ZUPP!
Dengan melepaskan panah terakhir, tentera Kerajaan Kegelapan yang terakhir pun mati.
Issac dan yang lain memandang sekeliling mereka dengan keadaan termengah-mengah. Mereka kepenatan melawan tentera-tentera itu kerana bukan saja para tentera itu kuat, malah mereka juga berada di tingkat kekuatan yang tertinggi.
Tentu saja hanya dengan kekuatan Kilan, Issac dan beberapa orang pengawal yang lain tidak dapat mengatasi kekuatan tentera yang berjumlah 30 orang itu.
Mereka beruntung kerana mendapatkan bantuan dari Aubree.
Aubree menghembuskan nafas lega setelah melihat semua tentera Kerajaan Kegelapan itu sudah meninggal. Perkara yang dia risaukan saat ini ialah bagaimana dia mahu menyembunyikan senjata panah yang ada di tangannya.
Baru saja Aubree berfikir untuk menyembunyikan panah itu, tiba-tiba saja panah itu hilang begitu saja seolah-olah tidak pernah wujud.
Aubree terlopong besar, mulutnya terbuka luas sebesar sebiji telur. Dia tidak percaya dengan apa yang dia lihat. 'Panah tadi hilang begitu saja lepas saya fikir yang saya mahu menyembunyikan panah tadi? Wah, hebatnya! Sedangkan senjata di dunia moden pun tidak akan dapat menghilang seperti itu!'
Kilan segera memeriksa keadaan Katy yang masih menangis di belakangnya.
Aubree yang sedang melangkah keluar dari tempat persembunyian, memandang mereka berdua sambil mencemuh mereka di dalam hati.
'Saya tidak pasti jika Puteri Katy memiliki Kuasa atau tidak sebab memori saya pasal dia kabur... Tapi melihat bagaimana dia menjadi panik dan takut saat menghadapi tentera dari Kerajaan Kegelapan tadi, dia sepertinya tidak mempunyai apa-apa Kuasa? Ceh, kalau dia jadi anak buah dalam kumpulan saya di dunia sebelum ini, tentu dia yang lebih dulu mati. Lemah!'
Beberapa orang pembantu rumah segera membantu Puteri Katy yang masih menangis. Mereka memeriksa jika Puteri Katy mengalami luka atau tidak.
"Yang Mulia Putera Ketiga, lebih baik jika Yang Mulia kembali ke kediaman dan merawat Puteri Katy dulu, Puteri Katy terlihat tidak baik," Issac mencadangkan pendapatnya kepada Kilan. "Tentang kejadian ini, biar saya yang urus. Saya akan laporkan kemudian setelah saya kembali ke kediaman Yang Mulia."
Kilan memandang Issac untuk beberapa saat dan memandang ke arah Katy yang masih lagi menangis. Wajahnya yang pucat itu membuatkan Kilan merasa simpati. Akhirnya dia pun bersetuju untuk mengikuti cadangan Issac.
"Yang Mulia Putera Pertama, saya percayakan masalah ini kepada kamu. Saya akan hantar beberapa orang pengawal untuk membantu kamu di sini. Jika ada apa-apa masalah, segera laporkan ke kediaman saya."
Issac mengangguk mendengar jawapan Kilan. "Oh, ya... Sebelum saya lupa, saya mahu meminta kebenaran Yang Mulia untuk membenarkan pembantu yang satu ini untuk tinggal di sini dan membantu saya apa yang perlu..." Issac merenung Aubree sepanjang masa dia bercakap, yang di mana membuatkan Aubree mempunyai firasat yang sangat buruk tentang ini.
Kilan memandang ke arah Aubree yang sedang ditenung oleh Issac sebelum dia memandang kembali ke arah Issac. "Sudah tentu boleh. Saya akan tinggalkan dua orang pembantu rumah saya di sini bersama kamu supaya memudahkan kerja kamu."
Kilan memandang ke arah Aubree lagi. "Anda akan tinggal di sini bersama dengan Putera Pertama dan membantu dia apa yang patut. Lakukan tugas anda dengan benar."
Selepas itu, Kilan memandang ke arah seorang pembantu rumah yang lain pula. "Anda juga akan tinggal di sini untuk membantu Yang Mulia Putera Issac."
Aubree dan seorang lagi pembantu lain yang bernama Daisy segera menunduk, menerima perintah Kilan dengan tekun. "Baik, Yang Mulia!"
Setelah memberi beberapa arahan kepada pengawal, Kilan pun membawa Puteri Katy kembali ke kediamannya untuk memeriksa keadaan Puteri itu.
Sementara itu, di ladang anggur, semua tubuh badan tentera Kerajaan Kegelapan dibakar oleh seorang ahli sihir dengan menggunakan tongkat sihir.
Sepanjang masa proses pembakaran itu, Aubree hanya memerhati dari tepi dengan wajah penuh minat dan tertanya-tanya.
'Mereka tidak menguburkan mayat ini tapi membakar mereka secara terbuka. Beginikah cara tentera dari Kerajaan Kegelapan jika mereka mati di tanah mana-mana Kerajaan Elf? Sungguh menyedihkan, mereka tidak mempunyai keranda untuk dijadikan tempat diri mereka jika mereka meninggal, apalagi majlis kematian untuk memperingati mereka untuk kali terakhir. Tsk, tsk, tsk... Sungguh menyedihkan!'
Aubree memandang pula ahli sihir yang mempunyai rambut panjang berwarna putih kekelabuan dan bersinar di bawah matahari. Jika Elf mempunyai rambut emas dan berkilau, ahli sihir ini pula mempunyai rambut berwarna putih kekelabuan dan juga bersinar.
Aubree sedikit bingung bila dia tahu wujudnya ahli sihir di dunia Elf ini kerana melalui memori yang ada di dalam badan ini, ahli sihir tidak wujud. Atau memang pemilik asal badan ini sangatlah bodoh sampai ahli sihir wujud atau tidak, pun dia tidak tahu?
Memikirkan bagaimana pemilik asal badan ini tidak tahu pun kehadiran ahli sihir itu ada atau tiada membuatkan Aubree menjadi bengang. 'Ini bukan bodoh biasa lagi, ini sudah jadi bodoh tahap bangang! Kenapa ahli sihir pun dia tidak tahu wujud atau tidak?'
Aubree menjadi sedikit risau kerana selepas berjumpa dengan White malam itu, Aubree baru sedar yang ada Kerajaan Elf lain selain empat kerajaan Elf yang lain. Dan sekarang muncul pula ahli sihir Elf, adakah ini bermakna ada lagi makhluk berbahaya lain yang ada di dunia ini yang tidak diketahui oleh pemilik asal badan ni?
Ketika Aubree sedang hanyut dalam fikirannya sendiri, Issac mendekati mereka. Di tangannya ada beberapa batang anak panah berwarna putih yang dibalut dengan kain putih.
Issac sengaja berhenti di depan Aubree dan berpura-pura memeriksa panah yang dia pegang. Issac sempat menyuruh pada pengawal untuk mencabut semua panah ini dari badan setiap tentera Kerajaan Kegelapan sebelum badan mereka dibakar tadi.
Serta-merta mata Aubree melekat pada anak panah itu. Melihat bagaimana tekunnya wajah Issac meneliti anak panah itu, menjadikan wajah Aubree bertukar tujuh jenis warna.
'Sh*t, macam mana saya lupa kalau panah itu tidak hilang walaupun busur yang saya pegang sudah hilang? Macam mana kalau lelaki muka ais ni gunakan panah ni untuk cari jejak saya?'
Kalau bukan kerana Aubree ingin menyembunyikan identitinya, mungkin sudah lama dia menerkam Putera Pertama itu dan merebut panah yang dipegangnya.
'Macam mana saya boleh terlepas pandang pasal panah tu? Oh ya, bukan salah saya juga... Saya sendiri pun tidak tahu dari mana panah itu datang...'
Walaupun Aubree risau jika Issac tahu kalau Aubree lah yang menggunakan panah itu tadi, Aubree tetap menunjukkan wajah tidak berperasaannya di depan orang lain, terutama Putera Pertama itu.
Ahli sihir tadi mendekati Issac setelah dia menyiapkan pekerjaannya. Ahli sihir berjantina wanita itu tersenyum lebar sebaik saja dia tiba di depan Issac. "Saya sudah siap dengan kerja saya. Macam mana dengan pekerjaan saya tadi? Hebat, bukan?"
Issac tidak memberi perhatian kepada ahli sihir Elf itu dan hanya memerhati panah di tangannya.
Aubree pula yang mengerutkan dahinya. Ingin saja dia mengorek lagi telinganya kerana rasanya dia salah dengar tadi. 'Saya yang salah dengar atau memang ahli sihir Elf ni ada suara yang menggoda?'
Melihat tiada respon dari Issac, ahli sihir Elf itu terus mengeluarkan muncung comelnya dan memeluk lengan kiri Issac yang sasa itu.
"Hei, kau mendengar atau tidak ni?"
Jelingan tajam diberikan oleh Issac sebagai balasan kepada ahli sihir Elf itu. Dia melonggarkan lengannya dari pelukan ahli sihir itu.
"Jadi, kenapa kalau kau sudah lakukan kerja yang baik? Tiada kena mengena pun dengan saya," jawab si Putera dengan wajah dingin.
Dalam hati Aubree, dia sudah pun ketawa terbahak-bahak dengan jawapan Issac tapi di luar, wajahnya masih lagi tidak berperasaan.
'Sah, memang betul tekaan saya. Ahli sihir Elf ini ada perasaan pada Putera berwajah dingin ni...'
Kerana jawapan dingin itu, muncung ahli sihir Elf itu menjadi semakin ketara. Dia terus menjauh dari Issac dan berpeluk tubuh, gayanya seolah-olah seperti seorang isteri yang merajuk dengan suami. "Saya mahu kau puji saya sebab saya sudah buat kerja dengan baik. Takkan puji pun kau tidak mahu?"
"Hanya kerja membakar mayat, tidak perlu berbangga sangat." Sekali lagi jawapan yang dingin diberikan.
"Hei, membakar mayat tentera dari Kerajaan Kegelapan itu sangat sukar. Ia memerlukan mantera-mantera sihir yang panjang dan susah agar seluruh tubuh tentera Kegelapan boleh hancur jadi debu. Oleh sebab tubuh mereka sudah dipenuhi dengan aura Kegelapan secara sepenuhnya, sangat susah untuk menghapuskan tubuh mereka. Lagipun, hanya ahli sihir macam saya saja yang dapat hancurkan tubuh mereka. Jika tiada saya, tubuh mereka tidak akan hancur dan Raja Kegelapan akan menghidupkan badan mereka lagi sebab badan mereka—"
"Kau sudah jelaskan itu lebih dari seratus kali. Kau nak saya dengar sampai ke berapa kali sebenarnya?"
Melihat dua orang Elf itu berperang mulut antara sesama, membuatkan Aubree menjadi semakin hairan. 'Kenapa Putera berwajah ais ni hanya menggunakan bahasa tidak formal dengan ahli sihir ni? Mereka berdua ni ada hubungan khusus?'
Ahli sihir Elf tadi mencebikkan bibirnya, membuatkan imej dirinya terlihat comel. Beberapa orang pengawal sempat menoleh ke arah ahli sihir ini beberapa kali untuk melihat wajah cantik ahli sihir itu.
Tapi secantik mana pun dia, secomel mana pun dia, Issac masih tidak memberi reaksi apa-apa, malah mengabaikan ahli sihir Elf itu dan menyibukkan diri dengan meneliti panah tadi.
Aubree merungut dalam hati. 'Sudah-sudahlah tu periksa panah tu, oi! Kau layanlah dulu peminat kau yang tengah buat muka comel di sebelah kau. Kau tengok, bunga pun boleh layu bila dekat dia, kau saja yang buat muka batu nampak Elf cantik macam tu! Peih!'