidupan seharian jadi kau tidak sepatutnya berkata begitu pada mereka. Tanpa mereka, kau juga akan merasa susah..."
Wajah bongkak ahli sihir tadi segera hilang digantikan dengan wajah bersalah. Dia memandang Issac dengan wajah yang meminta maaf. "Saya tidak bermaksud..."
Hujung mulut Aubree bergerak-gerak dengan perlahan kerana melihat sikap hipokrit ahli sihir tadi. 'Aiyoo, muka saja macam bidadari tapi perangai talam dua muka. Kalau di depan Putera berwajah ais ni, dia terus jadi lembut macam kucing tapi dengan kami, bertukar jadi ganas macam singa. Peih!'
"Tak perlu katakan apa-apa..." Issac terus menghentikan kata-kata Angela dalam sebaris ayat.
Angela kembali mengeluarkan muncung tidak puas hatinya.
Issac masih mengabaikan Angela dan memandang Aubree pula. "Kau bersembunyi di bahagian mana?"
'Huh, kan saya sudah agak! Dia memang curiga kepada saya! Tidak mungkin saya akan biarkan kau tahu yang saya pemilik sebenar panah ni!'
"Maa—Maaf, Yang Mulia tapi kenapa Yang Mulia ingin tahu?"
"Pembantu tak ada sopan! Sebagai seorang pembantu rumah yang biasa, kamu tidak boleh bertanya langsung seperti itu kepada keluarga kerabat diraja! Kamu mahu saya sumpah jadi batu kah?" tempelak Angela, sekali lagi menghampiri Aubree dengan wajah bengis.
Aubree dan pembantu tadi segera menundukkan kepala mereka kerana ketakutan tapi yang sebenarnya, Aubree sedang menyembunyikan pandangan mautnya.
Semakin lama, dia merasa dia semakin hilang sabar dengan kelakuan Angela. Sifatnya sebagai seorang pembunuh membuak-buak di dalam darahnya. Mahu saja Aubree patahkan leher ahli sihir Elf ni di sini!
"Sudah, kau tidak perlu masuk campur urusan ini sebab ini adalah urusan saya. Oleh kerana kau sudah ada di sini, saya mahu kau periksa panah ini. Temukan siapa tuan pemilik panah ni..."
Angela memandang panah di genggaman Issac dengan wajah ragu-ragu. "Penting sangatkah panah ni untuk kau?"
Mata Issac bertukar menjadi kecil dan tajam. "Ya..."
Macam terkena renjatan elektrik, badan Aubree berubah menjadi kaku. Dia segera menoleh ke arah Issac sebaik saja Putera Pertama itu menjawab tapi bila memikirkan statusnya sebagai pembantu, dia segera menunduk lagi.
'Apa maksud dia panah tu penting? Dia cari saya sebab dia nak bunuh saya atau dia ada maksud lain? Kenapa saya ada firasat yang buruk pasal ni?'
"Kenapa penting? Kau nak buat apa pada pemilik panah ni kalau kau jumpa dia?" tanya Angela.
"Boleh tak kalau kau buat saja kerja yang disuruh tanpa banyak tanya? Kakak kau tidak banyak tanya pun kalau saya suruh dia buat kerja, kenapa pula kau ni banyak songeh?" Issac dengan wajah dinginnya terus melumpuhkan niat Angela untuk bertanya tentang tujuan Issac.
Walaupun apa yang dikatakan oleh Issac itu sangat pedih namun berkesan terhadap Angela kerana ahli sihir itu terus melakukan kerjanya dengan muncung lebar. Angela sangat marah bila Issac menyebut tentang kakaknya. Siapa yang tidak kenal dengan kakak Angela yang juga merupakan seorang ahli sihir dan dikenali sebagai Ahli Sihir White.
Berbanding dengan Angela yang mempunyai rambut warna putih kekelabuan, Ahli Sihir White mempunyai warna rambut putih yang asli dan suci serta sangat cantik. Terkadang, perbezaan rambut mereka membuatkan Angela merasa cemburu.
Angela mengangkat tangan kanannya ke atas dengan wajah yang rela dan tidak rela. Panah-panah yang ada di tangan Issac pun melayang ke udara dan seterusnya melayang beberapa inci dari atas tapak tangan Angela.
Angela mula membacakan sebaris mantera yang hanya dia saja yang tahu.
Aubree menjadi kagum melihat bagaimana Angela membacakan mantera yang bahasanya tidak difahami. Tapi bila memikirkan yang Angela akan menolong Issac untuk membongkarkan identitinya, Aubree menjadi risau.
'Bagaimana saya harus menghentikan mereka daripada mengetahui identiti saya? Saya perlukan sesuatu untuk mengalihkan perhatian mereka.'
Usai saja Angela habis membacakan mantera, keluarlah asap putih dari panah itu.
Aubree menjadi semakin risau tapi di luar, wajahnya masih menunjukkan reaksi tidak berperasaan. Ini kerana Issac dari tadi asyik memandang ke arah Aubree untuk melihat reaksi Aubree sama ada berubah atau tidak.
Mereka menunggu beberapa minit sehingga asap putih tadi menunjukkan jawapan kepada mereka.
Tiba-tiba, asap hitam tadi bertukar menjadi hitam kemerahan sebelum sebuah aliran elektrik muncul dan mengenai jari tengah Angela, mencederakan jari tengah ahli sihir Elf itu.
Angela mengerang kesakitan sambil menarik tangannya semula. Dia segera memandang jarinya yang sudah terluka itu.
Panah tadi terus terjatuh ke atas tanah kerana Angela kehilangan fokusnya.
"Ada apa?" tanya Issac, bingung.
Angela memandang ke arah Issac untuk beberapa saat. Wajahnya penuh dengan reaksi bingung dan marah, tiada lagi sifat bongkak terpamer di wajahnya.
Angela membacakan sebaris mantera dan jari tengah yang tadinya luka, sembuh kembali.
Setelah itu, Angela memandang ke arah Issac lagi dan kali ini wajahnya sangat serius. "Pemilik di sebalik panah ini tidak mahu identiti dia diketahui. Sihir yang dia kenakan di panah ini sangat kuat sehingga saya tidak mampu mematahkan mantera dia. Pemilik panah ini tidak berniat untuk sesiapa pun mengetahui siapa dia jadi saya sarankan Yang Mulia Putera Pertama untuk berhenti mencari pemilik panah ini. Jika tidak, akibatnya tidak akan pernah dapat digambarkan..."
Issac diam saja, tidak menjawab. Hanya wajahnya yang dingin saja menunjukkan reaksi terkejut dan bingung. Dia berfikir jika Angela hanya menjelaskannya tanpa bercakap dengan serius namun bila Angela membahasakan Issac sebagai Putera Pertama, Issac tahu Angela tidak main-main.
Angela hanya akan menjadi serius jika dia menyebut nama rasmi Putera Issac.
Issac memandang panah-panah yang terjatuh di atas tanah dengan wajah yang tidak percaya. Dia tidak percaya jika pemilik sebenar panah itu meletakkan mantera yang lebih kuat dari yang mampu dibuka oleh Angela.
'Peliknya, saya yakin pemilik panah ini adalah Elf yang sama yang sudah menolong saya dulu. Ahli Sihir White katakan yang pemanah itu mempunyai aura yang unik dan sukar untuk dikesan. Jika ini ialah panah dia, tidak mungkin dia sukar dikesan begini.'
Issac mengerling ke arah Aubree yang masih lagi menunjukkan wajah tidak berperasaannya. Dia tidak tahu kenapa tapi saat pertama kali melihat Aubree di rumah Kilan, Issac tahu ada sesuatu yang misteri dengan Elf wanita ini.
Ketika melihat jelingan maut Elf itu tadi membuatkan Issac menjadi semakin curiga dengan identiti sebenar Aubree. 'Atau itu cuma perasaan saya saja?'
"Oleh kerana kau tidak dapat mencari siapa pemilik panah ni, kau nak buat apa dengan panah ni? Kalau kau tidak mahu, kau boleh berikan saya panah tu sebab saya nak bawa pulang. Saya nak selidik mantera apa yang digunakan ke atas panah ni sampaikan ia menjadi sangat kuat..." Watak Angela pun berubah dari serius menjadi seorang Elf yang periang lagi.
Issac memungut panah itu kembali dan menyimpannya di dalam cincin permata yang dia pakai. "Walaupun saya gagal sekali, tidak mungkin saya akan berputus asa. Saya akan mencuba sampai saya dapatkan jawapan. Kalau kau nak barang mainan sebagai bahan penyelidikan kau, kau boleh cari di pasar. Jangan sentuh barang saya!"
Selepas mengatakan itu, Issac berpusing ke belakang dan meninggalkan tempat itu untuk memeriksa bagaimana perkembangan pencarian pengawal yang lain.
Angela kembali geram dengan sikap dingin Issac. Dia segera mengejar Issac dari belakang. "Alah, kalau kau tidak mahu berikan pada saya pun, saya tidak akan kisah. Saya tidak akan kacau pun barang berharga kau..."
Aubree yang hanya memerhati mereka dari belakang hanya mencemuh mereka dalam hati. 'Akhirnya, mereka pergi juga! Isshh, lelaki ais ni! Degil sangat nak cari pemilik panah tu... Kalau tak dapat cari tu, tak payahlah cari lagi...'
Tidak lama kemudian, Aubree terfikir satu benda pula. 'Erm, ahli sihir yang sombong tu cakap yang panah tu ada sihir yang kuat sampaikan dia tidak dapat mematahkan sihir tu. Agaknya, inikah kesan dari keinginan saya supaya Issac tidak menjumpai saya? Yalah, masuk akal juga sebab panah itu kan saya punya... Boleh jadi juga.'
'Aduh, saya pula yang bingung ni... Sebenarnya, apa identiti badan ni? Kenapa saya boleh ada kekuatan macam sihir untuk menimbulkan senjata bila saya mahu? Siapa sebenarnya Aubree yang sebelum ini? Bila difikir-fikir lagi, saya tidak mempunyai memori pemilik asal semasa dia masih kecil. Yang saya ingat, dia sudah bekerja di rumah Kilan selama beberapa tahun ini...'
'Adakah ini bermakna saya perlu mencari identiti sebenar pemilik badan ni? Adakah pemilik asal ini betul-betul seorang Permaisuri dari Kerajaan Iron Tulip? Tidak mungkin...'