Bahagian III
Kalaulah ada masa untuk aku melupakan soal dunia, mungkin saat itu ialah ketika aku bermain bola sepak di sekolah. Aku, Kurosaki Yami, merangkap kapten bola sepak di Sekolah Tinggi Harima ini, menjalankan latihan sparta khas untuk rakan-rakan sepasukanku pada setiap hari untuk mengejar kemenangan dalam pertandingan yang bakal dihadapi. Aku akan berubah personaliti sebaik sahaja menapak ke padang serba hijau itu, kerana aku begitu serius dalam sukan ini. Aura kegelapan aku semakin kemuncak sebaik sahaja aku menapak di kawasan padang ini. Berjersi nombor 10, aku digelar "syaitan gelap" oleh musuhku kerana kehadiran aku di padang pastinya membuatkan mereka berputih mata. Aku juga digelar "si ketua kejam (sparta)" kerana terlalu tegas dalam mengendalikan latihan dan mengetuai pasukan tanpa belas kasihan.
Tahun lepas, kami berjaya masuk ke semifinal pada peringkat kebangsaan, tetapi senior-senior aku tidak suka akan kehadiran aku dalam pasukan ini kerana keseriusanku. Tambah-tambah lagi, junior-junior tahun satu ketika itu terlalu menonjol dalam pasukan terutamanya gandingan aku dan Sano yang banyak menyumbangkan tenaga untuk menjaringkan gol buat pasukan kami. Akhirnya, para seniorku membuat pertaruhan mereka iaitu pada peringkat semifinal, mereka mengatakan bahawa mereka boleh menang tanpa bantuan junior-junior. Disebabkan pertaruhan itu, pasukan sekolah kami hanya dibarisi oleh pelajar-pelajar tahun dua dan tiga dalam perlawanan penting itu, mengetepikan ayam tambatan pelajar tahun satu. Akibatnya, mereka kalah teruk dalam pertandingan itu, dan lebih memalukan lagi, 2 orang pemain pasukan ini telah dibuang padang kerana bergaduh. Berikutan daripada itu... Ya, jawatan kapten kini telah bertukar tangan kepada aku, yang hanya pelajar tahun satu ketika itu. Semua pelajar tahun dua dan tiga berhenti daripada kelab bola sepak kerana menanggung malu atas kekalahan tersebut. Untuk pengetahuan kalian, pasukan kami tidak mempunyai jurulatih profesional, sebaliknya diuruskan oleh guru sukan sekolah kami. Dia terpaksa menguruskan hampir semua kelab sukan di sekolah disebabkan pihak sekolah tidak mengutamakan kokurikulum dalam polisi mereka. Justeru kelab-kelab sukan yang ada hanyalah sekadar melepaskan batuk di tangga, sekadar pengisi masa lapang pelajar. Ironinya, kelab-kelab yang dikendalikan oleh para pelajar ini berjaya menempa nama pada peringkat kebangsaan biarpun ketiadaan jurulatih yang profesional disebabkan kesungguhan para pelajar serta fasiliti canggih di sekolah ini. Tidak hairanlah, ketua pasukan atau presiden kelab mempunyai kuasa mutlak dalam pengurusan aktiviti mereka asalkan di bawah penyeliaan guru sukan kami.
Menjadi seorang kapten bukanlah suatu perkara yang mudah buat aku. Mujurlah, Sanosuke membantu aku dengan menjadi orang tengah dalam menyampaikan strategi dan pelan apabila menghadapi perlawanan bola sepak. Aku jarang sangat berkomunikasi dengan ahli-ahli pasukan aku, selain memberikan arahan taktikal dan berbicara mengenai hal penting sahaja. Namun, tiada sesiapa pun yang mempertikaikan diri aku sebagai seorang kapten yang sah. Mereka memang menghormati aku, tetapi sikapku yang introvert ini membuatkan aku rasa tersisih dalam pasukan itu. Aku sukar mengukirkan senyuman sejak tragedi itu, apatah lagi mendakap perasaan bahagia?
"Sano, pastikan mereka menghabiskan menu latihan hari ini..." Ujarku, yang tiada mood untuk mengendalikan latihan hari ini. Setelah aku melakukan beberapa latihan kecergasan dan skil individu, aku pun bergerak ke bilik persalinan. Lagipun, latihan pagi ini tidak lama kerana minggu peperiksaan hampir tiba.
"Ok, kapten..." Katanya sambil mengelipkan sebelah matanya. Urgh... cubalah jangan berbuat sedemikian. Cukuplah khabar angin yang mengarut itu (dituduh gay) disebarkan oleh kaum-kaum perempuan sekolah ini. Orang lain pasti salah tafsir kalau nampak tindakan Sano itu terhadap aku.
"Hah...." Aku mengeluh. Kepala aku agak rungsing kini. Selepas sahaja tamat latihan itu, kotak fikiranku memutarkan imbas kembali yang enggan aku kenang semula. Ya, semuanya kerana hal pagi tadi. Matsushima ialah insan nombor satu yang patut aku rahsiakan situasi aku sekarang ini. Aku enggan memberitahu situasi aku dan Aya yang tinggal serumah sekarang. Sudah pasti, dia akan melaporkan peristiwa tersebut kepada lelaki tua yang tidak berguna itu, atau lebih dikenali sebagai bapa aku. Biarpun orang tua itu jarang-jarang pulang, aku enggan membiarkan orang tua itu menjadikan alasan ini untuk kembali ke rumah 'baharu'ku itu.
"Arghhh..." Aku sedaya-upaya memikirkan jalan penyelesaian, tetapi tiada jawapan. Aku tiada pilihan lain selain berhadapan dengan Matsushima secara bersemuka. Harap-harap si gadis itu faham akan perasaan aku.
Selepas habis menyalin pakaian sukan aku, aku terus sahaja menuju ke kelas. Masuk sahaja aku ke kelas, kelibat Aya dan Matsushima kelihatan berbual-bual panjang, sambil menunggu ketibaan aku. Nampaknya, pertemuan ini tidak dapat dielakkan lagi!
"Y-yo..." Sapa aku, sedikit gugup.
"Ohayo, Yami-san..." Balas Aya. Aku lihat Aya tenang, tidak seperti situasi pagi tadi.
"Ohayo..." Matsushima juga memberikan respon. Aku tarik nafas, berjalan ke arah Matsushima untuk menghampirinya. Matsushima juga nampak tenang, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku antara dia dan Aya.
"Matsushima..."
"Ya...?"
"Jangan beritahu hal ini kepada si orang tua aku itu..." Kataku, berbisik perlahan untuk hanya didengari oleh Matsushima. Aku mahu memberikan amaran (ugutan) kepadanya, agar mulut Matsushima terkunci dan mendiamkan kisah itu daripada pengetahuan orang.
"Hmph... A-awak ingat awak dapat menakutkan saya... Awak ingat saya akan membiarkan perkara itu begitu sahaja? Tiada alasan untuk a-awak tinggal berdua sahaja dengan A-aya... Myt... Maksud saya, Mai, walaupun awak bertiga tinggal bersama, masih tetap bahaya! Saya.... Saya juga mahu tinggal di rumah awak juga! (muka merah) Ja-jangan salah faham! Sa-saya mahu tinggal di rumah awak, bukan kerana saya mahu bersama awak, tetapi untuk memastikan tiada "kesilapan" berlaku...!" Matsushima membebel panjang dengan wajah yang merah padam.
"Huh? Kesilapan? Tinggal di rumah aku? Kamu serius?!" Kataku, tersangkut mendengarkan cadangan Matsushima yang kurang bernas itu...
"Saya serius!" Matsushima menguatkan suaranya. Rakan-rakan sekelasku, mula mengalih pandangan mereka ke arah kami berdua.
"Lagipun...! A-awak... Saya dan awak memang mempunyai hubungan (keluarga) antara kita, bukan?" Sambung Matsushima lagi. Malang sekali, suara Matsushima yang agak kuat itu telah menyebabkan salah faham berlaku dalam kelasku!
"Apa! Hubungan antara mereka?!" Rakan-rakan sekelasku mula bergema suaranya. Mereka terkejut dengan kenyataan itu! Tunggu, sepatutnya aku yang lebih terkejut dengan kenyataan Matsushima! Bunyi-bunyi bisikan rakan sekelas aku mula mewarnai suasana sekarang.
"Yami ada hubungan sulit!"
"Yami main kayu tiga!"
"Yami kaki perempuan?!"
"Pergi mati, riajuu (gelaran untuk orang yang mempunyai kekasih atau popular)!"
Pandangan tajam dan aura membunuh daripada rakan-rakan sekelasku semuanya menuju tepat ke arah aku. Mereka semua kini sama ada dalam keadaan cemburu atau terkejut dengan berita terkini itu. Lebih-lebih lagi, si kaum lelaki, yang mula sakit hati memikirkan kebahagiaan aku bercinta dengan si ratu sekolah itu. Matsushima merupakan salah seorang daripada 3 ratu cantik di sekolah ini berdasarkan undian rahsia lelaki di sekolah ini. Dia menjadi idola pelajar-pelajar lelaki di sekolah ini terutamanya Sanosuke, yang sedang merenung aku dan membisikan kata-kata sumpahan di tempat duduknya, betul-betul di hadapan aku.
"Mati, mati, mati, mati...."
"....." Aku anggap bunyi suaranya itu seperti nyamuk yang menyemak di musim panas.
"Tu-tunggu, ikut aku!" Aku menarik lengan Matsushima, melarikan diri daripada mata-mata yang merenung tajam ke arahku. Matsushima mengikutku tanpa sebarang bantahan. Sudut mata sesekali terlihat riak wajah Matsushima yang tersenyum, kendatipun aku tidak faham erti senyuman itu. Sampai di sudut terpencil di koridor sekolah, kami pun berhenti. Aku memandang tepat ke arah Matsushima yang berada dalam keadaan teragak-agak apabila aku melepaskan genggaman jemariku. Aku menghela nafas panjang, menenangkan perasaan aku yang berbaur-baur itu.
"Kamu...." Aku mula bersuara.
"..." Matsushima tidak bersuara, mungkin ketakutan.
"Mengapakah kamu berkata sedemikian?! Kita tiada apa-apa hubungan!" Ujarku, mencari kepastian daripada kenyataan gadis itu.
"Bu-bukankah kita bersaudara kini? Bukankah awak abang tiri saya sekarang?" Kata si Matsushima, memalingkan mukanya, mungkin kemarahan.
"Ya, aku faham. Masalahnya, kata-kata kamu itu boleh menimbulkan salah faham kepada semua orang!" Marah aku.
"A-awak tidak suka bersaudara dengan saya?" Matsushima memandangku, bagai ingin menangis.
"Tidak. Bukan itu maksud aku. Aku... Aku juga gembira kerana bersaudara dengan kamu..." Ujar aku jujur, kerana Matsushima pernah menjadi sebahagian daripada masa silamku. Sekalipun, masa silam itu, tidak lagi wujud setelah aku kehilangan ibuku.
"Terima kasih... Hmmph... Bukan saya gembira kerana awak menjadi abang saya, tetapi.... sa-saya menghargai perasaaan awak itu..." Matsushima memalingkan muka, cuba menutupi rasa segan, bercampur gembira.
"Ya, ya... Aku tahu! Tetapi, sebagai saudara, aku harap kamu tidak mendedahkan hal yang berlaku pagi tadi kepada orang lain, terutamanya bapa aku!" Kata aku lagi.
"Dengan syarat! Saya juga mahu tinggal di situ!" Suara Matsushima, mendesakku. Aku garu kepala.
"Hah? Kamu serius dengan kata-kata di kelas tadi?!" Aku terkejut.
"Ya, saya mahu tinggal bersama awak!"
"Tapi, kamu sendiri kata yang lelaki dan perempuan tidak boleh tinggal bersama...."
"I-itu... Saya adik awak, jadi tak kesah! Kamu mahu ayah kamu tahu mengenai Aya dan Mai?" Aku terdiam. Sebenarnya, kata-kata Matsuhima bukanlah suatu ugutan yang menakutkan aku. Aku tidak ambil bena jika orang tua itu tahu. Tetapi, jika orang tua itu "rahsia" mereka, entah apa-apa pula yang bakal dilakukan oleh profesor gila itu.
"..." Aku terus membisu, membiarkan Matsushima tertanya-tanya keputusanku.
"Mahou shoujo...." Sambungan kata-kata Matsushima membeliakkan mataku. Mustahil!
"Kamu tahu?!" Tanyaku, panik!
"Ya... Saya janji untuk rahsiakan perkara itu..." Matsushima menjawab.
"Bagaimana kamu tahu!?" Soalku lagi.
"Beri saya kebenaran untuk tinggal di sana..." Kedegilan Matsushima semakin ketara.
"Jawab soalan aku dulu!?"
"Saya mahu tinggal di rumah awak!" Kedegilan Matsushima tiada tandingan.
"... Hah (mengeluh) Baiklah, aku bersetuju untuk kamu tinggal di situ. (mengalah) Tetapi bagaimana keluarga kamu? Adakah kamu telah berbincang dengan Aya mengenai perkara ini?" Soal aku.
"Keluarga saya tiada bantahan, malahan hahaue (ibu) menggalakkan saya tinggal di situ. Juga, saya dan Aya-san sudah bersemuka dan bersetuju mengenai perkara ini selepas awak melarikan diri pagi tadi. Lagi satu, saya..." Kata-kata Matsushima terhenti.
"Ya?" Tanyaku, menantikan Matsushima menghabiskan ayatnya.
"Saya ada satu permintaan kecil..."
"Permintaan?"
"Panggil saya Eri, Yami-niisan..." Suara kecil Matsushima.... sepatutnya Eri kini, menyebabkan aku keseganan.
"E-eri..." Aku mengujarkan nama adik tiriku itu.
"Ya, Nii-sama..." Dia senyum manja. Mustahil... Adik tiri aku tidak secomel itu!
"Ba-baiklah Eri, mari kita masuk ke kelas...." Eri mengangguk setuju dengan kata-kata aku, lalu mengikut aku dari belakang tanpa sebarang kata-kata lagi. Aku menoleh sipi, melihat Eri tersengih kecil. Entah apa yang difikirnya. Aku terlalu naif apabila memikirkan hal tersebut telah selesai. Aku tidak tahu bahawa persetujuan itu membawa satu bahana yang lain....
..........................................
"Ah!" Mataku terbeliak. Untuk pengetahuan kalian, aku sekarang berada di hadapan rumahku, seperti biasa, baru sahaja pulang dari sekolah. Aku menggarukan kepala yang tidak gatal, melihatkan situasi di hadapanku. Sebuah lori treler 10 tan, membawa muatan perabot dan peralatan bilik tidur, parkir di tepi rumah aku.
"Nii-sama... Barangan keperluan saya sudah sampai dari rumah saya...." Ujar si adik tiriku, yang berada di pintu rumah baharuku itu. Adik tiriku itu sudah menjadikan rumah aku itu seperti rumahnya sendiri.
"Hati-hati dengan barangan ojou-sama!" Jerit orang tua, berpakaian seragam "butler", mengarahkan pekerja-pekerja yang mengangkut barang itu. Aku pasti kehidupan normal aku tidak akan kembali lagi.
"Haa...." Keluhku, kemudiannya masuk ke rumah. Aku tiada daya lagi mahu memberikan komen.