Chereads / Aku Di Dunia Elf / Chapter 15 - Serangan Dari Tentera Kerajaan Kegelapan(1)

Chapter 15 - Serangan Dari Tentera Kerajaan Kegelapan(1)

Setelah semua kelengkapan sudah dipersiapkan, akhirnya Putera Kilan pun berangkat dari rumah dan menuju ke desa.

Bersama Putera Kilan juga ialah Puteri Katy. Putera Issac juga mengikuti Putera Kilan untuk berjalan-jalan.

Kerana ini hanyalah sekadar berjalan-jalan, Kilan hanya membawa empat orang Elf pengawal dan empat orang pembantu rumah termasuk Aubree manakala Puteri Katy membawa dua orang pengawal dan empat orang pembantu rumah. Sedangkan Issac hanya membawa seorang pembantu lelaki bersamanya.

Kilan berjalan di sekitar desa untuk memerhati keadaan desa sama ada dalam keadaan yang baik-baik saja atau sebaliknya. Dia juga mendatangi kawasan ladang serta kebun untuk memeriksa hasil tanaman.

Oleh kerana ini pertama kalinya Aubree akan berjalan-jalan di sekitar desa ini sejak dia datang ke dunia ini, dia merasa teruja untuk mengikuti ekspedisi ini.

Aubree agak terkejut melihat bagaimana penduduk Elf hanya berhenti dan memberi salam hormat kepada keluarga diraja sebelum mereka melakukan kerja mereka lagi setiap kali Putera Kilan bersama yang lain melintasi kawasan desa.

Bagi Aubree, layanan di sini agak berbeza berbanding dengan dunia asalnya. Selalunya, jika ada keluarga diraja datang ke bandar untuk berjalan-jalan, semua orang akan berhenti melakukan kerja mereka dan akan menyambut kedatangan keluarga diraja dengan gembira.

'Memang begini cara tradisi kaum Elf menyambut kedatangan kaum diraja ketika mereka datang melawat desa?' Walaupun Aubree tertanya-tanya, namun dia hanya mampu menyimpan semua pertanyaannya di dalam hati memandangkan dia hanyalah seorang pembantu rumah dan seorang pembantu rumah tidak berhak bertanya kepada seorang putera kerajaan.

Ketika mereka tiba di sebuah ladang anggur, Putera Kilan berserta yang lain mengambil keputusan untuk berehat di sebuah pondok terbuka dan luas.

Kerana mereka hanyalah sekadar pembantu rumah, Aubree dan pembantu yang lain berdiri tidak jauh dari kawasan pondok tempat keluarga kerajaan itu berehat.

Pemilik ladang anggur mendengar jika ada Putera Kilan serta ahli keluarga diraja yang lain sedang berehat di salah satu pondok di ladangnya. Dia memerintahkan kepada para pekerjanya untuk menyediakan minuman dan buah mulut kepada mereka.

Sedang mereka berehat, Kilan dan Issac berbual ringkas mengenai perbatasan antara Kerajaan Elf dan Kerajaan Kegelapan yang diserang beberapa hari ini.

Aubree yang malas mahu mendengar butiran perbualan itu hanya melontarkan pandangannya ke tempat lain. Dia mahu menatap ladang anggur yang segar di depannya daripada mendengar perbualan yang tidak penting untuknya.

Pada saat itu, Puteri Katy ingin berjalan-jalan di sekitar ladang anggur itu untuk memeriksa buah-buah anggur yang sudah masak. Dia ingin membawa beberapa buah anggur kembali ke kediaman Putera Ketiga.

Kilan membenarkan Katy pergi setelah berpesan kepadanya untuk berhati-hati. Setelah itu, dia kembali melanjutkan perbualannya dengan Issac.

Aubree hanya melirik ke arah Puteri Katy saat puteri itu melintas di depannya sebelum Aubree mengalihkan anak matanya ke arah lain.

Beberapa minit berlalu, tiba-tiba terdengar suara teriakan dari sebuah arah di ladang anggur itu.

Semua orang merasa terkejut dan menjadi cemas.

Suara teriakan itu ialah milik Puteri Katy yang menunjukkan dia sedang berada dalam bahaya.

Tanpa menunggu lama, Kilan dan Issac segera berlari mencari Katy berpandukan arah suara teriakannya. Para pengawal dan pembantu lain mengikuti setelah itu.

Ketika mereka tiba di sana, semua orang terkejut melihat tempat itu sudah dipenuhi dengan sekumpulan Elf berseragam hitam.

Mereka mempunyai seragam yang sama yang dilihat oleh Aubree ketika menyerang Issac dulu. Kumpulan berseragam hitam ini tentu saja tentera yang berasal dari Kerajaan Kegelapan. Jumlah mereka ada dalam kira-kira 30 orang.

Puteri Katy pula sudah terduduk di atas tanah dengan wajah cemas memandang sekeliling. Dua orang dari pembantunya sudah mati tergeletak di atas tanah manakala dua orang pembantu lain lagi mencuba untuk melawan dan melindungi Puteri Katy.

Melihat Puteri Katy dalam bahaya, Kilan terus melompat tinggi dan mendarat di sebelah Puteri Katy. Melihat ada Kilan datang, Katy yang sedang terduduk itu terus memeluk Kilan dan menangis ketakutan.

Aubree yang melihat adegan itu terus menjulingkan matanya kerana meluat. 'Dalam masa-masa genting macam ni, sempat lagi mereka nak bermesra macam ni. Peih! Tengok keadaanlah!'

Kilan menolak Puteri Katy ke belakangnya untuk melindungi puteri itu sebelum dia menggunakan Kuasa Api untuk menyerang para tentera Kerajaan Kegelapan.

Para pengawal tidak menunggu arahan dari Putera Kilan dan segera menyerang kelompok itu.

Salah seorang dari pembantu rumah di dekat Aubree segera kembali ke kediaman Putera Ketiga untuk meminta bantuan.

Aubree memandang sekeliling dengan wajah gelisah. Dia tidak tahu apa yang perlu dia lakukan. Ini pertama kalinya Aubree mendapat masalah susah untuk memilih. Sepanjang hidupnya, Aubree bebas memilih keputusan dan melakukan seerti apa yang dia suka tanpa memikirkan akibatnya.

Tapi sekarang, Aubree susah untuk memilih, sama ada dia perlu bersembunyi atau melawan semua tentera Kerajaan Kegelapan ini. Kerana statusnya hanya sebagai pembantu rumah, Aubree tidak mahu menunjukkan identiti sebenarnya di depan Kilan dan Issac.

Lagipun, jika mereka tahu yang Aubree ini mempunyai ilmu bela diri, Aubree risau jika kesempatannya untuk keluar dari kediaman Putera Kilan akan hilang.

Beberapa orang pembantu rumah yang lain segera berundur dan bersembunyi di sebalik pokok dan semak-semak yang ada. Mereka tahu mereka tidak akan dapat melawan semua tentera Kerajaan Kegelapan itu jadi mereka memilih untuk menyembunyikan diri.

Kerana mereka semua berlari untuk menyembunyikan diri, Aubree juga mengikuti mereka. Dia dengan perasaan kesal memandang bagaimana Putera Kilan dan yang lain berjuang mati-matian untuk menghapuskan kumpulan tentera Kerajaan Kegelapan itu.

'Ish, tidak boleh jadi ni. Saya kena tolong mereka. Saya tidak boleh diam dan hanya menonton mereka sedangkan saya boleh tolong. Tapi... Status saya, saya tidak boleh membuatkan mereka tahu tentang identiti sebenar saya...'

Seorang pengawal pun tersingkir kerana dia tidak dapat melawan kekuatan empat orang tentera Kerajaan Kegelapan yang mengepungnya.

Melihat itu, Aubree akhirnya membuat keputusan untuk menolong mereka tapi cuma ada satu masalah saja. Dengan cara apa Aubree perlu membantu mereka?

Jika saja Aubree memiliki senjata panah pada saat ini, sudah tentu pekerjaannya menjadi senang. Dia tidak perlu keluar dari tempat persembunyian dan hanya perlu menyerang dari tempat dia bersembunyi.

Ketika Aubree sedang berfikir begitu, tiba-tiba dia merasa sakit di bahagian matanya. Hanya untuk beberapa saat saja sebelum matanya kembali normal.

Aubree menutup matanya dan mencuba untuk menahan rasa sakit tadi. Ketika dia membuka matanya kembali, Aubree merasakan sesuatu yang berat di tangannya. Ketika Aubree memandang ke arah tangannya, dia terkejut melihat ada sebatang busur yang panjang dan terbuat dari sejenis logam berada di genggamannya.

Busur itu terlihat cantik dengan ukiran bunga mandala dalam warna emas di sepanjang busur itu.

'Ini... Apa ini? Kenapa busur ini ada dengan saya? Sejak bila saya ada senjata ni?'

Aubree memandang sekeliling dengan perasaan resah, risau jika ada yang melihat dia dengan senjata itu. Aubree mengeluh lega kerana pembantu rumah yang lain bersembunyi agak jauh darinya dan tidak melihat busur di tangan Aubree. Aubree segera berpindah tempat agar tiada sesiapa yang melihatnya.

Aubree memandang busur yang ada di tangannya. Dia mencari panah jika ada di sekitar badannya namun hampa, tidak ada. Saat Aubree menarik tali busur itu, sebatang anak panah yang terhasil dari cahaya putih membentuk di busur itu.

Panah itu juga terhasil dari logam yang sama dengan busur tadi, namun bezanya anak panah itu berwarna putih. Sekali lagi, Aubree terkejut.

Tanpa menunggu lama, Aubree terus menarik tali busur dan secara automatik anak panah muncul di sana. Aubree terus melepaskan anak panah itu ke setiap tentera Kerajaan Kegelapan yang dia ingin sasarkan.

ZUP!

ZZUPP!

ZUPPP!

Sedikit demi sedikit tentera Kerajaan Kegelapan mula berkurangan.

Tiada yang sedar ada panah berwarna putih melayang laju di udara dan menusuk setiap musuh yang menyerang.

Issac memandang semua tentera Kerajaan Kegelapan yang mengepungnya. Dia menggunakan Kuasa Anginnya untuk menyerang dan mengalahkan mereka. Ketika dia sedang menyerang, Issac tidak sedar ada seorang tentera menyusup di belakang Issac dan bersedia menyerang Issac dengan menggunakan pedang.

Belum sempat pedang itu diangkat tinggi dan ditusukkan di belakang Issac, sebatang anak panah berwarna putih meluncur laju di udara dan menusuk dada tentera itu.

ZUPP!

"Arkh!"

Tentera itu mati begitu saja tanpa tahu siapa yang sudah membunuhnya.

Issac yang terkejut melihat tentera itu mencuba membunuhnya, melihat ada anak panah yang tertusuk di dada tentera yang sudah mati itu.

Dahi Issac berkerut hebat. 'Panah?'

Terus saja fikiran Issac melayang ke imej seorang Elf yang pernah menolongnya dulu dengan hanya menggunakan panah. 'Dia ada di sini?'

Walaupun Issac tertanya-tanya dan ingin mencari keberadaan Elf itu, dia tetap tidak mahu meninggalkan Kilan bertarung seorang diri melawan sisa tentera Kerajaan Kegelapan yang masih hidup.

Jadi dia terpaksa menahan keinginannya dulu dan membantu Kilan.