Bahagian IV
Malam itu, saya, Kousaka Mai, sedang menikmati makan malam bersama-sama penghuni rumah yang baru beberapa hari saya duduki. Rumah ini telah diubah suai untuk memudahkan saya dan Master menetap serta menjalankan operasi Mahou Shoujo di sini. Suasana makan malam hari ini agak tegang berbanding hari-hari lain. Kedatangan Matsushima Eri memburukkan lagi mood Yami-sama, tuan empunya rumah tersebut. Terutamanya, apabila isu perebutan tempat duduk di sebelah lelaki itu telah timbul antara dua orang gadis, Master Aya dan Eri-sama.
"Hmmph... Yami-san di bawah jagaan saya, justeru, saya harus menjaga kebajikannya. Awak boleh duduk berhadapannya!" Master Aya, orang yang bertanggungjawab ke atas diri saya ini, mengarahkan Eri-sama mengubah tempat duduknya dengan nada marah.
"Bu-bukan maksud saya untuk makan di sebelah Nii-sama, tetapi selaku adiknya, lebih berhak berada di sebelahnya... Lagipun, siapa dahulu, dia yang dapat..." Eri-sama, merangkap adik tiri Yami-sama, membentak dan memalingkan mukanya tanda enggan.
"Duduklah di mana-mana, mari kita makan..." Yami-sama, bernada lemah, menghentikan pertelagahan dua pesaing cinta tersebut. Sungguhpun begitu, Yami-sama yang agak dungu itu tidak memahami perasaan wanita dan alasan mereka bertelagah. Saya mengambil tempat duduk bertentangan Yami-sama, tidak menyebelahi mana-mana pihak. Sesekali, Yami-sama memberikan signal tangan, menyuruh saya masuk campur, tetapi saya mengabaikannya dan hanya berdiam diri.
"Grrr..." Master Aya pun mengalah lalu duduk di hadapan Yami-sama bersebelahan saya. Percikan elektrik bagai memancar pada mata Master, merenung Eri-sama.
"Grrr...." Eri-sama membalas jelingan tajam dengan aura yang sama kuat. Kelihatan seperti harimau dan naga saling berenungan mencari kelemahan masing-masing. Yami-sama menggelengkan kepalanya, melihatkan telatah dua orang gadis ini.
"Ha.... (mengeluh) Sudahlah itu. Marilah kita makan sekarang. Aku benar-benar lapar..." kata Yami-sama, yang sudah bosan dengan suasana dingin antara mereka berdua.
""Awak ingat kami bergaduh kerana siapa?!"" Dua suara gadis bergaduh itu bergema serentak membuatkan Yami-sama tergamam.
"Benar kata Yami-sama. Makanan akan sejuk nanti jika kita biarkan begitu sahaja..." Saya turut menyokong kata-kata Yami-sama. Master dan Eri-sama meredakan jelingan mereka, lalu merapatkan jemari mereka seperti saya dan Yami-sama.
"Ittadakimasu..."
Makan malam berlangsung tanpa sebarang masalah, kecuali insiden awal tadi. Master makan dengan sesekali menjeling wajah Yami. Begitu juga dengan Eri-sama. Masing-masing punya hati dengan lelaki ini. Adakah lelaki ini dikatakan sebagai protagonis yang sering didampingi gadis-gadis seperti dalam manga komedi cinta? Adakah lelaki ini ialah protagonis dungu yang tidak memahami perasaan gadis-gadis mencintainya? Saya tidak pasti.
Menyebut soal cinta, mungkin ada yang tertanya-tanya mengenai perasaan saya terhadap Yami-sama. Saya? Bagi saya, Yami-sama memang lelaki yang baik dan tidaklah terlalu suka menonjol di hadapan perempuan. Dia telah banyak membantu Master saya. Tanpanya, insan yang paling saya hormat ini mungkin sudah tiada lagi di dunia. Saya juga bakal kehilangan master yang baik hati ini tanpa bantuan Yami-sama. Tanpa Master, saya tidak mungkin menjadi bakal striker yang baik suatu hari nanti kelak.
Dalam mahou shoujo, mereka ini dibahagikan kepada 3 tahap semuanya. Yang paling bawah sekali ialah 'apperantis', iaitu seperti tahap saya sekarang. Apperantis akan diawasi mentor dan bertindak bersama-sama dalam sesuatu operasi. Yang kedua pula ialah 'striker', mereka ini mempunyai kelayakan penuh sebagai mahou shoujo setelah menjalani latihan dan peperiksaan yang diselia oleh orang atasan. Striker tidak terikat pada mentornya, sebaliknya dibenarkan bertindak sendirian untuk menentang musuh, tetapi dalam kawasan terhad dan mesti mengikuti bidang kuasa organisasi masing-masing. Akhir sekali, yang paling berkuasa ialah Master, pangkat milik Aya-sama. Master bebas bergerak tanpa kawalan sesiapa dan akan mendidik apperantis seperti saya sebagai mentornya. Master diberikan "jajahan kuasa" masing-masing dan Master yang berada luar daripada kawasan itu tidak dibenarkan mencampuri hal urusan Master di kawasan jajahan tersebut. Malah, mereka mempunyai autoriti seperti pihak berkuasa dan kerajaan dalam sesebuah tempat yang diletakkan bawah naungan mereka. Pihak berwajib juga perlu mematuhi polisi Master di kawasan mereka agar tidak berlaku sebarang perselisihan dalam menjalankan operasi menentang musuh mereka.
Semua apperantis boleh dinaikkan pangkat sebagai Striker sekiranya mendapat pengesahan daripada Master, namun begitu, bukannya semua boleh bergelar sebagai Master, jawatan tertinggi dalam pertubuhan Mahou Shoujo. Jumlah kelompok insan yang layak bergelar master sangat terhad. Di seluruh dunia, ada hampir 100 orang Master kesemuanya, termasuklah 10 orang Master yang berada di Jepun. Mereka yang menjadi Master mestilah memiliki kebolehan tersendiri dan kehebatan yang tiada bandingnya. Kelompok Master ini juga mempunyai organisasi tertinggi yang dipanggil "the numbered", iaitu bernombor, daripada nombor satu hingga nombor sembilan. Master nombor satu juga digelar Grand Meister, merupakan "general" kepada seluruh organisasi mahou shoujo. Oh ya, mahou shoujo juga memiliki beberapa organisasi yang diasaskan oleh Master untuk memudahkan operasi dan aktivitinya.
Dalam Mahou Shoujo juga, kami mempunyai nama "kedua". Untuk saya, "Myth" ialah nama kedua yang diberikan kepada saya. Tidak seperti nama kedua Master iaitu "Primula", Mahou shoujo generasi baru tidak lagi memakai nama-nama watak dalam mitos seperti generasi lama. Terutamanya Master Aya, yang merupakan barisan generasi pertama dan menjadi tiang kepada organisasi ini. Generasi pertama ialah mereka yang mula-mula sekali memiliki teras "magika", dan bertanggungjawab memusnahkan serangan Típota tou skótous dan memenangi pertarungan itu. Tetapi kemenangan itu juga hadir setelah pengorbanan besar dilakukan. Ya... kehilangan "nyawa" sebagai bayaran untuk kuasa.
Master Aya juga pernah menjadi sebahagian daripada ahli 'bernombor' yang paling muda. Gelaran Master Aya dalam organisasi "the numbered" ialah Aya no Gin, Aya si perak, kerana rambut hitamnya bertukar kepada peraknya ketika menjelma sebagai mahou shoujo. Nama kedua Master Aya juga sangat unik kerana 'Primula' juga bermaksud permulaan. Master Aya merupakan Mahou Shoujo generasi pertama dan dianggap sebagai legenda bagi organisasi ini. Beliau juga telah menubuhkan organisasi Ros Perak, yang dikenali "Así̱mi Af̱xí̱thi̱ke", merupakan organisasi terbesar dalam Mahou Shoujo ketika itu. Semasa era kegemilangan Master Aya, beliau dianggap heroin terhebat dan ikon oleh semua ahli Mahou Shoujo.
Selepas Master Aya "meletak jawatan" daripada golongan "bernombor", organisasi Master Aya, Ros Perak telah berpecah dan hanya tinggal beberapa orang sahaja, selepas kewujudan mahou shoujo generasi baharu. Saya juga adalah salah satu daripada generasi baharu. Saya selaku apperantis, telah dibawa ke organisasi Así̱mi Af̱xí̱thi̱ke kerana organisasi lain sudah penuh kuotanya. Jadi, sayalah satu-satunya apperantis yang dilatih oleh Master Aya. Dalam organisasi Master, terdapat lima orang sahaja ahlinya iaitu saya, Master Aya, dua orang striker dan seorang penyelia perkakasan mahou shoujo dan teras magika kami.
Saya sendiri kurang pasti sejarah dengan sejarah Master. Saya tidak tahu "nombor" Master ketika dia menjadi orang atasan. Tetapi, saya tahu sesuatu yang Master mahu sembunyikan, iaitu "Primula". Nama keduanya itu bermaksud yang "pertama". Master ialah generasi terawal, dan menjadi mahou shoujo sejak kecil lagi. Mahou shoujo generasi pertama ialah mereka yang "dipaksa" memakai teras magika. Dengan kata lain, mereka ialah tikus makmal yang kebanyakan mereka sudah pun meninggal dunia atau kehilangan "semangat" menyebabkan kuasa mereka hilang dan dimasukkan ke rumah "penahanan".
Selepas generasi pertama, generasi seterusnya mendapat kuasa melalui "desakan" dan "kekecewaan". Saya mendapat kuasa setelah melihat ibu bapa saya mati dibunuh oleh entiti asing, yang berasal daripada serpihan kuasa si ketua Típota tou skótous. Selepas saya ditemui oleh mahou shoujo yang datang membantu saya, saya dihantar ke badan rahsia dan diberikan teras magika. Berbanding generasi asal, "kuasa" saya tidaklah memerlukan "masa" dan "nyawa" saya untuk menjana "kekuatan". Sebagai akibatnya, kuasa saya jauh lebih lemah daripada Master.
"Mai, apa yang sedang kamu fikirkan?" Tiba-tiba suara Yami-sama mengejutkan saya daripada menungan panjang. Ketika ini saya dan Yami-sama sama-sama menonton televisyen, sementara Master dan Eri-sama sedang berperang di ruang dapur, masing-masing ingin menunjukkan bakat membuat santapan ringan untuk Yami-sama.
"Hmm... Rahsia..." Saya cuba menyembunyikan masalah yang tersembunyi dalam jiwa saya dan berlagak comel. Sesuatu perkara yang menarik mengenai Yami-sama, dia senang segan apabila gadis berlagak comel di hadapannya.
"Y-yakah? Ah, kalaulah mereka berdua boleh meniru perangai kamu yang tahu menjaga diri dan tertib di rumah ini...." Yami-sama memuji saya. Serangan balas Yami-sama membuatkan saya pula malu.
"Nii-sama... Sila rasa penkek saya ini...." Eri-sama dan Master sudah menyiapkan sajian mereka dan kini berada di hadapan Yami-sama, menghulurkan pinggan berisi penkek yang mengeliurkan.
"Tunggu dulu. Yami-san... Sila rasa puding saya ini..." Master Aya juga cuba memujuk Yami-sama merasai makanannya. Yami-sama mengeluh, tetapi menyambut kedua-dua pinggan yang berisi snek tengah malam itu.
"Teknik Yami! Penelanan pantas!" Menjeritkan nama pencak rahsianya (lol), Yami-sama seraya menggunakan dua sudu untuk menyuap makanan daripada dua pinggan berbeza dalam masa yang sama lalu masuk ke mulutnya dengan pantas.
"Erm... Sedap..." Yami-sama memuji.
"Tengok, Nii-san makan penkek saya lebih pantas daripada awak..." Eri-sama dengan bangga bersuara.
"Salah, Yami-san makan 0.1 saat lebih cepat puding saya!" Master Aya tidak puas hati membantah kata-kata Eri-sama.
"Bolehkah kamu berdua jangan bergaduh...." Yami-sama mengeluh.
"Awak ingat ini semua salah siapa?!" Eri-sama dan Master Aya memandang tepat kepada Yami-sama lalu menggunakan perkataan sama dengan nada tinggi kepadanya.
"M-mai.... Tolong saya..." Yami-sama memandang ke arah saya.
"Selamat berjaya..." Saya meninggalkan lokasi peperangan itu lalu menuju ke dapur untuk mendapatkan puding Master Aya yang sedap itu...